Intan payung kami...

Monday 18 March 2013

Bab 10 : Aku dan Dia, Pinky Promise.


Lima minit lagi waktu rehat akan tamat. Aku bergegas ke kelas tak sabar nak mulakan sesi pembelajaran baru. Namun ketika kaki aku melangkah masuk ke dalam kelas terlihat dia berteleku di mejanya. Tidak semerna-merna kaki aku terasa berat hendak melangkah. Kebetulan pula tak ada orang lain dalam kelas. Daripada aku berdua-duaan dalam kelas dengan dia baik aku lepak dekat luar.

Tapi belum pun sempat aku melangkah keluar, dia mengangkat kepala. Pandangan kami bertemu. Dia terus merenung aku. Supaya tak nampak sangat aku ni penakut, jadi aku gagahkan juga kaki aku menapak ke meja. Aku terus mengeluarkan buku. Untuk seketika keadaan terasa sangat janggal.

“Aku tak percaya kau tukar aliran sebab kau tak minat sains. Mesti ada sebab lain ni?” Suara dia memecah sunyi.

Aku terus membelek buku (misi nombor tiga, menjadi ulat buku). Malas hendak melayan soalan yang susah untuk aku jelaskan. Aku mengeluarkan cermin mata besar yang pada satu masa dulu aku malu hendak pakai.

Oh, ya, aku terlupa satu perkara. Sejak aku kembali ke tahun 1998, power rabun aku pun berkurang. Tidak seperti pada tahun depan, rabun mata aku agak teruk dan aku pun dah ada buat simpanan untuk buat pembedahan mata.

Tiba-tiba terasa kerusi bergegar. Aku mendengus kasar. “Kau tak ada kerja lain ke?” Aku menoleh seketika ke belakang.

“Aku tengah buat kerja akulah ni. Temuramah kau.” Balas dia serius. “Aku nak tahu juga kenapa kau tiba-tiba nak tukar aliran. Ada orang cabar kau ke?” Wajah dia kelihatan seperti sangat ambil berat.

“Cabar apa pula?” Tanya aku pelik.

“Yalah, mana tahu ada sesiapa cabar kau suruh tukar kelas.” Balas dia acuh tak acuh melarikan pandangan mata dari merenung wajah aku.

“Tak ada sesiapa cabar pun.”

  “Atau… cikgu yang suruh kau tukar sebab kepala kau bengap sama macam kita orang?” Dia tersenyum sinis.

“Wah, kau mengaku kau bengap rupanya?” Aku pulang balik buah keras yang dia cuba lempar dekat aku.

Dia berdesit perlahan, membetulkan kedudukannya. Mendekatkan wajah ke depan.  “Kau tak risau ke duduk kelas belakang ni? Kau tak malu? Nanti apa pula kata teman lelaki kau tu? Silap hari bulan dia tinggalkan kau.” Suara dia berbisik.

“Dijamin, dia tak akan tinggalkan aku.” Balas aku mendengus kasar.

Sejurus itu terdengar dia ketawa sinis mungkin tidak percaya dengan kata aku.

“Sebab, aku akan tinggalkan dia esok.” Tambah aku lagi, serentak itu wajah sinis Azri berubah mendadak. Mungkin terkejut atau pun mungkin tak percaya.

Ah! Lantak lah! Buat apa aku nak ambil tahu semua tu. Aku kembali menatap buku nota di atas meja.

“Aku cabar kau.” Akhirnya dia bersuara selepas terdiam beberapa minit. Aku mengukir senyum sinis, terus menatap nota.

“Tak payah cabar, memang aku akan buat pun.” Balas aku acuh tak acuh. Sejurus itu loceng berbunyi menandakan waktu rehat dah tamat. Kelas kembali riuh seperti biasa.

***
Sedang aku asyik mendengar cikgu mengajar di depan, tiba-tiba terasa kerusi aku disepak dari belakang. Aku menoleh, wajah Azri kelihatan kusyuk mendengar apa yang sedang diajar.

Aku kembali menoleh ke depan, namun selang beberapa minit sekali lagi kerusi aku disepak. Aku menoleh sekali lagi. Dan sekali lagi aku melihat dia tetap seperti tadi, sibuk menyalin nota tanpa menoleh ke arah aku. Aku yakin dia yang buat. Tak ada orang lain lagi yang ada di belakang aku kecuali dia. Meja di sebelah dia pun kosong.

Aku kembali memandang ke depan tapi tak sampai beberapa saat sekali lagi terasa kerusi aku disepak. Aku bingkas bangun.

“Cikgu!” Jerit aku sehingga satu kelas menoleh ke arah aku. Cikgu Amina terpinga memandang aku.

“Kenapa Sal?” Wajah dia berkerut-kerut.

“Azri sepak kerusi saya.” Balas aku menjeling seketika pada Azri yang pura-pura asyik menulis sesuatu pada buku notanya.

Cikgu Amina mencerlung ke arah Azri.

“Mana ada.” Balas Azri serius.

“Tipu!” Aku menjeling tajam.

“Bukti?” Soal Azri dengan wajah mengejek.

Aku mencemik. Kurang asam! Aku kembali memandang cikgu Amina memohon sokongan dari cikgu Amina agar memarahi Azri namun sebaliknya, dia seperti menyebelahi Azri. Aku kembali duduk.

“Dia memang macam tu. Suka ganggu orang sedang belajar. Buat tak tahu je.” Bisik Hajar.

Baru saja terlepas kata-kata itu dari mulut Hajar, sekali lagi kerusi aku ditendang. Budak ni memang nak kena! Aku bingkas bangun.

“Kenapa Sal?” Tanya cikgu Amina yang kebetulan sedang menoleh ke arah pelajar.

“Silau, saya tak nampak. Boleh saya tukar tempat duduk belakang?” Aku berdalih.

Meja sebelah dia memang kosong. Menurut Hajar, dulu Suffian duduk di sebelah dia. Tapi disebabkan gabungan gabungan dia orang berdua menambahkan lagi huru-hara kelas tu, jadi cikgu kelas telah pisahkan dia orang berdua.

Cikgu Amina mengangguk membenarkan aku berpindah ke belakang. Aku tersengih, menoleh ke arah Azri di belakang. Aku segera berpindah ke tempat kosong di sebelah Azri. Cikgu Amina kembali menulis di papan hitam.

“Haish, aku tak suka ada orang sebelah aku.” Rungut Azri, enggan mengalihkan beg di kerusi sebelahnya.

“Aku tak suka orang ganggu aku masa belajar.” Balas aku lantas meletakkan beg dia di lantai.

“Eh, beg aku tu kau letak elok-elok boleh tak, mahal tu.” Marah Azri berbisik.

“Peduli apa aku.” Balas aku mengejek. Aku terus menyalin nota yang diberi. Namun baru beberapa saat aku tenang tiba-tiba dia menyiku lengan aku.

“Apa!” Marah aku berbisik, menjeling geram.

“Tu…” Azri memuncungkan bibirnya ke luar kelas. Aku menoleh. Terlihat Asnan dan teman baiknya berjalan perlahan melintasi kelas kami sambil mencuri pandang ke arah aku.

“Buat sport check.” Azri tersenyum sinis sambil menyalin nota cikgu Amina. Aku buat tak endah, malas nak layan.

Tidak sampai beberapa minit tiba-tiba Hajar menghulurkan kertas kepada aku, namun tak sempat aku ambil Azri segera menyambar. Aku cuba merampas namun tenaganya lebih kuat dari aku. Dia segera membuka kertas yang berlipat dua itu.

“Awak, kenapa tak datang jumpa saya waktu rehat tadi? Kenapa tiba-tiba tukar kelas?” Azri membaca isi kandungan nota tersebut dengan nada mengejek. Kemudian memandang sinis pada aku. “Nah. Geli aku.” Dia melemparkan nota tersebut, kembali memandang ke papan hitam.

Asnan ni pun satu! Tak sabar-sabar, kenapa nak hantar nota bagai! Macamlah balik sekolah nanti tak boleh jumpa!

Haish!


BERSAMBUNG...

3 comments:

MizaEija said...

Azri ni ade hati ngan Sal ke? semacam jek

pena tumpoi said...

Cik Red, kalo up sampai bab 20 pun best jugak.*melampau punya permintaan* hahahaha

Cik Red said...

kikiki... cik penulis dah bagi green light, cuma dia tak serahkan lagi, katanya minggu depan.