Intan payung kami...

Sunday 6 January 2013

Mencari Mr. Charming : Bab 4


Mata aku terus terbuai melihat wajah berbentuk persegi itu. Wajah dia kelihatan agak kacak mungkin kerana garis rahangnya kelihatan jelas. Orang kata wajah lelaki yang memiliki rahang yang jelas adalah lelaki maco - Betul ke tidak kau orang nilai sendiri bila jumpa lelaki macam tu nanti.

Dahinya lebar dan dagunya persegi ala-ala bentuk wajah Brad Pitt. Rambutnya lurus disisir kemas. Aku menelan air liur.

“Emm… sampai pun. Masuk lah.” Pelawanya.

Pehh! Suara husky! Seksinya! Bertambah lagi markah yang sedang aku kira dalam kepala ni.
Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah milik Mr. Sam aku terpegun. Mana taknya, baru duduk depan pintu dah terasa sejuknya. Bila tengok dekat dalam terasa seperti melangkah masuk ke dalam bilik hotel 10 bintang!

Semua perabot dan perhiasan serba moden dan kelihatan begitu mahal sehingga aku takut nak duduk di kerusi empuk itu.

“Duduk, jangan segan.” Pelawa Mr. Sam tersenyum mesra.

Aku mengangguk, lantas melabuhkan punggung di sofa. Dia duduk di sofa setentang dengan aku.

Dia kelihatan segak berkemeja dan berseluar slack. Dalam kepala aku sekarang ni sedang rancak mencongak berapa usia dia?

Emm… nak kata 35 terlalu muda untuk memiliki kemewahan ini (mana tahu dia kalau-kalau keturun kaya-raya). Tapi kalau renung betul-betul, mungkin 38 atau 39 tahun. Wajah dia pun kelihatan matang.

Beberapa helai rambut putih kelihatan menghiasi rambutnya yang hitam pekat. Badannya tegap, mungkin rajin berenang. Orang kata, kalau nak badan cantik dan dada bidang kena rajin berenang.

Wangian dia pun tak pernah aku bau di mana-mana sebelum ini. Seperti ada haruman, kayu-kayan, segar dan tenang saat hidu wangiannya.
Okey, cukup Lara! Dia suami orang. Kau kena jaga anak dia. Jangan nak mengatal!

“Saya minta maaf sebab minta awak datang hari ini juga. Sebab sekejap lagi saya akan ke Sabah selama seminggu.” Ujarnya sambil berjalan ke dapur, tidak sampai beberapa minit dia kembali ke ruang tamu bersama dua tin minuman bergas.

“Maaf, ini saja yang ada.” Ujarnya lagi sambil menghulurkan satu tin kepadaku. Aku menyambut dengan senyuman.

So, macam mana rumah ni, selesa?” Tanya Mr. Sam bersilang kaki. Matanya memandang sekitar ruang tamu yang agak luas itu.
Aku mengangguk. Sangat selesa. Tapi, kenapa tanya fasal rumah pula? Takkan nak hadiahkan rumah ni kat aku kot? He… he… (Perasan!)

“Saya perlu khidmat awak selama tiga bulan. Minggu depan saya akan berangkat ke US, urusan kerja.”

Dahiku berkerut. Aku tersalah dengarkah?

“Saya kena pergi US?” Sah-sah mak tak bagi aku pergi! Nanti dia ingat aku kena jadi Keldai dadah pulak.

“Bukan US. Awak akan tinggal di sini dengan anak saya.” Balas dia tersenyum kecil.

Tinggal dengan anak dia? “Maksud Encik, saya kena baby-sit anak encik selama tiga bulan? Full day? 24 jam, 92 hari?” Terbeliak mataku memandang Mr. Sam. Aku sangkakan aku cuma jaga waktu siang dan malam aku bebas buat apa saja.

“Cekap juga matematik awak.” Dia tersenyum, meneguk minuman. Dia menarik nafas dalam.

“Okey, saya tahu memang berat kerja ni, sebab itu saya setuju untuk naikkan offer. Sebulan RM2000, rumah percuma, segala bil dalam rumah ni setiausaha saya akan uruskan. Saya tambah lagi enam ratus untuk keperluan dapur. Setuju?”

Mak ai, barang dapur RM600? Lebih dari cukup dah tu.

 “Soal belanja Tania, awak tak perlu risau. Tiap-tiap bulan setiausaha saya akan datang ke sini hantar cash untuk dia.”

“Bagi cash untuk anak encik?” Terkejut aku, budak kecil pun nak bagi duit? Ini memang dah kaya betul ni.

“Terpaksa, kalau saya bagi kredit kad, mahu licin kad tu nanti.” Mr. Sam ketawa kecil.

Kad kredit? Biar betul dia ni? “Berapa umur anak encik?” Soalku terpinga.

“Lima belas tahun.” Dia bingkas bangun menghampiri meja hiasan, mengambil bingkai gambar.

Fuhh… lega. Aku ingat budak berapa tahun tadi. Remaja, ringan kerja aku. Tak perlu salin lampin atau basuh berak. Tapi… budak remaja ni bahaya sikit.

“Ini dia buah hati saya, Tania. Kalau ikutkan hati, memang tak mahu berjauhan dengan dia dan bawa dia ke sana. Tapi disebabkan dia akan ambil peperiksaan penting tahun ini, jadi saya tak mahu ganggu waktu belajar dia.” Jelas Mr. Sam. Aku menarik nafas lega. Baru jelas, aku sangka aku terpaksa menjaga budak kecil.

“Tapi, encik percaya pada saya ke? Tinggalkan anak pada orang yang encik tak pernah kenal.” Soalku.

Encik Sam tersenyum, “Sepanjang saya tak ada nanti, setiausaha saya akan memantau. Lagi pun, kalau awak buat perkara tak elok, Tania boleh call direct pada saya.”

Aku tersengih, mengangguk-angguk.

“Jangan pula awak bawak masuk teman lelaki dalam rumah ni.” Dia menjeling.

Alahai, comel lah pulak main-main jeling ni. Aik, ni soalan ikhlas atau soalan provokasi ni?

“Eh, mana ada. Kalau ada pun takkan saya nak bawa masuk ke sini.” Balasku bersahaja. Santainya perbualan kami dah tak rasa macam temu duga pula.

Dia tersenyum, melempar pandangan ke arah langit membiru di luar. Setelah beberapa saat berdiam diri, dia kembali bersuara…

 “Boleh awak bagi tahu kenapa saya perlu ambik awak bekerja di sini?” Soal dia merenung tepat pada wajahku. “Sebab, saya dah ada dua calon yang sesuai. Lagi pun awak muda. Takkan nak jadi baby-sitter, kan? Tak glamor mana kerja ni. Lagi pun saya nak tahu juga apa kelebihan awak.”

Aku berdeham perlahan. Mula tercari-cari alasan yang sesuai. Apa kelebihan aku ya? Nak kata aku ada pengalaman jaga budak remaja, memang aku tak ada. Sudahlah aku anak bongsu.

Apa alasan yang sesuai? Eh, kejap. Kenapa aku nak fikirkan semua tu? Bukankah, aku datang temu duga ni pun sebab salah faham? Biar saja dia pilih calon yang sesuai tu.

Tapi… aku berkenan sungguh dengan rumah dia ni. Cantik, damai, besar…

“Saya suka rumah ni.” Alamak. Terkeluar dekat mulut pulak! “Erk… maksud saya. Saya ni, bukan kaki merewang. Kalau tak ada kerja saya suka duduk kat rumah je.” Segera aku bersuara.

Mula-mula memang aku tak mahu kerja ni. Tapi bila dengar imbuhan gaji tadi buat otak aku mula berputar ligat. Menarik juga kalau aku dapat kerja ni. Dapat duduk rumah percuma, dapat duit lagi, makan pun ditanggung! Memang sangat menarik.  Aku dah jatuh cinta pandang pertama dengan… rumah ni. (tuan dia pun… tapi.. kawal diri Lara. Dia suami orang.)

Dia tersenyum kecil, menjeling manja. Manja ke? Mungkin sebab dia ada sepasang smiling eyes, membuatkan jelingan dia nampak manja. Mungkin. Apa-apa jelah.

“Pandai masak?”

Aku angguk. “Kalau western saya cuma pakar spageti je. Kalau masakan melayu saya pakar.” Senyumku meleret. Bangga tau! Bukan senang nak cari anak dara di zaman moden ni pandai masak macam aku.

Dia mengangguk-angguk. “Baguslah. Lidah Tania tu macam saya. Suka masakan kampung.” Ujarnya. Aku menarik nafas lega.

So, congratulation.” Dia menghulurkan tangannya padaku. Aku terpinga. Dapat ke?

“Kalau boleh esok awak pindah sini. Malam ni secretary saya temankan Tania.  Ujarnya sambil tangannya masih belum bersambut.

Oh, aku dapat kerja ni? Kedua keningku terangkat. Teruja.  Rezeki jangan di tolak. Lantas tanganku menyambut tangan dia. “Thank you.” Balasku.

Bergemuruh juga hati aku saat tangan kecil aku berada dalam genggaman dia. Hangat. Kemas. Kawal diri Lara. Emak kata…

‘Gadis bermoral tak akan tergoda dengan suami orang.’

 Lekas-lekas aku menarik tangan aku. Dia menemani aku berjalan keluar.

“Perlu saya mula esok ke?” Soalku serba salah.

Gila, tiga bulan kena jaga budak tu, masa mana aku nak balik rumah jenguk mak? Sudahlah dah dekat enam bulan aku tak balik ni. Kali terakhir aku balik masa raya puasa.

“Awak ada masalah ke?” Wajah dia berkerut.

“Kalau isnin boleh? Hujung minggu ni saya kena balik kampung sekejap ada kenduri.” Aku mula mencipta alasan. Mengetap bibir. Harap-harap alasan aku diterima.

Dia kelihatan terdiam seketika. “Okey, betul juga. Takkan tiba-tiba nak mula kerja kan?” Dia menghela nafas perlahan. “Kalau macam tu, pagi isnin awak perlu ada di sini, sebelum setiausaha saya keluar kerja.”

“Boleh tak ada masalah.” Balasku tersenyum girang. Lantas menyarung selipar croc. Dia membuka pintu untukku.

“Oh…” Aku berhenti melangkah. “Saya terlupa bawa resume.” Ujarku dengan wajah serba-salah.

Terus terlupa yang aku dah potong orang lain punya temu duga. Ah, nasiblah. Siapa suruh sesat jalan. Lain kali kalau dah tahu ada temu duga, datang awal. Cari tempat nak temu duga tu sehari awal.

“Saya pun terlupa. It okey, my secretary have another copy. Atau pun… masa datang Isnin nanti awak bawa salinan tu dan serahkan pada dia.” Ujarnya. Aku menangguk setuju. Sah-sah salinan yang ada dengan setiausaha dia tu bukan resume aku.

Ok, see you next week.” Ucapnya sebelum aku melangkah keluar. “Oh, ya, isnin nanti setiausaha saya akan terang semuanya tentang tugas awak.”

Alright.” Aku mengangguk laju. “Thank you so much.” Ujarku sebelum berlalu pergi.

Oh tidak! Aku dah buat jenayah yang paling besar dalam hidup aku! Bukan setakat menipu tapi aku dah potong rezeki orang! Jadi pengasuh budak remaja pula tu? Boleh ke aku bertahan melayan budak remaja ni? Budak muda ni bukan boleh percaya sangat perangai dia orang. Suka membrontak sana-sini.

Agak-agak, macam mana perangai Tania ni? Remaja, anak tunggal, anak orang kaya. Campur-tolak-bahagi-tambah, Sah-sah berlagak, kan? Adeh… gasak lah Lara, demi mencapai cita-cita kau merasa nikmat tinggal di kondo mewah!

Lekas-lekas aku mengeluarkan telefon bimbit…

Status
Prince Charming in the house!! :P

***

“Kau gila, baby-sitter?” Jerit Ayun sebaik sahaja aku habis bercerita.

Aku tersengih. Dugaan aku tepat, memang Ayun akan terkejut. Memang patut pun, dia tahu aku ni tak suka budak-budak sangat. Tak kisahlah budak besar ke, budak kecik ke, memang aku malas nak melayan.

Agaknya inilah akibatnya kalau jadi anak bongsu. Tapi demi mendapat upah yang lumayan dan demi mencapai cita-cita aku merasa tinggal di kawasan elit, semua itu aku tak peduli lagi.

“Encik, saya datang dari jauh nak temu duga takkan saya kena balik macam tu je! Penat tau saya tukar bas nak sampai ke sini!” Terdengar suara wanita dalam lingkungan 40-an menjerit memarahi Pak Daniel. Berbaju kurung, berbadan sedikit gempal.

“Maaf puan, Tuan cakap dia dah ada calon.”

“Apa puan, puan! Cik lah!” Marah wanita itu.

Ayun segera memaut lengan aku, menarik tubuhku menyorok di balik dinding. Nyaris-nyaris kami terlanggar seorang gadis yang boleh tahan bergaya yang baru keluar dari lif. Sempatlah dia melemparkan pandangan semacam pada kami berdua kemudian terus berlalu pergi. Tak apalah tak minta maaf, aku tak langgar dia pun.

“Kenapa?” Tanyaku pada Ayun yang kelihatan cemas.

“Kau nak kena serang?” Ayun mengintai ke arah pondok pengawal keselamatan. Dahiku berkerut, turut sama mencuri pandang ke arah yang sama.

“Aku rasa, dia lah yang sepatutnya datang temu duga.” Bisik Ayun, masih mengintai.

Aku menarik nafas lega. “Nasib baik kau alert. Aku ingat dia nak bergaduh fasal apa tadi.” Aku mengurut-urut dadaku.

“Tau pun takut!” Ayun menjeling.

“Mestilah. Tengok badan dia, dua kali ganda dari badan aku. Suara pulak macam guruh.”

“Amboi, mengata orang, tak ingat dunia. Haruslah suara dia macam guruh, dah penat-penat datang alih-alih kena balik.”

Aku tersengih. “Siapa suruh datang lambat. Kalau aku tak crash interview dia pun, mesti dia tak dapat kerja ni sebab Mr. Sam tu dah blah pergi airport.” Ayat membela diri dalam masa yang sama hendak sedapkan hati yang bersalah.

“Okey, dia dah blah. Jom.” Ayun menarik tanganku.

Ketika melintasi pondok pengawal keselamatan Pak Daniel melambai tangan dan segera menghampiri kami.

“Tahniah, kamu dapat kerja tu.” Pak Daniel tersenyum meleret.

“Mana pak cik tahu?” Tanyaku. Takkan dalam rumah Mr. Sam ada CCTV kot?

“Baru sebentar tadi tuan telefon. Katanya kamu dapat kerja. Lepas ni pak cik akan buatkan kad penduduk sementara untuk kamu. Mungkin lusa siaplah. Sementara tu tak perlu kad, sebab pak cik ingat muka kamu.” Balas Pak Daniel, ramah sungguh.

“Memang tak susah nak ingat muka tak siap macam dia ni. Cuma ada satu je kat KL ni.” Perli Ayun tergelak kecil.

Tak guna punya kawan! Aku menjeling sebal.

Pak Daniel tersenyum, “Tak siap pun dah comel, kalau siap agaknya takut pak cik nak tegur.”

Ha… ha… terima kasih Pak Daniel! Pak cik memang terbaik lah! Aku menjeling pada Ayun, mengangkat dagu, tersenyum bangga. Dia menarik wajah menyampah.

“Pak cik, siapa tadi tu?” Tanya Ayun. “Bukan main marah-marah. Takut kami tengok.” Ceh, sempat lagi minah ni nak bergosip dengan Pak Daniel.

“Oh, dia datang nak temu duga sama macam kamu lah. Dia pun sesat macam kamu, sebab tu lambat.” Ujar Pak Daniel tanpa mengesyaki penipuan kami. “Tapi… yang peliknya, tuan kata seorang saja yang dia tunggu.” Dia mengaru-garu kepalanya. Aku menjeling pada Ayun.

“Okey pak cik. Jumpa isnin nanti.” Pintasku sebelum makin panjang soalan terkeluar dari mulut Pak Daniel.

“Okey. Mujur kamu yang dapat kerja ni. Kalau cik tadi tu yang dapat, mahu menangis budak Tania tu.”

“Pak cik kenal Tania?” Soalku hairan. Memang betul ramah Pak Daniel ni sampaikan penghuni bangunan bertingkat-tingkat ni dia boleh kenal.

“Mestilah kenal. Dah bertahun pak cik kerja sini. Boleh dikatakan hampir semua orang pak cik kenal. Cuma tak kenal mana rumah mereka. Tapi tuan Sam ni memang kerap bertukar pengasuh, sebab tu pak cik kenal sebab pak cik yang selalu bawa naik sesiapa yang datang nak temu duga.”

“Erkk… selalu tukar pengasuh?” Soalku. Tiba-tiba sejalur rasa tidak enak menyusup masuk ke dalam hati aku.

“Okey, pak cik, kita sambung esok ya.” Ayun segera menarik lenganku. “Kau jangan nak buat hal. Kau dah setuju nak datang isnin, kan?”

Ayun ni macam tahu saja apa yang terlintas difikiran aku. “Alah, kau tu memang tak sabar-sabar nak aku keluar dari rumah tu.” Aku mencemik geram. Tak sempat aku hendak korek rahsia dari Pak Daniel.

“Kau ni kan, tak habis-habis nak mengutuk aku. Nanti aku paksa kau tinggal sebumbung dengan suami aku baru kau tahu. Nanti kau juga muak tengok aku dan dia berasmaradana dalam rumah tu.”

“Euww! Gedik!” Aku mencubit lengan Ayun. Dia tergelak besar.

Honestly, tawaran kerja ni memang menarik.” Ujar Ayun.

Aku mengangguk tanda setuju. Menarik nafas lega, akhirnya masalah selesai. Betul ke selesai? Budak Tania tu entah macam mana perangainya.

***

Indah Lara
3 hours ago
Prince Charming in the house!! :P
Like. Comment. Promote

Pena Tumpoi – Mana gambar!!
Luna – Abang Nelayan kah??
Kak Cik – omo… omoooo… nak tengok jugak!
Indah Lara – Pena Tumpoi, Kak Cik tak boleh tepek sini bahaya! :P
Indah Lara – Luna, ni bukan abang nelayan tau, tapi Abang Brad Pitt!!
Kak Cik – Tak aci! Pm please!!
Pena Tumpoi – Kecewanya! L
Luna – hah?? Brad Pitt! Cemburunya!
Indah Lara - Kak Cik, tak ada gambar lagi lah… hehe, bila dah ada nanti kita share ye. :P
Ayun – Cik Indah pastikah dia tu Prince Charming?
Indah Lara – Cik Ayun, dari segi penampilan sudah memenuhi satu criteria prince charming yang lain-lain lets time decide okey. J
Lily – Indah, apa criteria untuk memastikan dia tu prince charming ke tak?
Indah Lara – Lily, satu soalan yang menarik! Nanti kita buka posting baru bincang fasal criteria tu, okey.
Engku TK – Wah! Menarik tu, cepatlah buka posting tu Indah Lara! Tak sabar nak tahu. I pun nak cari prince charming juga!
Kak Cik – Alaaa… akak dah tak boleh dah… huhu L
Ara Raihana – Cepat update, saya pun nak tahu!!
Indah Lara – Sabar ya kawan-kawan. J

 Bersambung...

2 comments:

MizaEija said...

eh ade nama Pena Tumpoi.. hehe

Unknown said...

bab yg ni best.....