Intan payung kami...

Monday 18 March 2013

Bab 8 : Aku dan Dia, Pinky Promise.


“Awak ni biar betul?” Tuan pengetua sekolah merenung aku dari celah cermin matanya. Jika dikira, hampir dua puluh kali aku dengar soalan ini diajukan pada aku.

“Betul cikgu.” Aku menarik nafas dalam. Tuan pengetua termenung seketika.

“Saya bimbang awak tak sempat nak kejar semua subjek yang awak tertinggal tu. bulan lima nanti ada peperiksaan cubaan, kalau boleh masa tu awak dah habis belajar semua subjek tahun lepas.” Wajah dia kelihatan resah. Macam dia pula yang akan ambil SPM.

“Baik awak fikir betul-betul.” Sampuk Cikgu Aminah guru kelas aku. Yang ditugaskan menjaga kebajikan pelajar kelas sains.

“Kenapa awak tiba-tiba nak tukar kelas ni?” Soal pengetua, bersandar di kerusinya.

Aku berdeham perlahan. “Saya tak minat sains. Habis belajar nanti saya nak ambil kursus komunikasi atau editor.” Balas aku dengan penuh yakin.

“Kalau macam tu, aliran sains bukan masalah untuk awak ambil kursus tu.” Sampuk Cikgu Aminah.

“Saya tahu. Tapi saya tak suka subjek sains. Jadi buat apa saya buang masa saya untuk belajar semua tu. Lebih baik saya tumpukan pada subjek yang saya minat.” Balas aku masih berkeras.

Walau apa pun terjadi aku akan pastikan mereka setuju dengan keputusan aku. Kerana ini melibatkan soal masa depan aku bukannya mereka.

Serentak cikgu Aminah dan pengetua menghela nafas perlahan. “Saya risau awak tak sempat nak kejar.” Ujar pengetua mengeluh perlahan.

Cikgu Aminah menoleh ke arah aku. Renungannya seperti mengharapkan aku fikirkan balik keputusan aku ini. Tapi itu semua tidak mungkin aku lakukan. Aku nekad. Aku dianugerahkan peluang ini mungkin untuk membaiki kesilapan lalu.

Ya, aku tahu sejarah tak boleh diubah. Menjadi pelajar sains sudah menjadi sejarah tapi sekurang-kurangnnya jika aku cuba ubah pun ianya tidak melibatkan orang lain. Ini bukan soal jodoh, atau kematian. Tapi… pilihan, yang hanya tercatat pada sehelai kertas yang diberi nama Sijil Pernilaian Menengah. Tak salah, kan?

“Saya tahu tu. Saya sempat habiskan semua silibus tahun lepas. Lagi pun, bukan semua subjek saya kena belajar. Cuma tiga subjek perdagangan, lukisan dan  sastera. Subjek lain saya pun ada ambil.” Pujuk aku lagi.

Pengetua dan Cikgu Aminah saling berpandangan. “Okey, kalau itu kata awak. Kami pun dah tak boleh nak paksa. Tapi, awak perlu bertanggungjawab dengan tindakan awak ni.” Ujar pengetua. Aku mengangguk setuju.

“Dan lagi satu… setelah kami bincang, awak mungkin dimasukan ke dalam kelas Sastera Mawar.”

Cikgu Aminah merenung aku. “Kelas paling hujung… awak sanggup?” Sambungnya lagi.

“Setuju.” Balas aku tersenyum girang.

“Kami terpaksa serap awak dalam kelas tu sebab… kelas lain dah penuh. Kelas tu pun tak ramai pelajar jadi mungkin mudah awak nak belajar dan cikgu-cikgu mudah nak bagi perhatian pada pelajar.” Jelas cikgu Aminah. “Dan awak juga perlu hadiri kelas khas yang diadakan setiap hari sebaik saja tamat waktu sekolah.” Tambah cikgu Aminah lagi. Aku mengangguk setuju.

Tak apa kelas hujung pun. Janji aku dapat apa yang aku mahu. Kalau ikutkan memang ngeri duduk dalam kelas yang dipenuhi dengan penyangak sekolah, tapi… ini yang aku mahu. Positifnya, mungkin aku akan jadi pelajar yang paling cerdik walau pun aku tak pernah belajar subjek sastera. Lagi pun, sastera bukan susah macam fizik pun, atau kimia atau biologi atau pun matematik tambahan!

Selepas ucap selamat tinggal pada teman sekelas, aku terus mengangkut beg menuju ke bangunan sebelah. Terpinga-pinga budak kelas aku bila dapat tahu aku hendak tukar aliran. Macam-macam soalan terkeluar, terasa macam ditemu bual oleh wartawan. Tapi jawapan aku hanya satu.

Aku tak minat sains!

***

Positif Sal. Positif.

        Ketika mendaki anak tangga  aku sudah boleh dengar betapa riuhnya kelas enam Mawar. Jantung aku berdegup kencang. Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke kelas tiba-tiba aura negatif menyerbu hati. Melihat keadaan kelas yang riuh-rendah membuatkan hati aku sedikit kecut. Mampukah aku hidup dikalangan dia orang?

“Hai cik cantik manis, nak cari siapa?” Tegur seorang budak lelaki yang aku kenal rupa dia. Dia memang antara penyangak yang  kerap di panggil beratur di depan ketika perhimpunan sekolah. Kalau tak silap nama dia Suffian. Selain dari terkenal kaki ponteng dia memang terkenal sebagai kaki suka mengutuk orang.

Tanpa mempedulikan dia, aku terus ke belakang kelas menuju ke arah meja kosong. Kelas yang tadi macam pasar borong, tiba-tiba sunyi sepi.

“Kosong, kan?” Tanya aku pada pelajar perempuan di meja sebelah. Setelah melihat dia mengangguk, aku  terus menarik kerusi, meletak beg ke dalam meja.

“Hajar, kan?” Tegur aku. Aku masih ingat wajah dia. Dulu kita orang pernah satu rumah sukan. Pernah rapat sekejap, tapi lepas habis hari sukan sekolah masing-masing buat hal sendiri. Kalau terserempak pun setakat berbalas senyum.

“Ya.” Jawab Hajar berkerut dahi.

Aku senyum kemudian terus mengeluarkan buku teks yang baru diterima sebentar tadi. Suasana kelas masih lagi sunyi sepi sehinggakan jarum jam yang tergantung dekat dinding kelas pun aku boleh dengar. Aku tahu, dia orang mesti tengah tengok aku ni dan bertanda-tanya kenapa aku berada dalam kelas ni.

Perlu ke aku kenalkan diri dan bagi tahu kenapa aku berada dalam kelas ni?

Alahai... malu lah pula. Jumlah keseluruhan pelajar kelas ini 18 orang. Pelajar perempuan cuma enam orang termasuk aku, selebihnya pelajar lelaki. Tak ada seorang pun yang aku kenal rapat. Semuanya setakat pernah berselisih bahu. Aku menelan air liur cemas, harap-harap tak ada yang mengganggu aku.

“Kau buat apa dalam kelas ni?” Tiba-tiba terdengar satu suara bertanya.

Aku segera menoleh ke belakang.  Terkedu seketika sebaik sahaja melihat wajah itu. Renungannya yang  tajam sangat mengerunkan. Seingat aku, memang aku tak pernah jumpa dia sebelum ni?

“Hai, pelajar baru ke?” Aku tersengih, cuba meramahkan diri. Mak pesan apabila masuk tempat orang kena pandai bawa diri.

“Aku tanya kau buat apa dalam kelas ni?” Soal dia dengan nada sedikit keras.

Aku tersentak. Kenapa dia macam nak marah aku ni? Tiba-tiba terasa lengan aku disiku. Aku menoleh ke sisi. Hajar membuat isyarat ingin berbisik.“Kau jangan layan sangat dia tu.” Bisik Hajar di telinga aku.

“Budak baru ke?” Bisik aku pula.

Wajah Hajar berkerut-kerut. “Baru apa pula. Dah berkarat pun.” Balas Hajar perlahan kemudian mengekek.

Dahi aku berkerut. “Maksud kau?” Bisik aku di telinga Hajar. Mana tahu mamat singa dekat belakang ni curi dengar.

“Lar kau ni. Kalau tak silap kau orang pernah duduk satu kelas masa tingkatan satu dulu, kan?” Jawab Hajar merenung wajah aku.

Alah, sudah! Bila pula aku satu kelas dengan mamat singa ni? Kalau betul tak mungkin aku lupa. Muka samseng macam dia tak mungkin aku lupa.

“Perempuan berlagak macam dia ni, mana pernah kenal orang lain.” Tiba-tiba dia menyampuk. Aku menoleh, terlihat dia tersenyum sinis sambil membelek buku di atas meja.

“Kau tak sayang mulut ke?” Soal aku menjeling. Tiba-tiba darah aku mendidih.

Heh. Dia ketawa sinis, mengangkat wajah merenung aku. “Kau nak buat apa?” Tanya dia seakan mencabar.

“Aku nak cili!” Balas aku geram.

“Cubalah kalau kau berani.” Dia mencerlung. Mengangkat dagu seperti mencabar aku.

Hajar menarik lengan aku. Aku kembali memandang ke depan. “Aku kata jangan layan. Dia tu macam sarang lebah. Kalau kita tak jolok dia tak kacau.” Bisik Hajar.

Aku mendengus kasar. “Oh, lupa. Aku masuk kelas ni sebab nak belajar.” Balas aku menoleh seketika ke arah dia kemudian kembali menatap buku nota. Namun tak sampai beberapa saat terasa kerusi disepak dari belakang. Aku menoleh.

“Cikgu Hazam hantar kau jadi pemerhati ke?” Dia mencerlung.

“Kau tak pandai beza ke, dua perkataan, belajar dan pemerhati. Kau faham maksudnya, kan?” Aku membalas senyuman sinisnya. Mungkin aku tak kenal dia dulu sebab dia ni budak samseng. Mulut berapi! Aku ni memang pantang sikit kalau jumpa lelaki yang mulut macam longkang, memang aku tak akan pandang punya!

“Kau masuk kelas aku, kau jangan nak berlagak diva. Mentang-mentang kau pelajar sains, kau ingat, kami yang kelas hujung ni macam sampah?” Kali ini suara dia agak perlahan, namun kedengaran cukup keras di telinga aku.

“Aku yang berlagak diva, atau, kau yang berlagak jadi samseng kampung dusun?” Aku menjeling sinis.

Serentak itu terdengar ketawa kecil di meja sebelah. Azri segera menoleh. Hanya dengan satu jelingan saja gelak ketawa itu tiba-tiba saja berhenti.

Dia ni memang penyangak! Aku menggeleng kepala.

“Perempuan, kau blah sekarang! Kau cakap dekat cikgu Hazam kalau malas mengajar jangan nak pandai-pandai hantar perisik!”

Suaranya melengking sekali gus membuatkan pelajar lain terdiam. Aku membalas renungan tajamnya. Dia ingat aku takut? Kalau dia nak menjerit sampai bergegar bangunan sekolah ni pun aku tak takut!

“Perisik apa pula ni Azri?” Terdengar satu suara menyapa kami.

Serentak aku dan dia menoleh ke depan kelas. Terlihat cikgu Hazam sudah berdiri di meja guru. Aku memandang Azri kemudian menghadiahkan senyuman yang paling menjengkelkan kepadanya. Padan muka!

“Kelas, maaf saya lambat. Ada beberapa perkara yang perlu saya uruskan.” Cikgu Hazam terdiam seketika. “Untuk pengetahuan semua, hari ini kita menerima pelajar baru yang akan mengikuti pembelajaran di kelas ini.”

“Wah, ada pelajar baru. Lelaki ke perempuan?” Terdengar suara Suffian menyampuk.

“Perempuan.” Balas cikgu Hazam memandang ke arah aku. Beberapa pelajar yang menyedarinya turut memandang ke arah aku.

“Siti Saleha, awak nak perkenalkan diri?” Soal cikgu Hazam.

“Hah? Dia ni?” Terdengar suara dia menjerit di belakang.

“Ya, kenapa?” Aku menoleh, mencemik geram.

“Dia kan pelajar kelas sains, kenapa pula nak menyemak dekat sini?” Laung Suffian pula. Macamlah kami semua ni pekak. Tak guna punya budak!

“Special case.” Balas cikgu Hazam tersenyum sinis pada aku.

Ini yang buat aku menyampah dengan cikgu Hazam ni, perangai dia sebiji macam Azri, suka menyindir!

“Siti, tak nak keluar ke?” Soal cikgu Hazam bila melihat aku kembali duduk di kerusi.

Siti? satu lagi perkara yang buat aku menyampah dengan cikgu Hazam dulu. Suka-suka hati nak panggil aku dengan nama tu. Benci! Aku tak suka nama Siti! Terlalu kampung!

Tapi… sekarang, aku tak rasa nak marah lagi. Sejak Dato Siti Nurhaliza mempopularkan nama ‘Siti’ aku tumpang bangga pula nama aku bermula dengan Siti. Kalau aku cerita dekat dia orang semua ni yang Siti Nurhaliza di masa depan bergelar akan Dato’ dan berkahwin dengan lelaki berusia, agaknya mereka percaya tak?

“Hey, perempuan, berangan lagi?” Terdengar suara berbisik dari arah belakang aku sekali gus mematikan lamunan aku.

“Sibuk je lah!” Balas aku sebal.

“Bukan nak menyibuk, tapi cikgu Hazam panggil kau sampai dua kali, kau pekak ke?” Kemudian dia tergelak sinis sekali gus membuatkan hati aku mendidih.

“Saya hairan kenapa awak tiba-tiba nak tukar kelas. Awak ingat bila awak ambik aliran sastera awak boleh berangan?” Terdengar suara cikgu Hazam tajam memukul gegendang teling aku, serentak itu terdengar pelajar lain ketawa mengekek.

Aku memandang tajam pada cikgu Hazam. Tak guna punya bakal abang ipar! Aku kembali pada zaman ni sebab nak berbaik dengan kau, kau pulak nak sindir-sindir aku! Ni yang buat aku hilang sabar ni!

“Cepat, keluar depan ni dan jelaskan kepada dia orang kenapa awak nak berpindah kelas.” Ujar cikgu Hazam berwajah serius.

Aku mendengus kasar. Perlahan-lahan bangun dari kerusi.

“Kau tukar kelas? Kau sewel ke?” Soal Azri celupar. Mulut macam dia ni kalau tak insaf memang kena cili dengan aku nanti ni!

“Diamlah!” Balas aku sebal segera keluar.

“Hai semua.” Aku berdeham perlahan.

Kesemua mata memandang tidak berkelip pada aku. Aku tahu, kalau aku di tempat dia orang pun macam tu. Apa taknya, dah masuk tahun dua baru nak tukar aliran, memang kerja gila. Tapi aku ada alasan aku sendiri.

“Saya percaya, awak semua mesti pelik. Bukan awak saja, semua cikgu pun akan fikir saya ni pelik. Dan, saya sendiri fikir saya ni pelik. Tapi… percayalah, selagi kita ada ruang untuk berubah selagi itu kita masih berkesempatan untuk berubah.” Aku menelan air liur, menarik nafas dalam.

“Perjalanan kita sangat-sangat jauh. Tingkatan lima bukan penghujung sebuah kehidupan, berakhirnya SPM bukan sebuah kemerdekaan tetapi… bermulanya satu perjalanan yang sangat jauh dan penuh dengan liku-likunya.

Jika kita tidak berusaha membina diri kita pada hari ini, saya yakin, kita tak mungkin akan terselamat ketika berada di dunia sebenar.” Aku merenung setiap wajah di dalam kelas. “Saya tahu, keputusan saya bertukar aliran pada tahun kita akan menghadapi peperiksaan besar adalah keputusan karut atau mungkin sewel…” Aku menjeling pada Azri yang turut terdiam memerhati aku.

  “Tapi, seperti yang saya katakan tadi, selagi ada ruang untuk berubah saya akan berubah. Selagi ada peluang berubah saya akan rebut peluang itu. Saya baru sedar yang saya memilih aliran sains bukan kerana saya cintakan sains tapi saya cintakan status menjadi pelajar kelas terbaik. Saya terikut-ikut kehendak orang lain sehinggakan saya terlupa apa yang saya inginkan sebenarnya.

Saya percaya, ramai diantara kita memilih pada ketika ini bukan kerana pilihan sendiri. Mungkin ada yang terpaksa, mungkin ada yang tak tahu apa yang hendak dipilih atau mungkin seperti saya tadi… memilih kerana mengikut kehendak orang lain.

Jadi, semalam saya nekad, akan buat pilihan untuk diri sendiri dan masa depan saya. Jika saya ambil sains semata-mata kerana ikut orang. Kelak saya tak akan ke mana-mana. Jadi, sains bukan pilihan saya. Tak guna saya belajar subjek yang saya fikir hanya mahu lulus peperiksaan di mana di akhirnya tidak memberi apa-apa makna dalam pilihan hidup saya. Saya perlu berlajar untuk masa depan saya. Saya tak akan ulangi kesilapan lepas. Terima kasih.” Aku bergegas masuk ke tempat duduk.

Pelik, kelas masih sunyi sepi. Aku memandang cikgu Hazam. Dia tersenyum mengangguk-angguk. Aku terkejut, tak pernah dia senyum begitu. Senyuman yang jujur dan ikhlas!

“Jadi, saya ucapkan selamat maju jaya.” Akhirnya cikgu Hazam bersuara setelah agak lama kelas berdiam diri.

BERSAMBUNG...


2 comments:

Anonymous said...

aduiii...tak tertelan karipap tgh makan ni.Best sgt cerita ni.Kak Jue smbungla lagii..

-ratna-

Julia Esqa said...

Ratna
Aduhai, nasib baik tak tertelan.. kalau terlekat bahayaaa... heee... tu dah ada sambungan bab seterusnya tu.. hehehe.