Intan payung kami...

Monday 11 June 2012

Bab 12 : Bila Cinta Terukir di Bintang


(Saya  mohon maaf kepada semua pembaca BCTDB kerana sangat-sangat lambat update. Bukan saya sengaja tetapi keadaan tidak mengizinkan. Demi anda semua hari ini saya updatekan dua bab untuk bacaan kalian. Harap terhibur dan terus menyokong karya di RSN dan BCTDB. Love you all ≧✯◡✯≦) - opss... saya tak sempat edit bab ini. Kalau ada kesalahan sana sini harap maaf ≧ω≦

Bab 12

Hari ini aku balik rumah dengan hati yang sangat gembira. Bibir aku tak berhenti tersenyum. Hati aku berbunga-bunga. Terlupa seketika segala sakit hati aku pada Imran dan Maisara. Sudah lupa segala cemburu aku bila melihat handbag kegilaan aku menjadi milik Salina, yang aku rasa kini hanya rasa gembira kerana berjaya buat muka Salina merah padam!
Tak keterlaluan jika aku katakan bahawa kejayaan ini adalah kejayaan yang terbesar yang pernah aku alami. Emm… bukan, mungkin kerjayaan terbesar ke dua, ya ke? Kejayaan pertama aku ketika aku berjaya dapat diploma, kejayaan kedua bila dapat kerja di pejabat aku sekarang… okey, jadi kejayaan menyakitkan hati Salina jatuh ke tangga ke tiga! Buat masa inilah.
“Beb, kenapa kau senyum semacam je ni? Dah sebulan lebih aku tak tengok kau senyum macam ni tau!” Kepulangan aku disambut oleh Yatie yang sedang berehat di ruang tamu.
Aku tersengih melangkah menghampiri Yatie, melepaskan penat.
“Kenapa balik lambat?” Tanya Yatie lagi.
Aku menjeling jam di dinding, pukul lapan malam. Kalau boleh aku mahu Yatie terus bertanda tanya sampai malam, biar dia mengamuk tapi… biasalah, kerana gembira sangat aku dengan terujanya menceritakan segalanya pada Yatie dari A to Z.
“Kan bagus kalau aku ada sama! Nak sangat aku tengok muka sepupu diva kau tu.” Yatie tersengih.
“Aku lupa nak rakam untuk kau.” Balas aku mengusik.
“Habis, malam ni kita bertiga tak boleh lepak kat kedai mamak?” Yatie bertanya.
“Kenapa pula? Ni mesti nak pekena mee goreng mamak lagi ni. Aku pun teringin juga ni.” aku mengosok-gosok perut yang tiba-tiba terasa lapar.
“Mana boleh, nanti alibi kita tak kuat. Boleh dipertikaikan. Kata dinner di Le Meridien, alih-alih pergi melantak kat kedai mamak.” Yatie menjeling sinis.
Aku tergelak kecil, mengangguk setuju, “Okey, kau teks Hara minta dia tapau apa-apa. Lepas tu ingatkan dia jangan buat dating dengan sesiapa pun malam ni.”
“Baik kapten!” Yatie segera mencapai telefon bimbitnya. Aku segera menapak ke bilik, ingin menikmati rasa gembira ini selama mungkin. Ahaks!
Hampir pukul sepuluh malam baru Hara sampai rumah bersama tiga bungkus mee goreng mamak yang paling sedap di kawasan Ampang. Mata aku pun dah layu, tapi demi tidak mahu membazir terpaksa aku tahan mata mengadap mee goreng.
“Kenapa lambat?” Soal Yatie pada Hara.
“Biasalah banyak kerja.” Balas Hara diiringi keluhan berat. “Jadi, apa kisahnya ni? Sampai aku tak boleh dating ni?” Soal Hara padaku.
Aku tersengih lantas menceritakan segala perkara yang berlaku hari ni.
“Tahniah sebab akhirnya kau berjaya sakitkan hati sepupu kau tu, dan takziah fasal Imran dan Maisara.” Balas Hara memandang simpati padaku.
“Tak sangka, sekejap je dia lupakan aku.” Keluhku perlahan. Tiba-tiba saja selera untuk menghabiskan makanan terbantut.
“Biasalah, lelaki.” Balas Yatie dengan mulut yang masih penuh dengan makanan.
“Kau tak boleh tunjuk lemah tau, esok kau kena tunjuk yang kau gembira. Pastikan kau pakai lawa-lawa. Mekup tebal, pakai baju yang warna terang.” Pesan Hara.
“Perlu ke?” Aku menjeling tak yakin dengan cadangan Hara itu.
“Perlulah, pesaing kau tu bukan calang-calang. Lagi pun, maruah kena jaga. Jangan sampai Imran gelakkan kau. Dan biar si perampas tu pelik lihat kau yang tidak terjejas walau dah putus cinta. Baru dia rasa tercabar.” Balas Hara bersungguh-sungguh.
Aku menghela nafas perlahan.
“Beb, kau baca mantera ni. Kau hafal semuanya, sahih pagi esok kau okey punya.” Ujar Yatie segera menyerah kertas pembungkus mee goreng yang dicontengnya tadi.
Kertas pembungkus mee goreng bertukar tangan. Aku melihat kata-kata yang ditulis oleh Yatie. Dahiku berkerut, “Are you sure?”
Yatie mengangguk dengan penuh yakin. “Yakin seratus peratus, aku dulu hafal ayat-ayat inilah. Sebelum tidur, kau ulang baca seratus kali, lepas tu kau tepuk-tepuk bantal kau lepas tu kau terus tidur. Jangan buka mata, kalau tak mantera ni tak menjadi.”
“Tak syirik ke?” Soal Hara tersenyum sinis.
“Mantera ni tak. Mantera lain memang syirik.” Balas Yatie.
Aku tersenyum kecil, “Okey, aku cuba.”

***
Keesokan pagi aku ke pejabat dengan hati yang girang. Memang mantera Yatie sangat mujarab. Setelah sebulan berduka, akhirnya hari ini aku perolehi kembali semangat yang hilang. Semua orang yang melepasi aku kehairanan melihat senyuman di bibirku. Ketika melangkah masuk ke pejabat dengan girangnya aku menyapa penyambut tetamu.
Tapi… kegembiraan aku tak lama. Ketika aku memanjat tangga untuk ke tingkat tiga aku terserempak dengan Imran dan Maisara menuruni anak tangga siap bergurau manja lagi.
“Nadia…” Maisara tegur dengan riak serba salah.
Morning!” Aku cuba menceriakan nada suaraku, kemudian terus melangkah melepasi pasangan itu. Entah kenapa tiba-tiba hati aku terasa seperti ditusuk dengan berpuluh ribu jarum! Pedih dan sedih bersatu menghentam jantung hati aku. Sepantas kilat fikiran aku mengulangi mantera yang diberi Yatie semalam…
‘Just give me time and I’ll get over you.’
‘If you can’t save the relationship, at least save your pride.’
‘As soon as forever is through, I’ll be over you.’
Oh, seksanya putus cinta jika satu pejabat! Lagi seksa jika penganti aku juga satu pejabat dan bertambah-tambah derita bila, dia lebih cantik dan lebih segalanya dari aku! Mulai hari ini, detik ini dan saat ini… aku berjanji tak akan sesekali bercinta dengan mana-mana lelaki satu tempat kerja dengan aku! Never!
Aku menghempas punggung di kerusi. Menarik nafas dalam cuba menghalau jauh rasa sayu yang mula bersarang di hati. Kenapa cepat sangat Imran lupakan aku? Kenapa cepat sangat dia mencari penganti? Kenapa… kenapa… kenapa!
Aku perlu lakukan sesuatu. Mantera Yatie cuma berkesan ketika berada di rumah, bila di pejabat mantera itu hilang kuasanya. Aku tak berdaya lagi mahu berdepan dengan mereka. Aku tak mampu. Takkan tiap-tiap hari nak rasa sedih dan pedih macam ni? Aku perlu cari kerja baru! aku perlu tempat baru, kawan-kawan baru lepas tu baru aku dapat lupakan semua ini.
Aku terus menghidupkan komputer, jari jemari aku pantas menaip laman sesawang JobsDB, satu window lagi aku menaip laman sesawang Jobstreet. Aku perlu lari dari tempat ini secepat yang mungkin, jika tidak semakin seksa hidup aku melihat bunga-bunga cinta antara Imran dan Maisara.
“Nadia…” terdengar suara Encik Amar memanggilku. Sepantas kilat aku menekan butang pangkah. Naya aku kalau dia nampak aku cari kerja lain di pejabat.
“Ya Encik Amar.” Aku mengangkat wajah melihat Encik Amar tercegak di depan kubikel wajahnya kelihatan sugul dan tidak bermaya. Rambutnya yang sentiasa bersikat rapi sedikit kusut.
Encik Amar pengurus di bahagian procurement. Berumur 40 tahun, tapi kalau tengok rupa dan gayanya tak macam orang empat puluhan. Mungkin kerana dia memang gila jaga badan. Orangnya boleh tahan, ada rupa dan pandai bergaya. Berdarah campuran, Cina, Indian dan Melayu. Berkulit sawo matang, hidung mancung. Tapi aku langsung tak tertarik dengannya. Pertama kerana dia suami orang, kedua sebab dia kuat merokok dan ketiga kadang-kadang aku menyampah tengok dia mengatal dengan staff perempuan yang gatal. Ke empat, dia bukan bos yang baik! Pilih kasih!
“Masuk bilik saya sekejap.” Lantas Encik Amar membuka pintu biliknya yang berdepan dengan kubikelku.
Aku menjeling jam di dinding, baru pukul 8.15 bukan waktu kerja, takkan dah nak brief pasal kerja? Aku mencapai buku nota kecil dan sebatang pen kemudian bergegas masuk ke bilik Encik Amar. Aku mengosok-gosok hidung tak tahan dengan bau rokok memenuhi ruang bilik itu.
“Duduk…” minta Encik Amar serius.
Entah kenapa tiba-tiba hatiku berasa kurang enak. Jarang aku tengok muka Encik Amar sekeruh itu dan nada suaranya, seperti ada sesuatu tak kena saja.
“Awak tahu kan, semalam saya pergi meeting di Emas Holding?” Encik Amar memulakan bicara, membetulkan kedudukan di kerusinya.
Aku mengangguk, membuka buku nota aku untuk mencatat apa sahaja yang bakal dikatakan oleh Encik Amar. Mungkin dia mahu aku buat surat, atau… carikan dokumen?
“Insya-Allah, peluang kita cerah untuk dapatkan projek sepuluh juta tu.” Sambung Encik Amar lagi.
Aku mengangkat wajah memandang betul-betul wajah Encik Amar. Kalau tak silap aku, berita yang baru dia sampaikan adalah berita gembira, tapi kenapa wajah Encik Amar macam tak gembira?
Encik Amar  berdecit perlahan, mengaru-garu kepalanya. “Saya minta maaf dengan awak…”
Dahi aku berkerut-kerut, kenapa dia nak minta maaf, dia nak pecat aku ke?
“Saya baru tahu kes awak dan Imran semalam. Awak okey ke?” Tanya Encik Amar merenung wajahku.
Berkelip-kelip aku memandang Encik Amar, apa maksud dia ni? Tadi cakap pasal projek, kemudian pasal peribadi aku pula?
“Saya harap apa yang terjadi pada awak tak akan menganggu prestasi kerja. Sebab kita kemungkinan akan dapat projek tu, kalau prestasi awak semakin teruk… saya tak ada pilihan lain…”
“Encik Amar nak pecat saya ke?” Aku segera menyampuk. Memandang sinis padanya.
Untuk pengetahuan semua, aku memang tak pernah hormat Encik Amar sebagai bos. Secara peribadi aku tak suka cara Encik Amar menguruskan kerja. Kadang kala dia suruh aku berbohong dia tak ada dalam pejabat jika ada panggilan dari klient untuk berbincang perkara yang berbangkit. Ada kala, dia suruh aku cakap dia keluar mesyuarat sedangkan dia mahu uruskan hal peribadinya. Dan hormat aku padanya semakin tipis kerana dia berat sebelah. Asyik-asyik nak bela pekerja kesayangannya. Menyampah!
“Tak… awak jangan salah faham. Saya tak akan pecat awak, tak mungkin.” Serius Encik Amar menafikan tuduhan aku tadi. “Tapi… saya mungkin terpaksa pindahkan awak ke cawangan lain, itu pun kalau awak setuju.”
“Cawangan lain?” Seakan mahu tercabut mata aku memandang Encik Amar. Setahu aku cawangan lain hanya ada satu sahaja, itu pun di… Sarawak!
“Mungkin, bila berjauhan hati awak akan tenang.”
“Tak! Kalau Encik Amar hantar saya ke Sarawak bukan hati saya semakin tenang tapi makin derita!” Aku membantah keras.
Gila! Jauh tu, macam mana aku nak balik raya? Tambang kapal terbang bukannya murah! Habis, kawan aku berdua di rumah tu macam mana? The Curve, One Utama, Pavilion, Mid Valley macam mana? Aku tak sanggup berjauhan dengan shopping complex kesayangan aku tu!
“Tapi… Suhaila…”
“Suhaila report apa lagi ni?” Aku memotong cakap Encik Amar, memandang tajam padanya.
Aku tahu Suhaila memang kaki kipas. Dari dulu sampai sekarang. Dia punya berlagak senior macamlah dia dah berpuluh tahun awal dari aku, padahal beza kami cuma beberapa bulan saja. Tapi kerana dek kipas dia yang kuat menyebabkan dia berjaya dilantik menjadi Tender Executive sedangkan aku masih sama macam dulu. Gaji dia pun berganda-ganda beza dengan aku, aku tak pernah kisah pun. Tapi yang buat aku bengang, kenapa dia nak mengadu itu dan ini dengan Encik Amar?
“Macam nilah, kalau awak tak setuju dipindahkan…”
“Mestilah tak setuju…” sekali lagi aku memotong cakap Encik Amar. Mungkin ini salah satu sebab kenapa aku tak jadi pekerja kesayangan, aku suka memotong cakap dan suka membantah. Tapi, tak salah kan? Kalau dah perkara tak betul memang aku membantah.
Macam kes dua bulan lepas. Bermati-matian aku menepis tuduhan Encik Amar yang tuduh aku lalai sebab lambat siapkan kerja, sedangkan Suhaila yang lambat serahkan kerja itu pada aku jadi bukan salah aku kalau aku terlambat siapkan laporan. Tapi bila aku jelaskan perkara sebenar, bukannya Encik Amar nak panggil atau tegur Suhaila, sebaiknya dia boleh kata… ‘Suhaila banyak kerja lain nak handle, awak kena peka dan cepat buat tindakan. Jangan tunggu arahan Suhaila sahaja. Kalau kerja, kita kena kerja sebagai sepasukan. Bukan kau… aku..’ Aku juga yang salah.
“Saya cadangkan awak ambil cuti selama seminggu. Pergi bercuti kemana-mana awak nak. Nanti lepas cuti kita mungkin akan sibuk dengan tender masa tu saya tak mahu tengok awak termenung sana-sini atau mengamuk sana-sini.”
Apa? Dengar cuti, aku dah seronok… tapi apa maksud dia ‘termenung sana-sini dan mengamuk sana-sini?’ Telinga dan hidung aku dah berasap ni, bila-bila sahaja boleh meletup satu badan! Ini mesti Suhaila bercerita fasal aku mengamuk semalam.
“Mulai hari esok, awak benarkan bercuti selama seminggu. Awak boleh pergi bercuti mana-mana tempat pelancongan sekitar semenanjung nanti bil awak claim dengan saya.”
Sebaik sahaja mendengar perkataan ‘cuti’ dan ‘claim’ dengan tiba-tiba sahaja asap yang keluar dari telinga dan hidung berhenti, kedua kening aku terangkat. Hati yang hangat kembali sejuk.
“Betul ke ni Encik Amar?” Bulat mata aku memandang wajah Encik Amar. Sungguh aku tak percaya dengan tawaran ini. Aku mimpi ke? Perlahan-lahan aku cubit peha, aduh sakit! Jadi aku tak mimpi!
Aku terus buka buku nota kecil, kemudian merangka surat perjanjian seringkas mungkin. “Okey, Encik Amar sain sini.” Aku menghulurkan buku nota itu kepada Encik Amar. Maaf, aku memang kurang percaya dengan setiap janji dia. Dulu pun janji nak naikkan gaji aku sebanyak dua ratus, tapi bila tiba masanya cuma lima puluh ringgit!
Encik Amar merenung buku nota itu kemudian memandang aku dengan pandangan yang sangat menakutkan.
“Awak tak percaya kata saya?” Dia mencerlung, wajahnya kemerahan.
“Langkah berjaga-jaga bos.” Aku tersengih. Memang agak keterlaluan, tapi aku terpaksa. Aku tak bersedia ditipu lagi nanti silap hari bulan mahu aku bom bangunan ni (gurau je!)
Encik Amar mencemik, memandang sebal. Dia mendengus perlahan kemudian mengeluarkan pen dari poket bajunya. “Puas hati?” Encik Amar menjeling tajam.
Aku tersengih.
“Kejap…” Encik Amar merampas kembali buku kecil itu kemudian menulis sesuatu pada surat perjanjian itu dan kemudian dia hulur kembali buku itu kepadaku dengan senyuman sinis.
‘Dengan ini saya Amar Ismail selaku manager kepada Nadia Husain bersetuju untuk menanggung kos percutian Nadia Husain. Yang tidak melebihi nilai RM1000.’
“Tidak melebihi seribu ya. Kalau lebih tanggung sendiri.” Ulang Encik Amar tersengih.
Huh! Ingatkan aku yang bijak, rupanya dia lagi bijak. Baru je aku berangan nak pusing satu semenanjung. Aku menarik wajah berduka.
“Okey, boleh mula kerja sekarang…” Encik Amar segera membuka laptopnya.
Aku bingkas bangun. “Terima kasih bos.”
“Tunggu…” Panggil Encik Amar sebaik sahaja aku sampai di muka pintu.
“Saya nak awak rahsiakan perjanjian ni dari sesiapa sahaja. Kalau bocor, secara automatik perjanjian itu terbatal.” Pesan Encik Amar dengan wajah serius.
Aku tersenyum senang, “Jangan risau bos. Biar pecah di perut tapi bukan di mulut.” Aku memberi janji.
“Tapi… kalau mereka tahu saya bercuti tak apa kan?”
Encik Amar mengangguk. Aku tersenyum gembira. Pulau Perhentian, tunggu aku!


 Bersambung....











2 comments:

sweetrose maria said...

wah, seronoknya Nadia nak p Pulau perhentian..bagus jugak dia pg bercuti,dapat release tension kan..hehehe.
alahai Suhaila tu, memang kaki report betul lah..tapi bagus jugak, tak pasal2x Nadia dapat cuti seminggu...hehehe..:)

Juliaesqa said...

hehe...kann, jeles lak dia pi bercuti, rasa mcm nak ikut je.. :P