Intan payung kami...

Friday 7 June 2013

Bab 5 : Terukir Cinta di Bintang



 Bab 5


Aku diam tidak berkutik.
“Nak pergi mana?” Tanya lelaki itu.
“Balik,” jawab aku sepatah.
“Maaf fasal dalam kedai tadi,” ucap aku perlahan.
“Tak apa. Perkara kecil,” jawabnya sambil tersenyum.
Aku terus memandang lelaki yang berkaca mata hitam itu. Kenapa ketika waktu remang begini dia pakai cermin mata hitam? Ni mesti sebab nak sembunyikan mata dia yang merah tadi kot? Haish… mesti dia tengah lalok ni. Menakutkan sungguh. Menyesal pula merajuk dengan Imran tadi. Kalau tak tentu aku dah selamat sampai dekat rumah. Lelaki ni pula entah-entah ada niat tak baik dengan aku ni sebab tu dia ikut sampai ke sini.
“Balik mana?” tanya lelaki itu lagi.
 “Ukay Perdana,” jawab aku ringkas.
“Nak saya hantarkan? Dah lewat ni. Bahaya awak tunggu seorang diri dekat sini.” Dia mempelawa.
“Tak apa, dah biasa. Kejap lagi bas atau teksi lalu lah,” jawab aku berdalih. Tak kenal takkan tiba-tiba nak terima pelawaan itu pula? Bahaya!
“Saya serius ni. Bahaya tau duduk seorang diri dekat sini. Kawasan ni pun sunyi semacam je,” ujarnya lagi.
“Kalau macam tu, awak teman saya sampai bas atau teksi sampai. Boleh?” balas aku, sarkastik sebenarnya.
“Okey.” Dia datang mendekat.
Aku segera menoleh. Bulat mata aku memandang wajah lelaki itu yang semakin mendekat. Dia tak faham ke aku sindir dia tadi? Takkan sebab aku ajak dia kahwin tadi dia dah syok sendiri. Menempah bala sungguh kau ni Nadia!
“Saya harap awak jangan salah faham. Tadi tu… saya, cuma…”
“Tak apa, saya faham.” Dia senyum.
Aku menarik nafas lega. Masak aku kalau tiba-tiba lelaki itu tuntut janji nak kahwin dengan aku. Macam mana aku nak bersoal jawab dengan mak dan ayah nanti.
Kalau dengar suara dia tanpa tengok muka mesti aku bayangkan dia ni kacak orangnya. Suara dia yang lemak merdu memang sedap didengar. Kalau dia azan mesti ramai yang terpegun. Tapi, bila tengok wajah dia. Adeh… potong! Macam mat gian! Tapi… biasanya mat gian badan dia orang kurus-kering. Baju kotor dan berbau. Tapi dia ni… wangi! Badan pun boleh tahan kemas dan sasa. Imran pun tak sasa macam dia.
Oit! Jangan terpedaya Nadia. Entah-entah dia ni mat gian campur mat ragut sebab itu dia datang dekat kau. Kawasan ni pula sunyi saja kalau petang, memang jadi lokasi terbaik kalau dia nak buat jahat dekat aku ni.
Haish… bahaya! Bahaya!
Perlahan-lahan aku mengeluarkan telefon bimbit. Membuka kamera.
“Awak.” Panggil aku. Sebaik saja dia menoleh, aku segera menekan butang kamera di telefon bimbit. Cahaya flash memancar. Aku segera melihat hasil tangkapan. Emmm… terang dan jelas!
“Awak ambil gambar saya?”
Aku mengangguk sambil menaip pesanan ringkas pada Hara dan juga Yatie.
“Saya dah send gambar awak pada telefon bimbit kawan saya,” jawab aku bersahaja.
“Hah? Kenapa?” Melopong dia pandang aku.
“Saya bagi tahu dia orang, kalau saya tak sampai rumah malam ni saya suruh dia orang bawa gambar awak ke balai polis,” ujarku bangga dengan rancangan licik sendiri.
Dia tergamam. Tak lama kemudian dia ketawa terkekeh. Siap tekan-tekan perut lagi.
“Bijak awak. Saya dah perasan tadi. Ingatkan awak nak tenung gambar saya sebelum tidur,” ujarnya dengan tawa yang masih bersisa.
Aku memandang sebal. Mencemik sesaat.
“Buat apa saya nak tenung muka awak yang berserabut tu. Makin serabut kepala saya nanti.”
“Serabut ke?” Dia memegang wajah sendiri yang penuh dengan janggut dan misai terbiar.
Aku mengangguk kemudian segera menoleh ke arah jalan, mengharapkan teksi dan bas segera datang. Namun hampa, jalan di depan masih kosong. Hanya kelihatan kereta keluar masuk di simpang hadapan.
“Betul awak tak nak saya hantar ni?” Tanya dia lagi setelah agak lama kami berdiam diri.
“Awak nak hantar dengan apa?” Tanya aku, skeptical.
“Kereta lah.”
 “Mana?”
“Tu.” Dia memuncungkan bibir ke arah sebuah kereta Audi putih yang berada di pakir tidak jauh dari hentian bas.
Wow! Seksi! Aku menelan air liur.
Eh, kejap. Kalau tak silap masa aku tengah tunggu bas tadi aku ternampak lelaki tua keluar dari kereta tu. Sah! Dia memang mat gian!
 “Berani awak nak hantar saya dengan kereta tu?” Hati aku membara.
“Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Dia.
Aku menggeleng.
“Kalau awak nak buat jenayah sekali pun, jangan libatkan saya okey!” Aku mencebik lantas berganjak ke hujung bangku. Menjeling seketika kemudian kembali memandang jalan. Aku terus berpeluk tubuh dan menggeleng kesal.
“Takkan hantar awak balik pun dikira jenayah?” Tanya dia terus bingkas berdiri.
“Hey! Awak nak buat apa tu?” Aku menjerit kuat sebaik saja melihat dia menghampiri kereta tersebut.
Walau pun manusia di akhir zaman selalu kata, jangan jaga tepi kain orang atau dalam bahasa inggeris mind your own business tapi bagi aku jika mahu hidup bertamadun kata-kata tu tak boleh dipakai. Sebab, kalau bukan masyarakat yang menegur kemungkaran di depan mata, siapa lagi?
“Ambil kereta,” jawab dia bersahaja.
“Awak jangan buat kerja tak senonoh depan saya ya! Nanti saya telefon polis!” Aku mengugut.
Dia berhenti melangkah, memandang aku kemudian tersenyum sinis.
“Telefonlah kalau berani,” ujarnya kemudian berpatah balik melangkah menghampiri aku.
Lekas-lekas aku mengeluarkan telefon bimbit. Namun, belum sempat aku nak telefon polis dia segera merampas telefon aku.
“Mesti awak ingat saya ni pencuri kereta, kan?”
“Tak. Mula-mula saya sangka awak ni mat gian. Tapi tak sangka rupanya awak ni mat gian campur pencuri kereta!” balasku, cuba merampas kembali telefon bimbit yang berada di tangannya.
“Mat gian?” Dia terus memandangku.
Aku angguk.
“Mata awak merah. Mesti awak tengah lalok sekarang ni. Baik awak layan lalok awak bawah jambatan. Jangan nak pergi mencuri pula! Nanti bawa kereta tengah lalok awak akan kemalangan dan nanti orang yang tak bersalah akan menjadi mangsa.”
 “Kenapa awak tuduh saya mat gian dan pencuri? Sebab saya pakai selekeh? Seluar koyak? Sebab tu awak fikir macam tu?” Dia melangkah setapak menghampiriku.
Aku mengundur setapak ke belakang.
“Ya. Kenapa? Saya salah?”
“Kalau saya pakai kemas, baju mahal-mahal mesti awak ingat saya ni orang baik. Kan?” tanya dia, melangkah setapak lagi menghampiriku.
“Tak. Mesti saya cakap awak suka bagi atau terima rasuah.”
Dia berhenti melangkah.
“Kalau saya tekan kunci ni dan kereta tu berbunyi…” Serentak itu dia menekan kunci di tangannya. Kereta itu berbunyi.
“Awak akan cakap… itu kereta saya atau awak akan kata… saya ni pencuri professional?”
 “Awak penyeluk saku? Awak curi dari poket seluar pak cik tadi?” Jerit aku terkejut. Terbeliak mata aku memandang dia. Segera aku memeluk beg tangan. Nanti tak fasal-fasal beg aku pula yang diragutnya. Nauzubillah!
Dia menepuk dahi.
“Seumur hidup saya… tak pernah jumpa manusia yang sangat prejudis macam awak ni.” Dia menggeleng kepala, menyerahkan kembali telefon bimbit kepadaku kemudian terus melangkah meninggalkan aku terpinga-pinga di situ.
“Patutlah teman lelaki awak tak kisah awak kahwin dengan orang lain.”
“Awak perli saya!” Haish dia ni!
“Kenyataan.” Dia berhenti melangkah dan menoleh pada aku.
Tiba-tiba hati aku terasa bagai ditoreh-toreh. Lelaki yang baru aku kenal yang selekeh dan mungkin mat gian pun tuduh aku macam tu! Apatah lagi Imran yang sudah lima tahun kenal aku. Serentak itu air mata aku bergenang. Atau memang benar aku perempuan tak guna?
 “Eh, janganlah menangis.” Dia menoleh ke kiri dan kanan.
“Awak pun sama! Saya berhak nak marah dekat teman lelaki saya! Lima tahun kita orang kawan! Saya tak pernah curang! Tak pernah buat dia marah! Tak pernah minta bunglo atau kereta mewah! Tak pernah minta intan dan permata! Saya cuma minta dia masuk meminang. Salah ke!” Aku menghentak kaki. Geram! Air mata sudah menitis.
“Okey… okey… awak tak salah. Dah, jangan menangis.” Wajah dia kelihatan cemas, tangannya cuba menyentuh bahuku namun aku segera menepis.
“Dah awak dengan Imran sama je!” Aku menolak tubuh dia.
“Pergi lah curi kereta tu! Kalau awak kena tangkap padan muka! Saya malas nak ambil tahu fasal orang! Saya malas nak jadi manusia bertamadun! Pergi lah curi!” Aku segera melabuhkan punggung di bangku dan teresak-esak di situ.
“Awak… janganlah menangis. Saya minta maaf.” Pujuk dia lembut.
“Saya… tak bermaksud…”
“Dah. Pergi!” Aku menolak tubuh dia.
“Saya tak akan pergi selagi awak tak berhenti menangis.” Dia terus berdiri di sebelah.
Aku mengesat air mata. Cuba menahan sendu.
“Okey, saya dah berhenti menangis. Pergi sekarang!”
Dia masih berdiri di sebelah dengan wajah serba-salah.
“Saya hantar awak balik.” Dia bersuara lembut, memujuk.
“Tak nak! Awak balik sekarang! Kalau tak, saya jerit!” Aku mengugut, geram.
“Okey… okey… cool down. Saya pergi sekarang. Tapi… betul ni tak nak…” belum pun sempat dia habis bersuara aku terus mencelah.
“Tak nak!” Aku menjegilkan mata.
“Okey.” Dia mengangkat kedua tangannya kemudian terus berjalan menghampiri keretanya
Sebaik saja kereta itu berlalu pergi, aku terus menghambur tangisan yang tertangguh. Kali ini aku menangis sepuas-puasnya. Mujur tak ada sesiapa di hentian bas tersebut. Kalau tidak, mesti dia orang ingat aku ni dah tak betul.
Lepas puas menangis, barulah hati aku kembali lega.

BERSAMBUNG...

1 comment:

Aimi said...

hihihi..cute giler cerita ni....