Intan payung kami...

Friday, 16 March 2012

Bab 1: Cuit-cuit Cinta

I secretly love you, I miss you, I long for you, I think about you all the time - Unknown
Tahun baru. Semester baru. Pelajaran baru. Jadual baru. Baju baru. Azam baru. Semuanya serba baru. Cuma satu saja yang masih tidak baru pada diri aku. Muka aku masih juga muka yang lama. Kulit aku yang mummy selalu sebut ‘kusam’ dan tidak bermaya makin kusam dan tidak bermaya aku lihat. Cermin mata bingkai tebal yang dah menjadi ‘sahabat’ sejati aku sejak aku berumur 14 tahun itu masih lagi yang lama. Pendakap gigi yang aku pakai sejak berusia 13 tahun ini juga walaupun setiap tahun ditukar baru tapi masih boleh dikategorikan sebagai ‘benda’ lama dalam hidup aku.
Oh, kalau ada pun yang baru mungkin jerawat sebiji yang tiba-tiba berminat hendak menjadi hiasan pipi chubby aku ini. Aku pandang imej jerawat yang terpantul dalam cermin kecil di tangan. Dalam banyak-banyak hari, hari pertama sesi persekolahan ini jugalah kau menggatal nak keluar. Cuti sekolah dua bulan lepas tak mahu pula ia keluar. Kalau ikutkan hati hendak saja aku picit-picit tapi mengenangkan pesanan mummy, aku biarkan sahaja. Kata mummy, kuku kita bisa, jadi jangan picit jerawat tu atau nanti muka akan berbekas. Aku ni walaupun taklah cantik mana, tapi kulit muka yang nampak kusam ni masih bebas dari cela bekas jerawat. Sesuatu yang amat aku banggakan!
“Aku akan pastikan, tahun ini aku akan beritahu Naqib, aku suka dia!”
Aku berpusing memandang ke arah gadis comel yang menyuarakan perkara yang hampir setiap tahun aku dengar.
“Kenapa? Kau tak percaya? Aku akan pastikan Lea, tahun ni Naqib akan tahu isi hati aku ni!” Ujar gadis itu lagi.
“Aku percaya, Jaja.” jawabku bersahaja. Jawapan yang diberi sekadar untuk memuaskan hati gadis comel yang juga sahabat baik yang aku panggil Jaja tapi kalau ikut nama dalam kad pengenalannya, Nurul Azzah. Jaja, sudah jatuh hati sejak kali pertama dia terpandang Naqib, senior di sekolah kami, ketika kami melangkah masuk ke SMIH ini lima tahun lalu. Sejak daripada itu, setiap tahun dia akan menanam azam mahu memberitahu Naqib isi hatinya. Tapi sampailah kami berada di Tingkatan 5 ni, jangan katakan beritahu, bertegur dengan Naqib pun belum pernah lagi.
“Aku pula, akan pastikan tahun ini, Mr All Black akan tahu isi hati aku yang sebenarnya.”
Aku toleh pula ke sebelah kiri aku. Nani, seorang lagi sahabat baik aku dan Jaja sedang memejamkan mata sambil tersenyum seorang diri. Aku faham sangat, dalam kepala dia pasti sedang membayangkan wajah Johan a.k.a Mr All Black seorang lagi senior kami di sekolah. Serupa dengan kes Jaja, Nani juga sudah terpaut hati dengan Johan sejak di Tingkatan Satu lagi. Seperti Jaja, setiap tahun dia juga memasang azam mahu memberitahu Johan yang dia menyukai jejaka yang gemarkan pasukan ragbi New Zealand All Black itu. Dan sama seperti Jaja, azam itu tidak pernah tertunai. Cuma Nani sedikit bernasib baik berbanding Jaja kerana dia berpeluang bercakap dengan Johan memandangkan Nani dan Johan adalah ahli persatuan Tae Kwan Do sekolah.
“Apa kata tahun ni kita buat perjanjian sumpah setia ni. Kita kena pastikan kita beritahu mereka yang kita sukakan mereka walau apa pun yang terjadi? Ok?” Cadang Jaja.
“Aku on aje. Tapi kita kena ada insentif baru kita ada semangat nak buat!” Kata Nani pula.
“Hmmm...macam ni, siapa yang tak berjaya, kena belanja snow ice di kedai Aunty Maryam. Macam mana?” Jaja buat usul.
“Ok, set!” Nani terus setuju. Mereka berdua bangun lalu bersalaman berdua sebelum kedua-duanya menjerit ‘yes’! Kelakuan luar alam mereka menjadi perhatian beberapa mata yang sedang duduk berehat di Taman Riadah, sebuah taman kecil di belakang Blok A yang dibuat khas untuk pelajar-pelajar SMIH berehat. Aku terus tarik tangan kedua-duanya supaya duduk. “Buat malu je,” gumam aku. Dengan senyuman tersipu-sipu, mereka kembali duduk di antara aku lalu terus bercerita tentang perjanjian sumpah setia masing-masing.
Aku cuma geleng kepala. Malas hendak masuk campur. Ada ke patut tahun penting macam ini mereka masih berfikir pasal secret crush mereka? Kawan-kawan aku ini lupakah yang tahun ini kami bakal menduduki peperiksaan penting. Peperiksaan yang bakal menentukan masa depan kami. Patutnya masa macam ini, fikirlah tentang macam mana nak skor dalam SPM nanti. Sudahlah masing-masing keputusannya sekadar memuaskan sahaja. Tidak teringin ke hendak dapat keputusan cemerlang macam orang lain? Haishhh...kawan-kawan aku ini. Kena sedarkan mereka ni sebelum terlewat!
“Beb, engkau orang tak risau ke kita nak SPM tahun ni? Masih ada masa nak fikir pasal lelaki lagi?”
Aku pandang wajah Jaja dan Nani silih berganti. Aku pandang dengan muka serius. Mereka pandang aku dengan muka pelik. Macam aku ini makhluk asing saja lagaknya. Kemudian mereka kembali bersembang. Soalan yang aku tanyakan tadi terbiar tanpa jawapan. Aku mengeluh perlahan. Aku terlupa yang mereka ni spesis makhluk yang kalau hati dah set untuk buat sesuatu, datanglah ribut mahupun gempa bumi, mereka akan tetap buat. Jadi lupakan sahaja niat anda untuk menasihtakan mereka.
Aku biarkan mereka terus bersembang walaupun aku sedikit tidak selesa memandangkan aku berada di tengah-tengah mereka. Ini tak boleh jadi. Aku kena beralih tempat. Telinga aku dah tak tahan mendengar mereka asyik memuji Naqib dan Johan. Macamlah mereka berdua tu sahaja lelaki yang ada di sekolah ini.  Macamlah mereka sahaja yang hebat walaupun hakikat sebenarnya memang Naqib dan Johan tergolong di dalam kalangan  pelajar lelaki popular di sekolah. Kacak, bergaya, bijak dan yang paling penting masing-masing masih solo.
Baru sahaja aku mahu beralih tempat tiba-tiba mata aku cepat menangkap kelibat sekumpulan pelajar lelaki yang sedang berjalan menghampiri meja kosong berhampiran kami. Jantung aku mula bertukar rentak. Wajah tiba-tiba terasa panas. Bila kumpulan pelajar itu sudah duduk di kerusi yang disediakan, aku mula tidak tentu arah. Aku cuba alihkan mata dari memandang salah seorang dari mereka tapi macam biasa mata aku ni bukan jenis mendengar kata. Ia terus merenung dan merenung pelajar lelaki berambut sedikit coklat dan berlesung pipit di hadapannya. Mungkin menyedari dirinya menjadi perhatian, pelajar lelaki yang diberi gelaran Jejaka Terhangat di Pasaran itu kelihatan seperti mencari-cari sesuatu.
Jangan pandang, Lea. Jangan pandang! Alihkan pandangan kau sebelum tertangkap! Tapi mata aku yang bercermin tebal ni memang suka memalukan tuannya. Aku ‘tertangkap’ saat mata bening milik Jejaka Terhangat itu memandang ke arah aku. Dia tersenyum manis. Aduh, jantung aku makin menggila dengupannya. Aku terus tunduk. Kalau aku terus pandang, rasanya boleh pengsan dibuatnya. Tak pasal-pasal, Jaja dan Nani kena pikul aku ke Bilik Rawatan pula.
Aku tarik buku yang ada di atas meja. Entah buku apa, aku pun dah tak sedar sebab apa yang aku nampak pada muka surat yang aku buka hanya wajah si dia yang sedang tersenyum. Abjad-abjad yang tertera hanya sepotong nama dia yang sudah terpahat dalam hati sejak kali pertama aku terpandangkan dirinya di minggu Orientasi sewaktu di Tingkatan Satu dulu. Adam Naufal, senior aku yang kini berada di Tingkatan 6 atas. Adam Naufal, anak kepada Doktor Muzafar, satu-satunya doktor veterinar di bandar kecil ini. Adam Naufal, pelajar pintar yang juga merupakan pemain ragbi untuk pasukan ragbi sekolah. Adam Naufal, teman baik kepada Naqib dan Johan. Adam Naufal, yang sudah mencuri satu ruang di hati kecil aku ini sejak sekian lamanya.
“Aku tahulah kau bersemangat nak belajar, Lea. Tapi janganlah sampai nak baca buku tu upside down pulak!” Suara kuat Jaja mengejutkan aku. Aku angkat kepala dan pandang muka dia yang tengah tersengih-sengih memandang ke arahku. Di sebelah kiri aku, Nani dah mula ketawa kecil. Mata Jaja memandang buku yang aku pegang. Aku pun pandang buku yang sedikit tebal itu. Erk, terbalik rupanya buku Sejarah ni! Muka aku mula terasa panas. Cepat-cepat aku betulkan kedudukan buku itu. Sempat juga aku mencuri pandang ke arah Adam yang sedang ketawa bersama kawan-kawannya. Entah-entah mereka sedang ketawakan aku tak? Aduh, malunya!
Aku terus tunduk pandang meja. Rasa macam dahi aku ni dah mencium permukaan meja aja. Di kiri kanan aku, Jaja dan Nani sedang buat sesi puji memuji dari jauh. Siapa lagi yang dipujinya kalau bukan Naqib dan Johan yang turut ada di meja itu.
“Handsomenya, Naqib.”
“Macho gila, Mr All Black aku.”
“Senyuman dia buat aku tak tentu arah ni.”
“Mata Mr All Black tu boleh buat aku mimpi malam ni.”
“Oh, Abang Naqib, I love you so much!”
“Mr All Black, sarang-hae yo!”
Bukan main lembut lagi suara mereka memuji pujaan hati masing-masing sampai aku sendiri rasa seram sejuk. Mahu tidaknya, selama ni kalau bercakap, suara dua orang anak dara ni mengalahkan halilintar. Kuat betul! Tapi kalau bercakap pasal buah hati tak berapa nak menjadi tu, amboi, boleh cair tahi telinga dibuatnya.
“Alamak, pengacau dah sampai!” Tiba-tiba suara lembut Jaja bertukar tonasi.
“Cis, kalau sehari tak menempel dekat mereka tu, aku rasa tak sah hidup dia orang!” Tambah Nani pula dengan intonasi tidak puas hati.
Perlahan aku angkat kepala yang tunduk sejak tadi. Leher aku pun dah naik lenguh asyik menunduk aje. Kami bertiga pandang ke hadapan sambil mengeluh. Kalau tadi hanya ada Adam, Naqib, Johan dan beberapa orang lagi teman-teman mereka. Kini kumpulan itu sudah bertambah dengan kehadiran empat orang gadis. Dan kehadiran gadis-gadis itu nampaknya begitu disenangi mereka semua.
Kalau dah cantik rupawan macam itu, siapa yang tidak suka? Kalau nak dibandingkan dengan kami bertiga memang jauh panggang dari api. Mereka itu cantik, pelajar pandai, ahli pancaragam dan kumpulan sorak pula tu. Badan masing-masing memang stok model. Kami ini? Seorang kalau dalam bahasa sopannya, masuk kategori orang berbadan comel atau lebih dikenali dengan nama ‘terlebih berat’. Seorang lagi, kurus keding dan tinggi menggalah. Kalau ikutkan, ketinggian si Nani memang ikut piawaian seorang model tapi sayangnya rupa paras Nani tidak mengizinkan dia masuk kategori stok model itu. Macam mana nak masuk kalau dia sudah diberi gelaran Olive, bini Popeye The Sailorman tu? Aku pula? Memang kategori perempuan biasa-biasa sahaja. Kulit sawo matang macam perempuan Melayu lain. Ketinggian pun sederhana. Rupa paras apatah lagi. Tak lawa tu satu hal, tambah pula dengan cermin mata bingkai tebal yang mummy rasa sangat ‘cool’ itu dan gigi dipasang pendakap. Memang muka aku ni kalau orang jumpa tepi jalan takkan dipandang dua kali. Kena pandang sekali pun dah kira beruntung!
Gelak ketawa gembira kumpulan manusia di hadapan aku ini membuatkan hati aku bungkam. Dan aku pecaya, Jaja dan Nani juga begitu. Kami mengeluh serentak. Dalam kepala sudah terbayang ice snow di kedai Aunty Maryam. Rasanya perasaan ini akan terus berada di dalam hati kami hingga akhir hayat. Tragis sungguh!  (ಠ_ರೃ) (ಠ_ರೃ)

5 comments:

Anonymous said...

senyum sampai ke telinga ^__________________^
-dyh usen-

Nash Azly said...

kalau lelaki baca cerita ni ok tak?

ps : insentif bukan intensif ;)

Red Scarf Novel said...

Dyh - terima kasih

Nash - noted. thank u..

Aishah Salehudin said...

Ahehehe terasa macam baca manga la pulak. best!
P/s: follow la blog saya. teringin gak nak kawan blog ramai.
http://aisyahumaira9121.blogspot.com/

Anonymous said...

Giler kelakar la wei budak2 3 org nih.....