Intan payung kami...

Tuesday 11 June 2013

Bab 8, 9 & 10 : Terukir Cinta di Bintang





Bab 8

~ Khalif Aufa~


Misi berjaya. Nasib baik dia terasa nak patah balik. Kalau tak, tak fasal-fasal esok muka dia masuk berita. Nasib baik juga budak samseng berdua tu penakut, kalau mereka ajak dia bergaduh, memang dia akan tanggung malu! Sebabnya, dia memang tak ada apa-apa ilmu mempertahankan diri.
Duduk berdua dengan gadis itu buat hati Khalif resah semacam. Pelik dan janggal pun ada. Tak pernah-pernah dia tarik tangan mana-mana gadis yang dia tak pernah kenal masuk dalam kereta. Selalunya, semua yang dah kenal dan paling lama pun dah berbual panjang. Jadi sekarang ni, dia tak tahu nak berbual apa.
Untuk menghilangkan rasa janggal, Khalif segera menghidupkan radio kereta. Kebetulan pula ada lagu kegemaran dia, apa lagi, laju saja tangan dia kuatkan bunyi dan ikut menyanyi. Namun, selepas dua rangkap menyanyi dia mula sedar diri. Entah-entah perempuan ni dah gelak dalam hati dengar suara dia yang tak berapa sedap tu?
“Awak kerja dekat-dekat sini ke?” tanya Khalif, memecah sunyi.
“Ya,” jawab gadis di sebelahnya sepatah.
“Dah lama menyulam cinta?” tanya Khalif lagi, mengangkat kening.
Si gadis menoleh. Merenung dia sesaat sebelum buka mulut jawab. “Erkk… Lima tahun.”
“Emmm… memang patut awak mengamuk pun,” ujar Khalif perlahan. Cuba memujuk hati gadis itu. Yalah, tadi dia dah buat gadis tersebut menangis, jadi sekarang kena pujuk balik. Nanti tak pasal-pasal kena cop sama spesis dengan lelaki sengal tu pula.
Khalif diam dan terus memandu. Namun, dari ekor matanya sempat menangkap air muka gadis di sebelahnya yang seakan ingin bertanyakan sesuatu.
“Apa?” tanya Khalif.
“Awak geng kongsi gelap ke?” tanya gadis tersebut perlahan.
Serentak itu Khalif terus ketawa.
“Tadi awak kata saya ni mat gian, penyeluk saku. Sekarang ni awak fikir saya ni geng kongsi gelap?” Dia menoleh seketika pada gadis di sebelahnya kemudian kembali memandang ke depan.
“Tadi masa awak ugut budak tadi tu.”
“Oh.” Khalif terangguk-angguk.
“Saja je tu. Nak gertak budak-budak tu. Kalau dia orang tanya saya geng mana memang kantoi lah tadi.”
“Biar betul ni?”
“Yalah. Awak ingat saya ni jahat sangat ke?” tanya Kahlif lembut sambil terus memandang ke depan.
“Jadi awak bukan mat gian?” tanya si gadis, skeptikal.
“Tak. Badan saya bersih dari segala jenis pil atau pun dadah. Kalau ada pun mungkin sebab penadol.”
“Habis tu. Kenapa mata awak merah menyala?”
 “Sakit mata,” jawab Khalif bersahaja.
“Oh.” kelihatan kepala gadis tersebut terangguk-angguk.
 “Merah mata sebab gian dan merah mata sebab sakit lain tau. Kalau tak percaya meh sini nak tunjuk perbezaannya,” ujar Khalif ingin membuka cermin matanya.
“Eh, tak payah! Nanti berjangkit.”
“Okeylah. Nanti awak boleh cuti panjang.” Khalif saja mengusik.
Mana mungkin merah mata kerana alergi boleh berjangkit. Khalif senyum meleret. Makin dipandang, makin manis pula gadis di sebelah ni.
“Tak boleh. Isnin ni saya ada interview. Kalau saya sakit mata nanti terlepas peluang saya kali ni.”
“Emmm… bunyi macam interview penting je.” Kahlif meneka, memandang sekilas.
“Sangat-sangat.”
“Syarikat apa?”
“Emas holding.”
“Jawatan apa?” Tanya Khalif lagi, berminat ingin tahu.
“Kerani je.” Balas si gadis acuh tak acuh.
“Awak pernah dengar ke syarikat tu?” soalnya lagi.
“Mestilah. Tiap-tiap hari saya nampak bangunan tu,” jawab Khalif bersahaja.
“Awak kerja dekat mana?” soal gadis tersebut setelah agak lama berdiam diri.
“Tak kerja,” balas Khalif acuh tak acuh.
“Jadi, memang betul kereta ni kereta curi?”
“Lebih kurang,” sengaja mengusik, Khalif terkekeh ketawa.
“Awak ni! Jangan main-main!”
“Kereta kawan saya lah!” balasnya dan tergelak kecil.
“Kayanya kawan awak.”
“Dia anak orang kaya. Setakat kereta buruk ni dia tak kisah saya pinjam,” jawab Khalif, masih bersahaja.
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki. Kenapa? Nak berkenalan dengan dia? Kalau nak, saya boleh tolong set date. Dia pun tengah cari calon isteri tu.” Khalif tayang sengih.
“Terima kasih jelah. Saya dah ada teman lelaki. Remember?”
“Teman lelaki apa macam tu,” ujar Khalif seperti mengejek.
“Tahu. Tapi, saya tak naklah jadi perempuan curang.”
“Curang apa pula, dia yang suruh awak cari lelaki lain. Kan?” Sengaja dia memprovokasi.
“Awak dengar?” Bulat mata si gadis memandang ke arahnya.
“Mestilah. Saya duduk meja sebelah je kot. Semua saya dengar. Kalau saya jadi awak memang saya pun naik angin. Tapi mujur awak tarik tangan saya. Kalau awak tarik tangan mamak pelayan restoran tu harus dia orang heret awak pergi pejabat kadi tadi.” Khalif terkekeh. Kelihatan gadis di sebelahnya mengukir senyum.
“Saya ni selalu buat keputusan melulu.” Si gadis menghela nafas perlahan.
“Bila marah menguasai diri, syaitan makin seronok mengoda,” ujar Khalif perlahan.
“Jalan mana ni?” soalnya pula.
“Masuk simpang tu, depan tu ada kondo. Dekat situ lah.”
“Ini?” tanya Khalif sebaik menghentikan kereta ditempat yang ditunjukkan.
Si gadis mengangguk.
“Terima kasih,” ucapnya lantas membuka tali pinggang keselamatan.
Khalif mematikan enjin kereta kemudian terus keluar dari kereta. Gadis tersebut tercengang memandangnya.
“Nak pergi mana?”
“Hantar awak balik lah,” jawab Khalif.
“Dah sampai pun,” balas gadis tersebut dengan wajah kehairanan.
“Saya nak hantar sampai awak masuk rumah. Saya nak kawan-kawan awak jadi saksi saya dah hantar awak. Dan lepas tu sila delete gambar saya,” ujar Khalif bersiap sedia untuk masuk ke dalam kawasan kondo tersebut.
“Haish… awak ni biar betul? Takkan sampai macam tu sekali? Hantar kat luar cukuplah.”
“Eh, mana boleh. Mana tahu dalam lif nanti ada orang culik awak. Cepat,” gesanya
“Awak tinggal berapa orang?” tanya Khalif lagi ketika berada dalam lif.
“Tiga,” jawab si gadis.
Best friend?” Khalif makin jadi ‘penyibuk’.
Gadis tersebut terus mengangguk.
“Kerja tempat sama ke?” kan dah cakap, dia sendiri tak tahu kenapa dia sibuk nak tahu perihal gadis tersebut.
“Tempat lain-lain. Kawan masa study dulu,” jelas gadis tersebut.
Khalif terangguk-angguk. Kemudian kedua-duanya berdiam diri.

***********************


Bab 9



Pintu lif terbuka. Kami sampai di hadapan rumah. Aku melangkah laju tak sabar-sabar nak masuk ke dalam rumah dan tak sabar-sabar nak lari dari dia. Tak tahu kenapa ketika dalam lif tadi hati aku berdebar semacam saja. Nak kata berdebar kerana takut, bukan. Tapi kali ini berdebar lain yang aku sendiri tak faham.
Agaknya bila dalam lif yang sunyi-sepi, godaan syaitan semakin kuat kut? Tapi, syaitan ni pun agak-agaklah. Dengan orang serabai macam tu pun suruh aku tergoda? Aihh, tak kuasa mak!
“Nadia!” jerit Hara sebaik saja pintu rumah terbuka.
Namun kemudian wajah ceria Hara berubah keruh sebaik saja melihat si serabai di sebelah aku.
So, kau orang jadi saksi saya dah hantar kawan awak dengan selamat. Jangan lupa delete gambar yang dia hantar. Melainkan kalau kau orang nak buat teman tidur.” Lelaki itu tersengih kemudian berlalu.
“Terima kasih!” jerit aku.
Dia mengangkat tangan kemudian terus hilang di sebalik koridor.
“Alamak!” Aku baru teringat sesuatu.
“Apa?” Tanya Hara.
“Aku lupa tanya nama dia!” Keluh aku perlahan. Macam mana aku boleh lupa nak tanya nama dia tadi! Berborak bagai nak rak dalam kereta, nama pun tak tahu.
“Hah? Habis tu macam mana kau orang kenal?” soal Hara berkerut dahi.
“Panjang citernya,” keluh aku perlahan.
Aku ceritakan semuanya pada Yatie dan Hara. Dari mula bertemu Imran sehinggalah terserempak dengan mamat serabai tadi.
“Imran memang melampau!” marah Yatie tiba-tiba menumbuk-numbuk bantal kusyen.
“Aku dah kata tak berbaloi kau setia dengan dia,” sampuk Hara pula.
“Esok kalau dia pujuk mesti cepat je kau sejuk, kan?” Yatie menempelak.
“Aku malas nak bergaduh lama-lama. Sakit jiwa nanti.” Aku menghela nafas perlahan. Memang aku hampir sejuk pun. Tadi, masa aku switch on telefon, berbakul-bakul pesanan ringkas dari Imran masuk ke inbox, minta maaf dengan aku.
“Ni yang buat aku geram dengan kau ni. Aku, kalau dapat laki macam Imran tu dah lama aku bye-bye.” Yatie mencemik.
“Kau orang lain. Lawa. Boleh lah memilih,” Keluh aku perlahan, bersandar ke sofa.
“Ni lagi satu yang buat aku marah.” Hara bersuara menjeling tajam pada aku.
“Lain kali jangan main ikut je lelaki yang tak kenal! Kalau dia bawa lari tadi macam mana?”
“Kau orang dah ada gambar dia kan? Bawa pergi balai lah,” balas aku acuh tak acuh.
“Memanglah boleh bawa pergi balai. Tapi masa tu dah tak guna sebab kau dah jadi mayat. Atau pun kau dah sampai Golok Thailand sana kena jual atau kena kahwin dengan dia,” celah Yatie.
“Haish, mulut!” Aku menjeling sebal.
“Lain kali jangan nak masuk kereta orang sewenang-sewenangnya!” Hara memberi pesanan pula.
Alar, silap aku juga. Ambil gambar dia tadi. Dia takut aku tak balik rumah dan lepas tu kau orang hantar gambar tu ke balai. Dia tak mahu muka dia masuk tv,” balas aku cuba membela diri. Tapi kedengaran macam aku nak bela lelaki selekeh tu pula, kan?
“Tak kisah apa pun alasan dia. Ikut lelaki yang tak dikenali sangat bahaya, Ookey!” Yatie menjeling.
“Okey! Okey!” Aku mengalah akhirnya sebelum membuka telefon bimbit. Mencari gambar lelaki tadi. 
“Kalau tengok muka je, tak tengok baju dan seluar dia. Boleh tahan juga dia ni.” Aku terus menilik wajah lelaki itu yang bercermin mata gelap.
“Kalau dah pakai cap plus ray ban, entah-entah ray ban celup… memang sah-sah nampak kacak. Cuba buka semua tu, rambut botak kat tengah. Mata juling, lebam macam panda.” Yatie mencebik.
Bulat mata aku pandang Yatie. “Amboi, mulut!”
“Entah la kau ni! Muka bersepah macam tu kau cakap boleh tahan?” Hara menggeleng kepala.
“Cuba kau orang tengok betul-betul. Cuba kau orang bayang jambang dan misai tu tak ada. Cuba tengok bentuk muka dia.” Aku menghulurkan telefon itu pada Hara.
“Eh, tak mahulah aku tenung muka tu. Tak selera aku nak makan nanti.” Dia menolak telefon aku kepada Yatie.
“Euww… tak kuasa! Tadi pun masa kau hantar aku terpaksa tengok sebab nak ingat muka tu macam mana.” Yatie menyerahkan telefon bimbit pada aku.
“Kau orang ni. Don’t judge a book by its cover. Masa dalam kereta tadi dia macam orang baik-baik je tau. Dengar lagu Bruno Marks,” cerita aku beria-ia.
“Kalau kau cakap dia dengar lagu nasyid atau pun dengar cd mengaji aku percaya juga dia baik,” bidas Yatie.
Aku tak menghiraukan sindiran Yatie. Telinga aku sekarang seakan terdengar-dengar suara dia yang lemak mancho menyanyikan lagu Drunk on you dalam kereta tadi. Terpegun aku mendengarnya. Cuma, aku segan nak puji. Maklumlah baru kenal. Nanti dia syok sendiri pula.
“Weh, kau sengih semacam ni kenapa?” Wajah Hara berkerut.
“Mana ada.” Aku berdeham perlahan.
“Jangan kau cakap kau suka dia pula?” Yatie pula menyampuk sambil membulatkan matanya.
“Bukan ke kau orang yang suruh aku cari pengganti Imran?” Aku tersengih-sengih. Saja nak mengusik.
“Memanglah. Tapi pilihlah sikit. Kalau nak bandingkan mamat selekeh dengan Imran, berganda-ganda Imran lagi bagus,” ujar Hara.
“Again! You judge a book by its cover!” Aku bingkas bangun menapak ke bilik.
“Eleh, macamlah sebelum ni kau nilai buku lepas baca sinopsis!” tempelak Hara.
“People change!” laung aku di muka pintu bilik.


*************************


Bab 10

~ Khalif Aufa ~

Sampai di rumah baru dia terasa mata dan kepalanya berdenyut-denyut namun mata dia tetap susah nak dipejamkan. Wajah gadis tadi terbayang-bayang di mata dia yang berdenyut tu. Ketika gadis tersebut menyatakan dia ada temu duga di Emas Holding, hati Khalif tiba-tiba saja berbunga riang. Kalau ada rezeki, bolehlah dia bekerja satu bumbung dengan gadis itu.
Selesai mandi dan tunaikan solat, Khalif terus menelan ubat yang diberi. Entah pukul berapa dia tertidur dia pun tak tahu, tiba-tiba saja bilik yang gelap terang benderang. Kemudian terdengar bunyi suara yang amat dikenali.
“Ini sah-sah tak bangun subuh ni!”
“Tak baik serkap jarang, tadi dah bangun,” jawab Khalif yang sedang termenung di hujung katil. Denyut di mata berkurang, tapi pandangan dia agak kabur kerana dipenuhi ‘sisa buangan’.
“Teruknya mata K.” Berkerut mata Datin Sofi melihat mata anaknya yang bengkak. “Cepat pergi mandi, mama ada bawa makanan ni.”
Tanpa banyak soal Khalif bingkas bangun menuju ke bilik air. Selesai bersiap dia turun ke ruang tamu. Bau aroma sup menyedarkan dia bahawa perut dia sebenarnya sangat lapar.
“Nanti mama cakap dekat papa yang K tak boleh mulakan kerja isnin ni,” ujar Datin Sofi ketika menghidang makanan untuk anaknya.
“Eh, jangan… K nak masuk kerja.” Cepat-cepat Khalif membantah.
Datin Sofi berhenti menyeduk sup.
“Sebelum ni bukan main banyak alasan.” Dia menjeling, menutup thermal container.
“Sebelum ni tak bersedia, sekarang dah bersedia,” balas Khalif sambil menghirup sup.
“Eloklah kalau macam tu. Papa tu dah penat nak ke sana sini. Kalau K ambil alih kerja papa boleh papa berehat. Dato Amri pun setuju sangat K ambil alih tugas papa tu. Dia tak percayakan orang lain. Anak papa juga yang dia percaya.”
“Dato’ Amri tak kisah ke K ambil alih?”
“Dia tak kisah. Memang dah lama dia nak suruh K gantikan papa. Dia nak orang muda. Tenaga orang muda dengan orang tua macam papa tu lain. Papa tu pergi Melaka pun dah tak larat, kalau kena pergi jauh lagi tak larat.”
“Yalah, nanti bolehlah mama dan papa honeymoon dekat rumah,” usik Khalif.
“Yalah, nak jaga cucu, anak tak kahwin lagi.” Sempat Datin Sofi menyindir.
Hampir tersedak Khalif dibuatnya. Nampaknya selagi dia tak kahwin selagi itulah dia terpaksa menahan telinganya dari terkena dengan sindiran pedas mama.
“Oh ya, Isnin nanti papa pesan kalau nak mulakan kerja guna kereta papa je.” Pesan Datin Sofi.
“Eh, kenapa? Tak mahulah. Kalau pakai kereta K tak boleh ke?”
“Tak boleh. Dato’ Amri dah sediakan kereta, K kena pakai kereta tu juga.”
“Sayang, K dah baiki enjin kasi up, alih-alih tak boleh pakai,” keluh Khalif.
“Kereta peribadi pakai untuk urusan peribadi je.”
Kalau dah itu kata mama apa boleh dia buat. Lagi pun dia cuma pekerja, mana boleh mengada-ngada nak buat permintaan itu dan ini. Kalau ikutkan dia memang dia tak mahu pun ambil alih kerja papa, tapi terpaksa. Dalam keadaan umur macam sekarang ni rasanya dah tak sesuai untuk dia merantau sana-sini. Berkerja untuk ambil pengalaman. Mungkin inilah masanya untuk dia beralih arah, mencari kerja yang tetap dan membalas jasa dan pergorbanan keluarga.
“Kalau ada isteri mesti senang hidup K. Masa sakit macam ni ada yang menjaga.” Tiba-tiba Datin Sofi bersuara.
“Dah mula dahhh..” Khalif menghela nafas perlahan.
“Beberapa bulan lagi umur K dah masuk 39. Bila lagi? Rugi tau kahwin lambat.” Tambah Datin Sofi. Kali ini dia nekad akan tekan Khalif bersungguh-sungguh. Disebabkan dia buat endah tak endah, anak dia itu terus buat tak tahu tentang jodoh sendiri.
“Ingatkan tinggal lama dekat London bawa balik menantu orang putih.” Datin Sofi bersuara lagi bila melihat Khalif berdiam diri.
“Aik, dulu mama juga pesan tak mahu perempuan putih, nak sawo matang,” jawab Khalif acuh tak acuh.
“Sekarang dah tak kisah. Putih ke, gelap ke janji ada menantu. Risau mama tengok K macam ni. Tu, saudara-mara semua asyik tanya kenapa K tak kahwin. Paling yang buat mama sakit hati dia orang kata K ni…” Datin Sofi matikan kata di situ.
“K ni apa?” Khalif mengangkat wajah. Walau pun dia boleh agak apa yang ada dalam fikiran mamanya tetapi dia tetap nak dengar.
“Yalah… yang spesis tak suka perempuan tu,” balas Datin Sofi teragak-agak.
 “Habis… mama percaya ke?” Khalif tergelak. Kelakar pula mendengar cerita tersebut.
“Haish, mama kenal anak mama. Kalau K tak suka perempuan mesti K tak bercinta dengan Natasya dulu. Masa sekolah dulukan K ramai girlfriend, sampai mama sendiri pening kepala.”
“Emmm… tahu pun,” jawab Khalif acuh tak acuh.
“Jadi, kalau mama carikan untuk K, boleh?” Datin Sofi memandang anak bujangnya dengan penuh harapan.
“Mama… kan K dah cakap, K akan kahwin dengan perempuan yang ajak K kahwin.”
“Haish budak ni!” Satu tamparan manja singgah di bahu anaknya.
“Jadi bujang terlajaklah nanti!”
“Tak. Dua bulan dari sekarang K akan kahwin. Semalam dah ada perempuan lamar K. K pun dah setuju,” balas Khalif bersahaja.
“Jangan main-mainlah K!” marah Datin Sofi.
“Betul. Sekarang ni mama kena bersiap sedia untuk majlis perkahwinan K je. Calon serahkan pada K. Katering, bahan hantaran semua tu K serahkan pada mama.” Khalif senyum.
Datin Sofi sudah membulat matanya, tak yakin dengan bicara si anak.
“Okey, K nak sambung tidur, nanti isnin mata ni tak sempat nak sembuh pula.”
“Betul ke ni? Kalau betul esok bawa jumpa mama.”
“Esok tak boleh, mata K sakit lagi.”
“Lusa.”
“Lusa pun tak boleh, baru mula kerja mungkin K sibuk.”
“Tipu mama lah tu!” Datin Sofi sudah terjerit, geram dengan perangai Khalif yang suka main-main pasal jodoh.





BERSAMBUNGGG...



11 comments:

eija said...

woooo lama tgu sbug nya....

Yazreina said...

Beshhhh

MizaEija said...

Nak g joging jugak.. kot leh terserempak ngan K.. ahaks

ida rohaina said...

Ok jugak citernya. Cepatla up entry baru

Unknown said...

Almak da bis ke? Aduhh... ni yg jd impatient nih..hehe.. pz new n3..

Anna Lee said...

Miza - cubalaa.. hahaha.

Ida - terima kasih... budak2 baru belajar. :P

Syyda - hehehe.. tunggu.. nnti up banyak sikit yer.

Anonymous said...

hi anna, akak dah mula jatuh cinta dengan karya awak terukir ni. neat plot (chewah cam i ni pandai nulis but i am a thinking writer). cant wait for ur next n3..the monday interview, the surprises n all...kak timms

Anna Lee said...

Hai Kak Timms.. terima kasih, komen akak buat saya lebih bersemangat.. Insya Allah, i try my best utk menulis kisah2 yg boleh menghiburkan hati para pbaca saya at same time saya akan cuba pertingkatkan kualiti. tqqqq.

mis said...

sudah baca tapi seperti ada yg kurang, mungkin struktur ayat u, hopefully novelnya bagus setelah di touch up oleh editor,,,

good luck!

Aimi said...

thumbs up!! suka sgt... K yg loaded tp serabai & low profile..

hawa said...

hi.....novel terukir cinta mmg kebaboommm!!!!terbaekk!!!suke sgt..especially khalif aufa yg sgttttttt sweeetttt n romantiikk...jatuh cintaa ok!!!