Intan payung kami...

Monday 18 March 2013

Bab 6 : Aku dan Dia, Pinky Promise.



Petang ini tak ramai penggunjung yang melepak di gerai ABC. Aku menarik nafas lega, selalunya kita orang terpaksa tunggu lama sebelum mendapat tempat duduk yang hanya ada beberapa meja saja.

“Tadi kau cakap nak bagi tahu rahsia?” Tanya Lina ketika kita orang tiba di meja makan.

Aku  termenung  seketika. Sedang mempertimbangkan sama ada berterus terang dengan mereka atau pun, rahsiakan saja?

“Kau orang nak ABC macam biasa ke?” Tanya mak Limah, sekali gus menyelamatkan aku dari menjawab pertanyaan Lina sebentar tadi. Aku mengangguk, kemudian kedua mereka mengangguk.

“Rahsia apa?” Hanim menyampuk dengan wajah teruja. Dia menarik kerusi  mendekati aku.

Sudah, apa aku nak cakap ni? Nanti kalau aku cakap semuanya dia tak percaya pula?

“Kalau aku cakap, aku pernah berada di zaman depan kau orang percaya tak?” Soal aku perlahan.

“Oh, sebab tu kau tanya fasal filem back to the future tu ya, sebab kau baru balik dari sana?” Lina kelihatan seperti mempercayai cakap aku. Aku mengangguk laju. Gembira tidak terkata. Akhirnya, ada juga teman yang mempercayai aku. Terharunya!

“Mak dia pesan, layan je apa yang dia cakap.” Aku terdengar Lina berbisik pada Hanim. Ceh, berlakon rupanya!

Aku tahu dia tak berniat nak berbisik pun. Mesti nak perli aku tu! Hanim pula tersengih-sengih mengangguk.

“Jadi, ceritalah. Apa yang kau nampak?” Soal Hanim masih dengan wajah teruja. Berlakon tak habis-habis! Aku mencemik.

“Cepatlah cerita. Aku pun nak tahu ni.” Lina mengenyitkan matanya pada Hanim. Keduanya kelihatan seperti menahan senyum.

“Ah! Malas aku nak cerita. Kau orang bukan nak percaya pun.” Aku menarik wajah masam. Kecil hati pun ada. Tadi bukan main konon nak percaya aku.

“Ceritalah dulu. Kalau perkara tu terjadi seperti mana yang kau cerita, baru aku akan percaya.” Sampuk Lina.

Baiklah, kau orang ingat aku ni menipu ya.“Kejap aku fikir perkara apa yang akan terjadi dalam masa terdekat ni.” Aku mula tercari-cari apa jua peristiwa yang pernah berlaku. Kalau nak bagi tahu fasal Era dan Awie lambat lagi. Fasal Siti Nurhaliza pun lambat lagi.

Emmm… Fasal apa ya?

“Aha… hujung bulan tiga nanti mak Limah akan tutup kedai ni dan berpindah.” Ujar aku dengan bangganya. Dia orang berdua melopong memandang aku.

“Kalau salah?” Tanya Lina.

“Kalau dia tak pindah juga, aku akan belanja kau orang berdua makan ABC ni tiap-tiap hari selama sebulan tapi semangkuk seorang. Amacam, setuju?” Aku tersenyum meleret.

“Sangat setuju!” Balas Hanim tersengih.

“Okey, tapi kalau aku betul… aku nak kau orang berdua percaya apa sahaja yang akan aku bagi tahu kau orang fasal masa depan. Setuju?”

Lina mengangguk. “Okey, tak ada masalah.” Dia memandang Hanim. Hanim mengangguk setuju.

“Set!”

“Lagi?” Tanya Hanim.

“Kita akan belajar satu universiti.” Balas aku.

“Memanglah, itu yang kita rancang selama ni, kan?” Lina mencemik.

“Tunang aku model.”

Serentak itu terdengar tawa mereka meledak. Emmm… tak guna aku bagi tahu pun.

***

Sementara menunggu ABC kami sampai, Lina dah Hanim berbual panjang mengenai hal sekolah pada hari ini dan yang pastinya setiap perkara itu langsung aku tak ingat.

Mereka bercerita tentang Cikgu Zana akan bertukar, Siapa cikgu Zana? Kenapa aku tak kenal? Kemudian tentang spot check dan ada budak lelaki kelas kami ni kantoi bawa rokok. Tentang pertandingan Coral Speaking yang aku pun terlibat sama. Tentang Farisha yang bergaya dengan bag sekolah mahalnya.

Kenapa aku lupa semua ni? Ya, aku ingat Farisha, dia ada hantar pesanan pada aku minta aku hadiri reunion tapi aku lupa kisah dia dan beg sekolahnya.

Mak Limah membawa tiga mangkuk ABC ke meja kami. Dia tersenyum memandangku.

“Mak Limah dengar kamu pengsan lagi pagi tadi?” Tanya mak Limah sambil mengagih-agihkan mangkuk kepada kita orang bertiga. Aku mengangguk.

“Kenapa kamu pengsan? Kamu terjatuh ke?” Tanya mak Limah memandang aku dengan penuh minat. Lina dan Hanim turut sama memandang aku dan aku terkedu, tidak tahu nak jawab apa.

“Aha… tergelincir.” Balas aku berdalih. Kalau cakap terkejut sebab tengok Sara, nanti panjang pula ceritanya.

“Habis tu, tak pergi hospital? Bahaya tau kalau dibiarkan. Mana tahu ada masalah dalaman.” Balas mak Limah dengan penuh perihatin.

“Saya dah suruh, tapi dia degil. Katanya dia okey.” Sampuk Lina menjeling pada aku. Aku faham maksud jelingan dia tu.

Aku tersenyum. “Mak Limah, sedap sungguh ABC mak Limah ni, memang tak ada tandingan. Saya memang rindu sangat-sangat.” Puji aku bersungguh-sungguh. Pertama memang aku puji ikhlas dan kedua, saja aku nak elak bersoal jawab mengenai hal pengsan tu.

Lina dan Hanim saling berpandangan, mak Limah memandang kehairanan pada aku.

“Haish, kamu ni, macamlah dah bertahun kamu tak makan ABC ni. Semalam baru dua tiga hari lepas kamu minum dekat sini.” Balas mak Limah menjeling pada aku.

“Alar, saja dia nak puji mak Limah tu.” Balas Lina tersengih.

“Mak Limah tak payah pindahlah, terus je berniaga dekat sini. Nanti saya rindu nak minum ABC ni.” Ujar aku lagi.

Serentak itu air muka mak Limah berubah kelat. “Siapa cakap mak Limah nak pindah?” Tanya mak Limah. Hanim dan Lina pun merenung pada aku.

“Emmm… tak ada siapa pun. Saja nak warning awal-awal kat mak Limah.” Jawab aku tersenyum kecil.

“Haish… tak adanya aku nak pindah. Aku sayangkan kedai ni.” Ujar mak Limah menggeleng kepala lantas berlalu pergi.

“Aku pelik dengan kau ni. Dari tadi asyik cakap mengarut je.” Ujar Lina sebaik sahaja mak Limah beredar.

“Ala, dia baru baik dari pengsan. Mesti kepala dia berpusing lagi tu.” Balas Hanim menaikkan keningnya ke arah aku. “Jadi ke kau pindah kelas ni?” Soal Hanim kelihatan berminat ingin tahu. “Pindah satu kelas dengan akulah. Nak?” Pelawa Hanim.

Aku mengangguk. “Kalau pihak sekolah izinkan.” Balas aku perlahan.

Risau menyerbu hati. Aku ada masa lima belas tahun lagi untuk membaiki segalanya. Dan aku akan pastikan pada usia aku 32 tahun, segalanya sudah cukup lengkap. Aku memiliki kerjaya yang aku inginkan, aku dah ada suami dan anak-anak yang comel. Daniel akan jadi juru terbang dan model sambilan.

Jika semuanya menjadi kenyataan, pada waktu itu dengan gembiranya aku menerima jemputan menghadiri perjumpaan bekas pelajar.

BERSAMBUNG...

No comments: