Bab 15
Okey, aku mengaku aku salah. Aku tarik balik
kata-kata aku hari tu yang Imran ni lelaki tak guna sebab pagi ni dia dah
buktikan pada aku dia seorang yang bertanggungjawab.
Pagi tadi dia telefon dan tunggu aku depan rumah
untuk hantar aku ke tempat temu duga. Aku dah tak marah dia lagi sebab semalam
dia telefon dan pujuk aku. Dia janji akan berbincang soal kahwin selepas dia
selesaikan beberapa kerja.
Sekarang
ini aku berada di tengah-tengah bilik yang agak luas. Dikelilingi tingkap bercermin
hitam, terbentang luas pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur.
Nun di sana tersergam indah Bangunan Berkembar Kuala
Lumpur, mercu tanda kemegahan warga Malaysia. Langit membiru awan
bertompok-tompok menambahkan lagi keindahan panorama hutan Kuala Lumpur melalui
bangunan setinggi 25 tingkat ini, bangunan yang bakal menjadi taman ‘permainanku’.
Mungkin.
Aku aku menarik nafas dalam sambil membetulkan blazer
yang dipinjam dari Hara, menanti soalan yang bakal ditanya oleh para penemu duga.
Hari ini dua orang penemu duga bakal menyoal aku. Puan Hamidah dari bahagian
sumber manusia dan Encik Abu Bakar, pengurus bahagian pemerolehan.
“Boleh ceritakan tentang diri awak?” soal Puan
Hamidah sebaik sahaja dia memperkenalkan dirinya pada aku.
Wanita bercermin mata tebal, dengan tudung ala-ala mak
cik nak jemur kain dengan jambul terkeluar dekat depan. Garis wajah menampakkan
seperti dia berusia 40-an. Aku senyum menarik nafas dalam. Syukur, memang aku
sudah bersiap sedia dengan jawapan untuk soalan ini.
“Nama saya Nadia Husain umur saya 30 tahun tapi tiga bulan
dari sekarang akan jadi 31 tahun, masih bujang. Saya mempunyai beberapa tahun
pengalaman sebagai Tender Eksekutif. Saya juga seorang yang rajin bekerja dan
bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam kerjaya. ”
Sengaja aku tekankan ayat ‘masih bujang’. Sebab Yatie
nasihatkan aku jika mahu bina kerjaya binalah sebelum kahwin. Sebab status
‘kahwin’ menyebabkan para majikan sedikit gerun. Kenapa? Alasan mereka, biasanya
wanita yang sudah kahwin akan kerap ambil emergency
leave.
Jangan
marah aku, sebab alasan itu berdasarkan kajian secara rambang yang dibuat oleh Yatie
di tempat kerjanya. Sama ada kajian dia betul atau tidak aku sendiri pun tak
pasti. Namun demi langkah berjaga-jaga, aku setuju dengan hasil kajian tidak
rasminya itu.
“Boleh
awak jelaskan apa kelemahan awak?” Soal Puan Hamidah lagi, merenung tepat ke
wajah aku.
Aku
menelan air liur. Kelemahan? Okey, tips temuduga yang aku baca semalam pesan,
mengaku saja kita memang ada kelemahan tapi pastikan jawapan itu memuaskan hati
penemu duga.
“Saya
sangat susah untuk mengatakan tidak. Disebabkan kelemahan itu orang lain suka
mengambil kesempatan ke atas diri saya, contohnya, saya pernah diminta oleh
seorang senior untuk selesaikan kerja dia sedangakan pada ketika itu saya
sangat sibuk untuk menyediakan tender. Walau bagaimana pun saya tetap pastikan
kerja saya siap pada waktu yang ditetapkan.” Penuh yakin aku menjawab.
Wah,
panjang kan? Tapi inilah jawapan klise yang perlu aku jawab demi memuaskan hati
mereka.
Kemudian
beberapa soalan lain pula ditanya dan aku berjaya jawab soalan-soalan itu dengan
jayanya.
“Kenapa…” tiba-tiba Puan Hamidah bersuara dan berhenti
seketika kemudian melihat borang pemohonan aku sekali lagi dan kembali memandang
aku.
“Kenapa… Cik Nadia ingin menyertai syarikat kami?”
Dia memandang aku dengan wajah serius.
Alamak! Bukan ke sepatutnya dia tanya pengalaman aku
dulu? Biasanya soalan ni di akhir sesi? Nak aku jawab ikhlas atau jawapan
skema? Tapi emak ada cakap kalau kita jujur kita akan dibalas dengan kebaikan.
Baiklah, kenapa aku nak kerja dengan syarikat ni?
1.
Sebab aku mahu
gaji yang lebih besar dari sekarang.
2.
Aku dengar
syarikat ni memang tak kedekut bagi bonus.
3.
Aku juga dengar,
syarikat ini selalu buat trip melancong untuk staff ke luar
Negara-setiap-tahun!
4. Untuk buktikan kepada emak yang teori aku ‘Tak ada ijazah pun tak apa, asalkan ada
pengalaman mesti akan dapat kerja yang bagus dan gaji yang besar.’
Tapi,
aku tak boleh bagi tahu semua alasan ini sebab jawapan aku itu sangat tidak
professional. Dan kebarangkalian untuk tidak dapat kerja sangat besar.
Aku
senyum, tarik nafas dalam dan kemudian menghembus perlahan. Aku memang sudah
bersedia dengan jawapannya.
“Sebab, saya ingin mencari pengalaman yang lebih
mencabar dan…” belum pun sempat aku habis jawapan yang aku hafal semalam, Puan
Hamidah menyampuk.
“Kalau nak pengalaman yang lebih mencabar kenapa tak apply jadi askar ke, tentera laut ke,
lagi mencabar, kan Encik Abu?” Dia tersenyum sinis, memandang sekilas pada
Encik Abu Bakar.
Lelaki itu tergelak kecil.
Alahai! Loyar buruk pulak mak cik ni, nanti aku jawab
soalan sarkastik dia tu baru tahu! Tak apa, bertenang Nadia, dia bergurau saja
tu. Aku tersenyum seraya menghela nafas perlahan lalu bersuara.
“Dan… saya mahu gaji besar.” Aku tersenyum sambil menarik
nafas lega. Nah, ini memang jawapan jujur dari aku.
Serentak kedua-duanya menoleh ke arah aku. Tahu pun
terkejut. Lain kali jangan nak sarkastik dengan aku!
Puan Hamidah membelek resume aku sambil membetulkan cermin mata tebalnya, kemudian dia
tersenyum sinis.
“Baiklah, kalau saya tengok pengalaman awak. Agak
menarik dan sebenarnya memang kami mencari calon yang sudah biasa handle tender-tender besar. Dan syarikat
awak bekerja sekarang pun one of our
contractor.” Puan Hamidah terus membelek resume aku kemudian menunjukkan sesuatu kepada Encik Abu Bakar.
Aku menarik nafas lega, tersenyum bangga. Ya. Aku
tahu memang aku seorang pekerja yang bagus dan layak berkerja di Emas Holding.
Bukan aku syok sendiri, tapi itulah hakikatnya. Tak percaya?
“Kenapa awak tak sambung degree?” Tanya Puan Hamidah, memandang serius pada aku.
Erkk?
Secara automatik tangan kanan aku mengosok-gosok
leher yang tiba-tiba meremang.
“Memang…emm… ada dalam planning saya… puan, Insya-Allah tahun depan saya akan ambil
secara part-time.” Aku berdeham
perlahan. Nampaknya, terpaksa tambah satu lagi senarai baru untuk azam tahun
hadapan.
Kedua-dua mereka mengangguk-angguk kepala. “Bukan
apa, syarikat kami sangat mementingkan kualiti. Bukan saya nak kata mereka yang
tak ada degree tak berkualiti. Cuma,
standard kami memang mementingkan mereka yang ada ijazah dan disertai dengan
pengalaman.” Tambah Puan Hamidah.
Aku sekadar mengangguk-anggukkan kepala aku. Kalau
emak dengar ni, mesti terguling-guling mak ketawakan aku. Padan muka aku!
“Okey, berbalik pada soal kerja. Kalau kami biarkan
awak handle tender seorang diri atau
kurang pengawasan, awak yakin awak boleh buat?” Akhirnya Encik Abu Bakar
bertanya, dari tadi dia hanya mendengar. Wajah dia ketika bertanya sangat
serius dan sangat menakutkan!
Aku menelan air liur, tiba-tiba terasa tekak aku
kering kontang. Soalan apakah ini? Adakah soalan sengaja mahu memasang menjerat
ataupun memang mereka mahu melihat kesungguhan aku?
“Insya-Allah boleh, saya sudah biasa bekerja tanpa
pengawasan yang sepenuhnya. Cuma mungkin untuk tender pertama saya perlu bantuan
mereka yang berpengalaman, tapi bila saya sudah biasa, tak ada masalah kalau
saya handle seorang diri.”
Aduh! Kenapa aku bagi jawapan mengarut macam tu? Mana
mampu aku hendak buat tender seorang diri? Buat dengan empat orang staff pun
dah kelam kabut inikan pula seorang diri? Tapi, takkan aku nak jawab…
‘Susah Puan,
buat tender besar ni perlu kakitangan yang cukup… mana boleh buat seorang diri,
pengsan saya.’
Nanti sah-sah mereka pangkah aku. Tak mengapa Nadia,
masa temu duga beginilah kau patut jual diri kau betul-betul, soal mampu ke
tidak itu kau fikir selepas dapat kerja nanti. Takkan syarikat besar macam ni
biarkan kau seorang diri buat kerja-kerja tender tu, mesti ada team lain. Kan?
Sekali lagi Puan Hamidah tersenyum. Okey, gelaklah
sekuat mana yang kau mahu. Aku tahu jawapan aku itu memang tidak relevan
langsung. Tapi aku terpaksa. Nanti kalau aku cakap tak sanggup, takut dia cakap
aku pemalas pula atau tak tahan pressure
atau… biarlah.
“Awak biasa handle
tender seorang diri?” tanya Puan Hamidah lagi dengan dahi berkerut memandang
wajah aku.
Kerutan di dahi dia itu aku tak pasti sama ada dia
tak percaya dengan jawapan aku atau pun dia terlampau kagum dengan kehebatan
aku. Jadi, apa perlu aku jawab ni?
Okey, sekali ini sahaja aku tipu, selepas ini aku
janji aku akan bercakap benar. Lantas aku mengangguk. Ya, dalam erti kata
sebenar memang seperti aku handle
seorang diri. Sebab Tender Executive kami cuma tahu mengarah saja. Aku yang
cari dokumen yang susun semua dokumen.
Aku juga yang sediakan budget tender, sehingga
menolak troli bawa turun bungkusan tender ke budak runner pun aku yang buat tapi… kemudian lekas-lekas aku menggeleng.
Tak boleh, aku kena jujur. Kedua mereka berkerut-kerut memandang ke arah aku.
“Kami buat bersama, mengikut job scope masing-masing.” Aku tersenyum pahit, menelan air liur
resah.
“Habis tadi saya tanya, awak cakap awak boleh handle seorang diri.” Tanya lelaki itu
pula, memandang sinis pada aku.
Aku berdeham perlahan, tercari-cari kata yang sesuai.
Kalau aku jawab jujur senang cerita tidak payah aku hendak pusing sana-sini. Tapi,
takkan aku nak bagi tahu yang Tender Executive tempat aku kerja tu hanya tahu
mengarah dan yang buat semuanya adalah aku. Kalau dilihat secara kasar, itu
kiranya macam buat seorang diri juga, kan?
Tapi aku tak boleh cakap macam tu, takkan tengah temu
duga aku nak bergosip pasal senior aku yang pemalas tu pulak? Bahaya,
silap-silap nanti mereka terus tolak pemohonan aku!
“Ya, secara logiknya memang saya tak mampu nak handle tender-tender besar seorang diri.
Tapi maksud saya ‘handle seorang diri’ adalah dibawah pengawasan yang minimum
dan dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.” Aku buat tanda koma dengan dua jari
telunjuk aku pada perkataan ‘handle
seorang diri’ harap-harap mereka faham.
Kedua mereka saling berpandangan, seperti menghantar
isyarat meminta salah seorang dari mereka terus bertanya. Tapi, dari riak wajah
itu aku semacam dapat rasa yang aku tak akan berjaya. Puan Hamidah tu dari tadi
asyik senyum sinis aje.
“Where would
you like to be in your career five years from now?” soal Encik Bakar pula.
Hah? Kenapa orang yang nak temu duga ni suka sangat
salin soalan bocor ni? Tak ada soalan lain ke nak tanya? Sah-sah semua orang
ada keinginan nak ambil alih tempat duduk dia orang sekarang ni. Takkan
selama-lamanya nak jadi kerani cabuk. Nanti kalau aku jawab…
“I’ll take
your place… difinitley!” Yaaa! Apa
aku dah cakap ni! Lekas-lekas aku tutup mulut dengan kedua belah tangan.
Terbeliak mata Puan Hamidah dan Encik Bakar memandang
aku. Shoot! Sah-sah aku tak akan
dapat kerja ni!
“I mean…” aku telan air liur. “Someone like you… I mean… naik pangkat.”
Kedua-duannya diam, hanya bibir mengukir senyuman
sinis kemudian membelek-belek resume dan fail aku.
“Cik Nadia mungkin ada ingin bercakap sesuatu pada
kami, sebelum sesi temuduga peringkat pertama ini selesai?”
Berkedip-kedip aku memandang mereka, peringkat
pertama? Ada berapa ‘tingkat’ sesi temuduga ini sebenarnya? Huh! Aku paling
benci kalau temuduga ada bertingkat-tingkat ni. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja
aku cakap…
“Oh! Emas
Holding ambil lah saya jadi staff. Rugi kalau tak ambil saya, sebab saya memang
pekerja yang penuh dedikasi, setia, ikhlas dan…” okey cukup.
Aku menggeleng. Cukuplah, kalau boleh aku nak
habiskan sesi ini dengan cepat. Naik ngeri aku tengok muka Puan Hamidah yang
dari tadi asyik tersenyum sinis. Macam nak bagi tahu yang aku ni tak layak!
“Baiklah, buat masa ini setakat ini sahaja. Kami akan
hantar surat kepada Cik Nadia untuk memaklumkan sama ada Cik Nadia berjaya atau
pun tidak untuk temu duga kali ke dua.” Lelaki itu bersuara memandang tepat
wajah aku.
Aku angguk kepala
“Terima kasih Puan Hamidah dan Encik Abu Bakar kerana
memberi peluang untuk saya menghadiri temuduga pada hari ini.” Aku hulurkan
tangan untuk bersalaman dengan gaya eksekutif yang sangat professional. (Ini
tips yang aku baca semalam)
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment