Intan payung kami...

Wednesday 19 December 2012

Viva Sakura : Bab 1

Cover suka-suka hati 2012

Cover Publish 2009

P/s : Novel ini sudah diterbitkan pada 2009. Dengan izin pihak penerbit dan penulis kami dibenarkan untuk mempublish beberapa bab novel ini untuk tujuan promosi. Selamat membaca!



Sakura Alia, gadis Melayu berdarah Korea adalah antara beberapa orang pelajar Malaysia yang turut sama meraikan kemenangan setelah 5 tahun menimba ilmu di bumi ginseng itu. Wajah mereka berseri-seri disirami kegembiraan. Di mana-mana sahaja terdapat kilatan flash kamera yang merakam kenangan sempena meraikan detik-detik kegembiraan itu dan ada juga yang bertukar-tukar alamat dan nombor telefon sesama mereka.

Namun keadaan yang tadinya begitu meriah di dewan Universiti Hongik yang terletak di tengahtengah bandar Seoul itu kini bertukar suram. Suasana sayu dan terharu pula memenuhi hampir setiap sudut. Ada juga di antara mereka yang menitiskan air mata kerana sayu untuk berpisah dengan rakan yang sudahsebati dengan kehidupan di Seoul.

Di satu sudut, Sakura hanya diam memerhati. Entah kenapa hatinya belum lagi terusik dengan perpisahan itu. Mungkin juga dipengaruhi oleh keputusannya untuk menyambung kembali pencariannya yang masih belum berhasil, menyebabkan dia akan terus berada di bumi ginseng itu.

Sakura menghela nafas panjang. Air coklat panas di cawan polistirena yang ada di tangannya dihirup perlahan. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia keluar secepat mungkin dari dewan itu. Tidak sanggup melihat tangisan sayu rakan-rakannya yang semakin bergema.

“Sakura… kenapa kau tak sertai mereka?” soal Kim Hea, salah seorang pelajar Korea yang begitu rapat dengannya.

Sakura tersenyum sambil menarik nafas dalamdalam. “Nanti aku pula yang menangis lebih teruk daripada mereka,” ujar Sakura dalam bahasa Korea sambil tergelak kecil.

Kim Hea tersenyum mendengar jawapan Sakura. Dia tahu rakannya itu hanya bergurau. “Kau ni tak pernah berubah, Sakura.” Kim Hea mengeluh perlahan. Kim Hea amat arif bahawa Sakura seorang yang keras hati. Sepanjang mereka berkawan, tidak pernah sekali pun dia melihat gadis itu menangis.

Pada awal perkenalan mereka, Kim Hea menyangka Sakura merupakan salah seorang pelajar tempatan. Warna kulitnya yang putih serta rupa paras yang mirip gadis Korea menyebabkan ramai pelajar menyangka Sakura berasal dari Korea. Sakura memiliki sepasang mata besar dan bundar. Alis matanya yang hitam dan terbentuk serta bulu matanya yang panjang dan lebat sering menjadi tarikan.Malah kerana kelebihan itu dia dituduh melakukan pembedahan plastik. Setelah berkenalan dengan lebih rapat, barulah mereka tahu bahawa gadis itu berasal dari Malaysia dan berbangsa Melayu.

“Apa yang kau menungkan, Kim Hea?” Soal Sakura setelah melihat Kim Hea merenung jauh sambil tersenyum sendirian. Kim Hea tergelak lalu memandang wajah sahabatnya itu.

“Aku teringat masa kita mula-mula kenal dulu. Aku sangka kau buat pembedahan plastik pada mata kau tu,” terang Kim Hea mengimbas kembali kenangan lalu.

Serentak itu terdengar tawa Sakura berderai. “Kim… kalau kau nak tahu, sampai sekarang kalau aku pandang mata aku di cermin, aku teringat pertanyaan kau tu. Masa tu kau beria betul mahu buat pembedahan, kan?”

Kini Kim Hea pula tertawa teringatkan kenangan itu. “Aku terlalu tertarik dengan mata kau sebab tu aku bersungguh-sungguh. Nasib baik teman lelaki aku sukakan mata asal aku ni. Kalau tak, dah lama mata aku jadi cantik macam kau...” terang Kim Hea.

Sakura tersenyum lalu menggelengkan kepalanya. Pembedahan kecantikan bagi muda-mudi di Korea sudah menjadi perkara biasa. Permintaan yang tinggi untuk pembedahan kecantikan menyebabkan wujudnya banyak salon kecantikan yang menawarkan pelbagai pakej untuk menarik minat pelanggan. ‘Mereka boleh buat apa saja tanpa fikir soal dosa,’ desis hati Sakura.

“Tak perlu kau nak ubah apa-apa, Kim… Kau dah cantik. Sebenarnya kita akan rasa lebih bahagia kalau lelaki tertarik kepada kita kerana cinta, bukan rupa paras kita. Barulah ikhlas.”Kim Hea mengangguk setuju. 

Kata-kata itu jugalah yang selalu dikeluarkan oleh Sakura setiap kali dia menyuarakan keinginannya itu. Setiap kali melihat promosi kecantikan, setiap kali itulah hati Kim Hea tergoda untuk melakukannya. Cuma dia bernasib baik kerana Sakura selalu membuka mindanya mengenai erti kecantikan sebenarnya. Kalau tidak sudah pasti duit simpanannya banyak dihabiskan semata-mata untuk kelihatan cantik.

“Kecantikan hati menjadikan kamu cantik...” ujar Kim Hea perlahan mengulangi kembali kata-kata Sakura dulu.

“Kau masih ingat kata-kata tu?” soal Sakura sedikit terperanjat.

“Mestilah aku ingat. Sebab aku tak pernah terdengar sesiapa pun yang nasihat aku macam tu. Cuma kamu sorang, Sakura.” Jelas Kim Hea sedikit sebak. Terharu dengan keikhlasan serta kejujuran Sakura sepanjang persahabatan mereka.

“Jangan beremosi pula... nanti kau pula yang menangis!” jerit Sakura yang tersenyum lalu melarikan diri dari Kim Hea.

“Hei! Kau nak ke mana, Sakura? Kau pun nak menangis, kan? Sebab tu kau lari?” jerit Kim Hea sambil tergelak melihat Sakura berlari anak ke arah tengah-tengah dewan.

Dari jauh kelihatan Sakura menunjukkan isyarat untuk mengambil minuman. “Sakura, tak salah kalau kau menangis...” bisik Kim Hea sendirian.

... Bersambung....







No comments: