Intan payung kami...

Monday 18 March 2013

Bab 9 : Aku dan Dia, Pinky Promise.


Aku buka buku nota yang mengandungi sebelas hasrat andai aku diberi peluang kembali ke alam persekolahan.

1. Ubah Aliran – Done
2. Jangan bercinta ketika belajar. – yang ini akan ambil masa dan aku akan pastikan perkara ini tak terjadi. Jadi, esok aku akan jumpa Asnan dan putuskan hubungan kami.
3. Jadi ulat buku – mulai hari ini, aku akan bertandang di perpustakaan bila tamat waktu persekolahan.
4. Pastikan semua kerja sekolah siap – Yup, aku akan buat.
5. Jangan jadi pelajar popular – Alamak, yang ni aku tak boleh ubah. Sebab aku dah popular. Satu sekolah asyik bercakap fasal aku yang tiba-tiba tukar aliran. Tapi, mungkin sekejap saja. Pertengahan tahun nanti senyaplah mulut dia orang.
6. Jangan berkawan dengan Shahira- Kenapa aku benci Shahira? Nanti aku cerita apa yang dia akan buat pada aku.
7. Buat baik dengan Cikgu Hazam – Sedang ke arah itu. Aku tak akan mengamuk lagi jika dia panggil aku Siti Sal. Aku tak akan mengamuk lagi kalau dia perli-perli.
8. Jangan sesekali ikut fesyen 90-an ketika bergambar -  Yang ini tak ada masalah, sebab aku tak ada bergambar lagi buat masa ni. Tapi aku dah ubah sikit-sikit penampilan aku. Rambut, aku selak tepi je. Tak payah buat ropol-ropol kat depan. Tak payah buat kerinting. Baik aku kekalkan rambut lurus, sebab gaya ni tak lapuk dek zaman.
9. Jangan tergilakan mana-mana artis lelaki -  ni mudah je. Mulai hari ni aku tak akan membazrikan duit beli majalah Mangga!
10. Jangan terpikat dengan lelaki popular di sekolah – tak jadi masalah! Aku pun akan putus hubungan dengan Asnan esok.
11. Cari Daniel – Nanti aku akan cari di mana sekolah Daniel.

“Sal!” Terdengar suara Hanim memanggil nama aku. Lekas-lekas aku menutup buku nota.

“Kau tak makan?” soal Hanim seraya melabuhkan punggung di sebelah bersama sepinggan mi goreng.

“Dah siap pun.” Aku memuncungkan bibir ke arah pinggan kosong di meja sebelah.

“Kenapa kau tak duduk sekelas dengan aku?” Tanya Hanim dengan bibir muncung. “Aku dengar kau duduk kelas hujung, betul ke?”

Aku mengangguk. Wajah Hanim berubah simpati.

“Teruk betul cikgu, kenapa dia letak kau dekat situ? Kaukan pelajar cerdik, sepatutnya kau satu kelas dengan aku. Sastera Anggerik.” Balas Hanim sambil menyuap makanan.

Aku tersenyum kecil. “Elok juga aku duduk kelas tu, kalau satu kelas dengan kau mesti tak sempat aku nak kejar cara kau orang belajar.”

Hanim mengangguk-angguk. “Tapi tak seronoklah, aku ingat dapat satu kelas dengan kau.” Keluh Hanim lagi. “Lina mana?” Tanya Hanim mencari kelibat Lina.

“Dia dah masuk kelas, dia nak cepat nak siapkan kerja sekolah yang tak siap.” Balas aku perlahan.

Terbayang di ruang mata betapa kelam kabutnya Lina meminta bantuan Jannah atau mungkin Rahim yang bijak dalam mata pelajaran Kimia. Mujur aku tak perlu lalui semua itu lagi.

“Jadi, macam mana kelas baru?” Tanya Hanim sambil menghabiskan sisa mi goreng di pinggan.

“Okey.” Balas aku sepatah. Malas mahu bercerita tentang Azri yang menyakitkan hati itu.

“Tak kena kacau ke? Aku kalau lalu depan kelas dia orang memang aku menyampah. Ada saja yang mulut celupar. Kalau ikut hati aku mahu je aku tempeleng budak-budak samseng tu.”

“Adalah, tapi, aku tak akan biarkan aku dibuli. Dia orang ingat aku ni macam budak perempuan lain? Minta maaf.” Balas aku bersemangat. Alah, setakat samseng budak sekolah aku boleh tangani lagi. Aku dah makan garam lebih dari dia orang.

“Lega hati aku dengar kau cakap macam ni. Bila aku dapat tahu kau ditempatkan di kelas tu, risau juga aku. Takut kau menyesal tukar aliran.” Balas Hanim dengan jujurnya.

“Jangan risau. Aku sangat-sangat okey.” Balas aku lagi.

“Hanim, kau kenal Azri?” Aku merendahkan suara. Bimbang pelajar di meja sebelah terdengar.

Hanim mengangguk. “Mestilah. Ketua samseng.” Balas Hanim.

“Ketua samseng?” Aku terus merenung wajah Hanim. Ini buat aku pening ni. Setahu aku Suffian yang kepala samseng tapi Azri tak pernah pula aku tengok sebelum ni.

“Lar… kan selama ni kau menyampah dengan dia dan geng-geng dia.” Wajah Hanim berkerut. “Sayangkan. Rupa ada, tapi perangai macam hantu.”

Aku mengaru kepala. Mana aku ingat semua tu, dah lima belas tahun berlalu. “Rupa pecah rumah adalah!” Aku mencemik geram.

“Yalah, kalau nak bandingkan dengan Asnan memanglah dia kalah. Tapi… bolehlah.” Jawab Hanim acuh tak acuh.

“Rabun ke apa kau ni?” Aku menjeling sebal. Hanim tertawa kecil. Sungguh, muka dia tak kacak pun! Biasa-biasa je.

“Baru minggu lepas dia dan geng dia kena panggil guru disiplin sebab kena tangkap ponteng kelas. Kau tak ingat?” Sambung Hanim lagi. Aku menggeleng.

“Dia pernah satu kelas dengan kita dulu?” Tanya aku lagi.

Sekali lagi dahi Hanim berkerut-kerut. Kemudian mengangguk. “Patutlah Lina suruh kau pergi hospital.” Keluh Hanim.

“Dah lama, okey… mana aku nak ingat semua tu.” Balas aku acuh tak acuh.

“Emm… mungkin juga. Sebab kita sama kelas dengan dia pun masa tingkatan satu. Masa tu pula kau tengah tergilakan pelajar senior. Mana kau nak nampak muka orang lain.” Hanim menjeling sinis.

“Ceh! Sempat lagi nak perli aku!” Aku mencemik. Lucu teringatkan kisah zaman sekolah dulu. Entah macam mana aku boleh tergilakan seorang senior ni yang akhirnya jadi kutu rayau dekat kawasan perumahan kami.

“Dia dengan Suffian tu satu kepala lah. Tapi Suffian tu lagi teruk. Mulut jahat. Suka mengutuk sana-sini. Azri tu pendiam orangnya. Tapi dalam diam-diamnya nakal gila. Selamba badak dia ponteng kelas. Nasib baik dia kuat sukan, sebab tu cikgu tak pernah kenakan hukuman berat dekat dia. Paling teruk pun dia kena kurung dalam perpustakaan sejam sehari lepas habis waktu sekolah.”Jelas Hanim panjang lebar.

Tapi, aku masih tak ingat tentang dia. Semua yang Hanim cerita tadi aku tak pernah tahu atau sebelum ini aku tak pernah nak ambil tahu tentang dia? Yalah, dulu pun aku ni bukannya pandang sangat budak kelas belakang. Asyik-asyik usyar pengawas. Kapten bola sepak. Pemain bola keranjang.

“Banyak juga kau tahu fasal dia, eh?” Aku menjeling curiga.

“Aku ni bukan macam kau, sibuk dengan hal sendiri.” Dia tersengih.

Ya, Hanim memang suka ambil tahu banyak perkara pun. Kalau fasal gosip terkini tanya saja dia, semua dia tahu.


BERSAMBUNG...

1 comment:

MizaEija said...

ok..dah mula2 tertanya ape bakal jadi pasni...