Intan payung kami...

Friday, 5 October 2012

Bab 2 : Selepas 14 tahun...

Bab 2

Aku tersentak. Ah! Mimpi buruk lagi. Sejak akhir-akhir ni kerap sungguh aku mimpi kemalangan kereta. Ngeri! Mintak simpang!
Tanganku meraba-raba mencari telefon bimbit di bawah bantal. Memang sudah menjadi tabiat aku letak telefon bimbit bawah bantal supaya cepat bangun subuh. Mana pula ni? Tangan terus meraba. Akhirnya jumpa juga, namun sebaik saja aku melihat objek itu, aku terpinga. Siapa pulak bubuh jam loceng besar gedabak bawah bantal aku ni? Mana perginya telefon aku? Toyol tak curi telefon bimbit, kan?
Dalam keadaan mamai, aku melihat jam loceng itu. (bagus juga jam besar, senang nak tengok)
Tepat pukul 5.55 pagi. Patutlah rumah sunyi sepi. Aku kembali menutup mata. Ada masa setengah jam lagi sebelum bangun, solat subuh. Mandi pada pukul tujuh pagi dan kemudian bersiap ke tempat kerja.
Tapi tak sampai pun satu saat terlelap tiba-tiba terdengar suara emak melaung memanggil namaku.
“Siti Saleha! Bangun!” Alah, mak ni, potong sungguh. Aku segera menarik kain selimut dan menutup seluruh badan, dari hujung kaki sehingga ke hujung kepala. Sikit lagi mak, sikit je lagi. Aku terus memejamkan mata.
“Sal! Kamu macam mana dah sihat?” kali ini suara mak betul-betul melekat pada gegendang telinga. Aik, lajunya mak naik tangga. Sebelum ni asyik merunggut sakit lutut. Serentak itu terasa tangan emak menyentuh dahiku.
Aku buka mata. Pandang mak dengan wajah hairan. “Sihatlah, tapi bila mak tanya macam tu, tiba-tiba rasa macam tak sihat je?”Balasku mengusik. Emak mencemik.
“Kalau dah sihat bangun!Kau nak peram apa lagi mata tu? Dah pukul enam! Takkan hari ni nak cuti lagi!” Suara mak memang nyaring, mengalahkah suara Ziana Zain!
“Alah, mak awal lagi. Solat subuh pukul 6.30 pun boleh.” Balasku kembali menarik kain selimut. Namun laju pula tangan mak menghalang.
“Kamu ingat melambat-lambatkan solat tu tak berdosa ke!” Emak mencerlung. Bercekak pinggang.
“Alar, orang mengantuk ni, tak cukup tidur.” Balasku masih menutup kedua mata.
“Tak cukup tidur apanya, semalam dah seharian kamu rehat dan tidur kat rumah ni. Takda, takda… bangun sekarang juga!” Suara mak menyucuk masuk ke telinga. Aku mengosok-gosok telinga yang tiba-tiba terasa gatal.
“Mana ada orang rehat pun, balik kerja lewat lah semalam. Hujan lebat sangat, susah nak pandu kereta.” Keluhku lagi masih mamai.
“Kamu jangan nak bergurau pagi-pagi buta ni. Mana ada kau kerja semalam. Pandu kereta apanya, kau kan pengsan. Seharian tidur, hari ni kau tak boleh cuti lagi.” Balas emak, nada suaranya sedikit menurun.
“Ha? Orang cuti semalam? Orang pengsan?” Mataku terbuka luas. Jadi, kemalangan tu bukan mimpi lah?
“Ya, kau pengsan. Mujur tak cedera teruk. Luka pun tak ada. Tak sangka kuat juga badan kamu.” Ujar emak di kepala katil sambil mengutip beberapa biji cawan yang ada di atas meja tulis.
“Kereta Sal macam mana mak? Bas yang langgar orang tu macam mana?” Aku cuba bangun. (Memang aku biasakan diri aku dengan emak ‘orang’. Jadi kau orang jangan pelik pulak)
Mak menjeling seketika, kemudian tangannya kembali mengutip kain baju yang bersepah di lantai. “Bas?” Mak menggeleng kepala. “Kereta orang tu tak ada apa-apa, dia sempat mengelak. Cuma kamu je yang tiba-tiba pengsan. Terkejut agaknya.” Balas emas ingin melangkah keluar.
Aku menarik nafas lega. Selamat Myvi aku. “Tapi, orang rasa macam tak sihat lagi lah mak.” Balasku dengan nada yang dibuat-buat seperti orang tidak sihat. Seronok juga kalau dapat MC hari ni. Aku pun sudah lama tak ambil cuti. Asyik kerja, kerja, kerja!
“Kamu jangan nak mengada-ngada! Cepat bangun! Mak nak kejutkan adik kamu pula ni.”
Sebaik sahaja mendengar perkataan ‘adik’ aku terus membuka selimut yang menutupi sebahagian tubuh. “Bila adik balik mak?” Soalku terpinga. Setahu aku bulan depan baru adik balik? Takkan dia buat surprise untuk aku pula? Birthday aku lambat lagi. Tiba-tiba hati aku teruja, terbayangkan ipad terpakai yang Sara janji hendak beli di UK tempoh hari. Aku bingkas bangun. Tersenyum lebar membayangkan ipad yang dibeli Sara.
Mak menjeling tajam padaku. “Kau ni kenapa? Mimpi lagi?”
“Pukul berapa adik sampai mak? Siapa ambik dia?” Soalku di birai katil, tiba-tiba mata aku segar bugar. Aku bingkas bangun hendak keluar dari bilik, tak sabar nak jumpa Sara. Mesti banyak buah tangan lain dia belikan untuk aku dan emak.
“Hesy, budak ni. Makin menjadi-jadi perangai kamu ni. Hey, nak kemana tu? Mak suruh mandi, cepat!” Emak  bercekak pinggang, memerhati aku yang ingin menapak turun ke tingkat bawah. Jelingan emak memang menakutkan. Langkah kakiku terhenti serta-merta. Kenapa emak ni? Selama ni tak pernah pula emak menjeling aku sampai nak terkeluar biji mata?
“Termenung apa lagi? Cepat mandi!”
Perlahan-lahan aku terus mencapai tuala yang tersangkut pada paku di balik pintu. Aku memandang kehairanan pada emak, kemudian emak keluar dari bilik bersama baju kotor. Selama ni tak pernah pun beria-ia nak kejutkan aku bangun pagi. Rajin pula mak tolong kutip baju kotor aku?
Aku menggeleng kepala, melangkah malas ke bilik mandi yang terletak di luar bilik. Satu-satunya bilik mandi di bahagian atas yang kini menjadi hak mutlak aku semenjak adik aku Sara melanjutkan pelajaran ke UK dan semenjak Kak Nora dan keluargannya berpindah ke Melaka.
 Namun sebaik sahaja masuk ke dalam bilik air aku mula terasa pelik. Pertama, kenapa tuala aku lain? Kedua, sejak bila aku pakai sabun mandi ni? Siapa curi shower aku? Syampu! Siapa tukar syampu kegemaran aku ni!
“Mak! Mana shower orang! Siapa ambil syampu orang ni!” Jeritku sambil membuka sedikit pintu bilik mandi yang terletak di tengah-tengah antara bilik aku dan dan bilik tidur emak.
“Hesy, budak ni, tak habis-habis mengigau. Cepat mandi! Tak ada siapa pun nak curi dan tukar syampu kamu tu!” Terdengar suara emak dari bawah. Aku mencemik, menutup pintu bilik air dengan hati yang sebal. Aku paling tak suka syampu ni, buat rambut aku jadi keras!
Zaman sekolah dulu haruslah aku pakai syampu ni sebab poket aku nipis, sekarang ni, tak mainlah syampu cikai ni. Sabun ni pun satu hal, kulit orang berusia 31 macam aku ni mana boleh pakai sebarangan, nanti kering. Dahlah tak kahwin lagi, nanti suami aku tak terliur sentuh kulit aku yang kering kontang. Tapi, nak tak nak terpaksa pakai juga. Malas nak turun ke bilik air di bawah.
Eh, mana pencuci muka aku ni? Aku terus membelek shower holder, yang ada hanyalah… sabun susu kambing? Sabun siapa pula ni? Setahu aku zaman aku sekolah dulu je pakai sabun ni. Hesy, ni mesti adik aku rembat semalam masa aku tidur ni. Hendak turun ke bilik mandi bawah pun, badan aku dah penuh dengan sabun ni.
“Siap kau Sara, lepas ni teruk akak membebel.” Eh, tapi aku tak boleh marah dia, nanti dia tak nak bagi ipad tu!
Eh, kejap… aku membelek-belek wajahku di cermin. Kenapa kulit aku licin semacam je ni? Wah… krim yang aku beli minggu lepas akhirnya berkesan!
Alahai, kening aku ni… berserabut. Seharian tak belek muka takkan dah tumbuh. Tapi… macam cantik juga kalau kening ni aku tak cantas. Patutlah mak kata muka aku nampak macam orang sakit bila cantas kening. Memang betul pun, muka aku sekarang nampak lain, berseri-seri. Lepas ni tak payah cantaslah. Berdosa! Bila lagi aku nak insaf, kan? Umur dah 31. Cantas kening dilaknat Tuhan, berapa kali mak pesan. Tapi aku je keras kepala.
Okey, mulai hari ni aku akan cuba berubah. Natural beauty!
***
Selesai mandi dan menunaikan solat subuh, aku termenung seketika memerhati setiap sudut biliku. Entah kenapa, terasa lain sangat bilik aku ni. Emak ada ubah apa-apa ke? Eh, cadar ni, bukan ke sudah buruk dan aku dah buang? Macam mana boleh elok lagi ni?
Mataku beralih pula pada meja tulis dan rak buku yang melekat di dinding. Apa yang lain pada meja aku tu? Aha, lampu meja! Bukan ke dah rosak lima tahun lepas? Macam mana boleh elok atas meja aku ni? Aku memandang rak buku, terlihat buku-buku ketika aku sekolah dulu tersusun kemas.
“Kenapa mak susun balik buku-buku ni? Aku dah susun kemas dalam kotak dan letak dalam stor lagi, rajin sungguh mak ni. Menyemakkan rak buku aku je! Mana pula mak letak novel-novel kesayangan aku? Mataku terus melilau mencari novel kesayanganku. Rak bawah, rak atas, bawah meja, bawah katil, tak ada! Mana mak letak ni?
Hesy, pagi-pagi dah buat aku angin satu badan. Aku segera membuka kain telekung. Yang ini pun satu, bukan ke aku dah buang penyidai ni? Buat menyemak bilik je. Mana karpet dalam bilik ni? Takkan mak hantar dobi? Langsir pun… alahai mak, kenapa rajin sangat cuci semua barang dalam bilik ni?
“Sal! Cepat, dah nak pukul tujuh ni! Turun makan, kejap lagi bas sampai!” terdengar suara emak menjerit dari bawah.
Bas? Mak nak pinjam kereta aku ke? Aku menjeling jam loceng di atas meja. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 6.45 pagi. Jam ini pun satu, rasanya dah lama aku buang macam mana boleh ada dalam bilik ni?
Semakin lama aku tilik bilik ni, semakin pening kepala aku dibuatnya. Aku bergegas keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Dari tangga aku sudah terhidu aroma nasi lemak. Yang ini memang tak buat aku pening, sebab nasi lemak emak memang terbaik! Dulu, kini dan selamanya.
Ketika tiba di meja makan, aku terpegun melihat emak yang sedang asyik menyeduk nasi lemak ke dalam pinggan. Entah kenapa seperti dejavu pula, melihat emak berpakaian begitu mengikat rambutnya yang hitam pekat. Wajah emak pun kelihatan segar dan ceria, berbeza dengan wajah emak semalam.
“Kamu tercegak apa lagi? Cepat makan.” Panggil emak, kemudian dahinya berkerut-kerut. “Sal, kenapa tak siap lagi ni? Nanti lambat kamu juga yang susah! Cepat pergi salin baju.” Mak mencapai teko kemudian menuang air ke dalam cawan.
“Mak nampak lain hari ni, makin cantik.” Pujiku masih tak puas menatap wajah emak yang kelihatan berseri-seri. Mungkin sebab terlampau gembira menerima kepulangan Sara. Kalau dulu aku cemburu, yalah, tiap-tiap hari mulut mak asyik sebut nama Sara. Yang makin menambah bengang aku, sampai nak panggil aku pun mak panggil nama Sara! Kalau kau orang di tempat aku, kau orang pun menyampah kat Sara ni kan? Tapi sekarang aku dah biasa, malah aku pun sering rindu adik aku seorang tu. Heee…
“Kamu jangan nak berdalih, kamu pujilah emak melangit sekali pun, jangan harap kamu boleh ponteng hari ni.” Emak menjeling tajam. Aku tersengih lantas menarik kerusi.
“Bila pula orang cakap nak ponteng ni, tak sanggup orang nak kena potong gaji yang dah seciput tu.” Keluhku lantas menceduk nasi lemak ke mulut. Emak menjeling, berkerut dahi memandangku.
“Mana Sara ni tak turun lagi ni, orang tak sabar nak tengok ipad orang.” Ujarku tersenyum teruja. Sekali lagi emak menjeling pelik. Berkelip-kelip aku membalas jelingan emak. Kemudian emak menggeleng kepalanya.
“Sal, kamu dah lambat sangat ni, cepat pergi salin baju, nanti mak letak lebih nasi lemak ni, kamu makan di sekolah nanti.” Balas emak terus ke dapur.
Sekolah? Aku berhenti mengunyah. Mengaru kepala tidak gatal. “Buat apa ke sekolah mak? Ada apa?” Soalku hairan. Emak yang baru keluar dari dapur memandang curiga. Di tangannya terdapat bekas makanan yang sering aku guna ketika bersekolah dulu. Eh, ada lagi bekas tu?
Emak menghela nafas perlahan, menggeleng kepala. “Kamu jangan nak buat lawak pagi-pagi buta ni, Sal. Cepat pergi salin baju.” Emak segera menarik pingganku, semua nasi lemak diletak dalam bekas makanan tadi.
“Sal tak habis makan lagi.” Aku memandang kehairanan. Sudu masih berada dalam mulut.
“Dah lambat ni, tengok jam tu, kejap lagi bas sampai, cepat lah!” Emak mencerlung. Aku terkaku. Emak ni biar betul?
“Mak memang sungguh-sungguh nak Sal pergi sekolah ke?” Soalku keliru,blurr, merenung wajah serius emak. Dari air muka emak, memang aku tahu mak tak main-main. Tapi kenapa sekolah? Kalau mak halau aku ke pejabat aku tak hairan pula, tapi, sekolah? Takkan mak dah nyanyuk? Mak muda lagi, baru 53 tahun.
“Memang sakit jiwa kalau melayan kamu ni. Kamu dengan ayah kamu sama saja, bergurau tak kena tempat.” Emak menggeleng kepala.
Sebaik saja emak menyebut perkataan ‘ayah’ serta-merta jantungku seakan terhenti berdegup. Aku menelan air liur sayu, namun lekas-lekas aku menghalau rasa sayu itu.
“Tapi, buat apa Sal ke sekolah? Ada majlis apa? Kenapa mak tak cakap awal-awal, kalau tak Sal boleh minta cuti. Kalau Sal minta EL nanti tak fasal-fasal bos Sal mengamuk.” Aku mencemik.
Dan sekali lagi emak menjeling. Kali ini jelingannya sangat tajam. Aku memandang wajah emak. Tak pernah aku tengok emak menjeling macam tu. Ini memang nak marah sangat ni!
“Eh! Budak ni memang nak kena!” Gedebuk aku kena hempuk dengan bekal di tangan emak.
“Mak sakitlah!” Jeritku mengosok-gosok lenganku.
“Ni hati mak lagi sakit nak melayan kamu ni! Dah berbuih mulut mak suruh kau pergi tukar baju. Masih nak main-main lagi!” jerit mak pula.
Sekali lagi aku terpinga. Memang emak betul-betul nak suruh aku pergi sekolah ni. Tapi ada majlis apa? Kalau majlis perjumpaan bekas pelajar tu lambat lagi, bulan depan. Takkan diawalkan pula? Atau, emak ada nak hantar tempahan makan ke sekolah? Tapi setahu aku sudah lama emak tak ambil kerja-kerja membuat kuih untuk kantin sekolah ni.
“Termenung apa lagi ni!” Sekali lagi emak menjerit. Aku tersentak.
“Okeylah, orang pergi tukar sekarang. Tapi tak apakan kalau orang pakai baju kemeja ni dan seluar jeans? Atau perlu pakai baju kurung?” Aku memandang emak. Kalau setakat nak hantar emak ke sekolah aku pakai selekeh pun tak apa, tapi kalau emak nak suruh aku masuk ke pejabat sekolah kena pakai yang sopan sikit. Kalau bertembung dengan bekas guru aku dulu, tak adalah malu sangat nanti.
Bulat mata emak memandang aku. “Sal!” jeritan emak bergema satu rumah, silap-silap satu taman ni boleh dengar suara emak atau mungkin monyet yang sedang tidur di hutan sebelah rumah aku ni boleh terjaga dengar suara emak yang nyaring itu.
“Apa bising-bising ni? Dari tadi abang dengar, tak habis-habis lagi ke kamu menyakat emak kamu ni?” Tiba-tiba terdengar satu suara yang sangat-sangat aku kenal dan sangat-sangat aku rindu. Tiba-tiba sahaja bulu romaku meremang. Aku memandang wajah emak. Tak mungkin kot?
Emak tersenyum sinis padaku, membuat isyarat muka yang sudah lama aku tak pernah lihat emak buat. Isyarat seperti ‘Hah, padan muka!’
“Abang, tolong tegur anak awak ni. Nak bergurau tak kena tempat.” Emak menjeling. Serentak itu jantungku berdegup hebat. Tanganku mula terketar-ketar. Perlahan-lahan aku menoleh. Sebaik sahaja aku melihat wajah itu, mulutku dan mataku terbuka luas. (atau mungkin, rahang aku dah mencecah lantai!)
“Ayah?” Ujarku berbisik. Terkejut melihat ayah berdiri tidak jauh dari meja, menaikkan keningnya padaku.
 “Ayah?” Ulangku lagi seakan tidak percaya. Aku bingkas bangun, menolak kasar kerusi yang sedang aku duduk. Tercegak merenung wajah ayah. Aku segera mengosok mataku berkali-kali, namun ayah tetap berada di depanku. Puas aku cubit lengan dan pipiku, dan aku tetap rasa sakit. Aku memandang emak dan ayah bersilih ganti.
“Kamu ni kenapa Sal?” Soal emak, wajahnya kelihatan cemas.
“Mak…” panggilku sebak. “Ayah mak… ayah.” Aku menoleh pada ayah dan emak bertukar ganti.
“Ya, mak tahulah itu ayah. Kamu ni kenapa? Macam nampak hantu?” kali ini suara emak mendatar.
“Memang itu ayah ke mak?” Soalku lagi tak percaya.
Tiba-tiba aku teringkatkan cerita supernatural yang baru bulan lepas aku tonton kesemua season 5. Di mana, dalam season itu, Dean hidup kembali. Keluar dari kubur. Salah satu episod dari supernatural di mana ahli keluarga yang sudah mati hidup kembali dan pulang ke rumah, mula terbayang di mataku. Tapi, itu cerita, memang karut, tapi, sekarang bukan cerita, hidup aku realiti. Macam mana, ayah… boleh… ada depan aku? Aku sedang bermimpikah?
“Mak, cepat kejutkan Sal mak, cepat mak!” jeritku, air mataku mula berlinang. Andai benar apa yang aku alami kini adalah mimpi, ini bermakna, inilah mimpi yang paling indah yang aku inginkan, tapi…
Gedebuk! Sebijik tumbukan berpadu dari emak hinggap di lengganku. Sakitnya!
“Dah bangun?” Emak menjeling sinis. Aku menoleh memandang emak. Tak berubah. Aku masih berdiri di ruang makan, berdepan dengan ayah yang kelihatan terpinga-pinga dan wajah emak masih bengang seperti tadi.
“Sal tak mimpi?” Aku memandang wajah ayah. Terharu. Tiba-tiba air mataku kembali berlinang. Tanpa menunggu lama aku segera meluru ke arah ayah. Peluk ayah sekuat-kuatnya.
“Ayah, Sal rindu ayah.” Ujarku teresak-esak. Terus memeluk ayah, aku akan peluk ayah sepuas-puasnya.
Mana mungkin aku dapat peluang ini lagi. 12 tahun lalu ayah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Sejak detik itu tidak pernah sehari pun aku lupakan ayah. Setiap saat, ayah sentiasa di hatiku. Ayahlah lelaki yang paling rapat dan terbaik dalam hidupku. Ketika menerima berita pemergian ayah, aku demam hampir sebulan. Sehingga kurus kering.
“Sal…” panggil ayah menyentuh bahuku. Suaranya kedengaran seperti teragak-agak. Aku mendongak. Terlihat ayah tersenyum. Air mataku semakin laju turun membasahi pipi. Aku tak peduli sama ada ini mimpi atau pun apa sekali pun, tapi aku sangat-sangat menghargai waktu ini.
“Sal, ayah tahu Sal rindu ayah. Ayah pergi seminggu je, takkan sampai macam ni Sal sambut ayah? Selama ni kalau ayah balik dari outstation tak pernah pun Sal nak peluk macam ni?” Ayah memandang kehairanan, kemudian ayah memandang emak. Aku turut memandang emak.
“Mak tak mahu peluk ayah ke?” Soalku pada emak yang berkerut dahi memandangku. Ayah ketawa mengekek.
“Awak nak peluk abang tak?” Tanya ayah dengan nada bergurau pada emak sambil membuka lengannya untuk memeluk emak.
Bulat mata emak merenung ayah, mulut emak terbuka luas. Aku ketawa lucu melihat wajah emak. “Mak cepatlah! Sekali boleh peluk ayah, baik kita peluk sepuas-puasnya.” Panggilku menghulur tanganku pada emak yang jaraknya tidak jauh dari ku. Aku terus menarik tangan emak dan mengajak bersama aku memeluk ayah. Aku tahu, selama ini emak sangat rindukan ayah. Walau pun emak senyum, aku tahu hati emak sunyi semenjak pemergian ayah.
Emak ketawa gembira, ayah turut sama ketawa. Alangkah indahnya saat ini, andai boleh dihentikan waktu akan aku  hentikan saat ini selama-lamanya. Namun, itu semua hanya angan-angan. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu jeritan yang nyaring.
“Tidak!”
Ayah dan emak segera menoleh. Ayah segera melepaskan pelukkan. Aku tahu, mesti Sara pun terkejut melihat ayah. Biarkan, aku nak terus peluk ayah. Kalau nak nak join dia boleh datang sendiri, malas aku nak tarik dia.
“Kenapa nak berdrama pagi-pagi ni?” terdengar suara kecil yang sinis menyapa. Aku kenal suara tu, suara yang tak mungkin aku akan dengar sampai bila-bila. Aku segera menoleh. Dan sekali lagi aku tergamam.
“Tidak!” giliranku pula menjerit, terkejut melihat Sara. 
Serentak  itu terasa tubuhku lemah selemahnya. Dua kejutan dalam masa yang sama. Mana mungkin mampu aku menerimanya. Ayah yang sudah meninggal dunia tiba-tiba muncul di ruang makan, dan adikku Sara tiba-tiba sahaja menjadi budak kecil! Tiba-tiba saja pandanganku mula gelap gelita. Hanya kedengaran suara emak memanggil-manggil namaku.

Bersambung.... (terima kasih kerana membaca... ^__^)

12 comments:

Pena Tumpoi said...

huhuhu, pagi2 lagi awak dh buat kita menangis. Rindu family kat kg. terutama ayahmak saye. *menagis lagi*

Julia Esqa said...

waaaa.. (cepat p packing baju!) hehe...

Anonymous said...

Diriku masih confused.... Adakah ini flashback atau dirinya kembalike zaman persekohan semula? Masih trrmangu ni... Cepat post next entry... Mungkin akan memberi jawapannya....

zie omar said...

sambil baca sambil lap mata bila sampai kat part ayah tu...xsabar menanti sambungan. tima kasih.(^_^)

mia kaftiya said...

jangan dera perasaan kami,cepat pos bab seterusnya..*muka raih simpati* v__v huahahaha..

farahusain said...

and the story begins...

Juliaesqa said...

Anon - Dirimu akan terus dalam confuse sampai pertengahan cerita.. tapi kuatkan hati confuse bersama kami yg lain2 kat sini ya. #larikkk...

Zie Omar - haha.. tak tahu lak part tu sedih. dah 2 org dah ckp sedih marah ai.. haha.. ingatkan happy. haha.

Mia - terpaksa dera utk mengerakkan cerita ni... haha.

Farah - pandai je eh ko.. aku terperangkap kat MCD aritu.ceh!!! #bencik pada diri sendiri yg mudah terpedaya! haha.

Anonymous said...

itu menandakan yang aku ni pandai mempengaruhi orang....hahaha

Jijie Black said...

Wahhh ni dah macam dreams come true nih!!! Masin mulut Sal tu nak pegi ke masa silam kan ??? tak sabar nak baca sambungan novel ni...

Anonymous said...

koma ke?

maleen Izami said...

ermm..menarik ceta nih, cam tetiba balik ke 14 thn lepas ekk...cik writer, nk lagi... (-__^) cam best je, sbb lain dr yg lain jln ceta dia...

Anonymous said...

Good families -- of your dwelling one or two linked to overall body standard weight problems, which definitely discover a way for you to satisfy take somewhat help out with get with regards to excellent excess fat, and individuals clinically extra weight -- are going to be garage from a losing weight tangle. http://www.canadagooseoutlet13.com/ http://www.abercrombiefitchcoat.com/ http://www.drdrebeats4uk.co.uk/ The application cruise ships wherever allowing you to hold on right up until it is delivered best outside the house the front doorstep. canada goose jacket abercrombie dr dre beats Review on your previous doing some fishing excursions, typically the fun plus anticipation that you may produce just like you go with Ak halibut do some fishing charters is definitely without having even. The person should look at most correcting specifics as well as alteration invoices, in case just about any, ahead of choosing a used car. You will discover numerous in methods to achieve ones own new carpet fresh. afrika mangosu looks like it's a new safer reliable assist in weight-loss. Any Californian and also Alaskan waters will be filled utilizing pike earning every four week period a great doing some fishing couple of years for any individual what person want to enter in to the destination. This particular points then simply for various angling charters available additionally diverse deals thus to their tour.