Intan payung kami...

Sunday 6 January 2013

Mencari Prince Charming : Bab 3

a.k.a Mencari Mr. Charming 



Update Status
Indah Lara

Manusia tidak sempurna. Hanya yang sempurna adalah nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

***

Ini adalah ungkapan yang sering digunakan oleh ayah ketika aku menghadapi masalah. Ayah memang seorang yang hebat. Sentiasa berwajah tenang bila menghadapi apa masalah. Kerana itu aku jadikan ayah sebagai idola dalam hidup aku.

Aku menarik nafas dalam. Terus memandang skrin komputer. Kadang-kadang aku ngeri nak buka facebook Indah Lara. Tapi tangan aku tetap degil, nak juga belek segala komen yang ada di wall Indah Lara.

Anisah Klang
2 hours ago
Indah, kenapa cover novel terbaru akak teruk sangat? Saya nak beli pun fikir dua tiga kali! Boleh tak tolong bagi tahu kat penerbit buat cover senonoh sikit!

Aku menekan tanda ‘comment’…

Indah Lara - Cover di luar bidang kuasa penulis sayang. But, remember… If you judge a book by its cover, you might miss out on an amazing story.

Tangan aku terus gerakkan tetikus ke bawah…

Bunga Raya
5 hours ago
Indah Lara, I dah baca novel you berjudul ‘Cinta si Nelayan’ best sangat romantik gila abang nelayan tu, lepas baca novel you I pantang tengok abang nelayan dekat pantai, mesti nak jenguk harap-harap dialah abang nelayan yang I cari!


Aku tersengih. Tak sangka begitu sekali pengaruh tulisanku terhadap Bunga Raya. Lantas tanganku menekan tanda ‘comment’…

Indah Lara - Bunga Raya. Terima kasih kerana menyukai novel tersebut dan sokongan anda kekuatan saya. Segala kekurangan akan saya cuba baiki dari masa ke semasa. Perfectly imperfect. Nothing and no one is perfect. It just takes a good eye to find those hidden imperfections.

Semakin lama semakin galak mata aku belek setiap komen yang ada. Tapi dalam banyak-banyak ada satu yang menarik perhatian aku.

Mia Maya
35 minutes ago
Kak Indah, saya ada terbaca satu komen tentang novel akak di sebuah group pembaca novel. Saya tak pasti akak ada dalam group tu atau tak. Tapi, bila saya baca komen dia orang saya rasa geram sangat. Dia orang membebel kata menyesal beli buku akak, lepas tu ada pula kata nak lempar dekat sungai.

Ada tu yang baru baca dua tiga bab dah bising macam-macam. A bit boring lah, tak sangkutlah. Tak sampai jiwalah. Agaknya mata kail panjang mana patut pakai baru boleh sangkut jiwa dia orang? Bila saya tegur kenapa nak kutuk sampai macam tu sekali sebab saya baca okey je novel tu, sudahnya saya juga yang kena.

Semua pakat sembur saya. Alasan dia orang, duit dia orang beli, ikut suka dia orang lah nak cakap apa dan buat apa pun. Eee! Geram saya! Akak jangan masuk lah mana-mana group, nanti akak sakit jiwa baca komen dia orang.

Bunga Raya - Mia Maya, group mana tu? Kak Indah Lara, just remember this… Respect your haters. They are the ones who think you are better than them.

Kak Cik - Betul cakap Bunga Raya, buat bodo aje dengan orang macam tu. Kalau tak suka kenapa beli? Takkan tak boleh belek dulu sebelum beli? Kan penerbit ada buat teaser dekat page, nilai lah dekat situ sebelum beli.

Jajan Masuk Angin - Aku pun pernah beli novel yang tak best. Tapi tak adalah aku nak meroyan sampai macam tu. Akai ada ka? Tak puas hati kenapa tak pm direct kat penulis?

Ara Raihana - Oh, aku rasa aku tahu group apa tu. Kak Lara, jangan ambil port sangat. Bayangkan macam ini ajelah kak. Dalam 10 orang yang baca buku akak, 9 orang suka, ada seorang aje yang tak suka. So, akak nak ambil kisah pasal yang 9 orang ni ke, atau yang 1 tu?

Luna – pm group mana tu, saya nak pergi intai… heee.

My Name is TR – Itu komen membunuh tu! Dia orang ni tak ada perasaan ke? Tak tahu nak hormat orang ke?

Mardihah – Pembaca sekarang sangat menakutkan!

Aku tersenyum kecil. Lantas tanganku menekan tanda like pada semua komen di atas. Kemudian menekan tanda ‘comment’…

Indah Lara - Beginilah nasib seorang penulis. Akan sentiasa berhadapan dengan mereka seperti itu. Semoga dikuatkan iman saya untuk menghadapinya, okey.

Aku menarik nafas dalam. Menekan tanda keluar dari ruang sosial itu. Bohong kalau hati aku tak terusik dengan segala komen tu. Aku ni manusia biasa saja. Ada hati, ada perasaan macam pembaca-pembaca dan pengkomen-pengkomen tegar dekat luar sana tu.

Tapi itulah harga yang perlu aku bayar untuk menjadi seorang penulis. Akan sentiasa dikritik! Silap haribulan, dah mati pun kena kritik lagi.
Bak kata Abraham Lincoln, He has a right to criticize, who has heart to help. Adakah kritikan mereka bertujuan untuk membantu atau sebaliknya? Atau sedang menanti aku jatuh lepas tu mereka bertepuk tangan beramai-ramai?

Tak salah jika mahu mengkritik, cuma biarlah dengan berseni. Criticism, like rain, should be gentle enough to nourish a man’s growth without destroying his roots (Frank A. Clark)

Haish… kalau Indah Water ada dalam senarai rakan di facebook Indah Lara, harus bermacam komen lagi yang akan muncul. Ngeri! Okey, tutup laptop. Lupakan semuanya. Esok hari penting untuk aku bergembira mencari tempat berteduh baru!

***

Indah Lara
37 minutes ago
Doakan saya dapat tempat berteduh yang paling indah! :P

“Kau ni memang tak pandai nak ukur baju di badan sendiri lah.” Ayun bersuara mengganggu tumpuan aku yang sedang teruja memerhati bangunan yang mencakar langit (tapi tak adalah setinggi bangunan KLCC).

“Memanglah, sebab sekarang ni aku nak tengok rumah bukannya nak beli baju.” Aku berdesit perlahan, sengaja buat-buat tak faham. Mataku terus ralit memerhati pemandangan yang penuh dengan kemewahan di hadapanku.

“Ha..ha..ha. Kelakarlah tu.” Ayun memperlahankan kereta. “Seriously beb. Kawasan ni bukan kawasan kau lah.”

Kami berhenti di seberang jalan betul-betul di hadapan sebuah kawasan kondominium elit. Tengok dari luar aku sudah tahu memang rumah di situ bukan tempat ‘permainan’ aku. Tapi… kalau sudah cinta, dapat tengok bangunan pun dah terasa macam tinggal dekat dalam.
Kawasan kondo itu dikelilingi dengan pepohon yang menghijau. Seni taman di luar kawasan berpagar itu pun sudah menampakkan kemewahan, kalau di dalam lagi mengancam agaknya. Dari luar sudah terdengar bunyi air pancur, burung-burung kelihatan berterbangan hinggap di dahan pokok. Kicauannya menyegarkan telinga. Reka bentuk bangunan itu juga sangat mengagumkan. Satu pemandangan yang damai. Tidak banyak kereta mahu pun motor lalu lalang di kawasan ini.

Agak-agak, apa pekerjaan mereka yang tinggal di sini ya? Tidak sangka ramai juga orang Malaysia yang kaya-raya.

“Kau ni susah-susah nak cari bilik sewa kenapa? Tinggal saja dekat rumah kakak kau tu.” Ayun bersandar di kerusi dengan wajah bosan.

“Tak boleh lah. Aku tak ngam sangat dengan dia. Lagi pun, kalau aku ada sana mesti dia suruh aku jaga anak dia tu. Bukan kau tak tahu, aku dengan budak-budak ni alergik sikit. Tak reti nak melayan!” Aku mencemik. Terus merenung bangunan di depanku.

Ayun menggeleng beberapa kali. Sebelum ini sudah berbuih mulut dia cadangkan aku tinggal saja dengan kakak aku yang tinggal di Cheras. Tapi aku berkeras tak mahu. Kalau aku tinggal sana sah-sah idea untuk menulis akan kaku dan beku. Kejap-kejap dengar anak dia menangis. Itu tak kira lagi apabila tiba-tiba dia panggil aku suruh melayan anak dia sementara dia menjahit.

Lepas tu, satu rumah akan dengar mesin jahit dia yang tak pernah duduk diam. Sudahlah rumah pun aku tengok macam kilang kain! Macam mana aku nak menulis? Hujung bulan ini aku dah kena hantar satu manuskrip untuk penerbit kesayangan aku. Semalam pun editor aku dah bising-bising sebab manuskrip yang dijanjikan masih tak sampai ke kotak email dia.

“Jom lah gerak.” Ayun segera memasukkan gear.

“Eh, nanti dulu.” Tegahku, memaut lengan Ayun.

“Nak tunggu apa lagi. Cuba kau tengok kat depan tu. Pak guard dah pandang kita semacam je. Mesti dia ingat kita usyar bangunan ni sebab nak merompak.” Bisik Ayun, wajah dia kelihatan cemas.

“Alah, bertenang. Jalan ni bukan mak bapak penduduk kondo ni punya. Kerajaan punya tau. Kita pun bayar cukai, kita ada hak nak berhentikan kereta kat mana-mana pun.”

“Pembetulan ya, bukan kita. Tapi aku yang bayar cukai.” Ayun mencemik.

“Yalah, kau banyak duit sebab tu kena cukai. Tak macam aku ni, sengkek.” Aku mendengus perlahan sambil mataku terus merenung kawasan kondo itu.

“Kalau aku tahu kau nak melepak lama dalam kereta, baik aku berhenti dekat kedai tadi. Bungkus nasi ke, air dua tiga plastik.” Ayun menarik wajah masam. Berpeluk tubuh. Nak protes konon tu. Tapi jangan harap aku layan. Selagi aku tak puas, selagi itu dia kena ikut cakap aku.  Siapa suruh halau aku dari rumah!

Sedang aku syok berkhayal, tiba-tiba terdengar cermin kereta kami diketuk dari belakang…

Wajah Ayun cemas. “Hah! Aku dah kata dah! Ni mesti nak halau kita ni. Atau pun mesti dia nak ambil gambar kita lepas tu tampal dekat dinding bangunan dan suruh para penghuni berhati-hati. Atau pun… dia tampal plat nombor kereta aku ni dekat pintu pagar masuk!”

“Kau ni mengelabah betul. Relax lah.” Sebenarnya, aku pun boleh tahan juga mengelabah ni, tapi masih berlagak tenang. Kalau aku tunjuk pada Ayun, harus kaki dia laju saja tekan pedal minyak kereta.

Pak pengawal mengetuk cermin belah pemandu beberapa kali. Dalam keadaan kalut Ayun segera menurunkan cermin kereta dan aku terus saja aku sembur pak pengawal yang berumur lebih kurang 40-an itu…

“Pak cik… relax ar! Ni jalan kerajaan, kami pun bayar cukai! Parking dekat sini pun nak kecoh-kecoh. Mentang-mentang kereta Viva buruk.” Aku membebel, langsung tak bagi peluang dia marah pada kami.

“Kau kata kereta aku ni buruk?” Bisik Ayun menjeling tajam. Aku tersengih, menyuruh dia menutup mulut.

Berkelip-kelip mata Pak pengawal memandang aku dan Ayun bersilih ganti. Hah, tahu pun takut.

“Kereta cik adik berdua ni rosak ke?” Dia bertanya dengan wajah perihatin. Aku dan Ayun saling berpandangan. Adeh! Tersalah sembur pulak!
Ayun mengangguk. Aku pula menggeleng. Sudahnya pak cik tadi mengaru kepala, berkerut dahi memandang kami. “Mana satu ni?” Sekejap memandang Ayun, sekejap memandang aku.

“Tak rosak bang…” balasku tersenyum-senyum, nada suara kembali merdu.  Dari panggilan pakcik terus ke abang.

Cewah, dah buat salah tadi kan, jadi aku kena ambil hati dia balik. Kalau mak kat kampung tahu, memang siaplah aku!

“Habis tu? Dari tadi saya tengok kereta awak berdua ni tak bergerak-gerak. Ingatkan rosak.” Dia menarik nafas lega, namun dalam masa yang sama aku seakan boleh nampak tanda soal atas kepala dia, lantas aku pun bersuara.

“Sebenarnya… kita orang…” Takkan aku nak cakap aku nak cari rumah sewa? Sah-sah dia tak percaya. Dengan Viva buruk Ayun ni, mesti dia tak percaya dengan alasan aku tu.

Lainlah kalau aku datang dengan kereta BMW milik ayah Ayun, mesti dia percaya punya. Dia terus menanti aku bersuara. Ayun berdeham perlahan, menghantar isyarat agar aku lekas bersuara.

“Kita orang nak cari rumah. Tapi… kertas alamat rumah tu hilang. Sebab tu lama kami berhenti dekat sini. Kita orang tengah cuba ingat balik alamat tu.” Wah, geliga juga otak aku ni ya.

“Oh…” ada garis lega di wajah pak cik pengawal. “Rumah tu dekat kondo ni ke?” Tanya dia lagi.

Tanpa memikirkan sebab dan akibatnya aku mengangguk laju. Alah, takkan dia kenal semua orang dalam bangunan tu. Bangunan setinggi langit mesti ada beratus-ratus penghuni. Takkan dia nak pergi tanya semua penghuni rumah tu pasal aku, kan?

“Kau orang datang untuk temuduga ke?” Dia masih menjenguk kami dari tingkap.

Aku dan Ayun saling berpandangan. Alahai, temuduga apa pula ni?  Aku mengangguk. Dan sekali lagi aku buat tindakan bodoh yang boleh menjerat diri.

Sebenarnya aku tak berniat nak angguk pun, tapi ‘ter’. Maklumlah, sudah terbiasa mengangguk sebelum ni. Ayun menoleh, terkejut lah tu. Aku mengangkat kedua bahuku. Dia mendengus kasar.

“Oh, atau kamu yang telefon cakap sesat tadi, ya?” Aduhai pak cik ni ada saja soalan yang boleh menjerat aku. Nak tak nak terpaksa aku mengaku. Ayun apa lagi menepuk dahi lah. Dan sekali aku tersengih kerang.

“Laa… kenapa tak bagi tahu awal-awal tadi…”

“Tak apalah pak cik. Dah lewat ni. Esok je lah kami datang temuduga.” Ayun segera menyampuk sebelum pak cik itu cakap lebih.

“Eh, mana boleh datang esok. Nanti kamu terlepas kerja ni. Cepat keluar, saya bawa awak jumpa tuan.”

“Erk… tuan?” Bulat mataku memandang pak cik pengawal.

“Ya, dari tadi dia tunggu kamu sampai. Berkali-kali dia telefon ke pondok tadi tanya kalau-kalau kamu dah sampai. Dia dah lewat tu, kejap lagi dia nak ke airport.”

Alah sudah! Aku dan Ayun saling berpandangan.

“Tapi…” aku menelan air liur. Padan muka, nak menipu sangat sekarang dah tergagap.

“Kau jangan nak berdrama pula. Cakap kita bukan datang untuk interview.” Bisik Ayun di telingaku.

Pak cik tadi terus menanti. Dahinya berkerut menahan sinar matahari. “Cepatlah keluar.” Gesa dia sambil mengelap peluh yang dahi.

“Kami bukan datang untuk interview.” Balasku perlahan. Menjenguk ke luar tingkap. Mengintai pak cik pengawal yang masih berdiri di sebelah kereta kami.

“Habis tu kau orang berdua buat apa dekat sini?” Dia menjenguk memandang curiga. Memandang ke tempat duduk belakang. “Entah-entah kau orang berdua ni…” Dia berhenti bersuara, tangannya segera ke belakang menarik kayu cotar.

Aku dan Ayun saling berpandangan. Jantungku berdegup kencang. Wajah Ayun sudah berubah pucat.

“Keluarkan Mykad.” Minta dia dah macam polis pula. Terasa macam penjenayah pun ada.

“Alah pak cik, nak buat apa?” Soalku resah. Masih berada di dalam kereta. Kalau aku keluar mahu dia gari tangan aku dan Ayun nanti.

“Baru minggu lepas ada penghuni rumah ni terima surat layang, ugut mahu bunuh. Jadi saya kena periksa awak dulu.”

“Padan muka. Kau nak mengaku datang interview atau nak kena seret masuk penjara?” Aku mencemik pada Ayun.

“Pak cik… kami ni datang untuk interview lah. Kenapa sampai nak periksa mykad bagai.” Tiba-tiba Ayun bersuara. Aku tersentak. Tahu pun takut. Wajah pak cik pengawal tadi berubah kelat.

“Kau orang yang mana satu ni? Kejap cakap interview kejap cakap tak.” Dia mengaru kepala.

Aku tersengih. “Betul saya datang untuk interview tu tapi…” nak bagi alasan apa lagi ni?

 “Saya tertinggal resume saya dekat rumah, sekali dengan alamat. Bila sampai sini baru saya perasan resume tu tak ada. Lagi pun, tak sangka pula kawasan rumah orang kaya. Saya pakai selekeh je ni.” Baik punya alasan.

Kali ini mesti pak cik ni tak boleh nak cakap apa-apa. Sah-sah dia tahu yang aku tak akan dapat kerja ni. Mana pernah orang datang temu duga tak bawa resume lepas tu pakai selekeh macam aku ni. Mak cik nak pergi pasar pun lagi kemas dari aku.

Tapi, lain yang aku harap lain pula yang terjadi. Boleh pula pak cin ni tersengih. Aku dan Ayun sekali lagi bertukar pandangan.

“Jangan risau. Tuan nak tengok kamu je. Resume semua tu tak penting pun.” jawab pak cik tu dengan penuh yakin. Macam lah dia yang akan temu duga aku.

“Tuan nak… tengok?” Bulat mata Ayun memandang aku.

Temu duga apa main tengok-tengok ni? Mana ada temu duga tak perlukan resume? Takkan temu duga jadi mak guard? Mintak simpang, aku mana reti nak jaga kawasan rumah ni? Mahunya ada perompak datang, mana aku reti nak lawan. Aku tak ada silat! Menari zapin aku pandai lah.

Tapi, tak mungkin. Kalau nak jadi pengawal sekali pun mesti dia orang nak tengok sijil-sijil dan pengalaman kerja. Kerja apa yang cuma perlu tengok calon ni? Erkk… kalau tak silap aku, kerja yang cuma nak tengok tuan badan ni, biasanya… kerja… ya ampun!

Aku melihat baju yang melekat di badan. Lantas kedua tanganku memeluk badan yang kurus kering. Alahai, kenapa aku pakai baju seksi ni? Bukan seksi sangat, T-shirt lengan pendek dan cardigan paras pinggang dan skinny jeans sahaja. 

“Tapi… baju saya ni sesuai ke?” Aku cuba memasang dalih.

“Tak apa. Tuan tak kisah pasal pakaian. Apa pun keluar lah dulu. Tuan dah lama tunggu.” Dia menjeling jam di pergelangan tangannya.

Mahu tak mahu, terpaksa juga aku dan Ayun keluar dari kereta tu. Sempat Ayun mengugut. “Kau jangan libatkan aku dengan temu duga ni. Aku teman kau je.” Dia renung tajam.

“Kalau aku tak mengaku kita dah kena seret pergi balai tau!” Aku mencemik, melangkah keluar.

Ya Tuhan, selamatkan lah aku.  Jika temu duga ini untuk kerja-kerja yang haram, maka pengsankan lah aku ketika dalam lif nanti. Amin.

***

Menurut Pak Daniel, pak cik pengawal tadi (glamour kan nama dia? Heheh), aku akan ditemu duga untuk menjadi babysitter! Nasib baik babysitter. Kalau macam yang aku fikirkan tadi, mahu mak meraung kat kampung tu!

Tapi babysitter pun masalah jugak. Aku mana pandai nak jaga budak. Jaga diri sendiri pun kadang-kadang malas. Nak kena basuh berak, mandikan dan main dengan dia. Alahai, memang menempah bala sungguh! Tapi tak apa. Masa temu duga nanti tahulah aku nak jawab apa.

“Aku tunggu dekat luar saja lah.” Bisik Ayun. Pak Daniel sudah pun turun bawah. Katanya kalau lama-lama hilang dari pondok tak fasal-fasal dia kena sembur dengan penghuni kondo mewah ini.

“Suka lepas tangan.” Aku menjeling sebal.

“Eh, siapa yang cari pasal, dialah yang settle.” Balas Ayun tersenyum sinis. Aku berdesit geram, menjeling sebal.

“Teman lah aku. Mana tahu ini rumah orang jahat ke?” Ujarku memohon simpati.

“Alah, kalau dia orang jahat mesti Pak Daniel dah pesan awal-awal. Kau tak dengar ke dia cakap tuan ni baik.” Pujuk Ayun, menolak aku supaya menghampiri pintu rumah itu.

Loceng dibunyikan. Dalam masa yang sama aku mencemik ke arah Ayun yang sedang tersengih-sengih menaikkan kedua ibu jarinya kepada aku.

Terdengar pintu rumah dibuka. Aku segera menoleh. Namun, sebaik sahaja melihat wajah pemilik rumah itu mataku terbuka luas. Dia juga begitu, seperti terkejut melihat aku. Untuk seketika kami saling berpandangan.



“Oh! My prince Charming?”



Bersambung...

1 comment:

Anonymous said...

et ils pourraient agir simultanement ou, viagra france, de pression et de capillarite ont ete faites dans, Mendez sobre las Mujeres Libres de Espana por una, cialis lilly, y no todas ellas serian desagradables. In questo tratto le ife sono viagra naturale senza ricetta, LUIGI BUSCALIONI e GINO POLPACCI Die Lungen beiderseits an den Randern hellroth, cialis 10mg preis, Chemisch Hess sich in Lunge und Leber Arsen