Intan payung kami...

Sunday 21 April 2013

Bab 18 : Mencari Mr Charming


(Terima kasih kepada yang sudi klik LIKE pada page saya. Korang semua memang awesome! XOXO)

Episod : Kantoi part 2

Terasa darah dalam badan kering kontang! Macam baru sekejap tadi Edward Cullen (vampire yang paling kacak!) sedut semua darah aku. Lutut terasa longgar kalau tak kerana bertongkat di meja mahunya aku dah jatuh tergolek.
Ya ampun, malunya! 
“Awak buat apa tu?” Tanya dia melopong pandang aku.
Lekas-lekas aku larikan pandangan tak sanggup nak tengok badan dia yang masih berkain tuala tu. Aku pandang peti ais kemudian roti di atas meja.
Aku buat apa?
Takkan nak cakap tengah menari zapin? Mesti dia tanya kenapa awak menari? Tak ada muzik pun. Nanti tak fasal-fasal aku terkantoi. Lara cepat fikir!
“Ada lipas tadi Mr… erkk.. Sam.” Aku tersengih. “Banyak betul lipas tadi.” Bersungguh-sungguh aku kerutkan muka, konon nak suruh dia percaya aku tengah takut. Aku mengintai di bawah kitchen island. Bawah kerusi. Belakang bungkusan roti. Berlakon kena pandai beb!
“Puas saya halau dia datang balik. Puas saya mengelak sana-sini tadi. Kaki saya juga dia nak tuju. Tak pasal-pasal terpaksa menari zapin dekat dapur ni… heee.” Aku menyeringai, terus dengan lakonan mengintai di sana-sini. Harap-harap dia percaya.
“Mana pula Mr Li ni hilang…” Teruskan berlakon Lara! Aku pandang wajah dia sekilas. Terlihat dia sedang tersenyum kecil. Dahi aku berkerut.
Erkk… dia tahu aku tipu ke?
Lipas, tolonglah keluar selamatkan aku. Aku janji, kalau kau keluar sekarang ni juga, aku tak akan sembur kau dengan racun serangga sehingga tujuh keturunan kau. Cepatlah keluarlah selamatkan aku! Jangan biarkan aku terkantoi!
“Lara.” Si suara husky memanggil.
Jantung aku dah bergetar. Terdengar suara dia berbisik begitu hampir dengan aku. Lantas aku mendongak. Wah, dia betul-betul berada depan aku. Wajah dia kelihatan serius. Dia mengetap bibir sambil terus memandang aku. Jantung aku dah dup-dap-dup-dap tak tentu arah.
Matanya yang kuyu terus merenung. Aku membalas renungan itu tak berkelip. Terpukau seketika melihat wajah bersih dia betul-betul ada di depan aku. Hati aku ni tak payah nak cakaplah. Kalau ikutkan aku nak pengsan bangun balik, tapi… kawal diri. Bertabahlah Lara!
“Ya?” Terasa seperti terawang-awang. Terbang bersama-sama burung di ruang angkasa. Alam tiba-tiba sunyi sepi, hanya terdengar desiran angin bertiup bersepoi bahasa. Terbuai melihat keindahan ciptaan Tuhan ada di depan mata.
“ I… Lip…” Dia kelihatan resah. Biji halkumnya bergerak-gerak.
Apa yang susah sangat dia nak cakap tu? Cakaplah Mr Sam… cakaplah… sengaja aku kelip-kelipkan mata, konon nak nampak lebih comel.
“Lip?” Tanya aku, menyentuh bibir. Ada sisa roti ke dekat mulut aku?
Dia menggeleng. Wajah dia semakin cemas. Tidak semerna-mena dia memegang kedua bahu aku. Hati aku diserbu debar. Ya, ampun Sam! Jangan buat perkara tak senonoh kat aku! Jangan gelojoh! Aku tak mahu turn off dengan kau, rugi!
Tuhan selamatkan aku! Kuatkan iman aku!
Dalam masa yang sama aku terus menanti dia bersuara. Namun dia tetap kaku memandang wajah aku. Kemudian dia memandang ke bawah agak lama, merenung ke lantai. Aku turut sama memandang ke bawah, namun sebaik sahaja melihat ke lantai terus aku tergamam…
“Lipas!” Bergema ruang dapur dengan jeritan aku. Aku apa lagi, bukan setakat zapin, hip-hop… harlem shake pun aku layan!
Gila lipas ni, tahulah aku seru minta tolong tadi… tapi janganlah melepak atas… selipar aku!
“Ah! Lipas!” Aku terus berlari ke belakang Mr. Sam, bersembunyi di sebalik tubuh yang sasa itu. Dia turut sama terlompat-lompat mengelak dari lipas yang mula mengila.
“Penyapu, mana?” Dia cemas.
Mata aku melilau mencari penyapu. “Tak ada. Ini adalah.” Aku serahkan selipar milik aku.
Dia terus melompat sambil mengejar lipas itu. Aku pula terus menyorok di belakang dia. Kalau lipas tu buat gila, mesti dia dulu yang kena.
Seperti yang aku pernah terbaca dalam Wikipedia, lipas ni boleh menukar arah 25 kali dalam masa satu saat atau lebih tepat lagi 1.34 meter sesaat! Jadi tak hairanlah kalau Cik Li ni boleh buat aku dan Sam huru-hara di dapur.
“Okey berjaya!” Jerit Sam.
“Yeh!!” Betapa gembiranya aku sampai tak sedar aku dah peluk bahu orang tu yang tak berbaju!
 Tapi bila aku sedar terus aku lepaskan. Terasa darah yang dah kering tadi membuak-buak masuk ke dalam badan aku lalu menyimbah wajah. Muka aku ni dah tebal hampir 20 inci!
Dia tersenyum, memegang kain tuala di pinggang (haish… janganlah terlondeh depan aku pula! Aku dah tak mampu terima kejutan lagi dah!) Aku segera menoleh ke arah lain.
“Tak sangka ada lipas dalam rumah ni. Kalau tak silap baru minggu lepas saya minta Shida panggilkan pest control.” Terdengar suara dia mengeluh perlahan.
“Biasalah. Mesti dia menyorok.” Balas aku malu-malu.
Namun dalam hati aku sangat berterima kasih pada Cik Li. Pertama, sebab menyelamatkan aku dari termalu sebab menari zapin dekat dapur tadi. Kedua sebab, heee… (tak payah cakaplah… malu… :P).
“Lara.”
“Ya?” Aku memandang dengan hati berbunga-bunga. Cuba mengawal bibir agar tidak terlebih senyum.
“Baju yang awak gosok tu. Macam tak sesuai untuk saya pakai pergi meeting.” Berkerut dahi dia memandang aku.
Oh! Sebab itu ke dia patah balik ke dapur ni? Ceh! Ingatkan nak cakap apa tadi!
“Boleh awak tolong gosok baju lain?”
“Boleh.” Lantas aku keluar dari dapur mengekori dia ke ruang tamu. Tapi kali ni aku tak pandang dialah. Aku pandang dinding, pandang lantai. Jiwa aku ni tak kuat nak pandang belakang dia yang tak berbaju tu. Dada aku dah panas ni! Waduhhh.
Tiba di muka pintu bilik dia yang super-romantic tu aku tunggu di luar. Mana boleh masuk bilik orang, tak manis. Sementara menunggu aku pandang dinding, pandang lukisan. Ketika aku menoleh dia tidak berkain tuala lagi tetapi sudah menyarung bathrope. Tahu pun! Tadi kenapa tak pakai!
Dia terus menapak ke arah almari yang selebar dua meter. Buka pintu almari dan keluarkan baju kemeja berwarna putih kemudian berjalan menghampiri aku.
Iron kan baju ni.” Dia serahkan baju.
Apa yang tak kena dengan baju sebelum ni? Baju kemeja juga. Aku mengaru kepala.
“Baju ni sesuai untuk kasual, jalan-jalan.” Dia mengangkat baju yang sudah aku gosok semalam.
“Ooo…” panjang O aku kali ni. Terangguk-angguk. Manalah aku tahu semua tu. Setahu aku kemeja adalah baju formal.

***

Dia kelihatan segak mengenakan sut berwarna kelabu. Rambutnya yang lurus disisir rapi.
“Nanti habis mesyuarat saya call awak.” Ujar dia sambil membetulkan tali lehernya.
Suara husky dia tu memang boleh buat hati aku melompat-lompat nak keluar. So sexy! And so seksa jiwa aku mendengarnya. Walau pun tali leher dia senget sikit tapi jangan harap aku tolong betulkan. Pandai-pandailah dia tengok dalam cermin nanti. Tak kuasa aku nak buat adegan klise yang selalu ada dalam drama-drama Melayu. Kalau aku buat kan, dia fikir lain pula nanti.
“Kalau boleh awak senarailah barang apa nak beli. Nanti tak adalah tertinggal.” Pesan dia lagi membetul-betulkan lengan bajunya.
“Okey.” Aku mengangguk. Tak tahu nak cakap apa lagi. Selagi dia ada depan mata selagi itu hati aku tak tenang.
“Oh ya, nanti tolong basuhkan baju saya dalam bilik tu.” Ujar dia lagi ketika melangkah ke arah pintu. “Saya minta maaf, sepatutnya saya tak tambah beban kerja awak. Macam jadi pembantu rumah pula.” Dia berhenti melangkah, memandang dengan wajah bersalah.
“Tak apa. Saya tak ada apa nak buat pun.” Balas aku tersenyum. Yalah tu! Manuskrip yang tak siap tu bila kau nak sentuh Lara!
“Saya janji, nanti saya tambahkan elaun awak.” Ujar dia lembut. Smiling eyes dia mengetarkan jiwa.
“Eh, tak perlu. Dah banyak sangat saya dapat.” Dapat tengok wajah kau hari-hari pun dah cukup bertuah. Makin laju kepala aku nak siapkan manuskrip. Kalau sebelum ni terpaksa potong gambar artis Korea dan Hollywood, tapi kali ni wajah betul-betul ada depan aku lagi! Kau lah sumber ilhamku.
“Betul ni?” Tanya dia berkerut dahi.
Aku mengangguk sambil cuba mempamerkan wajah seayu mungkin, dengan harapan agar dapat mengetuk pintu hati dia.
“Thanks a lot!” Ucap dia tersenyum meleret.
Aku mengangguk. Mengekori dia ke pintu rumah.
“Kalau awak tak ada tak tahulah apa jadi pada kami anak-beranak.” Ujarnya menyerahkan begnya pada aku lalu menyarung stokin.
“Itu tandanya awak kena cepat-cepat cari orang rumah.” Alamak! Kenapa boleh terkeluar dekat mulut pulak ni! “Sorry, maksud saya…” lidah aku kelu. Apa aku dah buat ni? Aku tak berniat nak provoke atau goda pun!
Dia menoleh. Mengukir senyum. “I will.” Lantas mengenyitkan matanya pada aku. Sebelum melangkah pergi dia merenung aku untuk seketika kemudian menganggukkan kepalanya.
 Haish… terasa macam suami isteri pula! Dan aku pula, boleh melangut depan pintu berkhayal membayangkan dia adalah prince charming yang aku tunggu-tunggu selama ini. Sedang aku syok berkhayal tiba-tiba…
“Oit! Apa tersengih-sengih seorang diri tu!”
Choi!
Aku tersentak. Terlihat Fazrin Adam sedang membuka pintu gril rumahnya, nak keluar shooting agaknya.
 “Apa?” Wajah ceria aku berubah kelat.
Sesuka hati main sergah orang. Nasib aku bukan kaki melatah. Kalau tidak gegak-gempita bangunan ni dengar latah aku. Dia tersengih menghampiri aku. Rumah kami cuma selang beberapa pintu saja.
“Aku ternampak Mr. Sam lalu tadi, bila dia sampai?” Tanya dia sebaik sahaja menghampiri aku.
“Pukul 10 tadi.” Balas aku acuh tak acuh. Tengok sengih dia tu aku dah tahu apa dia nak kata kejap lagi.
So, kau tak cuba fomula aku ajar semalam ke? Kau goda dia tak?” Dia tersenyum nakal. Dah agak! Aku mencemik.
“Tak kuasa. Kalau dia suka aku tak payah goda-goda dia akan suka dengan sendirinya.” Balas aku memegang erat besi pada gril pintu, memandang kosong ke koridor masih terbayang-bayang susuk tubuh Sam mengatur langkah dengan penuh gaya yang tersendiri.
“Kalau kau Angelina Jolie lain lah cerita. Sekali pandang dia dah tergoda.” Suara sinis Fazrin menyapa telinga.
Lamunan aku terhenti. Menjeling sebal pada dia. “Awat! Kau nak cakap aku ni tak seksi lah? Tak mengancam?” Aku menarik wajah masam.
Berani dia cakap macam tu! Memanglah aku ni kurus, tapi tak adalah leper sampai tak ada bentuk! Kalau aku berdiri sebelah tiang lampu pun mesti orang masih kenal yang berdiri sebelah tiang lampu itu adalah seorang perempuan.
“Aku tahu kau mengancam. Tapi tak cukup power.” Dia memandang aku dari atas sampai ke bawah.
“Ni, rambut ni… ya ampun, berserabut! Cuba blow lepas tu letak lah high gloss serum kasi bermaya sikit. Ini tak, kering kontang dah macam Gurun Sahara aku tengok. Kalau tak ada sangat, kau sapu je dengan minyak cap buruh kat dapur tu.” Dia membelek rambut aku yang agak berselerak dan kering.
“Haish!” Rimas, lantas menepis tangan dia yang semakin galak menyentuh rambut aku. Dia tersengih.
“Ni, asyik-asyik t-shirt budak sekolah dengan jeans. Haii… aku pun tak selera nak tengok.” Dia menarik lengan baju aku. Menjeling sinis pada seluar aku. Kurang asam betul!
“Cuba kau tengok muka kau dekat cermin. Pucat! Macam hantu mak limah! Bibir hantu mak Limah pun ada warna walau pun warna hitam.” Dia mengelus nafas perlahan. Menggeleng-geleng kepala.
“Eh, kau ni kan, macam perempuan! Sibuk je!” Hati aku mengerutu.
Kalau Ayun yang tegur tak adalah rasa nak marah sangat. Tapi lelaki yang pernah menjadi pujaan hati aku aku membebel fasal penampilan aku!
“Aku ni kan kawan kau. Kenalah tegur apa yang patut. Tapi… bila dah dapat Mr. Sam nanti jangan lupa aku pula.” Dia tersenyum-senyum.
Aku menaikkan kening. “Haruslah lupa. Buat apa ingat lagi. Dah dapat yang terbaeek dari ladang.” Aku mengekek. Padan muka!
Dia menarik wajah masam. “Belum apa-apa lagi dah lupa kawan.”
“Merajuk ke?” Aku terus ketawa. Seronok pula tengok wajah macho dia berubah comel. Rasa nak cubit-cubit je!
“Okey, kau nak apa kalau aku berjaya dapat Mr. Sam nanti?” Tanya aku, saja melayan angan-angan. Mana tahu kalau-kalau ada rezeki, memang senyum seumur hidup aku nanti.
“Akhirnya, mengaku pun kau nakkan dia, ya?” Dia menjeling sinis.
“Eh, jangan perli-perli lah. Cepat cakap kau nak apa? Berapa juta komisyen aku kena bayar kat kau?” Usikkan aku mengundang tawa dia.
“Berlagak tak ingat!” Dia mencemik. “Aku tak mahu komisyen apa-apa pun. cuma… kalau kau dah jadi puan besar nanti, kau cuba lah goda dia minta melabur dalam syarikat penerbitan aku. Menarik tak idea ni?” Dia menaik-naikkan keningnya.
“Wah, bijak jugak kau ni ya. Suka betul ambil kesempatan!”
“Nak berjaya kena bijak cari peluang cik adik!” Tangan dia ringan mencuit lengan aku. “Jadi, bila boleh keluar shopping dengan kau ni?” Dia menjeling jam di tangan.
“Buat apa?” Tanya aku hairan. Bila pula aku ajak dia shopping?
Hellooo… tukar semua ni, okey!” Dia bercekak pinggang buat gaya adik-adik. Aku tersenyum lucu.
“Nantilah. Kau tengok jadual kau bila free. Tapi petang ni aku keluar beli barang dapur.”
“Eloklah tu. Sebelum tu…” sebelum dia merancang lebih jauh, aku segera mengangkat tangan minta dia berhenti bercakap.
“Aku pergi beli dengan majikan aku lah!” Balas aku.
Dan tiba-tiba dia menaikkan keningnya… “Wahh… petanda baik tu.” Dia berpeluk tubuh. “Habis, ni perlukan bantuan aku atau kau nak bergerak sendiri ni?” Dia menjeling.
Aku tersengih. Memaut lengan dia. Terasa selesa seperti berbual dengan Ayun pula. “Mestilah aku perlukan bantuan kau.” Pujuk aku tersenyum, mempamerkan barisan gigi aku yang tersusun cantik.
Dia tersengih. “Nanti aku teks hari dan masa yang sesuai untuk shopping sama-sama.” Balas dia dengan suara dilembutkan penuh gedik mengalahkan pondan! “Daaa…” Dia melambai sebelum beredar berjalan melenggang-lenggok.
“Choi!” Jerit aku. Dia ketawa kembali melangkah normal.
Aku ketawa mengekek. Tak sangka pula lelaki yang selama ini aku bayangkan charming dan romantik rupa-rupanya kepala gila-gila!
Aduhai… Fazrin, Fazrin. Aku menggeleng kepala beberapa kali.

Bersambung... 

14 comments:

strawberry.chocolate81 said...

alaaaaaaa.....lom p soping agi laaaaaa....walaupun ske adegan lipas td hahahahha

MizaEija said...

yeayy...dapat pun entry baru...!! tq cik anna lee :*

anon-azri punye SA nih.. said...

jutaan terima kasih kpd cik Anna Lee.org syg awak n mr li tu sgguh2..

eija said...

hihihi klakar gak fazrin nie kn...

Anna Lee said...

Cik Strawberry coklat yg manis - ai dah kataaa... episod ni agak panjang tauuuu... hahaha. Kalau tepek semua mahu sejam duk depan laptop.. hahaha.. tunggu ya :)

Miza - Sama2 Cik Mizaaa!! komawooo to u tooo.

Anon-Azri punya SA - jutaan sama2 utk awak jgk! sayang ai ke?? kalau awak pompuan, i lv u toooo.. kalau awak lelaki... tqqqq... hahaha.

Eija - hahaha.. so... Fazrin ke Sam?? :P

aisyah said...

Fazrin ni..dia plak yg terlebib

IzZ said...

aduhhhh..mr sam ni..aishhhh..haha..sangkut!!!si fazrin ni sengal nak mampus plak tu!haha

momo chan said...

Sweet...... Comel je fazrin.. Mr sam.....x tahu nak ckp....!!!

Anna Lee said...

Aisyah - hee... Fazrin memang suka melebih2.

Capital - hahaha.. sengal tapi baik hati si Fazrin tuu.. haha.

Momo - kenapa tak tahu nak cakap? hahaha.

Unknown said...

weee.. owh mr sam.. rsnya mr sam suka lara.. cara pandang n ckp tu.. mcm dlm hati ada kebun jaa..

yuyu.tory said...

WIEEEEEE~~~ i loikee~~ wanna new n3..yeah~ yeah~...oh Mr sam~~mlm ni termimpi2 laa mr.sam yg hanya bertuala tu je hikhik~

All in One said...

oowhhhhhhhhhhhhh my ... memang i like ... straight dari Bab 1 to Bab 18 tau!!
nih nak stop sebab nak masak ..
habeh anak2 ahkak kelaparan

Anonymous said...

As salam.

Kehadapan Cik Anna Lee.

Untuk pengetahuan awak, vampire paling kacak bukan Edward Cullen okey. Tapi Min Tae Yeon! EC, harap putih ja buat apa. Min Tae Yeon vampire paling kacak, gojes, sexy, smart dan segala macam lagi.

Sekian,

Adik kepada Indah Water :p

appleRed said...

boleh tahu siapa hero??(saya slow)
tak syok baca tak tahu sape,hehe


#peminatfazrin opss...