Intan payung kami...

Thursday 25 April 2013

Bab 15 : Aku dan Dia, Pinky Promise.


Bab 15


Selepas membeli makanan, sepinggan mi goreng dan segelas air sirap aku berjalan ke meja di hujung kantin. Sengaja pilih meja yang agak jauh dari pelajar. Lagi pun, dari situ aku dah boleh nampak keseluruhan kawasan kantin. Aku rindu berada di kantin sekolah. Rindu melihat gelagat para pelajar yang bergasak-gasak mahu lekas membeli makan lepas habis makan melepak dekat lorong.
Lorong, kawasan lepak yang sangat digemari oleh pelajar lelaki. Lorong yang menghubungkan bangunan pentadbiran dan bangunan kelas pelajar. Sambil lepak sambil kacau pelajar perempuan yang lalu-lalang.
Bagi pelajar perempuan yang gatal, kawasan koridor itu memang menjadi laluan yang paling disukai. Tetapi bagi pelajar yang suam-suam kuku gatal seperti aku, kawasan itu menjadi kawasan yang paling dibenci. Sebab rata-rata yang melepak dekat situ adalah budak-budak nakal yang mulut celupar. Harap muka saja boleh tahan, tapi perangai… nauzubillah. Dan salah seorang penghuni tetap koridor itu adalah… Azri!
“Sal… Sal…” panggil Hanim. Hampir tersedak bila dia menepuk bahu aku. Dia mengambil tempat kosong di sebelah.
“Kau ni kenapa?” Aku menjeling sebal. Wajah Hanim kelihatan cemas. Dia tertoleh ke kiri dan kanan. Apa kes pula minah ni?
“Kau kena tolong aku.” Hanim memegang lengan aku. Dia berbisik ke telinga aku. Serta merta wajah aku terasa panas.
“Lar! Kenapa kau bawa ke sekolah!” Aku mencebik geram.
“Bukan aku bawa, Dyah yang bawa. Minggu lepas aku bagi pinjam, jadi hari ni dia pulangkan.” Bisik Hanim cemas.
Aku mendengus kasar. “Kau pun satu, kenapa tak suruh dia pulangkan lepas waktu sekolah?”
“Aku tak tahu pula hari ni ada sport check. Tolonglah.” Rayu Hanim lagi. Aku serba salah.
“Habis tu, kalau kelas aku pun ada sport check macam mana? Kau nak aku kantoi?”
“Kau ni, takkan tak tahu budak kelas kau ada tempat rahsia untuk sorok barang-barang terlarang?” Tanya Hanim.
“Aku tak tahu pun.” Dahi aku berkerut.
“Haish, kau ni, nanti kau tanya budak kelas kau tempat rahsia tu. Budak lelaki kelas aku selalu sorok kat situ. Tapi bila aku minta tolong tadi dia orang minta bayar pulak! Hampeh je!”
Aku mendengus kasar. “Okey. Tapi, kalau aku kantoi macam mana?” Balas aku geram.
“Dijamin kalau simpan dekat situ tak akan kantoi. ” Jawab Hanim dengan mata bercahaya, memegang erat lengan aku. “Lagi pun, aku ni penolong kelas. Kalau aku kantoi, habis jawatan aku.” Sambung  Hanim lagi setelah aku berdiam diri agak lama.
“Kau orang ni memang klasik betul lah.” Keluh aku geram. “Mana? Cepat letak dalam poket baju aku.” Balas aku sambil menoleh ke kiri kanan.
“Terima kasih Sal! Kau memang kawan terbaik!” Ujar Hanim teruja.
“Kau bungkus tak?” Tanya aku mencerlung. Kalau tak bungkus mahu tak sempat sport check aku yang akan terkantoi.
“Mestilah bungkus.” Hanim tersengih lantas tangannya menyeluk poket baju kurung. Aku menggeleng kepala, menghela nafas panjang. Macam-macam budak ni!
“Petang nanti aku belanja kau ABC, eh.” Hanim tersenyum meleret. Aku mencemik.
***
“Hey, tu boyfriend kesayangan kau cari.” Azri menjuihkan bibirnya ke luar kelas. Aku segera menoleh. Terlihat wajah Asnan di luar kelas mengamit tangan memanggil aku keluar. Aku mendengus kasar, bingkas bangun.
Dating jauh sikit. Berbulu mata aku nanti.” Ujar Azri acuh tak acuh.
“Haish, dia nak apa lagi ni?” Aku mencemik.
“Pada hal dalam hati melompat-lompat.” Dia tersenyum mengejek sambil melakar sesuatu pada buku notanya.
Aku sempat menjeling, tak habis-habis nak perli aku! Dia terus asyik melakar, aku menjenguk. Dia ni memang tak ada kerja lain selain melukis?
“Jangan menyibuk boleh tak?” Dia mencerlung, membawa buku nota ke dada.
  “Kedekut!” Aku bergegas pergi.  “Ada apa?” Tanya aku pada Asnan.
“Kita ke hujung sana.” Ajak Asnan ingin melangkah pergi.
“Tak payahlah. Nanti apa orang cakap.”
Dia berhenti melangkah. Memandang serius ke arah aku. “Awak memang betul-betul berubah.” Ujar Asnan berbisik.
Aku mengalih pandangan. Memandang ke dalam kelas. Memerhati rakan-rakan kelas yang sedang bergembira. Apabila cikgu sibuk bermesyuarat dia orang apa lagi, sibuk berpesta!
Ada yang sedang rancak berborak. Budak-budak lelaki ada yang bermain gusti tangan. Pelajar perempuan pula sibuk bergosip, agaknya. Aku memandang ke belakang kelas. Entah kenapa kali ni mata aku seakan terpatri agar terus merenung Azri yang sedang asyik dengan buku notanya. Wajah dia kelihatan tenang.
“Jadi, betul lah apa yang saya dengar hari ni?” Suara Asnan mengganggu lamunan aku lantas aku menoleh ke arahnya. Aku sempat menangkap anak matanya menjeling ke belakang kelas. Memandang Azri!
“Apa yang awak dengar?” Tanya aku sekadar menguji.
Mesti kes nota yang dirampas cikgu Ariffin pagi tadi sudah merebak ke seluruh sekolah. Tak guna betul, siapa pula yang sebar cerita ni? Ini mesti kerja budak kelas ni juga!
“Tak payah saya jelaskan. Awak pun tahu, kan?” Dia tersenyum sinis.
“Habis tu, awak datang sini nak apa?” Tanya aku geram.
Riak wajah Asnan berubah cuak. “Saya tak sangka. Saya ingat awak berbeza dengan perempuan lain. Tapi rupanya sama saja! Gatal!” Wajah Asnan merah menyala.
“Jaga mulut awak ya!” Hati aku berombak kencang. Bukan kerana sedih, tapi kerana menahan marah. Kalau ikut hati aku mahu aku sembur je budak Asnan yang tak matang ni, tapi… sabar… sabar…
Dia tersenyum sinis. “Sebelum nak suruh jaga mulut saya, awak tu jaga sikit perangai. Harap muka saja lawa, tapi, dalam busuk!”
Muka aku lawa? Tiba-tiba hati aku kembang. Eh kejap, dia cakap apa tadi, Busuk? Dan tiba-tiba pula darah aku terasa mengelegak. Berani dia cakap aku busuk? Aku menjeling tajam. Ini dah melampau!
Tangan aku dah ringan-ringan mahu menampar mulut si Asnan ni. Tapi kalau aku turut kata hati mahu satu sekolah kecoh lagi. Sudahlah, kes nota baru bermula takkan aku nak tambah lagi kes baru?
Bertenang Sal!
“Setakat perempuan macam kau, sepuluh aku boleh cari. Kau dengan Azri tu memang sepadan! Sama-sama penyangak!”
“Eh, kenapa aku dengar macam ada orang sebut nama aku ni?” Tiba-tiba Azri muncul di belakang aku. Suffian dan tiga orang lagi rakan sekelas kami turut bercekak pinggang berada di belakang Azri.
Aku menoleh pada Asnan. Dia kelihatan seperti takut-takut. Aku mengulum senyuman. Lar, penakut rupanya!
“Lepas ni, kalau aku nampak kau lalu depan kelas kami memang nahas kau!” Azri mengugut. Konco-konconya di belakang mengangguk-angguk sambil masing-masing menggenggam penumbuk.
Tanpa bersuara Asnan terus beredar, sejurus itu terdengar Azri dan teman-temannya ketawa mengekek. Aku turut sama ketawa. Geli hati melihat wajah maco Asnan berubah kelat.
“Jadi… kau dah putus dengan dia?” Soal Azri ketika kami kembali ke tempat duduk masing-masing.
“Ya kot.” Balas aku acuh tak acuh, sambil mengeluarkan buku nota. Dari ekor mata, aku terlihat dia sedang tersenyum. “Kenapa kau senyum?”
“Mana ada?” Wajah dia kembali serius.
“Tadi kau senyum.” Aku memandang curiga. Memang mata aku tak silap.
“Empat mata yang kau ada tu tak cukup lagi ke?” Dia menyindir.
“Sebab ada empat matalah aku nampak kau senyum tadi.” Balas aku sebal.
“Aku tak senyum pun.” Balas dia acuh tak acuh kemudian bingkas bangun menghampiri meja Sufian.
Ceh. Tak nak mengaku! Memang sah-sah dia senyum tadi!

Bersambung... 


No comments: