Intan payung kami...

Monday 18 March 2013

Bab 7 : Aku dan Dia, Pinky Promise.


Malam ini adalah malam terindah buat aku. Malam yang selama ini aku rindukan. Ayah ada bersama kami. Sara dengan mulut becoknya, Kak Nora dengan cermin mata tebalnya mengelek buku  ke hulu ke hilir. Emak bergurau senda dengan ayah. Ayah tidak habis-habis menyakat kami. Segala-galanya indah.

Tapi, beberapa tahun kemudian semua ini tidak akan menjadi milik kami. Ayah akan dijemput, emak dengan kesedihan yang cuba disembunyikan, Sara memburu impiannya dan Kak Nora dengan keluarganya.

“Ayah, apa kata ayah beli video kamera. Kita rakam semua kenangan ni.” Tiba-tiba saja aku bersuara, sekali gus mematikan perbualan emak dan ayah yang sedang rancak berbual mengenai perkara yang tidak menarik minat aku.

Sara yang sedang menonton televisyen menoleh pada aku. Kak Nora mengangkat wajah dari menatap buku rujukannya.

“Mahal, ayah mana mampu.” Balas ayah kemudian memandang sekilas pada emak.

Gaji ayah sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat binaan tak adalah besar sangat, sebab syarikat itu bukannya syarikat besar pun. Tapi, aku tahu simpanan ayah ketika mendapat pampasan dari syarikat lamanya masih ada.

“Kan, ayah boleh berhutang dengan koperasi syarikat ayah. Bolehlah ayah, nanti kalau salah seorang antara kita pergi jauh, ada juga pengubat rindu. Nanti Sara nak sambung belajar UK, sekurang-kuranganya ada juga video dia yang boleh lepas rindu mak.” Balas aku, sambil dalam hati mengharapkan ayah setuju dengan cadangan aku. Aku mahu rakam setiap detik ayah bersama kami. Dulu kami tak rakam, tak ada video yang boleh mengubat rindu aku pada ayah. Gambar-gambar pun tak banyak.

“Apalah akak ni. Sara tak mahu belajar jauh-jauh. Takut.” Sampuk Sara mencerlung.

“Sekarang kamu cakap takut, nanti lepas SPM kamu akan ke sana. Kamu kan minat bahasa Inggeris, kata nak jadi cikgu Bahasa Inggeris, kena pergi belajar sana kalau mahu mahir.” Balas aku sengaja membuka sedikit rahsia masa depan Sara.

“Setakat nak jadi cikgu buat apa belajar jauh. Belajar sini je.” Sampuk emak pula.

“Mak ni, apa salahnya jadi cikgu kelulusan luar Negara. Nanti mak juga yang bangga.” Balas aku tersenyum kecil. Aku tahu, mak memang berbangga pada Sara. Setiap kali bertemu dengan kawan-kawan lamanya, dia sibuk mencanang cerita yang anak bongsunya belajar di luar Negara.

“Nanti ayah usahakan ya.” Balas ayah lembut. Aku tersenyum senang.

“Dan… satu lagi, Sal ingat, Sal nak tukar aliran.” Ujar aku perlahan. Dan sekali lagi aku menjadi tumpuan.

“Kenapa tiba-tiba? Sal dah masuk tingkatan lima. Setahun dah Sal belajar sains, takkan nak tukar? Sempat ke nak belajar subjek yang terlepas selama setahun tu?”

Hah, ambik kau. Bertalu-talu soalan dari Kak Nora. Mengintai aku dari celah cermin matanya.

“Sempat.” Balas aku dengan penuh yakin. Aku memandang ayah. Ayah memandang emak.

“Tapi kenapa?” Soal ayah setelah melihat emak berdiam diri.

“Sal tak minat sains. Tak berbaloi kalau Sal belajar sekadar ingin lulus, sedangkan Sal tahu, bukan ini yang Sal mahu.” Balas aku perlahan, tertunduk merenung lantai. Aku takut ayah tak setuju, sebab ayah yang beria-ia mahu aku ambil aliran sains. Dia mahu aku menjadi doktor seperti Rizal, jiran kami.

“Tapi kenapa sekarang? Kenapa tak cakap awal-awal?” Ayah merenung wajah aku.

“Sal, baru sedar yang Sal buat silap.” Ujar aku perlahan.

“Tapi, ayah risau nanti Sal tak sempat nak ulang kaji pelajaran yang Sal dah terlepas tu.” Balas ayah lagi, kelihatan seperti berat hati untuk setuju dengan permintaan aku ini.

“Sal kan pandai, mesti sempat. Ayah jangan risau.” Aku cuba memujuk.

Ayah terdiam seketika. “Baiklah. Kalau itu yang Sal mahu.” Balas ayah masih dengan wajah ragu-ragunya.

Emak menggeleng kepala.

Kak Nora masih merenung aku seperti tidak percaya. Sara, seperti biasa tidak peduli sangat perbualan kami. Dia  memang gila membaca. Sama macam kak Nora. Cuma aku seorang saja yang pelik, malas belajar!

“Terima kasih ayah.”

***
Keesokan pagi sebaik sahaja membuka mata aku segera meninjau keadaan bilik. Mana tahu tiba-tiba aku termasuk ke zaman depan. Tapi mujur, aku masih berada di tahun 1998. Persoalan sama ada zaman depan adalah mimpi aku atau zaman sekarang ini mimpi aku bukan lagi menjadi perkara pertama yang ingin aku fikirkan. Hanya masa akan menjawab segala-gala. Jadi sementara aku diberi peluang, akan aku guna sebaik mungkin.

Selesai menunaikan solat subuh aku segera bersia-siap hendak ke sekolah. Tidak pernah dalam sejarah hidup aku bersemangat hendak ke sekolah. Kini baru aku sedar betapa nikmatnya alam persekolahan dan peluang ini tidak akan aku persiakan.

Aku menyarung uniform sekolah dengan pelbagai perasaan, rindu, terharu dan gembira bercampur aduk. Uniform yang dulu paling aku benci, tetapi kini menjadi pakaian yang paling aku rindui. Aku mengikat kemas rambut aku yang separas bahu. Mengacip kemas lencana pada baju sekolah.

Ketika turun ke meja makan, emak terpinga melihat aku. “Awalnya?”

“Tak sabar nak ke sekolah.” Balas aku tersenyum.

Semalaman aku berfikir, seeloknya keluarga aku tak perlu tahu apa yang sedang aku alami sekarang ini. Kalau aku berterus terang mungkin akan berlaku dua perkara sahaja…

1. Mungkin mereka tidak percaya dan akan ketawakan aku atau…

2. Jika mereka percaya mesti mereka akan bertanya itu dan ini.

Sedangkan, sebolehnya aku tak mahu mereka tahu apa yang bakal menimpa kami kelak. Lebih-lebih lagi tentang ayah. Tidak adil jika aku membuka rahsia ini, aku bimbang jika keadaan kami yang tenang akan jadi haru-biru. Lebih-lebih lagi ayah. Mesti tidak tenang jiwa ayah jika dapat tahu tarikh kematiannya.

Apa yang bakal berlaku pada ayah, tetap akan berlaku. Ajal tidak boleh dielak. Kemana sahaja kita pergi, ajal tetap akan tiba. Cuma, aku akan mengunakan masa yang ada ini sebaik mungkin. Terus menyayangi ayah selagi berpeluang, cuba menyuntik semangat emak dari sekarang, cuba mendorong Sara agar dia berjaya dan aku cuba berbaik dengan cikgu yang bakal jadi abang ipar aku.

Atau… aku boleh ubah supaya kak Nora tak berkahwin dengan cikgu Hazam? Tak salahkan kalau aku mencuba? Lagi pun, takdir jodoh boleh diubah kalau kita berusaha mengelak dari mendapat jodoh mereka yang kita suka, kan?

  Okey, aku akan cuba. Tapi… kalau aku cuba ubah, maknanya aku tak akan dapat jumpa anak-anak saudara yang comel dan cerdik tu!

Tak boleh!

Aku tak boleh ubah jodoh Kak Nora, tapi aku mungkin boleh berbuat baik dengan cikgu Hazam dari sekarang dan jadi adik ipar yang paling baik di dunia!

“Yang kamu tercegak ni kenapa? Tak nak makan?” Soal emak sekali gus mematikan lamunan aku. Aku tersenyum lantas menarik kerusi menikmati sarapan pagi dengan hati penuh gembira.

Pagi itu aku melangkah masuk ke kawasan sekolah dengan bersemangat. Sambil melambai tangan kepada pengawas sekolah yang sedang bertugas di pintu pagar.

Aku tahu, mesti ada diantara dia orang kehairanan, sebab seingat aku dulu memang aku salah seorang yang paling popular dikalangan pengawas kerana sering datang lambat. Kerap tiba di perkarangan sekolah pada minit-minit terakhir. Dah hari ini aku memecah rekod.

“Hai.”

Tiba-tiba terdengar satu suara menyapa aku dari belakang. Aku segera menoleh. Budak lelaki di depan aku tersenyum manis.

Wah, kacaknya! Mata redupnya membuat hati aku mula berdegup hebat. Siapa dia?

“Awak, empat hari tak jumpa awak, saya rindu sangat. Saya dengar awak demam teruk, sekarang dah okey?” Dia berbisik, sambil menilik aku dari atas ke bawah.

“Saya okey.” Balas aku gugup.

Siapa pula dia ni? Aku terus mengatur langkah. Kami jalan beriringan menuju ke arah bangunan sekolah. Aku cuba mengingat wajah itu, namun semakin aku cuba semakin kuat kepala aku berdenyut.

“Asnan?” Soal aku inginkan kepastian. Tak tahu kenapa wajah Asnan langsung tak ada dalam kotak memori aku. Pelik.

“Ya?” Dia menoleh pada aku. Ya, sah dia Asnan. Shah Asnan. Kenapa aku boleh lupa wajah dia ketika zaman sekolah?

“Awak… dah… makan?” Tanya aku gugup. Tiba-tiba bayang-bayang wajah Asnan ketika berusia 32 tahun di ruang mata aku. Tiba-tiba saja seluruh tubuh aku geli-geleman. Tak rela!

“Belum. Jom makan sama.” Ajak Asnan tersenyum, kalau aku tak lihat gambar dia di facebook (di masa depan) memang aku boleh jatuh cinta. Lekas-lekas aku menggeleng.

“Saya dah makan.” Balas aku cuba mengukir senyum.

“Saya tahu, selalunya awak akan bawa bekal untuk saya. Hari ni tak ada ke?” Bisiknya lagi. Haish, dia ni kenapa asyik nak berbisik je. Geli aku! Eh, kejap… “Saya bawa bekal untuk awak?” Bulat mata aku memandang wajah Asnan.

Dia mengangguk tersenyum sipu. Ya ampun, Siti Saleha! Apa kau dah buat pada masa lampau kau, hah? Bawa makanan untuk budak lelaki? Gelinya! Konon nak jadi kekasih romantiklah tu? Euww… kenapa aku boleh lupa semua ni? Atau pun, ini sejarah baru aku? Entah kenapa tiba-tiba aku menyampah melihat senyuman itu.

“Memang awak tak bawalah hari ni?” Soal Anan, terangkat keningnya memandang aku yang sedang termengu.

Lekas-lekas aku menggeleng. Apa kes aku nak buang masa bawa bekal untuk dia, bukan bakal suami aku pun!

“Mulai hari ni saya tak akan bawa makanan untuk awak lagi.” Balas aku sebal. Melangkah laju menuju ke kelas aku membiarkan Asnan terpinga-pinga merenung aku.

  Biarkan, tak kuasa aku bercinta dengan lelaki macam dia tu, tak ada masa depan! Jahatnya aku. Apa salahnya kalau aku cuba ubah masa depan Asnan? Zaman ini adalah zaman yang aku hidup, walau pun aku pernah hidup di masa depan, tapi hakikatnya aku berada di zaman ini dan sudah pasti aku boleh mengubah masa depan? Kan?

Sebaik saja aku melangkah masuk ke kelas, tiada seorang pelajar pun. Aku dah ingat-ingat lupa mana satu tempat duduk aku. Seingat aku, kami ada bertukar tempat. Tapi, sekarang ni tempat duduk aku hujung sana atau pun di tengah ni? Haish!

“Sal?” Terdengar suara menyapa.

“Jannah?” Bulat mata aku merenung gadis genit di depan aku.

Ya, aku ingat, dia memang Jannah. Pelajar paling cerdik dalam kelas aku. Tapi entah mana silapnya, sebaik saja tamat persekolahan dia tak berjaya ke mana-mana universiti dan akhirnya dia berkahwin ketika usia muda. Kesian. Dia juga merupakan pelajar terawal yang berkahwin. Tapi dalam masa yang sama dia beruntung, sebab orang lain baru nak berkahwin, anak dia dah masuk sekolah rendah.
Beruntung kau Jannah!

Jannah memandang kehairanan pada aku. “Kenapa kau tercegak je ni? Apa yang tak kena?” Jannah menjenguk ke arah meja di depan aku.

“Jannah, aku nak tanya satu soalan. Kalau kau boleh jawab memang kaulah pelajar paling cerdik dalam kelas kita.” Aku tersenyum ke arah Jannah. Jannah memang terkenal dengan sikap yang suka dipuji paling cerdik, alang-alang apa salahnya aku gunakan kelemahan Jannah untuk menutup kelemahan aku. he… he…

Jannah tersenyum-senyum. “Tanyalah.”

“Cuba kau teka, mana satu meja aku?”

Jannah yang sedang membuka beg sekolah memandang aku dengan wajah berkerut. “Tak ada soalan lain? Itu bukan membuktikan aku cerdik, tapi sebaliknya.” Balas Jannah mencemik.

“Itu soalan pertama, ada soalan ke dua… kalau soalan semudah ni kau tak boleh jawab macam mana aku nak bagi soalan kedua.” Balas aku tiba-tiba dapat akal mahu mengenakan Jannah.

Jannah mencebik, “Itulah tempat kau, kau ingat aku bodoh sangat ke?”

“Aha, pandai pun.” Lantas aku meletakkan beg sekolah atas meja itu. “Soalan ke dua… kau agak, Era dan Awie akan kahwin tak?” Aku tersenyum, segera melabuhkan punggung di kerusi.

Untuk pengetahuan semua, zaman ini memang kisah Era dan Awie antara kisah yang terhangat di pasaran. Mengalahkan berita politik. Jadi, hanya memori ini sahaja yang ada pada aku bila aku berada di tahun 1998.

“Soalan kau langsung tak mencabar minda. Tak ada soalan lain ke? Soalan sejarah ke…” Jannah menarik wajah sebal.

“Jawablah.” Gesa aku sekadar mengusik. Bukan penting pun dia jawab atau pun tak sebab aku dah tahu meja aku yang mana satu.

“Mestilah dia orang kahwin. Dah bercinta bukan main lagi. Lagi pun, siapa yang layak ganti tempat Awie. Dia orang berdua tu dah semacam diciptakan untuk bersama. Bagai pinang dibelah dua.” Balas Jannah panjang lebar.

Ya, itulah antara peminat yang akan fikir tentang kedua artis itu, jika mereka tahu apa akan jadi di masa depan, mesti mereka akan terkejut.

“Kalau kau nak tahu, nanti mereka tak jadi kahwin. Dia orang akan putus. Awie akan kahwin dengan orang lain dan Era akan kahwin dengan orang lain. Percayalah!” Jelas aku bersungguh-sungguh. Terbit rasa bangga bila aku dapat menjelaskan keadaan sebenarnya kepada Jannah.

“Eh, kau jangan nak mengarut! Mana kau tahu cerita ni? Majalah mana kau baca? Dia orang baru je bertunang tau. Tak baik doakan yang bukan-bukan.” Balas Jannah beria-ia.

“Aku cakap betul.” Balas aku serius.

“Mana bukti?” Soal Jannah seperti mencabar aku.

“Masa sebagai bukti.”

“Kau jangan buat fitnah. Berdosa tau, jangan nanti kerana fitnah ni hubungan mereka betul-betul putus.” Balas Jannah serius.

Aku menelan air liur. Ada betul juga kata-kata Jannah tu. Ya memang aku tahu di masa depan mereka putus tunang, tapi, mungkin juga disebabkan kata-kata aku ini menyebabkan berita tidak enak mengenai hubungan mereka mula tersebar dan salah satu punca menyebabkan mereka putus tunang adalah bermula dari mulut aku?

Tak boleh, tak boleh. Bahaya. Kalau aku cerita pada semua orang bahawa Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mangkat mesti aku akan kena tangkap, walau hakikatnya berita itu benar. Tapi sekarang Tuanku masih hidup.

Kalau aku sebarkan cerita Brad Pit akan berkahwin dengan Jennifer Aniston dua tahun dari sekarang dan kemudian akan bercerai dan ada hubungan dengan Angelina Jolie, mesti mereka tak percaya. Dan mungkin aku di anggap penyebar fitnah dan atau pun kalau ada yang percaya mesti akan anggap aku ni… pengamal ilmu hitam!

Memang tak boleh jadi ni. Aku tak boleh dedahkan kelebihan diri aku. Kalau ada pihak jahat yang tahu, mesti akan gunakan aku untuk melakukan kejahatan dan kemudian aku akan menjadi orang paling jahat di dunia yang menyebabkan masa depan huru-hara! Tak boleh jadi!

Tapi… aku boleh jadi pengasas facebook? Aha! Lepas ni aku kena belajar macam mana nak buat facebook!

Yes! Nanti aku bakal jadi jutawan muda!

“Sal, kau ni kenapa? tersengih-sengih seorang diri, kena sampuk ke?” Jannah menyapa. Aku tersentak.

“Jannah, kau jangan cerita pada sesiapa pun yang Era dan Awie akan putus tunang tau. Aku saja-saja buat cerita je.” Balas aku mula risau.

Jannah tergelak kecil, “Tahu pun takut.” Dia memandang sinis.

“Tapi… aku akan jadi jutawan muda masa umur aku 23 tahun. Aku akan bina satu laman sosial yang sangat popular yang akan mengegarkan dunia maya!” Aku tersenyum penuh bermakna.

Aku tahu apa aku nak buat lepas ni. Mark Zuckerberg, minta maaf aku terpaksa ambil idea kau. Kau pun dapat idea ni dari orang lain juga kan? Jadi tak salah kalau aku jadikan idea kau sumber inspirasi aku. Nanti aku nak guna nama… Mat Zubir!

BERSAMBUNG.....



No comments: