Intan payung kami...

Sunday 18 March 2012

Bab 2: Cuit-cuit Cinta


Families are like fudge - mostly sweet with a few nuts.  ~Author Unknown
Aku matikan enjin skuter sebelum aku pegi mengunci pintu pagar. “Lea dah balik!” Laungku sebaik sahaja kaki aku melangkah masuk ke dalam rumah teres setingkat yang didiami kami sejak 16 tahun lalu. Aku terus menuju ke dapur, tempat yang menjadi ‘pejabat’ mummy. Mummy sedang sibuk menghias sebiji kek ketika aku masuk ke dapur. Mummy menoleh ke arahku sambil tersenyum.  “Siapa tempah mummy?” Tanyaku sambil memandang ke arah kek Red Velvet yang sedang dihias mummy. Di atas kabinet dapur, sudah elok tersusun dua tiga kotak kek cawan pelbagai rasa yang menunggu masa untuk dihantar kepada orang yang menempah.

“Red Velvet ni untuk Aunty Maryam. Katanya malam ni dia nak buat surprise party untuk Uncle Hisham. Cup cake ni pelanggan tetap mummy, Puan Farisha yang tempah. Nanti Lea tolong mummy hantarkan boleh?”
“Puan Farisha? Dekat mana rumah dia mummy?” Sungguh pun nama Puan Farisha itu sering aku dengar, tapi aku belum pernah lagi tolong mummy hantar pesanannya. Selalunya tugas hantar menghantar ini mummy akan minta tolong pada Abang Fuad, anak Aunty Maryam. “Abang Fuad mana?” Tanya aku lagi.
“Abang Fuad ada hal hari ini, jadi dia tak boleh tolong mummy. Mummy ingat nak hantar sendiri tapi mummy kena pergi ambil Nadia pula petang nanti. Dia balik lewat hari ni sebab ada perjumpaan Kelab Fotografi dan Pengakap. Tempat Puan Farisha dengan sekolah Nad tu lain-lain arah. Mummy takut nanti tak sempat sebab Puan Farisha nakkan kek ni dalam pukul 4 nanti.”
Aku mengangguk tanda faham sambil mencapai pinggan makan. Tapi dalam hati sempat juga mengutuk adik tunggal aku, Nadia. Adik aku ini memang kategori pelajar terlebih rajin. Bayangkanlah hari ni baru hari pertama persekolahan tapi dia dah sibuk dengan kelab dan persatuan. Nadia merupakan Presiden Kelab Fotografi dan Setiausaha Persatuan Pengakap. Entah macam manalah ahli-hali kelab dan persatuan dia rasakan bila hari pertama sahaja dan diajak buat perjumpaan.  Aku ada dengar cerita, Nadia ni kurang disenangi sebab terlalu tegas. Mujur kami ini berlainan sekolah kalau tidak aku pun boleh jadi mangsa gara-gara dia. Aku bersekolah di Sekolah Menengah Idealian, sebuah sekolah campuran sedangkan Nadia di Sekolah Perempuan Idealian, sebuah sekolah khas untuk pelajar perempuan dan di antara sekolah terbaik di daerah ini.
“Tadi abah telefon.” Beritahu mummy tiba-tiba. Aku yang baru hendak menyuap nasi ke mulut terus terhenti.
“Ha? Abah telefon? Alah, kenapa tak tunggu sampai Lea balik sekolah?” Aku merengek tak puas hati. Bukan senang nak dapat peluang berbual dengan abah memandangkan dia cuma boleh menghubungi kami sebulan sekali. Sudah lima tahun kami tidak bertemu abah. Abah kini bekerja di London sebagai tukang masak di rumah Duta Malaysia di London. Dulu, abah mengusahakan perniagaan katering dengan adik bongsu abah, Pak Su Kamal. Tetapi gara-gara Pak Su yang gemar bermegah-megah, perniagaan yang dulunya maju makin lama makin teruk jadinya. Semuanya gara-gara Pak Su sering mengambil keluar wang hasil perniagaan itu tanpa pengetahuan abah. Hutang piutang dengan pembekal tidak dibayar. Akhirnya perniagaan katering itu lingkup begitu sahaja.
Akibatnya keluarga kami berpecah begini. Demi mencari duit untuk sekolahkan aku dan adik aku, Nadia, di samping hendak melunaskan hutang piutang yang ada abah terima tawaran untuk bekerja di London sebab pendapatannya agak lumayan. Aku, Nadia dan mummy memang sedih mahu berpisah dengan abah tapi apa daya kami, demi meneruskan kelangsungan hidup, kami terpaksa terima semuanya. Dan Alhamdulillah, dalam tempoh lima tahun ini, hutang piutang abah sudah mula berkurangan. Dan kami bertiga di sini mampu hidup senang walaupun tidak semewah orang lain.
“Kenapa abah tak tunggu Lea balik sekolah mummy?” Tanya aku pada mummy sekali lagi.
“Alah, abah nak cepat tadi. Katanya nanti dia kena ikut bosnya ke luar daerah. Dekat sana nanti takut dia sibuk dan tak ada peluang nak telefon kita. Tapi abah cakap dengan mummy nanti dia akan kirim email pada Lea dan Nad.”
Aku tarik muncung. Email dan telefon dua benda berbeza. Perasaannya  membaca email dan bercakap di telefon tidak sama. Tapi nak buat macam mana. Abah memang sibuk. Tak apalah. Aku kena pendam dulu rindu aku pada abah untuk bulan ini. Bulan depan aku akan pastikan aku dapat berbual dengan abah macam selalu.
Tiba-tiba mummy tarik kerusi di hadapan aku. Aku pandang muka mummy. Mata mummy nampak bersinar-sinar. Aku mula berdebar. Ini mesti ada berita baik, kalau tidak muka mummy tak nampak teruja begini.
“Abah beritahu mummy, bos dia akan bagi 2 tiket kapal terbang pergi dan balik untuk kita pergi lawat abah. Sebagai bonus untuk abah sebab kerja abah memuaskan hati.”
Aku menjerit gembira. Pinggan nasi aku tolak ke tepi. Dua tiket untuk pergi melawat abah di London? Maknanya aku akan dapat peluang jumpa abah dan peluk abah macam dulu? Err...tapi tunggu sekejap? Kenapa 2 tiket saja sedangkan kami bertiga?”
“Mummy, dua saja? Bukan 3?” Tanya aku untuk kepastian. Mummy mengangguk.
“Tapi kita bertiga? Macam mana?”
Mummy tersenyum. “Tak apalah, Lea dengan Nad sajalah yang pergi.”
“Habis tu, mummy?”
“Mummy boleh pergi lain kali.”
Perasaan teruja aku tadi tiba-tiba hilang. Mana boleh macam itu. Aku tahu, berbanding aku dengan Nad, mummy lebih rindukan abah. Abah tu suami dia. Teman sehidup semati dia. Dia yang lebih berhak ke sana berbanding kami berdua beradik.
“Mummy sajalah pergi.” Kataku. Mummy nampak sedikit terkejut. Mungkin tidak menyangka aku akan beralah.
“Eh, mummy tak kisahlah. Mummy dah cakap dengan abah tadi, biar Lea dengan Nad sahaja yang pergi.”
“Tapi Lea tak nak.”
“Lea tak nak jumpa abah?”
Aku angguk kepala. “Lea nak sangat jumpa abah. Lea rindu gila pada abah tapi berbanding dengan mummy, Lea rasa mummy lebih rindukan abah kan? Jadi mummy sajalah pergi. Nanti kalau ada peluang lain, Lea pula pergi. Ok, mummy?”
Aku tengok mata mummy mula berkaca. Aduh, ini yang aku lemah ni. Aku cepat-cepat bangun dan pergi peluk bahu mummy. Aku tak nak tengok air mata mummy jatuh sebab nanti dengan aku sekali tumpang menanggis. Aku ni pun boleh tahan juga sensitifnya.
“Alah, mummy janganlah menanggis. Tak rocklah mummy!” Aku cuba buat lawak yang tak berapa nak lawak sebenarnya sebab mummy tetap juga menanggis. Aku apa lagi, mulalah pelupuk mata tu terasa hangat saja. Sudahnya kami berdua beranak menanggis sambil berpelukkan di dapur. Dah macam drama slot Akasia pulak dah. Yang benarnya bukanlah ada benda yang menyedihkan sangat pun tapi yang kami beriya sangat menanggis ini kenapa? Alahai... Ini kalau Nadia nampak memang kena ketawa tujuh hari tujuh malamlah jawabnya. _ఠ ఠ_

No comments: