Love and stoplights can be cruel – Sesame Street
“Ok apanya. Dah tentu-tentu kau kalah. Selama ni, adik kau tulah harapan keluarga kan? She’s the brain in the family. Kau tu periksa pun cukup-cukup makan saja.” Kata-kata Jaja aku hadiahkan dengan satu jelingan yang maha tajam. Dapat kawan yang terlalu berterus – terang ini susah juga sebenarnya. Bukannya dia nak pujuk dengan kata-kata semangat. Lagi dia buat ayat yang melemahkan semangat aku adalah. Bertuah punya kawan!
“Jap...jap. Jadi kiranya, kedai yang kau pergi semalam tu kedai mama Adam Naufal lah ya? Dan Adam Naufal ada di sana menjadi saksi kepada kejadian memalukan kau semalam?” Soal Nani tiba-tiba. Kawan aku yang seorang ini lagi satu hal. Punyalah dari tadi aku cakap aku tengah susah hati dengan pertaruhan yang dikemukakan Nadia, dia sibuk ingatkan aku tentang kejadian yang berlaku di kedai Ladies tadi. Sudahlah aku seboleh-bolehnya nak lupakan peristiwa itu. Pagi ini, sengaja aku ajak mereka duduk di tepi padang sementara hendak menunggu loceng permulaan sesi pembelajaran bermula. Aku tak hendak duduk di tempat biasa kami di Tamah Riadah sebab mahu mengelakkan berjumpa Adam Naufal.
“Beb, ini peluang bagus ni!” Jerit Nani tiba-tiba. Mujurlah tak ada orang lain dekat situ.
“Nani, kau boleh tak turunkan sikit volume suara kau tu? Aku ada dekat depan mata saja ni. Tak payahlah kau nak jerit-jerit.” Tegur aku sambil mengusap cuping telinga aku yang bingit mendegar suara nyaring Nani tadi.
Seperti biasa, Nani cuma gelak. “Alah, cakap perlahan tak feel.”
Aku geleng kepala. “Telinga aku ni, kalau boleh jerit dah menjerit dah tau suruh kau tu jangan selalu jerit-jerit dekat dengan dia!”
“Alah, ya lah. Aku akan cuba kurangkan volume suara aku ni ya. Tapi serius ni, Lea. Ini peluang baik untuk kau!”
Aku pandang Nani hairan. “Peluang baik apa? Kau ada cara ke macam mana aku nak menang pertaruhan dengan Nadia tu? Ada ubat nak buat aku jadi pandai ke?” Tanya aku teruja. Entah-entah Nani tahu mana-mana tempat yang ada jual ubat yang boleh buat aku jadi pandai dalam masa terdekat ini.
Nani tepuk dahi. “Kau tu, bagi makan tonik Adi Putra yang bijak pandai tu pun belum tentu boleh jadi pandainya. Tapi ada satu cara yang kalau kena gayanya, akan bagi kau kemenangan berganda.” Aku tarik muka. Kenapalah kawan-kawan aku mulut masing-masing terlalu langsi?
“Habis tu yang kau beriya cakap pasal peluang baik tu apa hal? Peluang baik apanya?” Rungut aku.
Nani senyum tayang gigi. “Peluang kau dengan Adam Naufal.”
“Hah? Maksud kau?” Aku dan Jaja saling berpandangan. Muka Nani yang nampak gembira luar biasa kami pandang dalam-dalam.
“Kalau kau ikut plan aku ni, kau akan dapat Adam Naufal sekaligus peluang jumpa abah kau di London.”
“Plan apa Nani? Cakaplah cepat!” Gesa Jaja.
“Macam ni...” Nani terus menceritakan master plan yang berlegar di fikirannya. Selesai menerangkan rancangan impromptu dia, dia pandang muka aku dengan penuh harapan.
“Baik tak rancangan aku?” Nani senyum tayang gigi.
Aku jengil mata. “Lupakan!” Ringkas dan padat jawapan aku.
“Ek eleh. Apahal pula? Beb, ini peluang baik tahu. Kau bayangkan, Adam Naufal. Jejaka kedua kacak selepas Mr All Black, jadi tutor kau. Mesti kau ada semangat nak belajar bersungguh-sungguh. Lepas tu, aku gerenti exam kau akan cemerlang. Kalau dah cemerlang, peluang kau nak jumpa abah kau di London cerahlah!” Nani berhujah.
“Itu bukan nak bagi aku cemerlang. Nak bagi aku lingkup lagi adalah!” Marah aku. Ada ke patut dia nak suruh aku minta Adam Naufal jadi tutor? Dia faham tak konsep jadi tutor tu macam mana? Dengan perangai aku yang pemalu tak bertempat ni, boleh ke aku belajar dengan Adam?
“Eh, aku rasa cadangan Nani tu elok apa. Apasal pula nak melingkupkan kau? Adam tu kan one of the best student. Masa SPM dulu, dia kan salah seorang pelajar terbaik daerah ni. Kalau dah orang pandai macam tu jadi tutor kau, mestilah tak ada masalah.” Jaja cuba menyokong cadangan Nani.
Aku geleng kepala laju. Sah, kawan-kawan baik aku ni tak faham lagi dengan perangai aku. “Engkau orang tahu tak konsep tutor macam mana? Face to face study, tahu? Maknanya aku kena duduk depan Adam Naufal dan bercakap dengan dia.”
Nani dan Jaja buat muka blur. Mereka berpandangan sesama sendiri sebelum memandang semula ke arah aku. “Jadi, apa masalahnya?” Soal mereka serentak.
“Nak bercakap dengan dia pun aku tergagap-gagap. Nak pandang muka dia pun aku segan, ini engkau orang nak suruh aku belajar dengan dia? Aku takut tengkuk aku ni patah aje sebab asyik menunduk depan dia nanti. Hendaknya lepas kejadian semalam tu. Lagilah muka aku ni tebal nak tengok dia tahu.” Terang aku satu persatu. Suara dah turun satu oktaf. Bunyi ala-ala sedih pun ada.
“Laa...sebab itu saja? Cik Nea Azalea, aku rasa dah sampai masanya kau buang sikap malu tak bertempat kau tu. Come on lah. Dah nak dekat lima tahun kau asyik perhatikan Adam Naufal tu dari jauh, kot. Ini final year kita di Idealian. Kau tak teringin ke cipta kenangan terindah?” Jaja buat saranan. Nani di sebelah turut sama mengiyakan.
“Cakap orang. Yang engkau orang berdua tu, dah ada cipta kenangan terindah ke dengan Johan dan Naqib tu?” Aku pulang paku buah keras.
“Eh, kita orang lain. Walaupun lima tahun memendam rasa pun, sekurang-kurangnya kita orang pernahlah jugak bercakap dengan mereka. Aku ni, tiap-tiap minggu dapat bercakap dengan Johan walaupun sekadar ‘hai’ aje. Jaja pun, sekurang-kurangnya bila lalu depan Naqib, boleh lagi dia buat senyum gatal dia tu. Tak delah menunduk nak cium lantai macam kau. Jadi, my bff yang aku sayang, antara kita bertiga, kau tu yang kes paling teruk! Tahu?”
Aku tak sempat nak buat serangan balas sebab loceng sudah berbunyi. Tapi sepanjang perjalanan nak ke dewan besar, kata-kata Nani berlegar-legar dalam fikiran aku yang dah cukup berserabut ini. Betul ke, aku kes yang paling teruk eh?
***
Di dewan besar, aku macam berada dalam dunia sendiri. Fikirkan kata-kata Nani. Fikirkan cadangan gila Nadia. Fikirkan Adam Naufal. Perhimpunan yang sedang berlangsung pun tak berapa aku hiraukan. Lagipun aku dapat agak apa isi perhimpunan. Memandangkan hanya pelajar-pelajar tingkatan 5 dan 6 atas sahaja yang dipanggil berkumpul, tak ada perkara lain yang hendak dibincangkan melainkan peperiksaan besar yang bakal kami semua hadapi hujung tahun nanti. Mesti Cikgu Nasir rambut ketak, guru Hal Ehwal Pelajar merangkap guru kelas aku sedang bagi ceramah tentang betapa pentingnya tahun ini bagi kami semua.
Aku toleh sebelah kiri. Nani dan Jaja sedang kusyuk mendengar ucapan Cikgu Nasir. Kemudian mata aku beralih pula ke sebelah kanan. Mata aku melangkau ruang kosong yang memisahkan pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6. Aku perhatikan wajah senior-senior aku yang turut nampak bersemangat mendengar ucapan Cikgu Nasir. Awal tahunlah katakan. Semua orang pun bersemangat.
Mata aku terus memerhati satu persatu wajah yang ada sehinggalah ia berhenti ke arah sepasang mata yang turut sama sedang memandang ke arah aku. Wajah pemilik sepasang mata yang indah itu ceria dengan senyuman yang manis. Tahi lalat kecil yang menghiasi dagu kanannya menambahkan lagi kekacakkan wajah itu. Tanpa sedar aku turut tersenyum. Terpesona sekejap dengan kekacakan jejaka itu. Saat itu bagai wujud satu hubungan antara kami berdua. Entah berapa lama kami saling berbalas senyuman aku sendiri tak sedar hinggalah aku terdengar suara Nani dan Jaja tergelak kecil. Cepat aku menoleh ke arah mereka.
“Ada kemajuan nampak,” bisik Nani perlahan.
“Hah?” Tanya aku tanda tak faham aku maksud Nani. Kemajuan apa sajalah yang dimaksudkan perempuan seorang ini?
“Dah tak malu-malu lagi ke? Dah boleh balas-balas senyum tu? Bolehlah rancangan tutor tu berjalan dengan jayanya lepas ni, kan?” Bisik Nani lagi.
Aku telan liur bila aku dengar perkataan tutor itu. Aku dah mula faham maksud ‘kemajuan’ yang Nani cakapkan tadi. Dengan muka teragak-agak aku menoleh kembali ke arah wajah kacak tadi. Dan seperti tadi, dia masih tersenyum. Tapi kali ini bukan dia sahaja, tapi dua orang sahabat baik dia, Naqib dan Johan turut tersenyum sama. Siap main singgung-singgung lengan lagi. Itu tak ada lain, mesti ketawakan aku yang dah nampak macam perempuan syok sendiri ini. Macam manalah aku boleh tak perasan itu Adam Naufal?
Aku ketap bibir dan segara pandang ke hadapan. Muka dah terasa panas. Kali ini memang aku harap-harap sangat lantai dewan ini boleh terbuka dan sedut aku ke bawah. Dah malu tahap dewa dah ni weh! Berapa kalilah kau nak memalukan diri sendiri depan Adam Naufal ni Lea?
Aku cuba sedaya upaya menumpukan perhatian pada ucapan Cikgu Nasir di depan. Wajah kacak Adam Naufal aku gantikan dengan wajah Cikgu Nasir yang bermisai ala-ala pelakon Gerak Khas, A.Galak. Beza Cikgu Nasir dengan A.Galak ialah saiz badan yang begitu ketara. Kalau A.Galak tu kurang sikit aku takut menengoknya sebab badan dia kurus. Cikgu Nasir ni, dahlah misai melintang. Badan dia, dah macam Triple H dari WWE tu. Garang bukan main. Tapi garang bertempatlah. Dengan aku, dia suam-suam kuku saja. Garang sangat tidak, baik sangat pun tidak. Tapi jangan tak tahu, dia nilah cikgu yang paling aku suka.
“Jadi, mulai esok pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang namanya ada dalam senarai kena hantar borang yang akan diedarkan dalam kelas masing-masing nanti. Senarai mentor akan pihak sekolah pamerkan di papan kenyataan di koridor A. Pilih mentor yang awak selesa. Tapi ingat, pihak sekolah ada hak untuk tentukan mentor-mentee yang sesuai jika kami rasakan pilihan anda tidak sesuai. Faham?” Kata-kata Cikgu Nasir disambut dengan jawapan faham dari semua yang berada di dewan kecuali aku sebab aku tak faham apa pun yang dikatakan oleh Cikgu Nasir.
Baru sahaja aku nak bertanya pada Nani dan Jaja, aku dengar Cikgu Nasir suruh kami bersurai dan masuk ke dalam kelas masing-masing. Aku cuba nak tahan Jaja dan Nani tapi mereka dan menonong ke depan. Aku yang masih terpinga-pinga cuba bersaing dengan mereka. Bukan main laju lagi budak berdua itu berjala ke pintu. Kalau tengok lagaknya macam tak sabar-sabar nak masuk ke kelas. Bila mereka lalu di depan pentas, lagi laju aku tengok langkah yang diambil. Itu tak ada lain, sebab nak mengelak dari bersua muka dengan Cikgu Nasir lah tu. Aku pun apa kurangnya. Saat kaki berada di depan pentas, cepat aku belok ke kiri menuju ke pintu keluar. Seboleh-bolehnya tak nak bagi peluang Cikgu Nasir nampak. Tapi entah apalah nasib aku hari ni, tiba-tiba aku terdengar nama aku diseru-seru cikgu misai melintang.
“Nea Azalea, ke sini sekejap.”
Aduh, kenapalah aku rasa semacam sahaja ni? Dengan langkah seperlahan mungkin aku menapak ke arahnya.
“Ya, cikgu?”
“Nah, isi ni dan hantar pada saya secepat mungkin.” Cikgu Nasir hulurkan sekeping kertas pada aku.
Aku kembali buat muka blur. Aku menoleh ke belakang, cuba mencari kelibat Nani dan Jaja tapi bayang pun dah tak nampak.
“Kamu isi sahaja borang ni. Tak perlulah nak pilih mentornya. Biar saya yang pilihkan mengikut keperluan kamu. Kalau suruh kamu yang pilih, entah siapa-siapalah yang kamu pilih.” Ujar Cikgu Nasir tegas.
Aku semakin blur. Ini pilih apa pulak ni? Calon menantu ke? Setahu aku Cikgu Nasir tak ada anak lelaki. Atau calon peserta untuk rancangan mentor sebab dari tadi asyik sebut perkataan mentor saja. Kalau mentornya Anuar Zain yang ada suara lemak merdu tu ok juga. Tapi kalau untuk rancangan mentor rasanya Cikgu Nasir dah salah pilih orang ni. Aku dengan katak lebih kurang sama saja kemerduan suara kami.
“Ingat, Lea. Kamu jangan tak hantar pula borang tu. Minta tandatangan kebenaran dari ibu kamu. Tahun ini kamu nak ambil peperiksaan besar. Jangan nanti sebab kamu, peratusan SPM kita menurun pula.” Pesan Cikgu Nasir lagi.
Aku cuma mengangguk. Angguk sajalah, kan? Takkan aku nak melawan pula bila apa yang Cikgu Nasir cakapkan itu betul belaka. Sambil mata aku membaca kandungan borang di tangan, aku ucapkan terima kasih pada Cikgu Nasir. Kaki melangkah keluar sambil membaca apa yang terkandung dalam surat di tangan.
“Program Mentor-Mentee bagi Calon-calon SPM 2012. Program apa pula ni?” Dengan khusyuk aku cuba mencerna apa yang tertulis hingga aku tak sedar aku sudah di apit dua orang manusia di kiri dan kanan.
“Cupcake, kalau nak pilih abang Jo pun boleh,” ujar manusia di kanan aku.
“Kalau pilih Abang Naqib pun, abang sudi,” ujar yang kiri pula.
Langkah aku terhenti. Menggeletar tangan bila terdengar suara-suara itu dekat sangat dengan telinga aku. Aku toleh kiri dan kanan. Tekak terasa kering tiba-tiba bila wajah Johan dan Naqib terlihat di depan mata.
“Atau nak lagi best, pilih saja pembunuh hati tu,” saran Johan sambil muncungnya dihalakan ke hadapan. Mata aku turut sama memandang ke arah muncungnya menghala. Hah, engkau. Berdiri dengan kacaknya sambil tersenyum manis ke arah aku, jejaka yang baru sahaja berbalas pandangan dengan aku dalam dewan tadi. Siapa lagi kalau bukan Adam Naufal!
![]() |
| Berdiri dengan kacaknya sambil tersenyum manis ke arah aku, jejaka yang baru sahaja berbalas pandangan dengan aku dalam dewan tadi. Siapa lagi kalau bukan Adam Naufal! |
Kalau tadi tangan saja yang menggeletar, kali ini lutut aku pun menggeletar sama. Tanda-tanda yang aku perlu melarikan diri dengan atau pun aku akan terjelepok kat atas lantai ni. Arghhh...tidak. Aku tidak boleh memalukan diri aku lagi!
“Be careful, cupcake. Jangan sampai langgar pintu lagi!” Jerit Naqib diiringi gelak ketawa Johan sebaik sahaja aku membuka langkah panjang melarikan diri dari mereka. Ketika aku melalui tempat Adam Naufal berdiri, sempat aku menjeling mamat itu. Mukanya nampak keruh ketika kami berpandangan. Tiba-tiba hati jadi pilu. Mesti dia malu bila kawan-kawan dia gelakkan aku sebab secara tidak langsung nama baiknya turut terlibat. Mesti lepas ni dia bencikan aku. Dan aku tak rasa aku sanggup menghadapi kebencian Adam Naufal.
Huwaa! Mummy! Orang nak pindah sekolah! v(ಥ ̯ ಥ)v
Comments are welcome! ^_^ v

