Bab 14
~Khalif Aufa~
Khalif berjalan ke arah kereta. Sekali sekala menoleh
ke belakang. Terlihat gadis itu sedang rancak berbual. Niat untuk bertanya nama
dan nombor telefon terbantut gara-gara papa ada di sebelah.
Lagi pun, agak tak manis kalau nak menjalankan sesi
perkenalan di depan orang tua. Nanti panjang pula soalan papa - Dah kenal tapi
tak tahu nama, macam mana kau orang kenal? Apa dia nak jawab nanti?
“Siapa tu?” tiba-tiba papanya menyoal sebaik saja
masuk ke dalam kereta.
“Siapa?” Khalif pura-pura tak faham.
“Perempuan tadi tu.”
“Oh, kawan,” balas Khalif sambil menghidupkan enjin
keretanya. Bibirnya Mengulum senyum, tak sangka kuat pula jodoh dia dengan
gadis itu.
“Kenal dekat mana? Muda je papa tengok.”
Eh, papa ni. Nak cakap aku tua lah tu!
“Emm... kawan pada kawan.”
“Ingatkan itu calon isteri kamu yang mama cerita
semalam.”
“Erk… laju pula mama ni.” Khalif menelan liur. Kalau
dengan papanya, dia takut nak bergurau.
“Kamu jangan main-main. Mama tu dah beria-ia ingat
kamu dah ada calon. Semalam pun dah sibuk nak rancang majlis kahwin kamu.”
Khalif tersengih. Tak tahu nak balas apa. Memang dia
tak tipu pun, cuma part berlakon tu
saja yang dia tak ceritakan pada mama.
“Insya
Allah, ada jodoh kahwin la nanti,” balas Khalif cuba berdalih.
“Esok
kamu jadi mula kerja?”
“Jadi,” jawab Khalif penuh yakin. Ada misi yang perlu
dilancarkan esok.
“Jalan nak ke pejabat dah tahu?”
“Papa ni, macamlah dah lama sangat K tak balik sini.”
“Mana tahu, asyik merantau sana-sini dah lupa jalan
dekat lembah Klang ni.”
“Jangan risau, masih ingat. Lagi pun, sekarangkan
zaman teknologi, tekan je dah tahu
jalan mana nak lalu,” ujar Khalif menyakinkan papanya.
Tak sangka hari ini dia terserempak lagi dengan gadis
prejudis itu tapi malangnya seperti semalam dia masih tak berpeluang
bertanyakan nama. Tak sabar dia hendak masuk ke pejabat esok dan mencari
maklumat tentang gadis itu.
Tiba di hadapan rumah dia memberhentikan kereta.
“Tak masuk ke? Mama nak masak istimewa tengah hari
ni.”
“Kejap lagi, K nak pergi salon kejap.”
“Salon?” Kening Datuk Haron terangkat dan terdiam
seketika.
“Emmm.. elok sangat tu.” Akhirnya, itu yang keluar
dari bibirnya.
KEESOKAN paginya, sebaik saja tiba di pejabat, Khalif
segera memanggil Human Resource, Puan Hamidah untuk bertanyakan senarai calon
yang akan ditemu duga sekejap lagi.
“Kenapa Encik Khalif mahukan senarai ni?” Puan
Hamidah kehairanan.
“Saya nak tapis dulu,” jawab Khalif acuh tak acuh.
Tangan terus membelek resume yang ada di atas meja.
“Ni kenapa tak ada gambar?” Khalif mengangkat wajah,
memandang wanita yang berdiri di depannya.
“Emm…”
“Lain kali pastikan semua calon sertakan gambar.”
Terus dia memotong sebelum sempat Puan Hamidah menjawab.
Sebenarnya dia tak kisah pun, cuma disebabkan hari ni
dia tengah nak cari maklumat si gadis, maka bila tengok resume yang tak ada
gambar, dia jadi ralat.
Tangan terus membelek mencari resume gadis yang
ditemuinya semalam. Harap-harap gadis tersebut sertakan gambar.
“Encik nak cari resume siapa? Ada saudara mara encik
akan datang temu duga ke?” tanya Puan Hamidah.
“Tak ada,” jawab Khalif dan terus mencari.
Sedang asyik membelek akhirnya dia ternampak gambar
gadis yang dicari. Tanpa membuang masa, dia terus meneliti resume tersebut.
Emmm.. Nadia Husain. Sebelah kening terangkat.
Bibirnya mengukir senyum. Dia terus meneliti, alamat tempat tinggal, kampung,
tempat kerja dan nombor telefon.
“Ni kenapa ada calon tak ada ijazah? Bukan ke
syarikat kita mahukan semua eksekutif ada ijazah?” Saja dia pura-pura bertanya
supaya Puan Hamidah tak mengesyaki apa-apa.
“Ya encik. Tapi, kami panggil dia datang temu duga
sebab pengalaman dia agak bagus berbanding calon-calon lain.” Puan Hamidah
memberi penjelasan.
“Memanglah dia tulis pengalaman dia ni bagus gila.
Tapi, kadang-kadang kita jangan percaya sangat. Dia orang ni resume je yang gempak tapi kerja tak pandai.”
“Nanti saya cuba selidiki masa sesi temu duga. Atau…
encik boleh turut serta,” pelawa Puan Hamidah.
Khalif menggeleng. Mana boleh. Bahaya! Selagi si
gadis tak masuk jerat dia tak boleh dedahkan diri.
“Tak apa. Saya banyak kerja lain lagi. Ambil dulu
resume yang lain ni, yang ini saya perlu bawa berbincang dengan Encik Bakar.”
Khalif menyerahkan setimbun resume kepada Puan Hamidah.
Sebaik saja Puan Hamidah melangkah keluar, dia terus
menyalin nombor telefon dan alamat tempat kerja Nadia, termasuk nama dan nombor
telefon majikan Nadia. Dia akan pastikan rancangan yang disusun semalam akan
dilaksanakan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment