Intan payung kami...

Saturday 30 March 2013

Bab 12 : Aku dan Dia, Pinky Promise


Sebaik sahaja tamat waktu sekolah, aku menghadiri kelas khas. Kelas yang hanya dikhaskan untuk beberapa orang pelajar yang sangat perlahan menerima apa yang diajar di dalam kelas. Tak sampai sepuluh orang pun. Yang peliknya, dalam nakal budak Azri tu, tak ada pula dia dalam kelas khas ni. Maknanya otak dia tak adalah rosak teruk sangat. Emm...

Habis kelas khas aku menapak ke perpustakaan. Ketika di koridor hendak menuju ke perpustakaan yang terletak di tingkat tiga bangunan pejabat, tiba-tiba terdengar nama aku dipanggil. Aku menoleh. Terlihat Asnan berlari anak menghampiri aku.

“Puas saya cari awak.” Ujarnya tercungap-cungap.

Aku terus memandang sambil memeluk buku teks di dada, menantikan dia menyatakan tujuannya mencari aku.

“Awak, jom kita ke sana. Ada perkara penting saya nak bagi tahu awak ni.” Dia memegang lengan aku, namun lekas-lekas aku menepis.

“Apa pegang-pegang orang ni.” Hati aku mula mendidih.

“Maaf.” Segera dia menarik tangannya. “Jom kita ke sana.” Ajak dia lagi.

Aku menggeleng. “Cakap saja dekat sini.” Balas aku acuh tak acuh.

Dia kelihatan seperti terkejut. “Kenapa awak tukar aliran? Kenapa awak tak bagi tahu saya? Saya tahu pun melalui kawan-kawan saya.” Dia terus merenung aku.

“Saya dah bagi tahu ayah, dia setuju.” Balas aku sengaja buat-buat tidak faham maksud pertanyaannya itu, aku dapat melihat riak wajahnya berubah kelat.

“Awak dah lain, kenapa ya?” Dia terus merenung aku.

Tidak dinafikan wajah Asnan memang kacak. Kulit kuning langsat, alis mata yang tersusun cantik. Hidung yang sederhana mancung, bibir nipis, berkumis nipis. Dan matanya yang memukau hati. Namun, keindahan itu hanya seketika, selepas itu bayangan wajah dia ketika berusia 32 tahun yang berserabai terpampar di ruang mata aku, tiba-tiba sahaja hati aku menjadi tawar.

Erkk... kau orang jangan fikir yang bukan-bukan pula. Aku ni bukanlah jenis memandang rupa semata-mata. Tapi kes Asnan ni memang aku dah tak boleh bertolak ansur. Aku rasa, kalau lima belas tahun kemudian dia tetap kacak macam sekarang pun aku tetap tak boleh nak terima dia. Aku sendiri tak tahu kenapa. Mungkin memang dia bukan jodoh aku.

“Saya tak lain. Biasa-biasa je.” Balas aku mendatar. “Ada apa-apa lagi? Kalau tak ada saya nak ke perpustakaan sekarang. Banyak yang saya perlu ulang kaji.” Tambah aku lagi.

“Tunggu.” Panggil Asnan ketika aku ingin mengangkat kaki. “Saya nak tahu status kita. Cara awak bercakap dengan saya, lain sangat. Awak suka saya tak?” Dia terus merenung aku. Aku menelan air liur.

Perlu ke aku jawab sekarang?

“Saya rasa macam saya bercakap dengan orang lain, bukan Sal yang saya kenal dua minggu lepas.” Tambah Asnan lagi, wajahnya kembali mendung.

Aku menarik nafas dalam, entah kenapa tiba-tiba simpati pula melihat wajah mendung Asnan. Ya, bukan salah dia pun. Jika masa depan dia tidak menentu aku seharusnya bantu dia dari sekarang dan bukannya tinggalkan dia begitu sahaja. Tak sampai hati pula aku nak putuskan hubungan kita orang. Entah-entah, aku yang menjadi punca masa depan dia yang malap? Mungkin sebab dia kecewa dengan aku menyebabkan pelajaran dia terganggu?

“Banyak perkara yang saya perlu fikir. Saya perlu cover semua subjek tahun lepas sekurang-kurangnya sebelum bulan 6.” Ujar aku.

“Kalau awak nak awak boleh pinjam nota saya.” Wajah dia kelihatan bersungguh-sungguh.

“Tak apa, Hanim dah bagi pinjam yang dia punya.” Balas aku. “Kalau awak nak ikut kita boleh ke perpustakaan sama-sama.” Pelawa aku sekadar ajak-ajak ayam.

Walau pun hati aku sudah tak suka, tapi apa salahnya aku terus berkawan dengan dia sehingga habis peperiksaan. Membantu dia agar sama-sama fokus dalam pelajaran.

“Okey.” Dia mengangguk tersenyum meleret.

Setiba kami diperpustakaan aku terkejut melihat Azri pun ada di dalam perpustakaan. Dia turut sama memandang aku, namun dengan pandangan mengejek. Dia mencebir ke arah Asnan kemudian tersenyum sinis pada aku. Aku faham maksud dia. Aku menjegil mata pada dia. Dia mencemik kemudian kembali menatap buku.

Aku terus menapak arah meja yang agak jauh dari pelajar lain, aku tak mahu terganggu dengan perbualan mereka yang kadang-kala mengalahkan berada di pasar! Pengawas tak buat kerja agaknya!
Aku terus membuka buku nota, membelek satu persatu buku nota Hanim. Melihat tulisan Hanim yang tersusun cantik menyegarkan mata.

“Awak…” panggil Asnan mengganggu tumpuan aku.

Aku mengangkat wajah.

“Kenapa awak pilih kelas paling belakang? Kenapa tak pilih sama kelas dengan saya dan Hanim?” Tanya Asnan berbisik.

“Cikgu susun.” Balas aku acuh tak acuh malas berbual panjang. Aku kesuntukan masa, kembali menatap buku nota.

“Awak tak boleh tolak ke? Saya takut kalau awak duduk satu kelas dengan budak-budak tu, nanti dengan awak-awak pun jadi…” Asnan berhenti bersuara. Sekali lagi aku mengangkat wajah memandang dia.

“Saya jadi penyangak?” Segera aku memintas kata-kata Asnan.

“Tak adalah, cuma, saya risau nanti awak tak boleh nak tumpu perhatian. Dia tu nakal sangat. Selalu buat bising dalam kelas.” Balas Asnan memuncungkan bibirnya ke arah Azri yang sedang galak mengusik pengawas perpustakaan.

“Itu dia orang, bukan saya.” Balas aku sebal. Aku mengangkat wajah, terlihat Azri berada di belakang Asnan sambil sempat membuat memek muka mengejek, kemudian berlalu pergi. Aku mengetap bibir. Geram sungguh, berani dia mengejek aku?

“Kenapa awak?” Tanya Asnan menoleh ke belakang kemudian kembali memandang aku.

“Tak ada apa-apa.” Jawab aku berdalih. Kembali menatap buku nota.

“Awak, saya betul-betul risau awak duduk dalam kelas tu. Duduk sehari pun awak dah berubah, kalau setahun, saya tak tahulah.” Keluh Asnan perlahan.

“Awak, saya tak mahu bincang fasal ni boleh tak? Saya datang sini nak belajar. Boleh tak kita fokus?” Aku mendengus perlahan.

“Maaf.” Jawab dia sepatah.

Tidak lama kemudian dia menutup buku di depannya. “Awak saya balik dulu, petang nanti ada latihan bola keranjang. Kalau awak ada masa datanglah tengok saya berlatih. Baru semangat.” Ujar Asnan tersenyum.

“Tengoklah. Tapi tak sempat agaknya sebab saya sibuk sekarang ni. Minggu ni saya kena habiskan bab satu untuk semua subjek yang saya terlepas.” Balas aku sekadar menjaga hatinya. Dia mengangguk kemudian beredar.

Dari jauh aku terlihat Azri memandang aku. Dia mengukir senyuman yang amat sinis di mata aku. Aku memang tak suka kalau orang buat muka macam tu dekat aku. Dia tak kenal siapa aku, meh sini aku nak kenalkan siapa diri aku!

Lantas aku bingkas bangun, ambil semua barang aku dan pindah ke meja dia.

“Apa hal?” Dahi dia berkerut. Mungkin terkejut apabila aku duduk berdepan dengan dia.

“Saja, meja sana panas. Meja sini sejuk.” Jawab aku menyindir sambil membuka buku nota. Aku mencuri pandang, terlihat wajah dia sedikit resah.

“Kau masuk dalam perpustakaan ni sebab nak study atau sebab kena denda?” Tanya aku memecah kekeluan.

Dia buat tak endah, terus asyik melukis sesuatu pada sketch book.

“Kenapa kau benci aku?” Tanya aku lagi, sengaja mengeluarkan soalan berbaur provokasi, harap-harap kali ini dia balas.

“Bila aku cakap aku benci kau?” Dia terus melukis.

“Memang kau tak pernah cakap. Tapi cara kau tu aku dah tahu.” Balas aku mencemik.

Dalam masa yang sama aku cuba ingat kembali tentang dia pada tahun sebelumnya. Namun tidak ada satu kenangan pun singgah dalam kepala aku. Mungkin dia seorang yang tak suka menonjolkan diri sebelum ni sebab tu aku tak kenal.

Dia berhenti melukis. Mengangkat wajah memandang aku. “Aku cuma tak suka kau masuk kelas aku.” Balas dia serius.

“Kenapa?”

Dia mendengus kasar. “Sebab tumpuan aku terganggu!” Terjegil mata dia merenung aku.

Seram!

“Aku tak ganggu kau pun. Kau tu yang ganggu aku.” Jawab aku sebal.

“Aku akan ganggu kau sampai kau minta tukar ke kelas lain.” Balas dia lagi, sambil tangan dia terus melukis.

Aku tersenyum sinis. “Kalau aku tak minta tukar?”

“Kau akan terus diganggu.” Balas dia dengan wajah bersahaja.

“Kau buat apa ni?” Tanya aku ingin menarik buku di tangan dia. Tapi lekas-lekas dia menarik buku itu ke dadanya.

“Jangan kacau aku boleh tak?” Dia mencerlung.

Aku tersengih. “Aku akan kacau kau selagi kau kacau aku.” Balas aku tersenyum sinis. Dia ingat dia saja yang samseng?

Dia mendesit. “Kalau kau rasa nak berborak. Baik kau keluar. Pergi dating dengan teman lelaki kau tu.” Dia mencebik. “Konon, nak putus. Cakap besar je kau tu.” Dia menjeling sinis.

“Yang kau sibuk ni kenapa?” Bila sebut fasal Asnan je mesti angin satu badan. Geli sungguh dengan budak tu.

“Bukan nak sibuk, tapi semalam beria-ia. Tapi sekali bertemu mata, lembik gigi dari lidah.” Dia mencemik, tangan dia terus ligat bergerak.

“Aku ni ada hati perut. Kalau aku minta putus aku takut dia kecewa dan nanti gagal SPM. Aku tak mahu kerana aku masa depan dia rosak.” Balas aku geram.

Dia mengangkat wajah. Tangan dia berhenti melukis. Dia mendekatkan wajahnya ke depan, menghampiri aku. “Apa kau nak kisah fasal masa depan dia? Yang penting masa depan kau.” Ujarnya berbisik dengan wajah serius.

“Aku okey, tak ada masalah. Kau tu kena fikir masa depan kau. Sampai bila kau nak jadi samseng?” Sebagai seorang yang matang (erkk... maksud aku yang pernah mengecapi usia 32 tahun) aku perlu nasihatkan dia.

“Samseng aku pun, tak pernah nak menyusahkan orang.” Balas dia bersahaja. Kembali melukis.

“Habis yang kau kacau aku tu tak menyusahkan orang ke?” Tanya aku sebal.

“Baik kau duduk satu kelas dengan Asnan tu. Boleh setiap saat kau tenung muka dia.” Ujar dia acuh tak acuh sambil terus asyik melukis.

Aku dah kata, kalau sebut nama Asnan tu memang darah aku boleh mendidih. “Kau ingat aku ni perempuan gatal!” Bulat mata aku merenung wajah dia.

“Bukan eh? Tadi dating dalam library bukan mengatal namanya?” Dia tersenyum sinis. Mengangkat sebelah kening.

“Kau tu yang gatal!” Balas aku geram.

“Bila pula aku mengatal?” Dia merenung tajam. Seakan mencabar.

“Tadi tu tersengih-sengih macam kerang busuk dengan pengawas tu bukan mengatal?” Aku tersenyum mengejek.

“Kau pernah jumpa kerang busuk tersengih?” Dia mengulum senyum.

“Pernah, sama macam kau senyum tadi.” Balas aku sebal. Menarik wajah masam.

Dia terdiam. Merenung wajah aku. Perlahan-lahan bibir dia mengukir senyuman kecil. Dia menjeling jam di pergelangan tangan kemudian bingkas bangun.

“Belajar elok-elok ya. Banyak lagi subjek yang kau kena kejar.” Kemudian dia terus beredar.

“Kau dah nak blah? Tunggu aku tak puas hati lagi ni. Kenapa kau panggil aku gatal!” Tanya aku tak puas hati.

Serentak itu beberapa orang pengawas menjeling pada aku. Membuat isyarat agar aku diam.

Haish! Dia ni memang nak kena!



BERSAMBUNG...

2 comments:

Anonymous said...

makin best,nk lg n lg n lg...!! sweet sgt,heheheee..

ZA said...

Anonymous - terima kasih... akan menyusul, Insha Allah esok. :)