Intan payung kami...

Saturday 30 March 2013

Bab 11 : Aku dan Dia, Pinky Promise


Keesokan harinya, ketika kaki melangkah masuk ke dalam kelas, terdengar riuh rendah suara mereka berbual dan bergurau. Terjerit, memekik. Suffian sedang galak mengusik pelajar perempuan sehingga ada yang menjerit geram. Ada satu kelompok pelajar sedang asyik berbual di hujung kelas.
Kapal terbang kertas berterbangan. Bangku terbalik. Kertas bersepah di lantai. Satu suasana yang agak asing bagi aku. Ketika dalam kelas sains dulu waktu begini masing-masing sibuk dengan buku. Menyiapkan kerja sekolah yang tak dapat diselesaikan di rumah. Tapi dia orang ni macam berpesta pula.
Aku menarik nafas dalam. Mencari kekuatan untuk terus melangkah ke meja. Ketika berjalan menghampiri meja terlihat dia sedang berpeluk tubuh merenung tajam ke arah aku. Dahi aku berkerut. Dari pandangannya seperti ada sesuatu yang tak kena. Aku membalas renungan dia. Dia ingat dia je yang boleh tenung orang macam tu?
Aku melabuhkan punggung, mengeluarkan buku. Tiba-tiba terasa kerusi disepak berkali-kali. Aku menoleh ke belakang.
“Apa?” Soal aku agak keras. Sudahlah serabut dengan kelas yang macam pasar borong, dia pula nak kacau aku.
Dia menceber. Menaikkan kedua bahunya dengan mata masih melekat pada wajah aku.
“Kau nak apa?” Ulang aku lagi. Dia terus buat muka menjengkelkan. Aku kembali menoleh ke depan.
“Aku nak kau berterus terang kenapa kau masuk kelas ni?” Akhirnya dia bersuara. Aku menoleh. Memandang sebal.
“Sebab cikgu yang letak aku dalam kelas ni.” Balas aku acuh tak acuh. Kembali menoleh ke depan, mengeluarkan semua buku dari beg. Lima belas minit lagi kelas akan bermula. Aku mengeluarkan buku geografi. Dan sekali lagi kerusi aku ditendang. Aku mendengus, menoleh ke arahnya.
“Apa?” Tanya aku sebal.
“Kelas!” Dia menjerit keras.
Serentak itu kelas yang bising tiba-tiba sunyi sepi. Semua kepala menoleh ke arah dia. “Siapa setuju perempuan ni disingkir dari kelas kita? Sila angkat tangan.” Lantas dia mengangkat tangannya.
Aku tersentak. Segera menoleh ke arah pelajar lain. Masing-masing kelihatan terpinga-pinga. Memandang sesama sendiri.
“Kenapa?” Soal Suffian memandang ke arah Azri. Aku turut sama menoleh pada Azri.
“Kau orang tak rasa semak ke?” Dia menjeling sinis.
“Tak.” Balas Suffian lantas menoleh ke arah rakan sekelas yang lain.
Masing-masing menggeleng. Dia mendengus kasar. Aku tersenyum sinis. Padan muka!
“Tapi aku tak suka perempuan ni ada dalam kelas kita!” Suara dia sedikit meninggi.
“Hey! Samseng!” Darah aku mula mengelegak. Budak ni langsung tak hormat orang! “Mulut kau tu diam boleh tak? Kau ingat kau tu hebat sangat dalam kelas ni?” Aku dah bercekak pinggang. Jangan sampai dia buat aku sinsing lengan!
“Aku pelajar kelas ni aku berhak bersuara.” Dia bingkas bangun, seperti hendak mencabar aku.
Kelas mula riuh-rendah. Ada yang setuju dengan dia dan ada yang tidak dan kebanyakkan budak lelaki setuju manakala budak perempuan memihak kepada aku.
“Setakat kelas hujung ni kau jangan nak berlagak sangat!” Marah aku tak dapat dibendung lagi. Serentak kelas yang riuh tiba-tiba sunyi sepi.
“Tengok! Dia hina kita lagi.” Dia tersenyum kemenangan, menjeling sinis pada aku. “Kalau kau rasa kau bijak sangat kenapa masuk ke kelas kita orang? Kenapa tak terus duduk dalam kelas sains tu!”
“Betul-betul.” Ada suara menyampuk.
“Blah lah weh!” Jerit Suffian. Azri tersenyum sinis.
“Kau ingat budak kelas depan je boleh berlagak?” Terdengar suara pelajar perempuan menyampuk.
Alamak habis aku! Apa perlu aku buat sekarang ni? Takkan aku perlu lari keluar dan mengadu dekat pengetua? Nanti tak fasal-fasal dia suruh aku masuk kelas asal aku.
“Kalau macam ni aku sokong je dia blah dari kelas kita. Menyemak je!” Terdengar suara lain menyampuk.
“Siapa sokong angkat tangan?” Suffian bersuara lantas mengangkat tangan.
Serentak satu kelas angkat tangan setuju supaya aku keluar dari kelas itu.
Aku terdiam. Hati aku mula sebak. Bukan ini yang aku harapkan berlaku. Tapi semua terjadi sebab silap aku juga.
“Aku minta maaf…” belum sempat aku bersuara Suffian segera memotong.
“Tiada maaf bagi mu.” Ujarnya diiringi gelak tawa pelajar lain.
Aku memandang kesemua wajah pelajar dalam kelas. Semuanya sedang ketawakan aku. Tentu Azri orang yang paling gembira sekarang ni. Mesti suara dia yang paling kuat ketawakan aku.
Mata aku menjeling ke arah dia. Pelik. Dia langsung tak senyum sebaliknya wajah dia seperti memandang simpati pada aku.
“Aku…” belum pun sempat aku bersuara, cikgu kelas pun masuk. Masing-masing bertempiaran lari ke tempat masing-masing. Aku kembali ke tempat aku.


Sepanjang hari tak ada seorang pun berbual dengan aku. Hajar di sebelah pun acuh tak acuh saja menjawab pertanyaan aku. Azri punya fasal lah ni!
Sebaik sahaja cikgu keluar aku bingkas bangun. Bergegas ke depan berdiri di depan kelas. “Kelas!” Panggil aku. Menarik nafas dalam.
“Aku minta maaf fasal pagi tadi. Aku tak niat nak hina sesiapa pun. Kalau aku hina kau orang itu maknanya aku hina diri aku sendiri juga. Tolong terima aku jadi kawan kau orang dalam kelas ni. Sebab aku lagi bodoh dari kau orang. Kalau ada kelas lagi hujung, aku percaya cikgu akan letak aku dekat situ. Tapi… disebabkan tak ada, jadi cikgu tumpangkan aku dalam kelas ni.
Lagi pun, kelas hujung ke… depan ke… bukan penentu seseorang tu boleh berjaya. Kalau duduk kelas depan pun belum tentu dia akan berjaya habis sekolah nanti. Pokok pangkalnya terletak pada diri kita, sejauh mana kita berusaha hendak berjaya.” Aku menghela nafas perlahan. Memerhati wajah mereka yang terus merenung wajah aku. Aku memandang dia. Seperti biasa dia berpeluk tubuh merenung tajam pada aku.
“Aku tak suka bergaduh dengan sesiapa. Jadi terimalah aku. Kalau kau orang tak suka aku… kemana lagi aku nak pergi.” Ujar aku menahan sebak.
Aku terus merenung wajah dia, mengharapkan dia faham bahawa aku ingin berdamai. Sekarang bukan masanya untuk kita orang bergaduh.
“Aku maafkan kau. Tapi tak bermakna aku akan buat baik dengan kau.” Suffian mencemik. Aku terus menanti yang lain bersuara.
“Apa-apa je.” Terdengar suara pelajar perempuan yang lain menyampuk.
“Okey, aku maafkan kau. Lepas ni jangan hina kita orang lagi.” Ujar Hajar.
Kemudian satu persatu mengangguk setuju. Aku menarik nafas lega. Tersenyum gembira. Aku menoleh pada dia. Cuma dia saja masih diam membisu. Lantaklah yang penting orang lain boleh terima aku.
Dengan bangganya aku berjalan masuk ke tempat aku, menghadiahkan senyuman yang paling sinis kepada dia. Kelas kembali normal. Masing-masing kembali bising seperti biasa. Hajar sudah mula tersenyum pada aku.
Tapi, kenapa dia bencikan aku? Apa salah yang aku dah buat?



BERSAMBUNG