Intan payung kami...

Friday 26 July 2013

Bab 15 : Terukir Cinta a.k.a TCDB


Bab 15


Okey, aku mengaku aku salah. Aku tarik balik kata-kata aku hari tu yang Imran ni lelaki tak guna sebab pagi ni dia dah buktikan pada aku dia seorang yang bertanggungjawab.
Pagi tadi dia telefon dan tunggu aku depan rumah untuk hantar aku ke tempat temu duga. Aku dah tak marah dia lagi sebab semalam dia telefon dan pujuk aku. Dia janji akan berbincang soal kahwin selepas dia selesaikan beberapa kerja.
 Sekarang ini aku berada di tengah-tengah bilik yang agak luas. Dikelilingi tingkap bercermin hitam, terbentang luas pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur.
Nun di sana tersergam indah Bangunan Berkembar Kuala Lumpur, mercu tanda kemegahan warga Malaysia. Langit membiru awan bertompok-tompok menambahkan lagi keindahan panorama hutan Kuala Lumpur melalui bangunan setinggi 25 tingkat ini, bangunan yang bakal menjadi taman ‘permainanku’. Mungkin.
Aku aku menarik nafas dalam sambil membetulkan blazer yang dipinjam dari Hara, menanti soalan yang bakal ditanya oleh para penemu duga. Hari ini dua orang penemu duga bakal menyoal aku. Puan Hamidah dari bahagian sumber manusia dan Encik Abu Bakar, pengurus bahagian pemerolehan.
“Boleh ceritakan tentang diri awak?” soal Puan Hamidah sebaik sahaja dia memperkenalkan dirinya pada aku.
Wanita bercermin mata tebal, dengan tudung ala-ala mak cik nak jemur kain dengan jambul terkeluar dekat depan. Garis wajah menampakkan seperti dia berusia 40-an. Aku senyum menarik nafas dalam. Syukur, memang aku sudah bersiap sedia dengan jawapan untuk soalan ini.
“Nama saya Nadia Husain umur saya 30 tahun tapi tiga bulan dari sekarang akan jadi 31 tahun, masih bujang. Saya mempunyai beberapa tahun pengalaman sebagai Tender Eksekutif. Saya juga seorang yang rajin bekerja dan bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam kerjaya. ”
Sengaja aku tekankan ayat ‘masih bujang’. Sebab Yatie nasihatkan aku jika mahu bina kerjaya binalah sebelum kahwin. Sebab status ‘kahwin’ menyebabkan para majikan sedikit gerun. Kenapa? Alasan mereka, biasanya wanita yang sudah kahwin akan kerap ambil emergency leave.
Jangan marah aku, sebab alasan itu berdasarkan kajian secara rambang yang dibuat oleh Yatie di tempat kerjanya. Sama ada kajian dia betul atau tidak aku sendiri pun tak pasti. Namun demi langkah berjaga-jaga, aku setuju dengan hasil kajian tidak rasminya itu.
“Boleh awak jelaskan apa kelemahan awak?” Soal Puan Hamidah lagi, merenung tepat ke wajah aku.
Aku menelan air liur. Kelemahan? Okey, tips temuduga yang aku baca semalam pesan, mengaku saja kita memang ada kelemahan tapi pastikan jawapan itu memuaskan hati penemu duga.
“Saya sangat susah untuk mengatakan tidak. Disebabkan kelemahan itu orang lain suka mengambil kesempatan ke atas diri saya, contohnya, saya pernah diminta oleh seorang senior untuk selesaikan kerja dia sedangakan pada ketika itu saya sangat sibuk untuk menyediakan tender. Walau bagaimana pun saya tetap pastikan kerja saya siap pada waktu yang ditetapkan.” Penuh yakin aku menjawab.
Wah, panjang kan? Tapi inilah jawapan klise yang perlu aku jawab demi memuaskan hati mereka.
Kemudian beberapa soalan lain pula ditanya dan aku berjaya jawab soalan-soalan itu dengan jayanya.
“Kenapa…” tiba-tiba Puan Hamidah bersuara dan berhenti seketika kemudian melihat borang pemohonan aku sekali lagi dan kembali memandang aku.
“Kenapa… Cik Nadia ingin menyertai syarikat kami?” Dia memandang aku dengan wajah serius.
Alamak! Bukan ke sepatutnya dia tanya pengalaman aku dulu? Biasanya soalan ni di akhir sesi? Nak aku jawab ikhlas atau jawapan skema? Tapi emak ada cakap kalau kita jujur kita akan dibalas dengan kebaikan. Baiklah, kenapa aku nak kerja dengan syarikat ni?
1.   Sebab aku mahu gaji yang lebih besar dari sekarang.
2.   Aku dengar syarikat ni memang tak kedekut bagi bonus.
3.   Aku juga dengar, syarikat ini selalu buat trip melancong untuk staff ke luar Negara-setiap-tahun!
4.   Untuk buktikan kepada emak yang teori aku ‘Tak ada ijazah pun tak apa, asalkan ada pengalaman mesti akan dapat kerja yang bagus dan gaji yang besar.’
Tapi, aku tak boleh bagi tahu semua alasan ini sebab jawapan aku itu sangat tidak professional. Dan kebarangkalian untuk tidak dapat kerja sangat besar.
Aku senyum, tarik nafas dalam dan kemudian menghembus perlahan. Aku memang sudah bersedia dengan jawapannya.
“Sebab, saya ingin mencari pengalaman yang lebih mencabar dan…” belum pun sempat aku habis jawapan yang aku hafal semalam, Puan Hamidah menyampuk.
“Kalau nak pengalaman yang lebih mencabar kenapa tak apply jadi askar ke, tentera laut ke, lagi mencabar, kan Encik Abu?” Dia tersenyum sinis, memandang sekilas pada Encik Abu Bakar.
Lelaki itu tergelak kecil.
Alahai! Loyar buruk pulak mak cik ni, nanti aku jawab soalan sarkastik dia tu baru tahu! Tak apa, bertenang Nadia, dia bergurau saja tu. Aku tersenyum seraya menghela nafas perlahan lalu bersuara.
“Dan… saya mahu gaji besar.” Aku tersenyum sambil menarik nafas lega. Nah, ini memang jawapan jujur dari aku.
Serentak kedua-duanya menoleh ke arah aku. Tahu pun terkejut. Lain kali jangan nak sarkastik dengan aku!
Puan Hamidah membelek resume aku sambil membetulkan cermin mata tebalnya, kemudian dia tersenyum sinis.
“Baiklah, kalau saya tengok pengalaman awak. Agak menarik dan sebenarnya memang kami mencari calon yang sudah biasa handle tender-tender besar. Dan syarikat awak bekerja sekarang pun one of our contractor.” Puan Hamidah terus membelek resume aku kemudian menunjukkan sesuatu kepada Encik Abu Bakar.
Aku menarik nafas lega, tersenyum bangga. Ya. Aku tahu memang aku seorang pekerja yang bagus dan layak berkerja di Emas Holding. Bukan aku syok sendiri, tapi itulah hakikatnya. Tak percaya?
“Kenapa awak tak sambung degree?” Tanya Puan Hamidah, memandang serius pada aku.
Erkk?
Secara automatik tangan kanan aku mengosok-gosok leher yang tiba-tiba meremang.
“Memang…emm… ada dalam planning saya… puan, Insya-Allah tahun depan saya akan ambil secara part-time.” Aku berdeham perlahan. Nampaknya, terpaksa tambah satu lagi senarai baru untuk azam tahun hadapan.
Kedua-dua mereka mengangguk-angguk kepala. “Bukan apa, syarikat kami sangat mementingkan kualiti. Bukan saya nak kata mereka yang tak ada degree tak berkualiti. Cuma, standard kami memang mementingkan mereka yang ada ijazah dan disertai dengan pengalaman.” Tambah Puan Hamidah.
Aku sekadar mengangguk-anggukkan kepala aku. Kalau emak dengar ni, mesti terguling-guling mak ketawakan aku. Padan muka aku!
“Okey, berbalik pada soal kerja. Kalau kami biarkan awak handle tender seorang diri atau kurang pengawasan, awak yakin awak boleh buat?” Akhirnya Encik Abu Bakar bertanya, dari tadi dia hanya mendengar. Wajah dia ketika bertanya sangat serius dan sangat menakutkan!
Aku menelan air liur, tiba-tiba terasa tekak aku kering kontang. Soalan apakah ini? Adakah soalan sengaja mahu memasang menjerat ataupun memang mereka mahu melihat kesungguhan aku?
“Insya-Allah boleh, saya sudah biasa bekerja tanpa pengawasan yang sepenuhnya. Cuma mungkin untuk tender pertama saya perlu bantuan mereka yang berpengalaman, tapi bila saya sudah biasa, tak ada masalah kalau saya handle seorang diri.”
Aduh! Kenapa aku bagi jawapan mengarut macam tu? Mana mampu aku hendak buat tender seorang diri? Buat dengan empat orang staff pun dah kelam kabut inikan pula seorang diri? Tapi, takkan aku nak jawab…
‘Susah Puan, buat tender besar ni perlu kakitangan yang cukup… mana boleh buat seorang diri, pengsan saya.
Nanti sah-sah mereka pangkah aku. Tak mengapa Nadia, masa temu duga beginilah kau patut jual diri kau betul-betul, soal mampu ke tidak itu kau fikir selepas dapat kerja nanti. Takkan syarikat besar macam ni biarkan kau seorang diri buat kerja-kerja tender tu, mesti ada team lain. Kan?
Sekali lagi Puan Hamidah tersenyum. Okey, gelaklah sekuat mana yang kau mahu. Aku tahu jawapan aku itu memang tidak relevan langsung. Tapi aku terpaksa. Nanti kalau aku cakap tak sanggup, takut dia cakap aku pemalas pula atau tak tahan pressure atau… biarlah.
“Awak biasa handle tender seorang diri?” tanya Puan Hamidah lagi dengan dahi berkerut memandang wajah aku.
Kerutan di dahi dia itu aku tak pasti sama ada dia tak percaya dengan jawapan aku atau pun dia terlampau kagum dengan kehebatan aku. Jadi, apa perlu aku jawab ni?
Okey, sekali ini sahaja aku tipu, selepas ini aku janji aku akan bercakap benar. Lantas aku mengangguk. Ya, dalam erti kata sebenar memang seperti aku handle seorang diri. Sebab Tender Executive kami cuma tahu mengarah saja. Aku yang cari dokumen yang susun semua dokumen.
Aku juga yang sediakan budget tender, sehingga menolak troli bawa turun bungkusan tender ke budak runner pun aku yang buat tapi… kemudian lekas-lekas aku menggeleng. Tak boleh, aku kena jujur. Kedua mereka berkerut-kerut memandang ke arah aku.
“Kami buat bersama, mengikut job scope masing-masing.” Aku tersenyum pahit, menelan air liur resah.
“Habis tadi saya tanya, awak cakap awak boleh handle seorang diri.” Tanya lelaki itu pula, memandang sinis pada aku.
Aku berdeham perlahan, tercari-cari kata yang sesuai. Kalau aku jawab jujur senang cerita tidak payah aku hendak pusing sana-sini. Tapi, takkan aku nak bagi tahu yang Tender Executive tempat aku kerja tu hanya tahu mengarah dan yang buat semuanya adalah aku. Kalau dilihat secara kasar, itu kiranya macam buat seorang diri juga, kan?
Tapi aku tak boleh cakap macam tu, takkan tengah temu duga aku nak bergosip pasal senior aku yang pemalas tu pulak? Bahaya, silap-silap nanti mereka terus tolak pemohonan aku!
“Ya, secara logiknya memang saya tak mampu nak handle tender-tender besar seorang diri. Tapi maksud saya ‘handle seorang diri’ adalah dibawah pengawasan yang minimum dan dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.” Aku buat tanda koma dengan dua jari telunjuk aku pada perkataan ‘handle seorang diri’ harap-harap mereka faham.
Kedua mereka saling berpandangan, seperti menghantar isyarat meminta salah seorang dari mereka terus bertanya. Tapi, dari riak wajah itu aku semacam dapat rasa yang aku tak akan berjaya. Puan Hamidah tu dari tadi asyik senyum sinis aje.
“Where would you like to be in your career five years from now?” soal Encik Bakar pula.
Hah? Kenapa orang yang nak temu duga ni suka sangat salin soalan bocor ni? Tak ada soalan lain ke nak tanya? Sah-sah semua orang ada keinginan nak ambil alih tempat duduk dia orang sekarang ni. Takkan selama-lamanya nak jadi kerani cabuk. Nanti kalau aku jawab…
“I’ll take your place… difinitley!” Yaaa! Apa aku dah cakap ni! Lekas-lekas aku tutup mulut dengan kedua belah tangan.
Terbeliak mata Puan Hamidah dan Encik Bakar memandang aku. Shoot! Sah-sah aku tak akan dapat kerja ni!
“I mean…” aku telan air liur. “Someone like you… I mean… naik pangkat.”
Kedua-duannya diam, hanya bibir mengukir senyuman sinis kemudian membelek-belek resume dan fail aku.
“Cik Nadia mungkin ada ingin bercakap sesuatu pada kami, sebelum sesi temuduga peringkat pertama ini selesai?”
Berkedip-kedip aku memandang mereka, peringkat pertama? Ada berapa ‘tingkat’ sesi temuduga ini sebenarnya? Huh! Aku paling benci kalau temuduga ada bertingkat-tingkat ni. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku cakap…
“Oh! Emas Holding ambil lah saya jadi staff. Rugi kalau tak ambil saya, sebab saya memang pekerja yang penuh dedikasi, setia, ikhlas dan…” okey cukup.
Aku menggeleng. Cukuplah, kalau boleh aku nak habiskan sesi ini dengan cepat. Naik ngeri aku tengok muka Puan Hamidah yang dari tadi asyik tersenyum sinis. Macam nak bagi tahu yang aku ni tak layak!
“Baiklah, buat masa ini setakat ini sahaja. Kami akan hantar surat kepada Cik Nadia untuk memaklumkan sama ada Cik Nadia berjaya atau pun tidak untuk temu duga kali ke dua.” Lelaki itu bersuara memandang tepat wajah aku.
Aku angguk kepala
“Terima kasih Puan Hamidah dan Encik Abu Bakar kerana memberi peluang untuk saya menghadiri temuduga pada hari ini.” Aku hulurkan tangan untuk bersalaman dengan gaya eksekutif yang sangat professional. (Ini tips yang aku baca semalam)

BERSAMBUNG 

No comments: