Intan payung kami...

Saturday 20 October 2012

Bab 3 : Selepas 14 tahun...


Bab 3

“Sal…” terdengar nama aku di panggil. Badan aku digoncang perlahan. Terasa dahiku disentuh. Ada tangan memicit-micit lengan dan kakiku.
“Sal…” sekali lagi aku terdengar namaku dipanggil.
Aku kenal suara tu, itu suara Lina. Aku cuba membuka mata, namun amat payah terasa seperti ada pemberat!
 Kenapa ni asyik mimpi mengarut je? Eh, di mana aku sekarang?
Tidak! Semalam aku dilanggar bas! Habis remuk kereta aku agaknya. Eh, kejap, aku di hospital ke? Aku cuba buka mata, tapi tiba-tiba kepala aku pula berdenyut-denyut.
“Mak cik, betul ke Sal tak ada apa-apa ni? Kenapa tak dihantar ke hospital je? Agaknya kesan semalam tu masih ada.” Terdengar suara Lina bertanya.
Apa, aku ada di rumah? Jadi kemalangan tu tak teruk?
“Dia dah baik, tadi kebetulan Rizal balik rumah mak Esah, dia yang periksa Sal, katanya keadaan Sal stabil. Dia cuma terkejut dan pengsan.” Terdengar suara emak di sebelah kananku.
Terkejut dan pengsan? Takkan pengsan je? Punyalah besar bas yang langgar kereta aku semalam. Aduh, sakitnya kepala aku!
“Kenapa sampai boleh pengsan macam ni sekali?” Terdengar suara Lina bertanya.
Emak menghela nafas kasar, “Mak cik pun tak tahu. Tapi ada betul juga, mungkin sebab kes hampir-hampir kena langgar tu dia cepat sangat lemah semangat. Tapi, yang peliknya, kali ni bukannya ada kereta nak langgar pun tapi Lepas dia tengok Sara dia menjerit. Dan lagi satu sebelum tu, dia terkejut tengok pak cik kamu. Mak cik pun hairan.”
Hah, lepas tengok Sara? Pak cik? Emak sebut pak cik? Maknanya memang ayah ada dan aku tak mimpi? Sekali lagi aku cuba membuka mataku. Dengan susah payah, akhirnya aku berjaya melihat Lina dan emak.
“Ayah mana?” soalku pada emak dengan suara serak hampir tidak terkeluar dari kerongkong.
“Ayah pergi kerja, nanti dia minta balik awal.” Jawab emak.
Dan sekali lagi aku menangis. Memang aku tak bermimpi. Ayah memang hidup. Tapi kenapa? Di mana aku sekarang? Aku bermimpi lagi kah?
“Kenapa Sal, sakit lagi ke?” Emak bertanya. Merenung simpati. Aku menggeleng.
“Sara mana?” Soalku pada emak. Sekadar menguji. Menyapu sisa air mata yang mengalir di pipi.
“Sara tak balik sekolah lagi, ada kelas petang hari ni.”
“Kak long?” Tanyaku lagi, suaraku terasa seperti tersekat di kerongkong.
“Tadi kak long telefon, kalau keadaan kamu teruk dia nak ponteng kelas. Tapi mak cakap kamu pengsan je, jadi lepas kelas dia balik.” Balas emak.
“Kak long pergi belajar ke pergi mengajar?” soalku sekadar menguji emak. Kalau ikutkan ingatan aku, selepas habis belajar di kolej kak long dapat jadi guru dan mengajar di sekolah rendah di Melaka, tinggal bersama suaminya yang juga bekas guruku di sekolah dulu.
Emak menghela nafas perlahan, “Kakak kamu pergi belajarlah. Nak mengajar apanya, ijazah pun tak dapat lagi.” jawapan emak membuat hatiku semakin kuat berdegup. Sah, aku bukan berapa ditempat yang sepatutnya! Tapi, bagaimana aku boleh ada di sini?
“Kamu jaga dia Lina, mak cik ada kerja nak siapkan. Kamu layan saja kalau dia tanya soalan pelik-pelik.” Aku terdengar emak berbisik di telinga Lina. Aku tahu, emak sengaja membiarkan aku mendengarnya. Lina tersenyum kecil mengangguk.
Aku memandang Lina. Memang sah, aku bukan berada di tahun 2012! Muka Lina tak macam ni! Polos, bersih. Muka Lina 2012 penuh dengan parut jerawat. Seingat aku, Sara memakai uniform sekolah berwarna hijau ketika dia darjah enam. Dia dipilih sebagai pengawas sekolah. Bukan main bangga dia bila dilantik menjadi pengawas sekolah.
Jadi, kalau aku kira, tolak, campur, darab, bahagi, kuasa dua… kemungkinan aku berada di tahun 1998! Aku memandang Lina.
“Beb, sekarang tahun 1998 ke?”
Aku dapat lihat perubahan di wajah Lina. Dahinya berkerut-kerut. Kemudian dia mengangguk. Serentak itu hatiku menjerit kesyukuran, maknanya permintaan aku untuk mengulang kembali zaman persekolahan benar-benar termakbul!
Aku bingkas bangun, semangatku mencanak naik! Kejap, tapi… macam mana aku boleh berada di zaman ni? Tak mungkin. Tak mungkin! Tapi… aku menarik nafas dalam, lepas perlahan-lahan. Yang pasti aku masih hidup. Ah, biarlah dulu. Yang penting aku catat apa yang aku ingat ni.
“Mana pen? Kertas?” Aku menyelak kain selimut yang menutupi sebahagian badanku.
Lina lekas-lekas menahanku dari bangun. “Kejap, kau dah baik ke ni?” Tanya Lina wajahnya kelihatan cemas. Aku mengangguk, tersenyum gembira.
“Kertas, kertas?” Mataku liar mencari kertas di atas meja.
“Kejap aku tolong ambil, kau duduk sini.” Minta Lina memandang keliru padaku. Dia segera menghampiri meja tulisku, kemudian menghulurkan sehelai kertas dan sebatang pen padaku.
Tanpa menunggu lama, aku segera mencatat segala senarai yang aku pernah tulis ketika aku berusia 30 tahun. Aku berhenti menulis, ‘ketika aku berusia 30 tahun?’ yang mana realiti dan yang mana fantasi sebenarnya ni? Kenapa seperti baru semalam aku berada di pejabat? Berada di dalam kereta? Menerima pesanan ringkas dari Daniel?
Adakah dunia semalam adalah mimpiku dan dunia sekarang realitiku atau sebaliknya?
“Kau tulis apa ni?” Lina ingin menjenguk kertas di tanganku.
Aku segera sembunyikan dari dilihat Lina. “Kejap, aku tak tulis habis lagi. Nanti dah siap aku bagi kau baca. Kau pergi turun dulu. Ambilkan air, aku haus sangat ni.” Mintaku, sengaja aku mahu dia berada jauh. Aku hendak fokus betul-betul sebelas niatku itu. Harap-harap aku tak lupa.
Lina bergegas keluar. Dari raut wajahnya jelas kelihatan dia seperti risaukan keadaan aku. Dia memang teman yang baik, tidak banyak songeh. Mungkin kerana dia anak tunggal dan selalu sendirian di rumah, sebab itu dia tidak kisah jika aku mengarah itu dan ini. Lagi pun Lina memang terkenal sebagai pelajar yang rajin. Kalau tidak masakan dia boleh belajar dalam aliran sains.
Selepas lima minit, Lina kembali ke dalam biliku bersama dua gelas air dan sepinggan kuih kacang. Aku sangat rindukan kuih ni, sejak ayah pergi emak tidak pernah lagi buat kuih kacang. Pernah aku minta emak buatkan kuih ini, mungkin kerana aku dia terpaksa buat. Tapi sudahnya, hanya aku seorang saja yang habiskan kuih ini manakala emak hanya memberi alasan dia sudah kenyang. Tapi, selepas beberapa hari baru aku perasan, emak bukan kenyang, tapi emak tak sanggup makan kuih itu kerana akan mengingatkan dirinya pada arwah ayah. Ayah sama seperti aku, terlampau gilakan kuih kacang. Kalau emak buat setalam pun, aku boleh habiskan satu talam tu dalam masa sejam!
Dan kali ini, bila melihat kuih ini berada di depanku, aku yakin aku betul-betul berada di tahun 1998. Tahun ketiga emak menerima kontrak menyediakan kuih-muih untuk kantin sekolah. Tapi, macam mana aku boleh berada dalam tahun ini? Tentu saja semua ini tidak masuk akal! Kalau dalam filem atau drama mungkin aku percaya, tapi…
“Sal, ni aku bawakan kerja sekolah yang cikgu bagi untuk cuti hujung minggu ni.” Lina mengeluarkan buku dari bag kertas yang dibawanya.
“Hujung minggu? Hari ni hari jumaat ke?” Soalku terpinga. Kalau ikutkan semalam (waktu usia aku 31 tahun) hari ini sepatutnya hari Rabu dan aku perlu menghantar laporan jualan bulan lepas kepada Encik Hamid.
Lina memandang kehairanan padaku. Wajahnya berubah kelat kemudian dia mengangguk. Aku sempat menangkap anak matanya memandang ke arah meja tulisku. Aku turut memandang ke arah sama. Kelendar 1998!
“Tolong ambil.” Mintaku pada Lina. Lina menurut dan kemudian menyerahkan kalendar itu kepadaku.
“Sekarang bulan apa?” Aku memandang Lina. Bulat mata Lina membalas renungan aku.
“Kau nak aku panggilkan mak kau ke?” Lina memandang curiga.
“Cakaplah bulan apa sekarang ni?” Aku mencerlung.
“9 Januari.” Balas Lina ragu-ragu. Lantas mataku memandang kalendar di tangan. Minggu ke dua Januari 1998? Hatiku mula bergemuruh.
“Minggu ke dua persekolahan cikgu dah bagi kerja sekolah?” Soalku teragak-agak.
Sekali lagi dahi Lina berkerut-kerut, dia mengangguk perlahan. “Yalah, tahun ni tahun penting kita. Bukan macam tahun lepas, tahun honeymoon.”
Serentak itu aku teringatkan senarai hajat yang aku tulis kelmarin… (erkk… kelmarin?)
1.     Ubah aliran! Jangan ambil kelas sains!
“Beb, kau kena tolong aku.” Aku mula cemas. Soal kenapa aku boleh berada di sini sekarang, kena tolak tepi dulu.
“Kenapa? Kau sakit ke?” Tanya Lina segera memegang lenganku.
Aku menggeleng. “Aku tak mahu buat kerja sekolah tu. Aku nak tukar aliran!” Aku memegang erat tangan Lina. “Kau agak cikgu benarkan tak?”
Lina terdiam seketika, dia merenung tepat pada wajahku. “Walau pun mak kau pesan layan je kalau kau cakap perkara yang bukan-bukan, tapi kali ni aku memang malas nak layan!” Lina mencemik menarik tangannya dari dalam genggamanku. Merenung tajam.
“Lina kau kena tolong aku. Aku tak mahu ambil aliran sains. Aku nak tukar! Aku nak ambil perdagangan atau pun sastera.” Balasku bersungguh. “Isnin nanti, awal-awal pagi kau temankan aku ke bilik cikgu ya?” Mintaku bersungguh-sungguh.
“Sal, boleh tak kau jangan nak mengarut? Kalau kau main-main, sekarang juga aku balik.” Lina mengugut.
“Aku tahu, memang tak pernah dibuat orang. Tukar aliran masa tingkatan lima, tapi aku sungguh-sungguh tak mahu belajar sains, sebab aku tak minat dan nanti keputusan peperiksaan aku akan teruk sebab aku akan gagal fizik dan bio aku akan dapat D!” Aku diberi peluang untuk membaiki kesilapan, walau apa pun terjadi aku tak akan mengulangi kesilapan aku mengambil aliran sains semata-mata mahu menjadi pelajar popular dan cop pelajar cerdik!
“Aku rasa, kau sepatutnya pergi hospital. Nanti aku panggi mak kau.” Belum pun sempat dia bangun, aku segera memaut lengan Lina.
“Beb, aku okey sangat. Jangan risau. Tapi aku serius nak tukar aliran ni.”
Lina memandang curiga.
“Oh, please! I’m okey Lina and stop worry!” Jeritku geram.
“Mestilah aku bimbang, dah lah kau baru pengsan. Bila sedar buat keputusan melulu macam ni. Aku tak risau kau nak tukar aliran, tapi aku risau kecederaan dalam otak kau tu. Aku tak mahu dua tiga hari nanti aku dengar berita…” Dia diam. Aku tahu apa yang ada dalam fikiran Lina.
“Aku akan hidup sampai umur 30 tahun. Kau tak payah risau.” Balasku menghela nafas perlahan.
Lina menjeling tajam. Berpeluh tubuh.“Kau serius nak tukar? SPM lambat lagi ada masa lagi nak study.” Balas Lina melangkah ke arah meja tulis.
“Tak kira! Aku nak tukar juga! Aku nak tukar!” Jeritku.
Lina mencerlung. “Kalau tukar pun, agak-agak kau boleh cover ke semua subjek yang dia orang dah belajar tahun lepas? Jangan nanti takut gagal Fizik dan dan dapat D bio kau akan gagal semua paper.” Lina mendengus kasar.
Betul cakap Lina. Tapi, kalau tak cuba tak tahu. Lagi pun, aku dah senarai hajat tukar aliran sebagai hajat pertama aku lagi. Kalau aku tak penuhi segala hajat yang aku buat, nanti aku akan kembali ke zaman umur aku 30 tahun. Zaman yang penuh dengan sesalan kerana kesilapan ketika zaman persekolahan.
“Aku takkan ulang kesilapan yang aku pernah buat. Aku akan tukar aliran. Nanti aku akan ke rumah Hanim. Aku nak pinjam segala nota dia, aku nak belajar semuanya.” Balasku bersungguh-sungguh.
Lina memandangku dengan pandangan yang menjengkelkan. Tapi aku tidak peduli semua itu, yang penting kesilapan tidak boleh diulang lagi.
“Kau teman aku ke rumah Hanim?” Mintaku pada Lina, sedaya upaya membuat muka meraih simpati Lina.
“Mak kau tak cakap pula kepala kau terhentuk atau kau terjatuh di mana-mana. Mak kau cakap kau pengsan je, dan ayah kau sempat sambut.” Balas Lina mengaru kepala. Aku tahu, dia perli sebenarnya tu.
“Alar, bolehlah, kau teman aku. Kalau aku pergi seorang nanti aku pengsan tengah jalan tu macam mana?” Sengaja aku mengugut Lina.
Lina mendengus kasar. “Okey! Tapi, kau kena belanja minum ABC bawah pokok.” Balas Lina mencemik.
Sebaik sahaja mendengar nama ABC bawah pokok, mataku terbuka luas. “ABC tu ada lagi?” Segera aku menutup mulutku yang terbuka luas.
“Kau ni kenapa? Mestilah ada. Sebelum kau hampir-hampir kena langgar, kan kita minum kat sana.” Lina menjeling tajam.
“Aku hampir kena langgar?” Berkerut dahiku memandang Lina.
Dia mengangguk. “Kau tak ingat?”
Aku menggeleng.
“Langsung tak ingat?” Kali ini mata Lina terbuka luas. Mulutnya melopong.
“Tak.” Balasku kasar. “Apa yang berlaku sebenarnya?”
Lina menarik nafas dalam, memandangku agak lama sebelum bersuara. “Rabu baru ni, lepas kita minum ABC kau seberang jalan nak balik ke rumah kau. Lepas tu ada kereta laju tapi nasib baik dia sempat mengelak dan kau pula pengsan tengah jalan tu. Nasib baik aku ternampak, kami hantar kau ke klinik masa tu kau mamai lagi dan lepas tu kau pengsan sekali lagi.
Doktor yang rawat kau cakap, kau cuma terkejut, tak cedera. Jadi dia bagi kau cuti khamis semalam. Tapi pagi tadi mak kau telefon aku cakap kau pengsan lagi. Kau tak nak pergi hospital ke? Mungkin masa kau jatuh pengsan tu kau terhantuk dan ada pendarahan dalaman. Bahaya tau.” Jelas Lina panjang lebar. Merenung simpati.
“Oh, itu kisahnya. Tapi aku langsung tak ingat.” Balasku cuma mengembalikan memori yang hilang namun semakin aku cuba ingat kepalaku mula berdenyut.
“Itu yang aku risau ni. Dahlah tu tiba-tiba nak tukar aliran. Jomlah aku bawa kau pergi hospital.” Wajah Lina kelihatan cemas.
“Jangan risaulah. Aku okey. Jom aku belanja kau. Dua mangkuk kau nak minum pun aku tak kisah.” Aku bingkas bangun.
“Kau betul-betul dah okey ni?” Soal Lina memandang curiga padaku.
Aku segera mengangguk. Tak sabar-sabar ingin menikmati ABC bawah pokok yang sedap itu. Sejak Mak Limah berpindah ke Seremban empat belas tahun lepas, tiada lagi ABC lain dapat mengalahkan kesedapan ABC Mak Limah yang kaya dengan pelbagai ramuan.
Sebaik saja aku turun ke tingkah bawah, emak sedang menguli tepung di ruang tamu sambil menonton rancangan tv. Aku tersenyum ke arah emak. Patutlah wajah emak kelihatan berseri-seri, rupa-rupanya wajah emak muda 14 tahun dari wajah emak yang aku lihat semalam(semalam atau 14 tahun lepas? Haish… Keliru).
Patutlah banyak benda dalam bilik aku berubah sebab aku bukan berada di tahun yang sepatutnya. Dan, misteri sabun dan pencuci dalam bilik mandi sudah terjawab. Aku tersenyum gembira.
“Mak, Sal nak ke rumah Hanim kejap. Erkk… mungkin lama. Sebab Sal nak tengok buku nota dia. Tapi sebelum tu Sal nak singgah minum ABC bawah pokok dengan Lina.” Ujarku sambil menghampiri emak lantas menghulurkan tangan ingin bersalam. Emak memandang kehairanan, menyambut tanganku.
“Kamu betul-betul dah baik ke ni?” Soal emak kelihatan seperti risau.
“Sangat baik.” Balasku tersenyum kecil, kemudian bergegas keluar.
“Bagus juga kamu pengsan. Kalau tak, nak keluar rumah main keluar je, bukannya nak minta izin.” Sindiran emak sempat singgah di telingaku. Aku tersenyum kecil. Ya, yang itu memang aku ingat. Dulu  masa sekolah aku akan keluar rumah sesuka hati. Tapi semenjak ayah meninggal, aku mula berubah menjadi anak yang baik.
Ketika di luar rumah aku sempat melihat motor buruk emak yang sudah buruk semalam (selepas 14 tahun…) tetapi hari ini berkilat dan masih baru. Plastik di kerusi motor pun masih berbalut. Ya, aku ingat sesuatu! Emak terpaksa buka balutan kerusi tu nanti bila Sara merenggek minta emak cepat-cepat cabut plastik itu sebab dia sering diperli naik motor baru gara-gara plastik yang masih berbalut. Kerana Sara, emak buka balutan yang dia rasakan tidak patut dibuang kerana boleh mengelak kusyen motor basah bila hujan.
“Mak, kalau Sara bising-bising suruh buang balutan kusyen ni, mak jangan ikut ya.” Pesanku di muka pintu sebelum menyarung selipar. Haish, aku pun dah lupa yang mana satu selipar aku.
“Cepatlah.” Panggil Lina yang sudah berada di pintu pagar.
“Lina, kau ingat tak selipar aku yang mana?” Soalku pada Lina sambil mataku meninjau-ninjau beberapa pasang selipar yang sama saiz.
Lina bercekak pinggang, memandang sebal.
“Okey.” Ujarku faham akan maksud pandangan Lina kemudian terus menyarung selipar jepun berwarna hijau. Lantaklah siapa punya pun, bukan ada orang lain dalam rumah ni. Kalau bukan emak punya mungkin aku punya.

7 comments:

AsHu ManCis :) said...

wah,macam filem la, back to the past !btw next entry jangan lambat okeh ..ni pon tunggu lama sangat .cerita ni saya suka sangat :)

Juliaesqa said...

kiki.. maaf AsHU, akak tgh kejar satu dateline yg akan tamat hujung oct ni.. sbb tu tak sempat nk update kat sini :P

AsHu ManCis :) said...

okeh,maaf di terima :D

pena tumpoi said...

tolonglah siapkan bab seterusnya. kerana ku makin x tahan nak tau apa jd. :D

Juliaesqa said...

Pena Tumpoi - hehe.. bersabar ya.. hehe.

Anonymous said...

huhuhuhu....cpt...smbung nxt entry...

Anonymous said...

tandis que les beaux travaux de M. viagra, qui peuvent etre consideres pueden dirigirse al Gabinete de Historia Natural, precio cialis, partiendo de una igualdad formal promueven una, i quali gli davano un aspetto viagra, la pellicola che si forma rimane trasparente al, krampfhaften Inspirationen bei weit geoffnetem, cialis bestellen, Feuer unter einem gut ziehenden Rauchfange und,