Intan payung kami...

Monday 16 April 2012

Bab 7 : Cuit-Cuit Cinta

Love is like the wind, powerful yet beautiful – Gary Zukav


            Pelangi selepas hujan panas. Berwarna-warni dan berseri. Itulah yang boleh aku gambarkan tentang perasaan aku pagi ini. Walaupun sudah dua hari aku dihadiahkan konsert percuma dari Adam Naufal dan rakan-rakan, tapi perasaan gembira luar biasa yang aku rasakan pada petang lalu masih lagi segar dan mengebu-gebu. Aku rasa siapa pun yang ada di tempat aku akan rasakan benda yang sama. Yalah, jejaka yang amat diminati sejak sekian lama sanggup buat permohonan maaf secara terbuka (walaupun aku tak salahkan dia) dengan menyanyikan lagu yang hakikat sebenarnya tak kena langsung apa yang jadi antara kami tu dengan lirik lagu. Janji aku faham makna perkataan sorry yang diucapkan tu, cukuplah.
Tapi dalam pada itu, hati ada juga sedikit berdebar. Beberapa minit lagi aku akan sampai ke sekolah. Bagaimana agaknya pandangan budak-budak Idealian pada kami nanti ya? Hari tu di kedai Aunty Maryam pun dah ada yang jeling aku semacam. Kes cemburulah tu. Tapi disebabkan mood aku tersangatlah baiknya, aku buat tak tahu saja. Jaja dan Nani pun suruh aku tak layan sangat mata-mata yang cemburu tu. ‘Enjoy it, and live the momment’. Itu pesanan Jaja. Dan sebagai kawan yang baik, aku ikut pesanan itu. Pada hari itu sajalah. Pada hari ini, pesanan itu macam dah tak berapa boleh diguna pakai. Kalau setakat satu dua pasang mata yang menjeling, bolehlah aku buat tak tahu. Tapi kalau dah berpasang-pasang mata nanti? Mahu pijar muka aku menahan panahan mata mereka nanti.
Aku tekan brek skuter bila lampu isyarat bertukar merah. Seratus meter di hadapan aku boleh nampak pagar sekolah. Makin menjadi-jadi debaran dalam jantung. Sekarang ni bukan setakat risau dengan pandangan budak-budak Idealian, tapi risau juga nak bertentangan mata dengan Adam Naufal nanti. Dah macam-macam scenario yang aku gambarkan dalam kepala sejak semalam tentang pertemuan pertama kami selepas konsert percuma itu. Adam pandang aku, Adam bercakap dengan aku, Adam senyum pada aku...Semuanya aku bayangkan. Dan dalam bayangan aku, aku dah tak malu-malu macam selalu. Aku akan pandang dia semula kalau dia pandang aku. Aku akan bersuara kalau dia bercakap dengan aku. Dan aku pasti akan balas senyuman dia, bila dia senyum pada aku. Itu tekad aku. Mulai hari ini, aku akan jadi Lea yang baru! (Itu pun kalau tak ada halangan yang mendatanglah.)
Aku teruskan perjalanan ke sekolah bila lampu isyarat bertukar hijau. Sampai di depan pintu pagar, aku terus ambil laluan kiri yang memang dikhaskan untuk mereka yang membawa kenderaan ke sekolah. Di hadapan aku, ada tiga orang pelajar yang turut membawa motor secara bersaing hendak ke tempat letak motorsikal. Siap boleh borak-borak lagi tu. Sudahlah jalan ni berbukit. Aku nak mencelah di antara mereka tak berani, jadi aku ikut sahajalah dari belakang. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi hon kereta yang kuat sebelum sebuah kereta mewah berwarna hitam berdesup naik ke perkarangan sekolah. Dek sebab terkejut, aku gagal mengawal skuter comel aku. Terhuyung-hayang aku dibuatnya. Dalam keadaan aku cuba  mengawal skuter, aku terdengar nama aku dilaung kuat. Semuanya berlaku dengan pantas. Aku yang sedaya upaya cuba mengawal diri dari jatuh skuter, tiba-tiba merasakan ada sepasang tangan sasa sedang pegang pemegang skuter aku dan lengan kanan aku.
“Bodoh, macam mana dia bawa kereta? Ini kawasan sekolah, bukan jalan raya!” Marah orang di sebelah aku.
Aku yang sudah sedia terkejut jadi terkedu bila melihat siapa di sebelah. Bulat mata aku memandang wajah Johan yang merah macam udang kena bakar. Marah benar nampaknya. Erk...macam mana pula jejaka idaman Nani ni ada kat sebelah aku?
“Kau ok?” Tanya Johan sambil pandang aku dari atas ke bawah.
Aku angguk laju. Muka rasa berbahang bila aku perasan tangan dia masing pegang lengan aku. Kuat. Terus aku tarik tangan aku. Segan pulak kalau orang nampak.
“Err...sorry.” Ujar Johan. Cepat dia lepaskan lengan aku. Kuat juga cengkaman dia ni. Patutlah jadi jaguh bila main ragbi!
“Kau boleh jalan tak ni?”
Sebenarnya lutut aku dah lemah semacam ni. Debaran sebab dengar bunyi hon yang kuat tadi masih terasa di dada. Mujur jugalah si Johan ni tolong pegang tadi. Kalau tak mahu tergolek dalam longkang aku.
“Dah, turun. Terkebil-kebil kat atas skuter tu lagi buat apa? Loceng nak bunyi dah kejap lagi kan? Mari sini aku tolakkan skuter kau ke atas. Kau berdiri je kat sini, bukannya skuter tu boleh terbang ke tempat parking.”
Amboi, kasarnya cara bercakap. Macam manalah Nani boleh tangkap syok dengan mamat ni, aku pun tak faham. Harapkan muka, memanglah hensem. Tapi kalau bercakap tu, tak molek langsung okay! Tapi entah kenapa, aku menurut saja arahan Johan tanpa banyak bunyi (ngomel dalam hati tadi tak kira tau!)
Aku berjalan beriringan dengan Johan yang sedang menolak skuter. Rasanya taklah jauh sangat pagar sekolah ke tempat parking itu. Tapi kenapalah aku rasa macam lama sangat aku dengan Johan berjalan. Beberapa orang pelajar yang berada berhampiran aku tengok dah mula berbisik-bisik. Ada juga yang tersenyum-senyum. Aduhai, janganlah timbul cerita bukan-bukan pula. Aku mula rasa tidak selesa. Tak boleh jadi macam ini. Sebelum timbul skandal yang bukan-bukan (dan aku juga takut Nani marah sebenarnya), baik aku sendiri yang tolak skuter aku ini.
“Err..awak. Biar saya tolak sendirilah.” Aku pegang handle skuter aku. Tapi Johan enggan lepaskan. Dengan muka selamba, dia terus menolak skuter aku.
Apa masalah mamat ni sebenarnya? “Johan, biarlah saya tolak!” Suara aku dah tinggi sikit. Geram pula aku dengan dia ni.
Johan hanya tersenyum. Okay, sekarang baru aku tahu kenapa Nani suka sangat dekat dia ni. Senyuman dia memang menarik dan manis. Ceh, sempat lagi kau ni Lea!
“Kenapa? Kau segan orang pandang? Ke kau takut Adam nampak?” Tanya Johan dalam nada yang agak sinikal.
Adam? Alamak, kenapa aku tak teringat pasal dia? Aku pandang kiri kanan, depan dan bekalang. Cuba mencari kalau-kalau Adam Naufal ada berhampiran. Di sebelah, Johan dah ketawa kuat.
“Jangan risaulah, cupcake. Adam ada kat bilik guru sekarang ni. Jadi dia takkan tahu perkara ni. Lainlah kalau kau beritahu. Tapi rasanya, kau takkanlah nak cakap, bukan? Mulut kau tu kan ada emas.” Perli Johan.
“Awak ni kenapa? Bila masa pulak mulut saya ada emas?”
“Tak eh? Habis tu kenapa setiap kali Adam bercakap dengan kau, kau diam je?”
“Bila masa dia ada bercakap dengan saya?”
“Hari tu kat kedai Aunty Maryam. Kenapa kau tak jawab bila dia tanya kau sihat ke tak?” Kening Johan terangkat-angkat sambil bibirnya tersenyum simpul.
“Err..saya...” Apa pula aku nak jawab ni?
“Tapi dengan aku ni banyak pula kau cakap ye? Maknanya betullah mulut kau tak ada emas. Mungkin dengan Adam je emas tu tumbuh dalam mulut kot. Maklumlah, dalam hati tu ada bunga-bunga cinta. Nah, ambil skuter ni. Lain kali hati-hati. I’m not always going to be there when you’re in trouble, cupcake.” Johan terus lepaskan pemegang. Nasib baik tangan aku cekap menangkap, kalau tidak mencium bumi juga si comel ni. Dan apa maksud kata-kata dia tu? Ada ke aku suruh dia tolong aku tadi? Dia yang sukarela, lepas tu nak buat kenyataan macam itu pula. Lepas tu, kenapalah suka sangta panggil aku cupcake. Hari tu dah beriya-iya minta maaf, hari ni nak cari pasal lagi? Sengal!
“Nama saya Lea. Bukan cupcake!”  
“Aku tahu.”
“Habis tu kenapa panggil saya cupcake?”
“Suka hati akulah. Mulut aku, kan?” Johan senyum lagi.
Grr. Aku tarik balik kata-kata aku tadi. Senyuman dia tak menarik dan manis. Senyuman dia buruk dan masam! Malas hendak melayan Johan, aku menonong tolak skuter ke tempat yang sepatutnya. Buat spoil mood betul dia tu. Dah elok-elok mood pelangi, dah tukar jadi mendung semula aku ni. Semuanya gara-gara mulut Johan Akil. Aku mesti beritahu Nani supaya lupakan sahaja lelaki ni. Tak boleh blah langsung!
By the way dear, kalau suka, cakap suka sementara si dia masih single and available. Nanti kalau ada orang lain potong line, melepas. Adam tu kan hangat di pasaran.” Bisik Johan dekat telinga aku. Berderau darah dibuatnya. Aku jeling dia yang sedang kenyit mata pada aku. Masuk air agaknya dia ni. Apa hal pulak nak dear bagai dengan aku?
Saat Johan melangkah pergi sambil buat lambaian Mr World pada aku, tiba-tiba kata-kata terakhir Johan tadi bergema-gema kat telinga, Kali ni bukan setakat berderau darah dah. Aku rasa darah aku macam dah kena sedut keluar dari badan. “kalau suka, cakap suka sementara si dia masih single and available.” Oh, tidak! Adakah dia tahu yang selama ini aku sukakan Adam Naufal? Aku cuba rewind balik semua perbualan aku dengan Johan tadi.
“Kenapa? Kau segan orang pandang? Ke kau takut Adam nampak?”
“Jangan risaulah, cupcake. Adam ada kat bilik guru sekarang ni. Jadi dia takkan tahu perkara ni.”
“Maknanya betullah mulut kau tak ada emas. Mungkin dengan Adam je emas tu tumbuh dalam mulut kot. Maklumlah, dalam hati tu ada bunga-bunga cinta.”
Macam mana aku tak perasan semua kata-kata Johan tadi? Dari cara dia bercakap, dah nampak sangat yang dia tahu aku suka pada Adam. Kalau dia tahu, mustahil Adam tak tahu. Mereka tu kan kawan baik? Tapi macam mana pulak dia boleh tahu? Setahu aku, aku tak pernah pulak buat apa-apa yang membolehkan dia tahu yang aku suka Adam. Yang tahu cerita ni pun, cuma Jaja dan Nani. Takkan Nani bagitahu kot? Mustahil. Tapi tak ada yang mustahil dalam dunia ni. Mana tahu masa mereka sama-sama berlatih taekwando, Nani tercerita. Aduh! Aku mula jadi tak tentu arah. Aku tak boleh berlengah lagi. Aku kena cari Nani dan tanya dia.
***
Nasib tak berapa baik. Nani tak datang pula hari ini. Kata Jaja dia demam. Terlebih makan durian malam tadi. Aku nak tanya Jaja, tapi aku takut pula Jaja ingat aku nak menuduh Nani. Nampak gayanya seharian di sekolah hari ni hati aku akan jadi tak tenteram. Nak tak nak, aku kena tunggu hingga pukul 2. Lepas tu aku akan ajak Jaja temankan aku ke rumah Nani. Sambil jenguk dia, bolehlah aku tanya. Aku pandang kerusi Nani yang kosong kat depan aku. Harap-harap bukan Nanilah yang beritahu Johan. Aku tak percaya, Nani sekejam itu nak memalukan aku.
“Ok, semua. Sebelum kita mulakan kelas, saya nak beritahu, senarai mentor-mentee dah di tampal di koridor Blok A. Masa rehat boleh periksa nama kamu semua. Program ni akan bermula minggu depan, jadi siapa yang terlibat bersiap sedia ya. Jangan mengelat. Dan saya tak nak dengar sebarang komplen tentang pemilihan mentor sebab itu pilihan kamu sendiri. Saya berharap objektif program ini dapat dicapai dan semua yang terlibat berjaya. Faham?” Cikgu Nasir bersuara.
“Faham, cikgu.” Jawab rakan-rakan sekelas aku penuh semangat. Aku tak berapa nak bersemangat sebab;
1. Masih dihantui peristiwa dengan Johan tadi
2. Mentor aku dipilih cikgu. Bukan aku sendiri.
Kalau ikutkan hati, aku nak isi je nama Adam bila aku nampak nama dia antara mentor yang tersenarai. Lagipun Jaja dan Nani pun punya cadangan yang sama. Tapi Cikgu Nasir dah pesan awal-awal dia yang akan pilihkan mentor untuk aku. Jadi melepaslah peluang nak bermentorkan Adam Naufal. Entah siapa-siapalah yang cikgu pilihkan untuk aku. Jangan yang bukan-bukan sudah.  Terbayang-bayang muka senior berbangsa Tionghua, Kim Teh yang cerdik tapi garang tu depan mata dan Farhan memang pandai luar biasa tapi lembut mengalahkan sutera tu. Tak dapat dibayangakan kalau mereka jadi mentor aku. Memanglah orang akan cakap untung sebab mereka tu pandai tapi kalau hari-hari mengadap kegarangan dan kelembutan mereka tu, mahu short wire dalam otak aku ini.
Kelas aku tiba-tiba jadi riuh rendah. Perhatian semua orang tertumpu di hadapan kelas. Jantung aku dah mula stabil. Selalunya benda ini akan jadi kalau....
“Psttt...Adam weh,” Jaja yang duduk belakang aku tiba-tiba cuit bahu aku.
Automatik pandangan aku menghala ke depan. Bibir baru nak menguntum senyum tapi terencat otot-otot aku nak bersenam bila melihat kelibat seorang gadis yang berdiri di sisi Adam.
“Peewitt...cun gila!” Puji seorang pelajar lelaki kelas aku. Dan aku harus akui hakikat itu. Memang cun gila gadis itu. Kulit putih mulus. Bibir merah merekah. Rambutnya diikat ekor kuda, menampakkan lehernya yang jinjang. Tinggi boleh tahan. Bila berdiri di sebelah Adam, nampak lebih kurang saja. Cuma Adam tinggi beberapa inci. Berbeza sangat dengan aku yang paras bahu Adam je. Mereka berdua dah macam pinang dibelah dua pula. Tiba-tiba hati aku diusik perasaan cemburu. Siapakah gerangannya gadis itu?
Aku tengok Adam bercakap sesuatu dengan Cikgu Nasir sambil menunjuk ke arah gadis yang berdiri dengan muka yakin itu. Siap berbalas senyuman lagi Adam dan gadis itu. Hati aku dah digigit-gigit perasaan jeles ni. Oh, hati. Silalah bertabah! Tidak lama selepas itu, Adam terus keluar dari kelas. Sikit pun tak menoleh ke arah aku. Sedihnya. Bukan dia tak tahu ini kelas aku.
“Baiklah semua. Kenalkan ini pelajar baru kelas ini. Sila kenalkan diri.” Cikgu Nasir bersuara lembut. Amboi, si misai melintang ni. Kalau dengan aku tu tak pernahlah suara dia nak lembut macam itu.
“Hai semua! Nama saya Syarifah Adilia. Kawan-kawan boleh panggil saya Lia. Saya berasal dari Johor. Keluarga saya baru berpindah ke sini sebab ikut keluarga. Saya harap kawan-kawan semua boleh terima saya. Tak sabar rasanya nak berkawan dengan semua!” Ya ampun, lembutnya suara. Kenapa gadis ini nampak sempurna serba serbi?
“Ok, Adilia. Awak boleh duduk di mana-mana tempat kosong.”
“Terima kasih, cikgu.” Ucap Syarifah Adilia manja. Dia tercari-cari tempat kosong sebelum pandangan kami berdua bersatu. Senyumannya yang lebar tadi terus mengendur. Dia berjalan menuju ke arah tempat aku. Tanpa bertanya apa-apa, terus sahaja dia menarik kerusi Nani dan duduk di situ.
“Eh, itu tempat kawan saya.” Tanpa sedar aku bersuara kuat.
“Tapi cikgu cakap saya boleh duduk di mana-mana.” Jawab dia selamba.
“Tapi tempat ini dah ada orang duduk!” Tegas aku. “Awak boleh duduk kat sana.” Aku tunjuk ke arah meja kosong di sebelah kiri kelas. Berhampiran dengan ketua kelas aku, Syah.
“Apa yang bising-bising tu?” Tegur Cikgu Nasir.
Belum sempat aku jawab, Adilia lebih dahulu bangun. “Err, salah ke saya nak duduk di sini cikgu? Dia marahkan saya duduk sini.” Jawab Adilia sambil menunjuk ke arah aku. Dah macam budak umur 7 tahun pulak lagaknya.
“Kenapa ni Lea? Apasal pula Adilia tak boleh duduk situ?” Tanya Cikgu Nasir garang.
“Ini tempat Nani, cikgu.” Jawab aku tegas.
“Itu je sebabnya? Kamu ni macam budak-budak umur 7 tahun. Esok Nani boleh duduk di sebelah Syah. Sudah, duduk. Kita nak mulakan kelas!”
Aku kembali duduk dengan hati bungkam. Adilia sempat tersenyum sinis ke arah aku. Apa masalah perempuan ni, aku pun tak tahu. Tapi entah kenapa, hati aku rasa sangat tak tenteram sejak kami bertentang mata. Aku dapat rasakan, hubungan kami berdua tidak akan baik.
***
Waktu rehat. Hari ni aku tak melepak di perpustakaan lagi. Aku berjalan ke kantin seorang diri. Jaja hendak ke koridor Blok A dahulu. Sudah tak bersabar nak tengok siapa mentor dia. Aku hanya titipkan pesanan pada dia untuk melihat bagi pihak aku. Mood aku memang betul-betul dah spoil hari ini. Dengan Johan. Dengan Adilia. Tadi selepas kelas cikgu Nasir, semua pelajar sibuk berkumpul di tempat dia. Tanya itu dan ini. Rupanya bapa dia doktor. Baru ditukarkan sebagai pengarah di Hospital Idealian di tempat kami.Aku hanya mendengar, tak menyampuk apa-apa. Tapi perempuan itu memang saja nak cari masalah dengan aku. Saja perli-perli pasal kes aku halang dia duduk di tempat Nani. Sudahnya budak-budak kelas yang lain (majoritinya pelajar lelakilah) bising dengan aku dan anggap aku macam budak-budak.
Sampai di kantin, aku menuju ke kaunter menjual makanan. Selera memang tak ada tapi demi nak mengalas perut, aku belilah roti dan sekotak air kacang soya. Untuk Jaja, aku belikan sebungkus nasi lemak dan air teh o ais. Aku pilih meja paling depan yang bertentangan dengan koridor Blok A supaya senang Jaja nampak aku. Aku kunyah roti perlahan sambil mata aku memandang ke arah Blok A, menanti kelibat Jaja muncul. Bosan pulak makan seorang diri. Saat aku ternampak Jaja, aku angkat tangan melambai ke arah dia. Tapi lambaian aku terhenti bila aku ternampak Adilia yang muncul di sisi Jaja. Siap berangkul lengan lagi tu!
“Beb, kau mesti tak percaya kalau aku cakap ni!” Itu benda pertama yang muncul dari mulut Jaja sebaik sahaja dia sampai depan aku. Bukannya dia nak terangkan kenapa perempuan tu menempel sebelah dia. Siap senyum simpul lagi tu. Eee...menyampah!
“Percaya apa?” Tanya aku sebal. Yang perempuan ni tak boleh berdiri elok-elok kea pa? Apa perlunya merangkul lengan Jaja.
“Mentor kaulah. Ini kalau Nani tahu, mesti havoc gila!”
Hati aku mula tak keruan. Apasal pula nama Nani terlibat dalam hal ini? Siapa mentor aku yang ada kena mengena dengan Nani? Oh, tidak! Takkan mamat sengal tu?
“Kau jangan cakap dengan aku, mentor aku Johan?” Tanya aku dengan suara tertahan-tahan. Janganlah Johan. Oh, Tuhan. Tolonglah hamba-Mu ini.
“Yup, your mentor tadi nama dia Johan Akil. Aku dah tengok dengan Jaja tadi. Kan Ja?” Orang lain yang aku tanya. Orang lain yang jawab. Dan sejak bila pulak mereka ni mesra ni?
“Yalah, Lea. Cikgu Nasir letak Johan sebagai mentor kau. Wah, untunglah kau. Tak dapat si dia, Johan pun oklah sebagai mentor. Dia pun pandai jugak. Cuma Nani je lah mungkin terkilan.” Balas Jaja sambil tergelak. Yang Adilia di sebelah dia pun tergelak sama. Meluat aku melihatnya! Siapa dia nak gelakkan kawan aku? Dan Jaja ni pun, kenapa tergamak cakap Nani macam itu?
“Eh, Adamlah. Oklah, Jaja. Aku nak pergi jumpa Adam sekejap ye, nak ucapkan terima kasih sebab tunjukkan kawasan sekolah ni pada aku tadi. Oh ya, balik nanti kita balik sama ya? Aku tak berapa familiar sangat dengan kawasan ni lagi. Daa...” Dengan langkah tergedik-gedik dia bergerak ke arah Adam, Naqib dan musuh terbaru aku, Johan. Aku tersentap. Ini memang tersentap tahap petala ketujuh. Adam tunjukkan kawasan sekolah pada dia? Dan balik nanti Jaja nak balik sekali dengan dia?
“Sejak bila dah jadi bff ni?” Tanya aku sarkastik.
Air muka Jaja berubah bila tengok muka masam aku. Baru sedar agaknya aku kecil hati.
“Err...kau marah ke Lea?”
“Tak, suka. Suka sangat-sangat!” Jawab aku. Pelupuk mata aku sudah terasa hangat. Sebak pula hati tiba-tiba. Sebelum aku menangis, baik aku pergi. Kalau tidak, tak pasal-pasal orang-orang kat kantin ni dapat tengok drama air mata percuma.
Aku terus tinggalkan Jaja di kantin. Niat hati nak melangkah ke kanan, tapi otak aku bagi arahan lain pulak pada kaki. Bila menghala ke kiri, secara tak langsung aku kena melalui empat orang manusia yang sedang bergelak ketawa dengan gembiranya itu. Arghh...pedulikanlah mereka Lea. Kata hendak jadi orang baru bukan? Tak perlu nak takut lagi pada mereka!
Dengan langkah berani aku berjalan melalui mereka. Gelak ketawa mereka reda saat aku berada hampir dengan mereka.
“Hai, Lea.” Tegur Naqib. Aku balas dengan senyuman kecil.
“Hello, cupcake.” Tegur Johan pula. Aku balas semula dengan jelingan tajam.
“Amboi, boleh tembus jantung aku!” Ujar Johan sambil memegang dada kirinya.
“Diamlah!” Marah aku.
“Janganlah marah, cik adik. Nanti kena jual.”
“Ada orang nak beli ke?” Soalan Adilia mengundang ketawa mereka. Adam Naufal aku lihat mengigit bibir cuba menahan diri dari gelak. Dada aku jadi berat macam kena hempap batu. Aku cepatkan langkah. Perlahan air mata aku mengalir membasahi pipi. Kali ini, memang aku betul-betul sedih. Dan kali ini, tak kiralah persembahan percuma apa yang Adam Naufal nak buat, hati aku tak akan terubat. Huwaa...pelangi dah hilang! ()

13 comments:

Mrs J said...

Johan!Johan!Johan! ilikeuuuu..

Anonymous said...

hahaha..ptt la farah ckp mcm tu td.jgn terpedaya dgn Adam Naufal ;)
-dyh usen-

mizzunderstood said...

Next bile lagi?aku da excited tetibe kene stop.haishh

Anonymous said...

huhuhu..nape camgitu??
sian Lea...T-T

zie omar said...

sukeeeeeeee...menanti sambungan dgn sabar (salam kenal, selama ni jd silent reader aje :D)

Johan said...

I like u tooo

adam naufal said...

jangan dengar cakap farah ni!
saya baik orangnya..

farah said...

next week ye. seminggu sekali je ai post.

Lea said...

kali ni memang saya sedih sangat... T_T

farah said...

salam kenal zie omar.
terima kasih suka cerita ni dab harap terus sokong akak ye..
len kali tegur2lah selalu...hihih

sweetrose maria said...

sweet je Johan panggil Lea 'cupcake'..Johan suka dekat Lea ke?wah, Johan jadi mentor Lea..agak-agak Adam jealous tak ya..hehehe..


suka sangat cerita ni dan juga Bila cerita terukir di bintang..:)

Unknown said...

heheh..sweet? Lea dah tahap menyampah dengar.

terima kasih sebab suka cerita2 kami di sini. kami sangat2 hargai... ^_^

Jasa Desain Grafis said...

Cerita nya bagus, terimakasih ya