Intan payung kami...

Saturday 16 March 2013

Bab 4 : Aku dan Dia, Pinky Promise


        “Sal…” terdengar nama aku dipanggil. Badan aku digoncang perlahan. Terasa dahi aku disentuh. Ada tangan memicit-micit lengan dan kaki aku.

“Sal…”

Aku kenal suara tu, itu suara Lina. Aku cuba membuka mata, namun amat payah terasa seperti ada pemberat! Kenapa Lina ada dekat rumah aku ni? Bukankah dia pergi berbulan madu? Takkan dah balik?

  Kenapa ni asyik mimpi mengarut je? Eh, di mana aku sekarang? Aku cuba buka mata, tapi tiba-tiba kepala aku pula berdenyut-denyut.

“Mak cik, betul ke Sal tak ada apa-apa ni? Kenapa tak dihantar ke hospital je? Agaknya kesan jatuh hari tu tu masih ada.” Terdengar suara Lina bertanya.

Apa, aku ada di rumah? Jatuh? Oh, aku jatuh terguling dekat tangga Bukit St. John. Tapi lepas tu aku okey. Doktor cakap tak ada apa-apa.

“Dia dah baik, tadi kebetulan Rizal balik rumah mak Esah. Dia yang periksa Sal, katanya keadaan Sal stabil. Dia pengsan mungkin sebab semalaman dia tak makan.” Terdengar suara emak di sebelah kanan aku.

“Kenapa sampai pengsan? Semalam masa saya telefon dia cakap dah okey.” Terdengar suara Lina bertanya.

“Mak cik pun tak tahu yang peliknya, lepas dia tengok Sara dia menjerit. Dan lagi satu sebelum tu, dia terkejut tengok pak cik kamu. Mak cik pun hairan.”

Hah, lepas tengok Sara? Pak cik? Emak sebut pak cik? Maknanya memang ayah ada dan bukan aku bermimpi? Sekali lagi aku cuba membuka mata. Dengan susah payah, akhirnya aku berjaya melihat Lina dan emak.

“Ayah mana?” Tanya aku pada emak dengan suara serak hampir tidak terkeluar dari kerongkong.

“Ayah pergi kerja, nanti dia minta balik awal.” Jawab emak.

Air mata aku berlinang. Memang aku tak bermimpi. Ayah memang hidup. Tapi kenapa? Di mana aku sekarang? Aku bermimpi lagi kah?

“Kenapa Sal, sakit lagi ke?” Tanya Emak. Merenung simpati. Aku menggeleng.

“Sara mana?” Tanya aku lagi sambil menyapu sisa air mata yang mengalir di pipi.

“Sara tak balik sekolah lagi, ada kelas petang hari ni.”Jawab emak.

“Kak long?”

“Tadi kak long telefon, kalau keadaan kamu teruk dia nak ponteng kelas. Tapi mak cakap kamu pengsan je, jadi lepas kelas dia balik.” Balas emak.

“Kak long pergi belajar ke pergi mengajar?” Tanya aku sekadar ingin menguji emak. Sebaik tamat pengajian di kolej kak Nora menjadi seorang guru dan mengajar disalah sebuah sekolah menengah di Melaka.

Emak menghela nafas perlahan, “Kakak kamu pergi belajarlah. Nak mengajar apanya, ijazah pun tak dapat lagi.” Jawapan emak membuat hati aku semakin kuat berdegup. Sah, aku bukan berapa ditempat yang sepatutnya!

Tapi, bagaimana aku boleh ada dekat sini?

“Kamu jaga dia Lina, mak cik ada kerja nak siapkan. Kamu layan saja kalau dia tanya soalan pelik-pelik.” Terdengar emak berbisik di telinga Lina. Aku tahu, emak sengaja biarkan aku dengar. Lina tersenyum kecil mengangguk.

Aku memandang Lina. Memang sah, aku bukan berada di tahun 2013! Muka Lina pada tahun 2013 penuh dengan parut jerawat. Sekarang kulit muka dia licin dan gebu!

Seingat aku, Sara memakai uniform sekolah berwarna hijau ketika dia darjah enam. Dia dipilih sebagai pengawas sekolah. Bukan main bangga dia bila dilantik menjadi pengawas sekolah.

Jadi, kalau aku kira, tolak, campur, darab, bahagi, kuasa dua kemungkinan aku berada di tahun… 1998! Aku memandang Lina.

“Beb, sekarang tahun 1998 ke?” Tanya aku.

Dahi Lina berkerut-kerut. Kemudian dia mengangguk. Serentak itu mata aku terbeliak. Hati aku menjerit kesyukuran. Ini maknanya permintaan aku untuk mengulang kembali zaman persekolahan benar-benar termakbul?

Aku bingkas bangun, semangat aku mencanak naik! Eh, kejap, tak mungkin kerana permintaan aku dekat perigi tu? Tak logik! Syirik tu. Aku dah taubat, memang aku tak akan ulang lagi. Tapi... bagaimana aku boleh ada dalam zaman ni?

Oh, patutlah mandian aku lain. Patutlah kulit muka aku lebih gebu. Kening aku masih original. Patutlah ada sabun susu kambing! Patutlah bilik aku lain macam! Patutlah... patutlah!

Aku menggeleng kepala beberapa kali. Apakah sebenarnya terjadi? Aku menarik nafas dalam, lepas perlahan-lahan.

“Macam mana aku boleh pengsan?” Tanya aku pada Lina.

“Kau tak ingat?” Dahi Lina berkerut. Aku menggeleng. “Hujung minggu baru ni kelas kita ada buat lawatan ke tapak bersejarah di Melaka...”

“Lawatan ke Melaka?” Tidak berkelip aku memandang Lina. Seingat aku tak pernah pun kami buat lawatan ke Melaka. “Apa terjadi?”

“Masa kita nak turun dari bukit St. John hujan turun tiba-tiba. Basah kuyup kita bertiga. Esok tu kau demam. Kau tak ingat?” Berkerut dahi Lina memandang aku.

“Kita buat apa dekat bukit tu?”

“Tengok puing gereja St. Paul. Sebelum tu kita ke A Famosa, ke muzium.” Kerutan di dahi Lina semakin jelas kelihatan. “Kau okey?”

“Okey. Okey. Aku ingat.” Jawab aku berdalih.

Betul ke kelas aku pernah buat lawatan ke sana? Macam mana aku boleh lupa? Apa pun terjadi, lupakan dulu yang penting aku masih hidup dan aku perlu catat azam aku tu.

“Mana pen? Kertas?” Aku menyelak kain selimut yang menutupi sebahagian badan.

Lina lekas-lekas menahan aku dari bangun. “Kejap, kau dah baik ke ni?” Tanya Lina wajahnya kelihatan cemas. Aku mengangguk, tersenyum gembira.

“Kertas, kertas?” Mata aku liar mencari kertas di atas meja.

“Kejap aku tolong ambil, kau duduk sini.” Minta Lina berkerut dahi memandang aku. Dia segera menghampiri meja tulis aku, kemudian menghulurkan sehelai kertas dan sebatang pen kepada aku.

Tanpa menunggu lama, aku segera mencatat segala senarai yang aku pernah tulis ketika aku berusia 32 tahun. Aku berhenti menulis.

  ‘Ketika aku berusia 32 tahun?’

Haish… yang mana realiti dan yang mana fantasi sebenarnya ni? Kenapa seperti baru semalam aku berada di majlis persandingan Lina di Melaka? Memerhati selat Melaka dari bukit St. John? Melihat Lina bergambar.

Adakah dunia semalam adalah mimpi atau dejavu dan dunia sekarang adalah realiti? Ah! Pening!
“Kau tulis apa ni?” Lina menjenguk kertas di tangan aku.

Aku segera sembunyikan dari dilihat Lina. “Kejap, aku tak tulis habis lagi. Nanti dah siap aku bagi kau baca. Kau pergi turun dulu. Ambilkan air, aku haus sangat ni.” Minta aku, sengaja aku mahu dia berada jauh. Aku hendak fokus betul-betul sebelas niat aku itu. Harap-harap aku tak lupa.

Lina mendengus perlahan. “Okey.” Dia menarik wajah masam kemudian bergegas keluar.

Selepas lima minit, Lina kembali ke dalam bilik bersama dua gelas air dan sepinggan kuih kacang. Aku sangat rindukan kuih kacang. Sejak ayah pergi emak tak pernah lagi buat kuih kacang. Pernah aku minta emak buatkan tapi sudahnya, hanya aku seorang saja yang habiskan kuih ni manakala emak hanya memberi alasan dia sudah kenyang. Tapi aku tahu emak hanya berdalih. Emak mungkin tak sanggup nak makan sebab teringatkan ayah.

  Dan kali ini, bila melihat kuih ini berada di depan aku, aku yakin aku betul-betul berada di tahun 1998. Tahun ketiga emak menerima kontrak menyediakan kuih-muih untuk kantin sekolah. Tapi, macam mana aku boleh ada dalam tahun ini? Tak masuk akal! Kalau dalam filem atau drama mungkin aku percaya, tapi…

“Sal, ni aku bawakan kerja sekolah yang cikgu bagi semalam.” Lina mengeluarkan buku dari bag kertas yang dibawanya.

“Semalam? Semalam hari apa?” Tanya aku terpinga.

Lina memandang kehairanan pada aku. Wajahnya berubah. “Selasa.” Jawab Lina perlahan. Aku sempat menangkap anak matanya memandang ke arah meja tulis. Aku turut memandang ke arah yang sama.

Kelendar 1998!

“Tolong ambil.” Minta aku pada Lina. Lina menurut dan kemudian menyerahkan kalendar itu kepada aku.

“Sekarang bulan apa?” Aku memandang Lina. Bulat mata Lina membalas renungan aku.

“Kau nak aku panggilkan mak kau ke?” Lina memandang curiga.

“Cakaplah bulan apa sekarang ni?” Aku mencerlung.

“Januari.” Balas Lina ragu-ragu.

Lantas mata aku memandang kalendar di tangan. Minggu ke dua Januari 1998? Serentak itu aku teringatkan senarai hajat yang aku tulis kelmarin… (erkk… kelmarin?)

1. Ubah aliran! Jangan ambil aliran sains!

“Beb, kau kena tolong aku.” Aku mula cemas. Persoalan bagaimana aku boleh tercampak dalam tahun ini kena tolak tepi dulu.

“Kenapa? Kau sakit ke?” Tanya Lina segera memegang lengan aku.

Aku menggeleng. “Aku tak mahu buat kerja sekolah tu. Aku nak tukar aliran!” Aku memegang erat tangan Lina. “Kau agak cikgu bagi tak?”

Lina terdiam seketika, dia merenung tepat pada wajah aku. “Walau pun mak kau pesan layan je kalau kau cakap perkara yang bukan-bukan, tapi kali ni… memang aku malas nak layan!” Lina mencemik menarik tangannya dari dalam genggaman aku. Berpeluk tubuh, merenung tajam.

“Lina kau kena tolong aku. Aku tak mahu ambil aliran sains. Aku nak tukar! Aku nak ambil perdagangan atau pun sastera.” Balas aku bersungguh-sungguh. “Esok, awal-awal pagi kau temankan aku ke bilik cikgu, ya?” Minta aku separuh merayu.

“Sal, boleh tak kau jangan nak mengarut? Kalau kau main-main, aku balik sekarang juga!” Lina mengugut.

“Aku tahu, memang tak pernah dibuat orang. Tukar aliran masa tingkatan lima, tapi… aku sungguh-sungguh tak mahu belajar sains. Aku tak minat. Nanti dalam sijil SPM, fizik dan kimia aku dapat D. Bio pula cukup-cukup makan je!” Aku diberi peluang untuk membaiki kesilapan. Walau apa pun terjadi aku tak akan ulang kesilapan yang sama.

“Aku rasa, kau sepatutnya pergi hospital. Nanti aku panggil mak kau.” Belum pun sempat dia bangun, aku segera memaut lengan Lina.

“Beb, aku okey sangat. Jangan risau. Tapi aku serius nak tukar aliran ni.” Ujar aku merayu. Lina memandang curiga.“Oh, please! Aku okey, jangan risau.” Ujar aku bersungguh-sungguh.

“Mestilah aku risau, dah lah kau baru pengsan. Bila sedar buat keputusan melulu macam ni. Aku tak risau kau nak tukar aliran, tapi aku risau kecederaan dalam otak kau tu. Aku tak mahu dua tiga hari nanti aku dengar berita…” Dia diam. Aku tahu apa yang ada dalam fikiran Lina.

“Aku akan hidup sampai umur 32 tahun. Kau tak payah risau.” Balas aku dengan penuh yakin.
Lina menjeling tajam. Berpeluh tubuh.“Kau serius nak tukar? SPM tinggal sebelas bulan saja lagi. Pejam celik pejam celik dah masuk dewan peperiksaan. Kau ni biar betul?”

“Ya, betul. Aku nak tukar!” Balas aku.

Lina mencerlung. “Kalau tukar pun, agak-agak kau boleh cover ke semua subjek yang dia orang dah belajar tahun lepas? Jangan nanti kau gagal semua paper.” Lina terus merenung aku.

“We cannot always wait for the perfect time, sometime we must dare tu jump.”

“Even though, terjun perigi?”

“Yup, if i have too.”

Lina menggeleng kepala beberapa kali. “Lantak kau lah.”

“Beb, aku tahu kita tak boleh menyesal kesilapan yang pernah kita buat dulu. Tapi, aku akan menyesal kalau aku terus lakukan kesilapan yang sama.” Ujar aku cuba membuat Lina faham.

“Fine. it’s your life. Buatlah apa yang kau rasa patut kau buat.”

“That’s my girl.” Aku tersenyum. “Nanti teman aku ke rumah Hanim. Aku nak pinjam semua nota dia, aku nak mula belajar malam ini juga.” Balas aku bersungguh-sungguh.

Lina memandang aku dengan pandangan yang menjengkelkan. Tapi aku tak peduli semua itu, yang penting aku tak perlu ulang kesilapan yang sama.

“Mak kau tak cakap pula kepala kau terhantuk atau kau terjatuh di mana-mana.” Balas Lina mengaru kepala. Aku tahu, dia perli sebenarnya tu.

“Alar, bolehlah, kau teman aku. Kalau aku pergi seorang nanti aku pengsan tengah jalan tu macam mana?” Sengaja aku mengugut Lina.

Lina mendengus kasar. “Okey! Tapi, kau kena belanja minum ABC bawah pokok.” Balas Lina mencemik.

Sebaik sahaja mendengar nama ABC bawah pokok, mata aku terbuka luas. “ABC tu ada lagi?” Segera aku menutup mulut aku yang terbuka luas.

“Kau ni kenapa? Mestilah ada. Baru dua tiga hari lepas kita lepak dekat sana.” Lina menjeling. Dahinya berkerut-kerut.

“Kalau macam tu jom aku belanja kau. Dua mangkuk kau nak minum pun aku tak kisah.” Aku bingkas bangun.

“Kau betul-betul dah okey ni?” Tanya Lina, pandang semacam dekat aku.

Aku angguk. Tak sabar-sabar hendak menikmati ABC bawah pokok yang sedap itu. Sejak mak Limah berpindah ke Seremban lima belas tahun lepas, tak lagi ABC lain yang dapat mengalahkan kesedapan ABC mak Limah yang kaya dengan pelbagai ramuan.


BERSAMBUNG...

2 comments:

pena tumpoi said...

Tak sabaq nak baca sambungan time dia dah back to school

Julia Esqa said...

heee... mmg akan update byk bab, cuma sedikit kebusyian, tak sempat nk bukak. Alar.. jgnla puji ai cik Pena... maluuuu. hahaha.