Intan payung kami...

Wednesday 19 December 2012

Viva Sakura : Bab 2

 “Kim, jauh lagi ke? Aku dah penat ni!” rungut Sakura ter
mengah-mengah. Beg pakaian yang disandang di kedua-dua bahunya dihempaskan ke jalan.

“Cepat! Kalau lambat jalan ni semakin sesak dengan orang ramai!” jerit Kim Hea yang sudah pun berada jauh di hadapan.

Pasar bebas di kawasan Hongdae semakin dipenuhi pengunjung. Penjual yang menjual barang di pasar itu terdiri daripada para pelajar Universiti Hongik. Mereka menjual hasil kreativiti mereka sendiri seperti barangan perhiasan wanita, pakaian, beg serta pelbagai barangan kraf tangan yang cantik dan unik.

Sakura mendengus kasar. “Perempuan ni, kalau berjalan bukannya nak tunggu orang...!” Bebel Sakura menggunakan bahasa Malaysia. 

Beberapa orang yang lalu di hadapan Sakura kelihatan mengerutkan wajah apabila gadis itu mengeluarkan bahasa yang agak asing di pendengaran mereka.

“Kim… tadi kau cakap dari Hongik cuma jalan kaki. Tapi kenapa guna subway?” soal Sakura sedikit tidak puas hati. 

Namun dia segera berlari anak mencelah masuk ke dalam tren yang sudah pun berbunyi menandakan beberapa saat lagi pintu itu akan tertutup. Mereka berdua memilih untuk berdiri berhampiran pintu keluar supaya mudah meloloskan diri ketika keluar nanti. Kelihatan penumpang sedang asyik melayan perasaan masing-masing namun ada juga yang sedang asyik membaca bahan bacaan yang dibawa. ‘Membaca seolah-olah menjadi satu tradisi bagi mereka,’ desis hati Sakura lalu kembali menatap pemandangan di luar.

Subway merupakan salah satu sistem pengangkutan yang paling digemari di Korea kerana dapat menghubungkan ke setiap tempat di sekitar
Seoul dan ini memudahkan warga Seoul untuk pergi ke mana jua tempat yang ingin dituju.

Kim Hea tersenyum. “Kalau barang kau ni tak ada, boleh jalan kaki. Tapi tengok ni...” balas Kim Hea sambil memuncungkan bibirnya ke arah barang-barang milik Sakura.

Sakura menatap wajah Kim Hea lalu tersengih. ‘Betul juga! Mahu tercabut bahu aku ni...’ bisik hati Sakura.

“Okey cepat, kita dah sampai!” gesa Kim Hea

sambil mengambil barang yang dibawanya tadi. Mulut Sakura melopong. “Hah? Dah sampai? Sekejapnya!” balas Sakura lalu segera membimbit kedua-dua beg yang dibawa tadi.

“Dari Hongik ke tempat ni cuma beberapa stesen saja,” jelas Kim Hea, segera meluru ke arah pintu yang terbuka dan berjalan keluar dari stesen kereta api. “Sekejap lagi kita sampai.” Kim Hea bersuara setelah melihat Sakura termengah-mengah membawa barang-barang keperluannya. 

Mereka memasuki satu kawasan yang terdapat deretan kedai menjual pelbagai barang harian serta kedai makan di kiri dan kanan mereka. Kali ini Kim Hea melalui lorong kecil yang sedikit meninggi.

“Kau nak bawa aku ke mana, Kim? Aku dah nak pengsan ni!” rungut Sakura yang keletihan. Sakura terbongkok-bongkok menahan penat mendaki bukit, sedang matanya melilau memandang sekeliling mereka yang kini berada di kawasan tempat tinggal di pinggir bandar.

“Okey dah sampai!” jerit Kim Hea gembira. Wajahnya langsung tidak kelihatan penat jika dibandingkan dengan Sakura yang sudah pun
semput. 
Sakura meneliti kawasan sekeliling. Kelihatan beberapa penduduk sedang berehat sambil berbual sesama sendiri.

“Ini kawasan kejiranan Hongdea. Kebanyakan kedai di bawah sana milik penduduk di sini. Mereka lebih selesa tinggal di tempat yang tak jauh dari tempat mereka berniaga,” terang Kim Hea tanpa diminta oleh Sakura.

***

Kim Hea mengetuk pintu rumah itu beberapa kali namun tiada jawapan. Sakura berdiri di sebelah Kim Hea sambil memerhati sekeliling.
Beberapa orang jiran memerhati gelagat mereka sambil berbisik-bisik. Mungkin mereka tidak pernah melihat wajah Kim Hea dan Sakura di kawasan tersebut sebelum ini.

“Mahu cari siapa?” soal jiran di sebelah rumah. Kedudukan rumah mereka yang berdekatan menyebabkan bunyi ketukan itu boleh didengarinya.

“Saya mahu jumpa Encik Takai,” jelas Kim Hea sambil menunduk hormat.

“Dia keluar… mungkin ke kedai. Sekejap lagi mungkin dia balik,” ujar orang tua itu lalu menutup pintu rumahnya.
Sakura hanya tersenyum. Bahasa Korea yang digunakan oleh orang itu agak janggal di telinganya.

“Kita duduk di sana dulu sementara tunggu Encik Takai datang.” Cadang Kim Hea lalu menuju ke arah sebuah pangkin yang tersedia tidak jauh dari pintu pagar rumah tersebut. Sakura hanya menurut. 

Sakura memerhati keadaan rumah di kawasan itu yang kesemuanya memiliki bentuk yang sama. Rumah kayu dua tingkat yang agak kecil dibina begitu rapat antara satu sama lain. Ada yang membina pagar dan ada juga tidak berpagar. Sakura kembali merenung rumah Encik Takai.

‘Ada tangga yang tinggi dari luar rumah yang menghubungkan bahagian atas rumah itu, mungkin untuk kegunaan penyewa di bahagian atas,’ bisik hati Sakura.

“Okey ke bilik sewa kat sini? Tak bahaya ke? Encik Takai ni baik ke?” Soal Sakura bertalu-talu, membayangkan hatinya
yang sedikit risau. Selama ini dia tidak pernah menyewa seorang diri. Selalunya pasti ada rakan lain yang menyewa bersama.

“Jangan risau, dia baik orangnya... tapi tak ramah sangat,” jelas Kim Hea bersahaja.

“Maksud kau, Encik Takai ni garang ke?” soal Sakura lagi. Wajahnya berkerut.

Kim Hea tergelak kecil melihat reaksi wajah Sakura yang kelihatan takut. “Lebih baik garang daripada jahat, kan?” soalnya seraya melirik pada Sakura. Mulutnya tersenyum separuh mengusik.

“Hah! Itu pun Encik Takai...” ujar Kim Hea.

Sakura memandang ke arah jalan. Kelihatan seorang lelaki tua sekitar usia 60 tahun berjalan perlahan-lahan mendaki bukit di hadapan kawasan rumah itu. Wajah lelaki itu ditenung lama. Air muka Encik Takai kelihatan agak dingin. Tiada garis senyuman di bibirnya tatkala disapa oleh Kim Hea.

***

“Terima kasih Kim. Aku sukakannya,” ujar Sakura sambil memandang sekeliling bilik itu. 

Di bahagian atas rumah milik Encik Takai hanya mempunyai dua bilik iaitu satu bilik yang disewa oleh Sakura dan satu lagi bilik kosong yang hanya dipenuhi dengan barang lama. Bilik milik Sakura agak luas. Terdapat dua pintu di bilik itu. Satu pintu yang untuk turun ke ruang dalam rumah dan satu lagi pintu untuk keluar menggunakan tangga kedua yang tersedia di luar bilik itu.

Encik Takai lebih selesa tinggal di bahagian bawah. Katanya dia tidak larat untuk mendaki tangga tiap-tiap hari. Disebabkan itu dia sengaja
menyewakan bahagian atas kepada orang lain. 

“Kalau kau berpuas hati, aku pun lega. Tapi aku harap kau tak kisah sebab kau perlu berkongsi tandas dengan penghuni bilik satu lagi tu.”

“Tak apa... tadi Encik Takai cakap bilik tu tak ada penghuni buat masa ni. Jadi aku tak perlu berkongsi. Tapi kalau dia ada ambil penyewa lain, terpaksalah kongsi…” balas Sakura tersenyum.

“Baiklah, kalau kau puas hati, aku balik dulu. Nanti ibu aku fikir aku merayau ke mana pulak.”

“Kim… kau tidur di sini aje. Lagipun ni malam pertama aku di rumah ni. Takut juga aku tinggal sorang.” Sakura separuh merayu lalu tersengih mempamerkan barisan gigi putihnya yang tersusun rapi. Kim Hea tergelak besar.

“Kau takut? Setahu aku, kau ni tak pernah takut!” perli Kim Hea seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.

“Kim, kau kalau tak perli aku tak boleh ke?” Sakura mencebik.

“Okey… kau boleh balik. Aku tak kisah pun!” jerit Sakura sambil menolak badan Kim Hea keluar.

Kim Hea ketawa mengekek. “Mengaku aje kau memang penakut, Sakura.” Bidas Kim Hea mengejek sambil memuncungkan bibirnya ke arah Sakura. Sakura tertawa melihat gelagat Kim Hea yang keanak-anakan.

“Aku bukan takut, cuma aku nak kau tolong aku kemaskan barang-barang ni,” balas Sakura tidak mahu mengalah. Tangannya menuding ke arah beberapa buah beg yang masih belum dibuka.

“Kalau macam tu, baik aku balik cepat. Nanti tak pasal-pasal jadi kuli kau pula.” Kim Hea segera meluru turun menggunakan tangga di luar bilik Sakura.

“Baiklah, selamat malam!” jerit Kim Hea sambil melambaikan tangannya pada Sakura yang memandang dari beranda. Sakura tersenyum sendirian. Belum pun sempat dia mengucapkan terima kasih, Kim Hea sudah pun berada di bawah.

‘Nanti kalau aku dapat gaji pertama, aku belanja kau, Kim...’ bisik hati Sakura perlahan.

...Bersambung...

No comments: