Intan payung kami...

Wednesday 21 March 2012

Bab 3 : Bila Cinta Terukir di Bintang


Bab 3

Ada dua sebab kenapa Aku betul-betul tak ada mood hari ini. Sebab pertama fasal temuduga pagi tadi, berjaya tak aku dapat panggilan ke dua? Aku sangat berharap kali ni aku berjaya. Aku perlu buktikan kepada semua orang yang aku boleh berjaya menjadi warga Emas Holding! Biar terkeluar mata bos aku bila dapat tahu aku dapat kerja di sana.
Sebab ke dua, yang membuat kepala aku sesak dan mood aku jatuh adalah kerana soalan di majalah tu! Betul ke I’m not the one?
 Sekarang tepat pukul lima petang, aku lekas-lekas kemas semua barang. Aku nak balik! Hajat di hati aku hendak berdepan dengan Imran. Aku nak tanya betul-betul, sama ada dia masih sayang aku atau tak. Tapi bila aku telefon, dia masih di site buat pemeriksaan jadi katanya malam nanti kalau dia tak penat dia datang ambil aku makan malam sama.
Inilah untungnya kalau bercinta satu pejabat. Tiap-tiap hari boleh nampak muka. Aku pun tak risau, dijaga rapi oleh semua orang yang aku kenal. Kalau Imran buat onar mesti laju saja berita akan sampai pada aku. Tapi buat masa ini tak ada sebarang berita lagi, selama lima tahun kami bercinta tidak pernah sesiapa datang laporkan berita buruk pada aku tentang kelakuan Imran. Semuanya cakap baik-baik sahaja. Beruntungkan aku? hee…
***
“Kau beli lagi majalah ni!” jerit Hara sebaik saja aku melangkah ke ruang tamu. Dia merampas majalah dari tangan aku dan membaca kuiz yang aku buat. Tidak sampai beberapa minit  dia ketawa terbahak-bahak.
“Sudah-sudahlah Nadia, kau dengan Imran tu bukan soulmate. Percayalah cakap kami.” Hara menyerahkan kembali majalah itu kepada aku.
Aku mencebir. “Suka-suka hati kau aje nak cakap macam tu. Mana kau tahu, aku yang bercinta dengan Imran bukannya kau.” Mulut Hara ni nak kena cili!
Geramnya aku! Dari dulu sampai sekarang dia tak pernah suka aku bercinta dengan Imran. Dia kata tak nampak keserasian antara kami. Mana dia tahu? Kami memang sangat serasi. Sepanjang kami bercinta memang jarang bergaduh, Imran sangat memahami aku dan aku sangat memahami Imran. Paling teruk kami bergaduh pun, cuma perang dingin selama beberapa hari kemudian baik balik. Jadi kami memang serasi!
Huh! Hara mana tahu tentang cinta. Dia sendiri pun jarang bercinta, lepas putus cinta lima tahun lalu sampai sekarang masih tak jumpa penganti. Katanya menunggu Mr Right. Mana ada Mr Right tiba-tiba muncul kalau kita tidak pergi cari? Mengarut saja Hara ni.
Hara bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta yang agak terkenal di Kuala Lumpur. Sebagai setiausaha dia memang kerap teman bosnya ke mana sahaja. Jika bosnya ada mesyuarat di luar Negara dia terpaksa ikut. Hara memang bernasib baik sebab dapat bos yang baik, yang sering menjaga kebajikannya.
Bukan itu sahaja, kenalan-kenalan bosnya juga baik dan cukup rapat dengan Hara. Sehinggakan ada diantara mereka kerap mengajak Hara keluar minum-minum dan makan, dan selalunya pasti di tempat yang mahal-mahal. Mungkin sebab itu juga dia lebih selesa hidup bersendiri. Tak ada siapa boleh halang apa yang dia ingin buat. Dia putus cinta dulu pun sebab teman lelaki dia terlalu cemburu sebab Hara kerap teman bosnya ke sana sini.
“Betul cakap Hara tu, aku pun tak nampak kau orang berdua ni serasi. Macam terpaksa bercinta pun ada.” Celah Miza yang datang dari arah dapur.
“Kau orang berdua ni cemburukan aku tak? Yalah… dalam ramai-ramai teman lelaki aku dulu, Imran je yang kacak dan bekerjaya bagus.” Aku cuba pertahankan pendapat aku.
Sebelum Imran aku pernah bercinta dengan tiga orang lelaki pada waktu berbezalah. Cinta pertama aku masa sekolah. Tapi cinta monyet je, lepas masuk kolej aku bercinta dengan Amirul. Satu kelas dengan aku bertahan setahun sahaja sebab dia kena buang kolej.
Cinta ketiga aku masa aku tahun akhir kolej, namanya Ramli. Bukan budak kolej tapi budak despacth. Tak kisahlah despacth pun sebab dia ada cakap yang dia mahu sambung belajar bila duit cukup. Tapi aku minta putus sebab hampir dua tahun duit masih tak cukup-cukup siap pinjam duit aku lagi.
Dan kemudian Imran muncul. Cinta pandang pertama. Aku kenal dia masa hari pertama aku daftar kerja dengan syarikat aku kerja sekarang. Imran the-best boyfriend-I-ever-have, okey! Walau pun tak sekacak Aaron Aziz dan tidak seromantik Rosyam Noor, tapi dengan wajah sedap mata memandang sangat sesuai dengan aku yang hampir-hampir nak jelita ni, dia adalah yang terbaik.
Kalau terlebih kacak mahu dia tak pandang aku. Lagi pun dia baik. Sangat baik sehinggakan kami jarang bergaduh. Dia sangat memahami sehinggakan semua apa yang aku cakap dia ikut je. Di mana lagi mahu cari stok lelaki terbaik macam ni?
Baik susah, tak baik lagi susah. Budak dua orang ni buat teori bahawa aku dan Imran tidak serasi sebab hubungan kami mendatar. Tak ada turun naik macam sesetengah pasangan lain. Bagi aku teori mereka ni mengarut. Kami serasi sebab itu kami jarang bergaduh besar.
“Aku fikir, tahun depan mesti kau orang berdua putus.” Miza tersengih. Hara mengangguk.
Aku menjeling Miza. Bekerja sebagai HR Manager di salah sebuah Syarikat Guaman di Ampang. Anak jati Kuala Lumpur dan tidak pernah kenal kampung. Seorang yang sangat kecoh dan rock tapi tergilakan novel cinta! Tak kena langsung dengan perangai.
“Atau pun akhir tahun ni.” Celah Hara.
What! Aku bingkas bangun, menuju ke dapur. Apa punya kawan doa yang bukan-bukan untuk kawan!
“Sampai sekarang aku tak tahu kenapa aku boleh bertahan kawan dengan kau orang berdua ni.” Aku melangkah ke ruang tamu dengan sebotol jus apple dan sepotong kek pisang. Kami memang kenal sejak dari kolej lagi, hampir lapan tahun. Masing-masing sudah kenal hati budi masing-masing sebab itu main cakap lepas je.
“Bukan senang nak dapat kawan jujur macam kami ni, sebab tu kau masih bertahan.” Jawab Hara tersengih lantas merampas botol jus di tangan aku.
Aku mengeluh perlahan, duduk di sofa. “Kita dah 30 tahun, aku dah malas nak putus cinta kemudian bercinta balik. Penat tau! Bukan senang nak bina perhubungan ni dan nak kenal hati lelaki ni.” ujarku kemudian menelan kek tersebut kemudian kembali bersuara.
“Kalau aku tinggalkan Imran, belum tentu aku akan dapat lelaki lain dalam masa yang singkat. Pulak tu tentu aku perlukan masa bertahun-tahun pula untuk saling kenal. Aku punya planning, by the time umur 35 tahun aku dah nak settle down… malas dah nak bercinta-cinta ni.” Aku mendengus perlahan.
Apa yang mereka lihat sehingga mereka berani bertaruh yang aku dan Imran akan putus? Nak kecil hati pun tak boleh, sebab dah kerap sangat mereka berdua ni bincangkan isu ni. Kadang-kadang mereka boleh mengutuk aku dan Imran seolah-olah aku tak ada di situ. Baik punya kawan!
“Lagi pun… sebelum umur 35 tahun aku akan pastikan aku ada kerjaya yang stabil dan gaji dah besar. Sekarang ni aku dah ada Imran, jadi soal teman lelaki dan jodoh aku dah tak payah fikir cuma aku perlu fikir macam mana nak cari kerja yang gaji lebih besar dari sekarang.”
“Lantak kaulah, jangan bila dah kahwin nanti baru kau nak sedar yang Imran tu bukan soulmate kau.” Balas Miza terus menatap telefon bimbitnya.
“Dia bukan soulmate aku atau aku bukan soulmate dia?” Ujarku pada Miza.
“Bila dah salah satu tu bukan, mananya dua-dua pun bukanlah.” Balas Miza.
“Boleh tak kau orang jelaskan pada aku, kenapa? Sebab aku tengah pelik ni, yang bercinta aku… apa aku rasa dalam hati aku ni hanya aku seorang saja tahu, yang kau orang yakin sangat ni kenapa?” Aku memandang wajah Miza dan Hara bersilih ganti, “Kau orang berdua ni… bukan manusia ke?” Tiba-tiba aku teringat Alice Cullen dalam siri Twilight yang boleh melihat masa depan.
Serentak Miza dan Hara ketawakan aku.
“Cik Nadia, aku ni kenal sangat rupa orang bercinta dan bukan bercinta. Dan rupa kau setiap kali balik dating dengan Imran tak serupa dengan muka orang sedang bercinta. Jadi… kalau dah kahwin nanti lagi teruk rupa kau tu.” ujar Miza mengeluarkan hujahnya.
Dahi aku berkerut lagi. “Macam mana rupa orang bercinta?” soal aku mula keliru.
“Macam ni..” lantas Hara membuat muka malu-malu tersenyum sipu.
“Sebab tu?” Melopong aku memandang Miza, “Muka macam tu bila dating kali pertama, tapi aku ni dah lima tahun. Takkan nak macam tu lagi?”
“Itu gaya kucing gatal!” Miza tergelak kecil lalu membaling bantal kecil pada Hara. “Maksud aku… wajah kau tu. Tak berseri langsung. Aku nak jelas pun susah sebab dalam rumah ni tak ada yang tengah bercinta melainkan kau seorang je.”
Aku mendengus kasar. Membuka kembali halaman majalah tadi. Makin dilayan mereka ni makin pening kepala aku, cukuplah dengan soalan dalam majalah ni yang buat aku pening.
“Hujung minggu ni kau ke mana?” soal Hara pada Miza kemudian menoleh pada aku.
“Aku tak ke mana-mana nak rehat aje.” Jawab Miza.
“Aku balik Seremban kejap.” Jawab aku malas.
“Seremban?” serentak Miza dan Hara memandang aku. Aku faham apa yang ada dalam fikiran budak berdua ni.
“Jangan salah faham, Imran tak pinang aku lagi.” Segera aku membetulkan tanggapan mereka. Baru bulan lepas aku buat azam tak akan balik ke Seremban rumah orang tua aku selagi Imran tak masuk meminang. Sebab malas mahu bersoal jawab dengan mak dan ayah tentang kahwin. Tapi…
“Salina nak bertunang. Semalam mak aku telefon, jadi terpaksa balik.” Sambung aku lagi.
“Wah, makin tension kau…” sampuk Hara.
Aku mengangguk, “Yang lagi buat aku tension… dah heboh satu pekan tu yang dia akan bertunang dengan pilot!” Terbayang wajah bangga Salina di mata aku. Masa berkenalan dengan pilot pun dah riuh sekampung inikan pula bertunang mahu heboh satu Bandar Seremban tu.
“Aku dah boleh bayang betapa tensionnya kau nak melayan sepupu diva kau tu.” Miza memandang simpati.
“Tau tak apa! Apa aku nak jawab kalau mereka tanya bila turn aku.” Keluh aku perlahan, merenung kosong pada majalah di tangan.
“We all wish you good luck, dear.” Hara memandang simpati.

No comments: