Intan payung kami...

Wednesday 27 March 2013

Bab 6 : Mencari Mr. Charming


Bab 6

Selesai makan malam kak long kembali menjalankan rutinnya menjahit tempahan tudung. Mak sudah lama lesap di tingkat atas menidurkan cucu. Abang ngah seperti biasa melayan kartun di kaca tv.
Sudah setahun kak long menjalankan perniagaan tudung secara atas talian. Kalau dulu kak long menjalankan perniagaan itu secara separuh masa, tetapi enam bulan yang lalu setelah melihat perniagaan semakin maju kak long memutuskan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaan barunya.
Abang ngah pula pelukis komik di sebuah majalah komik yang terkenal di Malaysia. Sebelum menjadi pelukis komik sepenuh masa abang ngah bekerja sebagai pelukis komik sambilan saja. Tetapi setelah otaknya di sembur racun oleh mak, akhirnya abang ngah memutuskan untuk bekerja tetap.
Dia pun seperti aku juga, tak mahu bekerja makan gaji dan menjadi kuli orang tapi nak buat macam mana, jiwa dia terlalu lemah. Tidak yakin dengan kemampuan diri akhirnya, tersadailah dia di pejabat. Keluar rumah pukul tujuh pagi balik rumah tujuh malam kadang-kadang sepuluh malam. Kesian, kan?
“Ara.” Terdengar suara ayah menegur. Aku menoleh. Ayah mengambil tempat di sebelah aku.
So, how’s your writing?” Soal ayah.
Ayah aku seorang pengetua di sebuah sekolah di Melaka. Dulu ayah mengajar di sekolah yang sama dengan emak. Tapi sejak ayah dinaikkan pangkat ayah ditukarkan ke sekolah lain. Tapi tak adalah jauh sangat dari sekolah mak, beberapa kilometer saja.
“Macam biasalah ayah.” Keluh aku perlahan. Terbantut niat mahu membelek surat khabar di depan.
“Ara jangan ambil hati dengan mak. Mulut je cakap macam tu, tapi sebenarnya dia bangga dengan Ara.” Ayah memujuk. Aku menghela nafas berat.
“Bangga apa kalau cakap macam tu.” Sengaja aku panjangkan muncung bibir. Dengan ayah boleh lah aku nak bermanja sikit.
“Kalau Ara nak tahu, tiap kali dia jumpa kawan-kawan dia mesti dia akan cerita pasal Ara. Mesti dia bagi tahu Ara dah terbit enam novel. Dalam kereta tu, memang stok buku Ara tak pernah habis. Jumpa sesiapa pun mesti dia hadiahkan novel-novel Ara tu.” Ayah mengekek.
“Betul ke ayah?” Bulat mata aku memandang ayah. Tiba-tiba hati aku dihambat rasa sayu. Terharu dengan cerita ayah.
“Apa yang ayah dapat kalau ayah menipu?” Balas ayah tersenyum, memaut bahu aku.
“Tapi ayah, kalau betul kenapa mak marah sangat tadi?” Wajah aku berkerut kembali.
Ayah tergelak kecil. “Itu namanya provokasi. Dia nak uji Ara. Dia nak tekan Ara supaya Ara berusaha keluar dari zon selesa. Dan lebih bersemangat.”
“Ara tak fahamlah. Kalau mak cakap macam tu bukannya Ara semakin bersemangat pun, semangat yang tinggal seciput ni pun boleh hilang tau!”
Tiba-tiba terdengar suara abang ngah menyanyikan lagu ‘Semangat yang hilang’ dari kumpulan XPDC.
“Abang! Kau ni telinga lintah lah! Tengok ajelah tv tu!” Jerit aku geram.
Serentak dia dan ayah  mengekek. “Maksud ayah, Ara dalam comfort zone  sebab tak mahu cari kerja tetap? Selesa dengan kehidupan yang cukup-cukup makan ni?”
“Mungkin… tapi…” belum pun sempat ayah habis bersuara, terdengar suara abang ngah menyampuk.
“Maksud ayah tu, penulisan kau tu. Cuba kau baca balik novel-novel kau tu. Cuba kau tenung balik apa yang kurang. Kau kena selidik balik kenapa novel kau sebelum ni orang tak berapa nak layan.”
“Eh, mana abang ngah tahu tak ada orang nak layan?” Suara aku melengking. Tiba-tiba fikiran aku teringatkan Indah Water.
“Tengoklah tu, tegur sikit melenting. Macam mana nak maju?” Abang ngah mencemik.
“Mak cakap macam tu, sebab dia nak Ara paksa diri Ara cari penyelesaian macam abang ngah cakap tu.” Ujar ayah. Abang ngah mendabik dada.
“Ara perlu menulis dari hati. Ara tak boleh menulis kerana terikut-ikut cara penulis lain. You can’t pick a simple thing kemudian karang dijadikan novel. You must find something else. Something different then others. Ara perlukan jiwa, perlukan… roh, barulah karya Ara akan diingati.” Berkobar-kobar ayah bercakap.
“Jiwa… roh? Maksud ayah, menghasilkan novel yang penuh dengan falsafah? Sastera?” Oh, ayah, tolong jangan angguk! Aku tak mampu lagi menjadi sasterawan negara.
“Bukan macam tu maksud ayah.” Suara ayah mengendur.
Aku menarik nafas lega.
“Tapi… kalau Ara mampu buat macam tu apa salahnya. Tapi ayah faham, tidak semua penulis mampu menjadi ahli falsafah. Setiap orang, anugerah Tuhan berbeza. Tapi tidak bermakna apabila Ara tak dikurniakan kelebihan itu, Ara berhenti mencari.
Mungkin Ara tak mampu menandingi kehebatan mereka berfalsafah, tapi Ara boleh berfalsafah mengikut kemampuan Ara.” Ayah merenung aku.
Aku menelan air liur. Cuba mencerna segala kata-kata ayah. Beginilah jadinya bila menjadi anak pada dua-duanya guru sastera.
“Kemampuan macam mana?” Aku mengaru kepala. Dulu ayah suruh ambil sastera aku tak mahu. Degil nak ambil aliran ekonomi kononnya aliran sastera tak popular.
Di universiti aku ambil Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penerbitan). Ketika di universiti aku dah mula berjinak-jinak menulis dan novel pertama aku terbit ketika aku di tahun akhir universiti dan selepas itu aku terus menanam azam mahu menjadi penulis sepenuh masa.
Lagi pun aku seriau tengok kawan-kawan aku yang bergelar wartawan. Hidup tak menentu. Sibuk sepanjang masa. Kalau aku pun jadi wartawan tentu aku tak ada masa mahu menulis. Sebab itu aku rela mengambil kerja menulis rencana dan menterjemah secara sambilan.
“Maksud ayah, setiap novel kau tu perlu ada isi. Bukan tin kosong. Biar pembaca novel kau dapat sesuatu bila baca novel kau. Secara tak langsung kau bawa minda pembaca kau tu berfikir. Bukan sekadar hiburan semata-mata.” Sampuk abang ngah.
“Novel falsafah lah tu!” Aku mencemik.
Anti sungguh bila ada pihak hendak merendah-rendahkan taraf penulis novel pop seperti aku. Macam kami ni buat kerja jenayah! Macam novel-novel kami ni semuanya sampah!
Abang ngah mengeleng kepala. “Tak semestinya kau perlu tulis novel yang sarat dan berat dengan pemikiran sampai orang baca pun terpinga-pinga tak faham, buat apa kalau macam tu. Kalau kualiti tinggi melangit sekali pun, tapi kalau hanya sesetengah kelompok saja yang faham, ilmu tu tak akan sampai juga.
Apa salahnya kau tulis kisah santai tapi biarlah santai berisi yang boleh diterima oleh beratus ribu pembaca.” Jelas abang ngah panjang lebar. “Faham?”
Aku menghela nafas perlahan. Tersengih mengaru kepala. “Faham kot.” Balas aku.
Boleh tahan juga abang ngah kalau dah bercakap. Berlapis-lapis maksudnya, naik pening kepala aku nak buka setiap lapis kata-kata dia tu. Abang ngah mesti mewarisi minda falsafah macam ayah dan mak ni.
“Sebagai contoh, abang ada baca satu novel ni. Kisah dia simple je, dia adalah pemilik rumah sewa. Cerita berkisarkan penyewa bilik dalam rumah dia. Tapi, dari masa ke semasa abang boleh lihat perkembangan watak yang pada mulanya macam tak patut menjadi watak utama tadi sebenarnya dialah watak utama yang mampu ubah kehidupan semua orang yang menyewa dalam rumah dia.
Ceritanya straight to the point. Tak perlu berselirat sana sini. Abang baca pun tak pening. Tapi, maksud yang ingin disampaikan oleh penulis memang sampai pada abang. Macam tu lah novel yang berjaya.” Ujar abang bersemangat.
“Oh, jadi maksud ayah dan abang ngah, novel Ara tu tin kosonglah ya?” Aku menarik wajah masam.
“Inilah yang aku tak suka. Tegur sikit merajuk. Dik, kalau nak jadi penulis macam Ramlee Awang Murshid ke.. siapa ke.. hati kau tu kena kuat. Kalau orang komen jangan nak melenting. Terima dengan hati terbuka. Dengar elok-elok apa yang orang tu komen. Barulah dapat jadi penulis lindungan Kaabah!” Abang ngah mencemik.
Ceh! Sempat lagi nak perli aku tu!
“Bukan itu maksud ayah, novel-novel Ara sebelum memang sudah ada isi. Tapi, balik-balik soal suami isteri bergaduh. Isteri merajuk. Lepas tu muncul watak antagonis yang jahat gila. Bercerai, rujuk balik. Lepas tu bergaduh balik.
Boleh tak Ara cuba lari dari patern tu. Masih tema cinta, tapi sesuatu yang ada makna. Ada sesuatu yang Ara ingin sampaikan.”
“Betul! Jangan kau pergi buat cerita air mata dan dipaksa dan memaksa. Cuba kau lari sikit. Buatlah kisah seorang lelaki yang gila lukis komik tiba-tiba dia berada dalam komik, lepas tu dia nak keluar dari komik…”
“Abang!” Marah aku. Kalau dah otak kartun tu cakap pun macam kartun!
“Ha… ha… relax ar, gurau je.” Dia tersengih.
“Peninglah ayah.” Aku mengaru kepala.
“Tak perlu fikir sekarang, cuma ingat pesanan ayah. Cari sesuatu yang ingin Ara sampaikan dan apakah kesimpulannya. Selepas tu, ikut sahaja perjalanan cerita itu sehingga tiba ke penghujung yang Ara inginkan.” Ujar ayah.
Tidak berkelip mata aku merenung ayah. Cuba menyimpan kata-kata itu dalam fikiran aku. Kalau ada pensil, mahunya aku salin ni.
“Jadi kesimpulan dari perbincangan ini, kau ni kena ada orang tekan sampai kau tertekan baru otak kau akan bertindak mengikut arah yang berlainan. Kalau selalu di puji, nanti kau naik lemak.
Apabila dah berlemak kau jadi malas, apabila dah malas kau kena sakit jantung, apabila dah sakit jantung orang tegur sikit kau melenting…” abang ngah terdiam seketika. “Erkk… maksud abang, apabila dah sakit jantung tu… terkejut sikit terus masuk hospital.”
“Betul abang ngah cakap tu. Ara kena sentiasa mencari kelemahan diri. Keluar dari zon selesa. Cari kelainan. Insya-Allah satu hari nanti anak ayah bakal menjadi penulis yang disegani di Malaysia.”
“Malaysia je ke?” Aku menjeling, sengaja mengusik.
“Okey, dunia.” Balas ayah tersengih.
“Abang, kau ni yang sedap-sedap mengutuk aku, kau baca novel aku ke?” Aku menjeling pada abang ngah.
Dia tersengih. “Bukan nak baca pun. Terpaksa baca.” Balas dia acuh tak acuh kemudian dia menjeling ayah. Aku turut memandang ayah, aku sempat menangkap mata ayah yang sedang menjegil pada abang ngah.
“Hey! Apa ni main-main mata?” Tiba-tiba jantung aku berdetak luar dari biasa.
“Mana ada?” Balas abang ngah.
“Tadi Ara nampaklah ayah pandang abang semacam. Mesti ada rahsia ni!” Aku memandang kedua-duanya bersilih ganti.
“Rahsia apa pula.” Balas ayah dengan wajah resah sambil membelek surat khabar di atas meja.
Aku kenal sangat dengan wajah ayah. Kalau dia menipu memang macam itulah caranya, tak berani pandang muka!
Entah-entah, Indah Water tu… “Abang! Kau Indah Water eh?” Jerit aku geram. “Mengaku, mesti kau dengan ayah pakat nak kenakan aku, kan?”Jerit aku lagi. Kalau memang Indah Water itu kerja mereka berdua memang siap!
“Indah Water apa pula ni?” Dahi abang ngah berkerut.
“Jangan nak buat muka blurr… abang Indah Water, kan?” Aku mencerlung. Jari aku menunding tepat pada wajah dia.
“Eh, sejak bila pula abang jadi Indah Water ni. Abang, abanglah. Kenapa Indah Water pulak!” Balas abang ngah menjeling.
“Tengok! Abang kenal Indah Water, kan? Abang tahu siapa dia, kan? Entah-entah…” aku menjeling pula pada ayah. “Ayah Indah Water?” Errkk… tak mungkin ayah. Takkan ayah sekejam itu hendak mengutuk anak dia sendiri? Ini mesti kerja abang!
“Siapa Indah Water?” Ayah mengangkat wajah memandang aku.
Soalan ayah aku biarkan tergantung. Malas nak jawab. Nanti dia orang sibuk nak tahu apa Indah Water tu komen. Nanti silap hari bulan dia orang boleh gelak-gelakkan aku.
“Larr.. siapa tak kenal Indah Water, dah berapa kali dia orang datang rumah sedut loji yang penuh tu.” Balas abang ngah.
Aku cuba mencari-cari garis menipu di wajah abang ngah, tapi… kenapa tak ada? Emmm… apa nak hairan, keluarga aku ni memang suka berdrama. Jadi tak hairan lah kalau abang ngah pandai berlakon!
“Jangan nak berlakon! Baik mengaku sekarang. Kalau lain kali Ara tahu Indah Water tu kerja abang dan ayah, siap Ara kerjakan!” Jerit aku lagi, geram pula tengok wajah ayah dan abang yang terpinga-pinga.
Serentak itu abang ngah gelak terkekeh. “Kau ni kena sampuk dengan hantu Indah Water ke dik? Kau ada pergi kat logi dia siang tadi eh?” Dia tersenyum sinis.
“Abang jangan nak berdalih. Mengaku cepat!”
“Nak mengaku apanya, dah abang tak kerja dengan Indah Water.” Dia mencerlung.
“Tapi abang kenal dia kan?” Aku mula syak mungkin kerja kak long.
Abang mendengus kasar. “Memanglah abang kenal. Di sana-sini abang nampak papan tanda Indah Water. Itu tak termasuk lagi bil IWK setahun sekali yang sampai kat rumah tu.” Abang mencemik, menggeleng kepala beberapa kali.
Aku memandang ayah. Wajah ayah tidak menampakkan wajah seperti berbohong.
“Atau kau pakat dengan kak long?” Aku terus merenung abang ngah mengharapkan dia mengaku.
“Aku tak faham lah dik. Apa kena mengena indah water dengan kami ni?” Abang ngah memandang aku.
Mata aku terus mengecil memandang abang ngah. “Betul bukan abang?”
“Malas abang nak layan kau!” Dia bingkas bangun, tutup siaran tv.
“Nak kemana tu?” Marah aku. Tak habis siasat lagi dia dah cabut!
“Tidurlah. Esok kerja, bukan macam kau tu.” Dia mencemik.
“Kenapa Ara tanya pasal IWK ni?” Soal ayah terpinga.
Aku mendengus kasar. Bukan IWK lah ayah. Tapi Indah Water yang menyusahkan hidup anak ayah ni!
***
Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam, mata aku masih segar bugar semuanya gara-gara memikirkan kata-kata ayah dan abang ngah tadi. Ada betul juga cakap dia orang. Bukan aku tak mahu menulis karya yang berisi, tapi semua itu memerlukan masa. Lebih-lebih lagi untuk orang seperti aku yang kurang nilai falsafah dalam kehidupan.
Betul kata ayah, tak semua orang dianugerahkan kelebihan itu. Tapi tak bermakna aku tak boleh menulis sesuatu yang berisi. Tapi, apa isi yang aku hendak masukan dalam karya? Aku cuma tahu apa yang tersirat dan tersurat. Jika yang berlapis-lapis tu… susah sikit otak aku nak kupas.
Tapi, bila aku fikir balik. Selagi karya aku ada nilai positif itu bermakna karya aku bukan karya tin kosong. Aku akan perbaiki kelemahan yang ayah katakan tu, tapi tak bermakna aku akan berubah menjadi orang lain. Falsafah aku hanya satu lapis, maka satu lapis itu saja yang aku tahu buat. Jadi tak salah, kan?
Kepala aku semakin sarat. Jadi untuk hilangkan sarat tu tangan aku laju saja membuka ruangan sosial, mahu lihat status terkini rakan-rakan. Selepas membuka akaun personel aku buka pula akaun Indah Lara. Tak ada Private Massage. Cuma ada satu request friend dan 30 notification.
Aku ni memang jenis malas nak semak semua notification yang kebanyakkan tidak penting. Melainkan jika aku ada letak status terkini baru aku akan belek satu persatu notification, nak lihat siapa yang membuat komen di bawah status aku itu.
Aku membelek pula beberapa ruang group yang aku sertai. Mana-mana kumpulan yang ada perkataan NOVEL dan REVIEW atau sewaktu dengannya memang aku tak pernah sertai. Cuma Lara Alisya saja yang akan sertai kumpulan tu. Tapi itu pun sebagai pemerhati. Kalau Indah Lara jangan harap!
Bukan apa, kalau dia orang nak meludah pun, biar meludah di belakang aku jangan di depan aku, nanti aku boleh mati bila terkena air ludah dia orang! (Kalau nak meludah ke langit pun lagi bagus, sebab nanti terkena muka dia orang sendiri :p )
Tak ada status menarik, maka tangan aku mula gatal menekan pada kotak status lalu menaip kemudian tekan post.

Indah Lara
3 minutes ago
Saya nak tanya kau orang, agak-agak air kumbahan Indah Water wangi ke busuk?

Heee… padan muka! Dia tak boleh nak serang aku. Aku bebas buat status apa saja! Konon nak jadi kawan jujur, dia ingat aku percaya sangat dengan dia yang ada masalah mental tu? Jangan harap. Kalau dia betul-betul jujur cara kritikan tu biarlah berseni, tak adalah aku nak hangin satu badan!
Tak sampai beberapa minit dah ada orang komen? Dia orang 24 jam online facebook ke?

Bunga Raya - Kak, mestilah busuk!
Indah Lara – Buruk teramat, okey!
Anisah Klang - Kenapa malam-malam tanya pasal air kumbahan ni?
Indah Lara – Sakit hati dengan Indah Water.
Ikan Masin Tawar - Indah, kalau letak serai wangi, baru wangi kot? :P
Unix - Busuk!!!
Ati – Kenapa sakit hati Kak Indah. Dia orang tak datang sedut ke?
Lili - Choi! Tengah makan mee segera ni!
Jajan Masuk Angin - Lili, nak sikit :P, tiba-tiba aku pulak lapar #lari ke dapur geledah kabinet harap-harap ada mee segera.. huhu .
Lili – Jajan, jangan lupa letak telur! :P
Jajan Masuk Angin – Mujur ada sebungkus lagi. Hee…
Indah Lara – Haish, kau orang ni buat akak lapar je lah!

 BERSAMBUNGGG...

1 comment:

MizaEija said...

Setuju ngan kata2 ayah dan abang ngah laraaa....