Intan payung kami...

Wednesday 27 March 2013

Bab 8 : Mencari Mr. Charming


Bab 8

Sebaik melangkah masuk ke dalam kondo mewah itu, hati aku berasa seperti mee segera kembang semangkuk. Mana taknya, selama ini kondo begini hanya mampu aku lihat dalam kaca tv saja, tapi hari ini aku dapat merasainya. Wah, memang nikmat! Sejuk dan nyaman.
Di sebelah kanan terdapat lorong ke bilik tidur. Di antara lorong ke bilik dan ke ruang tamu, terdapat satu tangga menuju ke ruang atas. Mungkin menuju master bedroom atau pun, ruang rehat peribadi?
Terdapat mini bar yang hanya dipenuhi dengan gelas dan cawan terletak berhampiran tangga. Di sebelah kiri pula terdapat pintu gerbang ke ruang dapur yang bersambung dengan ruang makan.
Ruang tamunya, berkonsep gaya moden kontemporari disuntik dengan elemen-elemen klasik. Tona ruang tamu warna tanah dengan warna coklat sebagai asas. Laminate floor berwarna maple sepadan dengan warna dinding. Dengan latar berwarna lembut, perabot tona gelap sebagai highlight untuk ruang tamu seluas 500 kaki persegi.
Aku kena teliti betul-betul keadaan rumah ni. Mana tahu nanti nak buat latar novel senang aku nak gambarkan dengan kata-kata.
Sliding door dihiasi dengan langsir tona latar sama dengan dinding dengan highlight berbelang menambahkan lagi gaya elegan moden. Sofa lima seater ditambah dengan sebuah recliner di hujung sudut dan dua buah ottoman memenuhi ruang tamu itu. Tv LCD dilekat kemas di dinding. Beberapa rak kayu dipenuhi dengan buku-buku dan pelbagai aksesori menambah seri ruang tamu.
Kondo mewah ini mempunyai empat bilik, cuma sekarang ni aku tak pasti yang mana satu bilik aku. Nanti tersalah parking, naya. Lupa pula aku nak tanya Shida. Kalau aku telefon dia tanya yang mana satu bilik aku, agak-agak dia marah tak? Emm… baik tak payah tanya. Baik aku terjah dulu.
Satu bilik perabotnya semua berwarna pink. Terdapat baju bersepah di lantai. Ini sah-sah bilik Tania. Kaki ku menapak ke satu bilik lagi. Sederhana kecil. Lebih kurang luas bilik aku di rumah Ayun. Dinding berwarna putih. Ada sebiji katil bujang dan satu almari dua pintu. Ini kot?
Aku menapak lagi ke satu bilik bersebelahan bilik kecil. Membuka suiz di dinding, sebaik lampu bernyala mulut aku melopong. Hatiku seakan berhenti berdegup. Bilik ini kelihatan bersinar dengan gaya eksotik yang romantik dan menawan.
Biliknya luas, mungkin lebih luas dari ruang tamu. Di ruang tengah terdapat sebuah katil kayu jati bersaiz king bertiang empat dengan sebuah platform sebagai island dihasilkan dengan laminated flooring berwarna maple, menghasilkan ilusi katil itu kelihatan itu seperti terapung.
Tona hijau segar dipilih sebagai latar ruang bilik besar itu. Langsir yang menghiasi tingkap ‘day and night curtain’ terdiri dari tona hijau tua. Material baldu yang cukup eksotik dalam gaya english, diikat di tengah.
Mungkin ini bilik Mr. Sam. Pandai dia hias bilik ni. Aku kembali ke ruang tamu mengambil barang-barang dan dimasukkan ke bilik kecil tadi. Aku layak tinggal dalam bilik ni aje. Tapi aku dah bersyukur. Bukan senang nak dapat rezeki macam aku dapat sekarang ni. Untung-untung nanti, makin kencang aku berkarya sebab dapat tinggal dalam rumah serba mewah ni, heee…

***
Selesai memunggah barang-barang, susun segala kain baju. Aku keluar bilik. Jam menunjukkan pukul satu tengah hari. Kalau mengikut jadual yang diberi Shida sepatutnya Tania dah balik ni. Tak apa, sementara tunggu dia balik elok juga aku masak apa yang patut. Perut aku pun dah lapar.
Sebenarnya, aku risau dan takut hendak berkenalan dengan budak Tania ni. Harap-harap dia budak baik. Skema, bercermin mata besar, kelek buku tebal ke sana-sini. Kalau dia jenis macam tu senang hidup aku. Tentu dia akan sibuk dengan buku-buku dia dan kurang bercakap.
Sebaik sahaja aku buka pintu peti sejuk yang besar hampir dua kali ganda dari peti ais di rumah Ayun, aku terkejut besar. Mana taknya, punyalah besar peti ais tapi isinya, berganda lebih banyak isi dalam peti ais di rumah Ayun. Aduh! Macam mana ni, perut dah lapar sangat ni. Eh, kejap, rasanya aku ada bawa mee segera tadi. Lantas aku berlari ke bilik.
Alhamdullilah, ada juga tiga bungkus. Entah macam mana hati aku tergerak nak masukkan dalam beg tadi. Syukur!
Sedang aku asyik mengacau mee yang semakin mengembang, tiba-tiba terdengar pintu rumah dibuka.
Helooo… Im home!” Terdengar suara ceria dari muka pintu. Segera aku menutup dapur gas. Bergegas ke ruang tamu. Kaki aku berhenti melangkah sebaik sahaja terlihat seorang gadis comel bertoncang kuda tersengih memandang aku.
Oh may god! Kakak baby-sit Nia?” Bulat mata dia memandang aku. Mulut dia sedikit terbuka. Terkejut barangkali. Dia mencampak sekolah ke lantai.
Aku tak pasti pertanyaan itu berbaur gembira atau dukacita. Tapi, kalau dilihat raut wajah dia, macam dia gembira. Atau lebih tepat lagi… teruja. Tapi, apa kes dia nak teruja pulak? Aku bukannya artis terkenal pun sampai dia gembira sangat?
Aku mengangguk dengan perasaan berbelah bahagi, sama ada nak senyum atau pun nak serius?
Tapi, sebaik sahaja dia lihat aku mengangguk dia terlompat-lompat siap bertepuk tangan lagi! (tentu kau orang boleh bayangkan macam mana budak sekolah umur 15 tahun teruja, kan?)
“Eee… seronoknya! Thank you papa!” Lantas dia meluru ke arah aku dan memeluk erat tubuh aku yang tinggi hampir sepuluh inci dari dia. Erk… tiba-tiba lidah aku kelu. Pelik. Kenapa dia gembira sangat? Aku terpinga-pinga. Aku tak boleh gembira selagi aku tak tahu kenapa dia gembira.
Tiba-tiba hidung dia kelihatan bergerak-gerak. “Bau apa ni kak?” Dia melepaskan pelukannya.
“Oh, akak masak mee segera. Akak cari…” belum aku habis bercakap dia meluru ke dapur.
“Wah, best! Akak memang terbaik lah!” Jeritannya terdengar sehingga ke ruang tamu.
Aku segera melangkah ke dapur. Terlihat dia sedang menghidu haruman mee segera dari periuk yang masih berasap. Aku memandang hairan. Dahi aku ni dah berlapis-lapis berkedut. Masak mee segera dia cakap terbaik? Ini yang buat aku curiga ni. Dia sindir aku ke? haish…
“Kak cepat lah, Nia lapar ni.” Dengan terujanya dia menarik kerusi di meja makan. Aku sempat melempar pandangan hairan kepadanya kemudian melangkah ke kabinet dapur.
“Eh, lupa. Siapa nama akak?” Dia bertanya, tersenyum meleret. Sambil tangannya mengenggam erat sudu dan juga garfu.
“Panggil Kak Ara je.” Aku meletakkan dua sanduk mee segera ke dalam mangkuknya.
“Nama penuh?” Dia merenung aku. “Eh, kenapa muka akak ni macam familiar je.” Dahinya berkerut. Aku tersenyum kecil.
“Lara Alisya.” Balas aku lantas mengambil tempat berhadapan dengan dia.
“Sedap nama akak.” Alahai memuji lah pula. Haish, aku pelik sungguh dengan budak Tania ni. Kenapa dia seronok sangat ni?
“Oh, sedapnya mee segera ni!” Dia terjerit kecil. Aku melopong.
“Perli akak ke?” Kening aku sudah terangkat. Ini tak boleh jadi, aku kena selidik. Kalau dah mee segera pun dia boleh puji sedap, ni yang buat aku tak sedap hati ni. Nak perli lah tu!
Dia berhenti mengunyah. “Betul sedap, dah lama Tania tak makan mee segera. Dah bertahun.” Dia kembali menyambung menikmati mee segera yang ‘sedap’ itu.
“Papa tak bagi Nia makan segala jenis mee segera. Katanya tak elok untuk kesihatan. Dia tak mahu Nia sakit.” Ujar dia sambil mulut masih penuh dengan sisa makanan. “Kadang-kadang kalau Nia tengok cerita korea, memang Nia terliur sangat nak makan. Tapi papa marah.” Tambah dia lagi dengan mencemik.
Aku menarik nafas lega. Ingatkan dia perli aku tadi.
“Kak tahu tak?”
“Tak.” Balas aku acuh tak acuh.
“Nia gembira sangat sebab papa pilih akak.” Dia tersenyum meleret.
Aku menelan mee segera yang masih belum hancur. Mujur tak terlekat di kerongkong.
“Kenapa?” Aku segera mencapai air masak di sebelah.
Dia tersengih. “Tapi… Nia pelik. Kenapa sebelum ni tak pernah nampak borang pemohonan akak?” Dia memandang kehairanan.
Aku berdeham perlahan, hampir tersedak. “Terlepas pandang kot?”
“Agaknya. Emm… tak kisahlah. Akak datang temuduga dua hari lepas, kan?”
Aku mengangguk.
“Setahu Nia, hari tu ada satu temu duga je, itu pun Nia marah papa sebab setuju nak temu duga calon tu. Tak tahu pula akak pun datang.”
Ini mesti calon yang mengamuk tu. “Kenapa marah?” Nak juga aku tahu alasannya.
“Yalah, papa ni kalau nak ambil baby-sitter mesti nak ambil yang dah berumur, tua, garang, tak mesra alam. Nia tak suka lah!” Dia mencemik terus menghirup kuah mee segera dengan berselera.
Terdetik rasa bersalah dalam hati aku, hari pertama aku dah merosakkan anak orang. (Erkk… maksud aku, merosakkan cara pemakanan anak orang.)
“Kenapa tak suka pula?”
“Kak, calon-calon tu semuanya tak fun! Bila nak ajak jalan-jalan dia tak mahu. Ajak tengok wayang pun tak suka. Apatah lagi kalau Nia nak ajak pergi birthday party kawan-kawan, mesti dia tak boleh dibawa masuk geng.” Muncung bibir dia hampir boleh diikat.
Kening aku terangkat sebelah. Memanglah dia tak mahu, dah kau tu budak 15 tahun. Kalau aku pun susah nak geng.
“Tapi akak mesti tak macam tu, kan? Sekali pandang Nia dah tahu akak fun orangnya.” Dia tersenyum meleret.
Aku menelan air liur. Sesak nafas dibuatnya. Aku ni fun? Aku pun tak tahu aku ni fun ke tak. Tapi… kalau aku pandang ke belakang, memang aku yakin aku bukannya seorang yang ‘fun’!
“Nia, barang dapur kosong. Sebelum ni orang dalam rumah ni makan apa?” Soalan dia aku abaikan.
“Makan luar. Kalau papa balik lambat, Kak Shida datang bawakan makanan. Atau pun, sebelum balik rumah Nia dah makan kat luar. Dinner pula, selalunya papa beli on the way balik.” Jelas dia bersahaja.
Aku menggeleng kepala. Kalau macam tu buat apa sediakan semua kelengkapan dapur ni? Baik tak payah buat dapur terus.
“Kak… mulai hari ini, kita sister and sister.” Dia menghulurkan jari kelingkingnya.
Kalau sister-sister, maksudnya, Mr Sam is my father? Alahai, ruginya. Nak tak nak aku merelakan jari kelingking aku bertaut dengan jari dia. Tapi dalam hati aku… he’s my prince charming!
Nampaknya teori Ayun, berbaik dengan anak untuk dapatkan bapak sangat tidak menjadi! Aku menghela nafas kecewa.
***

Indah Lara
1 hours ago
Seronok ke ada adik perempuan?
Like. Comment. Promote.
Ikan Masin Tawar – ahaa… kantoi, mesti Indah tak ada adik perempuan ni!
Yasara Adi – Best lah kak! Sebab boleh buli minta dia ambilkan air! :P
Dya Hanna – Entah. Kawan saya tak pernah ngam dengan adik perempuan dia sebab selalu curi pakai baju kawan saya tu… haha (mujur adik perempuan saya kecik lagi).
Kak Cik – bergantung. Kalau dia baik seronoklah, kalau dia manja dan mengada-ngada memang sakit hati!
Luna – Angkatlah saya jadi adik akak, baru akak tahu betapa seronoknya ada adik seperti saya! Hahaha… (best sebab boleh baca novel percuma nanti!)
Lara Indah – Ikan Masin Tawar, betul ke kantoi? Hehe… Yasara Adi, kalau umur dia tak sampai setahun macam mana nak buli! Huhuhu… Dya Hanna,  hahaha… kita pun pernah curi baju kakak! Kak Cik, kena selidik lagi ni. Luna, berapa kg berat? Kalau ringan boleh je angkat! :P


BERSAMBUNGGGG...

No comments: