Intan payung kami...

Saturday 17 March 2012

Bab 1 : Bila Cinta Terukir di Bintang Part 2


Tapi, aku tak boleh bagi tahu semua alasan aku itu sebab jawapan tu sangat tidak professional. Dan kebarangkalian untuk tidak dapat kerja sangat besar jadi…. Aku tersenyum, menarik nafas dalam kemudian hembus perlahan aku memang sudah bersedia dengan jawapannya. Aku memandang sekilas lelaki berusia di sebelah wanita itu, dua orang menemuduga aku. Perempuan itu perkenalkan dirinya Puan Hamidah, Manager Human Resources dan lelaki itu pula Encik Abu Bakar Senior Manager .
“Sebab, saya ingin mencari pengalaman yang lebih mencabar dan…” belum pun sempat aku habis jawapan yang aku hafal semalam Puan Hamidah menyampuk.
“Kalau nak pengalaman yang lebih mencabar kenapa tak apply jadi askar ke… tentera laut ke lagi mencabar, kan Encik Abu?” Dia tersenyum sinis memandang sekilas pada Encik Abu Bakar. Lelaki itu tergelak kecil.
Cis! Loyar buruk pulak mak cik ni, nanti aku jawab soalan sarkastik dia tu baru tahu!
“Dan… saya mahu gaji besar.” Aku tersenyum menarik nafas lega. Nah, ini memang jawapan aku yang jujur. 
Kalau dia tanya kenapa nak gaji besar aku akan cakap aku nak beli kasut Gucci terbaru yang akan tiba di Malaysia tiga bulan dari sekarang dan aku nak beli handbag Louis Vuitton collection fall!  Handbeg tu klasik dan sangat professional kalau aku pakai ke pejabat.
Tak tidur malam aku tengok handbag tu sampai termimpi-mimpi aku ke pejabat mengusung handbag hitam itu. Tapi… sah-sah lah walau sebesar mana pun gaji aku di Emas Holding (kalau mereka offer akulah) tak akan mampu nak beli handbag tu. Cuma kalau gaji aku besar boleh aku simpan duit lepas tu terbang ke China dan beli yang tiruan punya… Brilliant!
Puan Hamidah membelek resume aku sambil membetulkan cermin mata tebalnya, kemudian dia tersenyum. “Baiklah, kalau saya tengok pengalaman awak. Agak menarik dan sebenarnya memang kami mencari calon yang sudah biasa handle tender-tender besar. Dan syarikat awak bekerja sekarang pun one of our contractor.” Puan Hamidah itu terus membelek resume aku kemudian menunjukkan sesuatu kepada Encik Abu Bakar.
Aku menarik nafas lega, tersenyum bangga. Ya. Aku tahu memang aku seorang pekerja yang bagus dan layak berkerja di Emas Holding.
“Kenapa awak tak sambung degree?” Tanya Puan Hamidah.
Erkk? Secara automatik tangan kanan aku mengosok-gosok leher yang tiba-tiba meremang. “Memang ada dalam planning saya puan, Insya-Allah tahun depan saya akan ambil secara part-time.” Aku berdeham perlahan. Nampaknya, terpaksa tambah satu lagi list baru untuk azam tahun depan.
Kedua-dua mereka mengangguk-angguk. “Bukan apa, syarikat kami sangat mementingkan kualiti. Bukan saya nak kata mereka yang tak ada degree tak berkualiti. Cuma, standard kami memang mementingkan degree dan disertai dengan pengalaman.” Tambah Puan Hamidah. Aku sekadar mengangguk. Kalau emak dengar ni, mesti terguling-guling mak ketawakan aku. Padan muka aku!
“Okey, berbalik pada soal kerja. Kalau kami biarkan awak handle tander seorang diri atau kurang pengawasan, awak yakin awak boleh buat?” Akhirnya lelaki berumur dalam lingkungan 50-an itu bertanya, dari tadi dia hanya mendengar. Wajah dia ketika bertanya sangat serius, menakutkan!
Aku menelan air liur, tiba-tiba terasa tekak aku kering kontang. “Insya-Allah boleh, saya sudah biasa bekerja tanpa pengawasan yang sepenuhnya. Cuma mungkin untuk tender pertama saya perlu bantuan mereka yang berpengalaman bila saya sudah biasa, tak ada masalah kalau saya handle seorang diri.” Oh!  Kenapa aku bagi jawpan mengarut macam tu? Mana mampu nak buat tender seorang diri? Buat dengan empat orang staff pun dah kelam kabut ini seorang diri? Takkan aku nak jawab… ‘Susah Puan, buat tender besar ni perlu kakitangan yang cukup… mana boleh buat seorang diri, pengsan saya.’
Dan sekali lagi Puan Hamidah tersenyum. Okey, gelaklah sekuat mana yang kau mahu. Aku tahu jawapan aku tu memang tak relevan langsung. Tapi aku terpaksa… nanti kalau aku cakap tak sanggup dia cakap aku pemalas pula, atau tak tahan pressure atau… biarlah.
“Awak biasa handle tender seorang diri?” tanya perempuan itu lagi berkerut dahinya memandang wajah aku. Sama ada dia tak percaya cakap aku atau pun dia terlampau kagum dengan kehebatan aku.
Aku angguk, ya dalam erti kata sebenar memang seperti aku handle seorang diri sebab Tender Executive kami cuma tahu mengarah saja, yang cari dokumen yang susun semua dokumen dan yang sediakan budget semuanya aku uruskan sehinggakan menolak troli bawa turun bungkusan tender ke budak runner pun aku yang buat tapi… kemudian lekas-lekas aku menggeleng.
Kedua mereka berkerut-kerut memandang aku.
“Kami buat bersama, mengikut job scope masing-masing.” Aku tersenyum pahit, menelan air liur resah.
“Habis tadi saya tanya, awak cakap awak boleh handle seorang diri.” Tanya lelaki itu pula, memandang sinis pada aku.
Aku berdeham perlahan, tercari-cari kata yang sesuai. Kalau aku jawab jujur senang cerita tak payah aku nak pusing sana-sini. Takkan aku nak bagi tahu yang Tender Executive tempat aku kerja tu hanya tahu mengarah dan yang buat semuanya adalah aku. Jadi itu kiranya macam buat seorang diri juga, kan? Tapi tak boleh cakap macam tu, takkan tengah temuduga aku nak bergosip pasal senior aku yang pemalas tu pulak? Bahaya, silap-silap nanti mereka terus reject aku!
“Ya, secara logiknya memang saya tak mampu nak handle tender-tender besar seorang diri. Tapi maksud saya ‘handle seorang diri’ adalah dibawah pengawasan yang minimum dan dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.” Aku buat tanda koma dengan dua jari telunjuk aku pada perkataan ‘handle seorang diri’ harap-harap mereka faham.
Kedua mereka saling berpandangan, seperti menghantar isyarat meminta salah seorang dari mereka terus bertanya. Dan aku membetulkan kedudukan aku bersiap sedia untuk menerima soalan-soalan yang mungkin akan lebih mencabar.
“Cik Nadia mungkin ada ingin bercakap sesuatu pada kami, sebelum sesi temuduga peringkat pertama ini selesai?”
Berkedip-kedip aku memandang mereka, peringkat pertama? Ada berapa ‘tingkat’ sesi temuduga ini sebenarnya? Huh! Aku paling benci kalau temuduga ada bertingkat-tingkat ni. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku cakap…
“Oh! Emas Holding ambil lah saya jadi staff. Rugi kalau tak ambil saya, sebab saya memang pekerja yang penuh dedikasi, setia dan… okey cukup.”
Aku menggeleng. Cukuplah, kalau boleh aku nak habiskan sesi ini dengan cepat. Naik ngeri aku tengok muka Puan Hamidah yang dari tadi asyik nak senyum sinis saja pada aku. Macam nak bagi tahu pada aku yang aku ni tak layak!
“Baiklah, buat masa ini setakat ini sahaja. Kami akan hantar surat kepada Cik Nadia untuk memaklumkan sama ada Cik Nadia berjaya atau pun tidak untuk temuduga kali ke dua.” Lelaki itu bersuara memandang tepat wajah aku.
Aku mengangguk, “Terima kasih Puan Hamidah dan Encik Bakar kerana memberi peluang untuk saya menghadiri temuduga pada hari ini.” Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan gaya eksekutif yang sangat professional. (Ini tips yang aku baca semalam)
Lelaki itu mengangguk dan tersenyum. Aku menarik nafas lega. Penderitaan pun berakhir.

BERSAMBUNG....

No comments: