Intan payung kami...

Wednesday 20 November 2013

Diary Mrs. Ben : Bab 2



Bab 2

Sebelum aku cerita siapakah Mr Ben yang ‘bertuah’ ni… meh aku cerita sikit siapa aku dan kenapa aku terpaksa buat keputusan yang ‘menakutkan’ itu!
Nama aku Sofia. Melayu tulen. Anak jati Pahang. Umur sekarang 34 tahun! Lepas habis kolej aku terus berhijrah ke Kuala Lumpur. Sementara mendapat kerja tetap aku kerja sana-sini, itu-ini dan akhirnya aku mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakan aku di syarikat travel agensi. Memang nasib aku sangat baik. Tapi… hanya sepuluh tahun… setahun lepas terjadi satu perkara yang langsung aku tak pernah terfikir.
“Saya minta maaf. Pihak syarikat terpaksa berhentikan perkhidmatan awak,” ujar encik Halim sambil menolak sampul surat berwarna putih ke arah aku.
Aku tergamam. Berkelip-kelip mata aku merenung wajah encik Halim. Seakan tidak percaya akhirnya khidmat aku selama sepuluh tahun ditamatkan begitu sahaja.
“Saya harap imbuhan yang pihak syarikat berikan cukup untuk awak guna sebelum mendapat kerja baru,” ujar encik Halim lagi.
“Ini yang saya dapat setelah sepuluh tahun saya berkhidmat?” tanya aku dengan nada menyindir.
“Haish, dah banyak tu. Cuba awak tengok dulu cek tu,” Encik Halim tersengih.
Aku mendengus kasar. “Bukan soal duit yang saya maksudkan. Tapi, ini, diberhentikan. Ini balasan yang saya dapat?” soal aku meninggikan suara. Geram.
Terdengar encik Halim menghela nafas perlahan. “Awak kena faham, keadaan syarikat sekarang amat tenat. Travel agensi dah tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Pula tu, rata-rata rakyat Malaysia ni dah pandai travel tanpa guna agensi. Kalau keadaan begini berterusan mungkin dalam beberapa bulan lagi syarikat ni akan lingkup. Jadi, untuk mengelak perkara buruk terjadi pada awak. Pihak syarikat terpaksa lepaskan awak lebih awal sementara duit syarikat masih ada.”
Aku tersenyum sinis. “Baiknya. Duit yang sedikit sanggup diberikan semuanya kepada saya,” ujar aku sambil menjeling jumlah yang tertera pada cek yang diberi. Emmm… banyak juga. Tapi, duit kut… sekelip mata je boleh susut kalau tak kerja.
“Syarikat memang perihatin. Lagi pun, banyak jasa awak pada syarikat,” Encik Halim tersenyum meleret.
Pelik, dalam keadaan syarikat yang bermasalah (kononnyalah) boleh pula dia senyum sampai ke telinga ketika menyingkirkan pekerja yang kononnya kesayangan pihak syarikat. Emmm…
“Habis tu, kalau nanti ada syarikat semakin pulih, saya macam mana? Pihak syarikat akan panggil saya bekerja balik ke?” tanya aku, menyindir sebenarnya.
Encik Halim berdeham perlahan. “Ya. Mestilah. Pengalaman awak sangat mahal. Rugi kalau kami tak ambil balik,” mata dia berkelip-kelip.
Huh. Nampak sangat dia menipu. Ini mesti kes dia orang tak perlukan khidmat aku sebab nak naikkan pangkat kaum kerabat dia orang ni. Dasar majikan kejam!
Aku bingkas bangun. Malas nak mengadap muka encik Halim lama-lama. Makin lama pandang makin sebu perut aku.
“Saya harap awak berjaya mendapat kerja di tempat yang lebih bagus dengan gaji yang lebih lumayan,” ujar encik Halim sambil menghulurkan tangannya pada aku.
“Terima kasih. Jangan risau. Dengan pengalaman saya ni memang ramai yang akan berebut,” balas aku sengaja sarkastik. Tanpa menyambut salam dia aku terus beredar.
***
Sepuluh tahun aku kerja dengan travel agensi tu, aku dah pergi ke merata tempat. Tanya saja mana-mana tempat memang aku boleh bercerita panjang lebar. Nak percutian budget? Percutian mewah atau sederhana semuanya aku boleh cadangkan. Serius, memang aku sangat pakar. Dan rata-rata klien semua sukakan aku, mungkin sebab aku ramah dan… cantik sikit kot dari pekerja yang lain. hehehe…
Tapi…
Selepas hampir setahun menganggur, sampai sekarang aku tak dapat kerja lagi ni!
Sejak hari pertama aku bergelar penganggur memang aku tak pernah berhenti menghantar resume ke tempat lain. Setiap temuduga aku pergi namun tak ada satu pun rezeki aku. Duit simpanan makin susut. Cukup-cukup untuk bayar sewa rumah lima bulan dan bayar kereta lima bulan.
Lima bulan sekejap saja. Pejam celik pejam celik alih-alih dah cukup lima bulan. Tidur malam aku dah semakin tak lena tapi makan tetap kenyang.
Aku dah buntu tak tahu nak buat apa lagi ni. Semua syarikat yang aku pergi temu duga kata gaji aku terlalu tinggi. Dia orang boleh tawar kerja jika aku turunkan gaji mengikut kehendak mereka, tapi aku tak setuju. Mengarut, dengan pengalaman sepuluh tahun dia orang nak turunkan gaji aku sama level dengan budak-budak yang baru keluar kolej?
Apa kes?
Aku tak kisahlah kalau nak kurangkan sikit, boleh lagi aku bertolak ansur. Tapi ini separuh dia orang nak kurangkan. Kalau aku terima, aku nak makan apa? Tolak bayar sewa rumah, tolak bayar kereta, tolak bayar bil itu ini, gaji dah habis. Melampau sungguh dia orang ni!
Jadi… tanam anggurlah jawabnya.
Hari ini untuk menghilangkan rasa bosan aku memandu kereta myv menuju ke One Utama. Tidak lama lagi mungkin myv kesayangan aku ni bukan lagi jadi milik aku. Aku tak mampu nak bayar lagi, jadi terpaksa jual.
 Sampai di One Utama, aku terus mengatur langkah ke Golden Screen Cinema. Waktu kerja macam ini lah elok aku pergi tengok movie, tak perlu bersesak dengan orang ramai. Namun, sedang aku beratur hendak membeli tiket tiba-tiba terdengar nama aku dipanggil oleh seseorang.
“Sofia!”
Mula-mula aku buat-buat tak dengar saja. Yalah, mungkin ramai lagi yang nama sama dengan aku tapi kalau sudah berkali-kali terdengar nama aku dipanggil, mungkin betul orang tu panggil aku. Lalu aku menoleh ke belakang.
Sebaik saja terpandang wajah dia, dahi aku berkerut. Terlihat seorang lelaki yang berpakaian sangat stylo melambai tangan ke arah aku. Siapa pula ni? Rasanya aku tak pernah ada kawan yang dress up ala-ala model ni. Dia memakai skinny casual pants berwarna kelabu dipadankan dengan cardigan hoodied berwarna biru turquoise dan di kepalanya melekat snow cap berkait berwarna hitam, hampir menutup sebahagian dahinya. Dia berjalan menghampiri aku. Dia salah orang ke? Dia terus melangkah ke arah aku sambil membetulkan snow cap di kepalanya.
Oh my! Dia? Aku kenal dia! Sangat kenal!

 BERSAMBUNG...





4 comments:

zjirha said...

mr ben.. teruja nak kenal dia juga!!..

Unknown said...

hehe.. anna lee.. ku teruja ni...

Anna Lee said...

Zjirha & Zachry - hahaha... tunggu tak lama lagii. korg boleh berkenalan.. :)

Anonymous said...

Definitely a great post. Hats off to you! The information that you have provided is very helpful. judi gaple online