Bab
6
Selesai makan malam kak long kembali menjalankan
rutinnya menjahit tempahan tudung. Mak sudah lama lesap di tingkat atas
menidurkan cucu. Abang ngah seperti biasa melayan kartun di kaca tv.
Sudah setahun kak long menjalankan perniagaan tudung
secara atas talian. Kalau dulu kak long menjalankan perniagaan itu secara
separuh masa, tetapi enam bulan yang lalu setelah melihat perniagaan semakin
maju kak long memutuskan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian
pada perniagaan barunya.
Abang ngah pula pelukis komik di sebuah majalah komik
yang terkenal di Malaysia. Sebelum menjadi pelukis komik sepenuh masa abang
ngah bekerja sebagai pelukis komik sambilan saja. Tetapi setelah otaknya di
sembur racun oleh mak, akhirnya abang ngah memutuskan untuk bekerja tetap.
Dia pun seperti aku juga, tak mahu bekerja makan gaji
dan menjadi kuli orang tapi nak buat macam mana, jiwa dia terlalu lemah. Tidak
yakin dengan kemampuan diri akhirnya, tersadailah dia di pejabat. Keluar rumah
pukul tujuh pagi balik rumah tujuh malam kadang-kadang sepuluh malam. Kesian,
kan?
“Ara.” Terdengar suara ayah menegur. Aku menoleh.
Ayah mengambil tempat di sebelah aku.
“So, how’s your
writing?” Soal ayah.
Ayah aku seorang pengetua di sebuah sekolah di
Melaka. Dulu ayah mengajar di sekolah yang sama dengan emak. Tapi sejak ayah
dinaikkan pangkat ayah ditukarkan ke sekolah lain. Tapi tak adalah jauh sangat
dari sekolah mak, beberapa kilometer saja.
“Macam biasalah ayah.” Keluh aku perlahan. Terbantut
niat mahu membelek surat khabar di depan.
“Ara jangan ambil hati dengan mak. Mulut je cakap
macam tu, tapi sebenarnya dia bangga dengan Ara.” Ayah memujuk. Aku menghela
nafas berat.
“Bangga apa kalau cakap macam tu.” Sengaja aku
panjangkan muncung bibir. Dengan ayah boleh lah aku nak bermanja sikit.
“Kalau Ara nak tahu, tiap kali dia jumpa kawan-kawan
dia mesti dia akan cerita pasal Ara. Mesti dia bagi tahu Ara dah terbit enam
novel. Dalam kereta tu, memang stok buku Ara tak pernah habis. Jumpa sesiapa
pun mesti dia hadiahkan novel-novel Ara tu.” Ayah mengekek.
“Betul ke ayah?” Bulat mata aku memandang ayah.
Tiba-tiba hati aku dihambat rasa sayu. Terharu dengan cerita ayah.
“Apa yang ayah dapat kalau ayah menipu?” Balas ayah
tersenyum, memaut bahu aku.
“Tapi ayah, kalau betul kenapa mak marah sangat
tadi?” Wajah aku berkerut kembali.
Ayah tergelak kecil. “Itu namanya provokasi. Dia nak
uji Ara. Dia nak tekan Ara supaya Ara berusaha keluar dari zon selesa. Dan
lebih bersemangat.”
“Ara tak fahamlah. Kalau mak cakap macam tu bukannya
Ara semakin bersemangat pun, semangat yang tinggal seciput ni pun boleh hilang
tau!”
Tiba-tiba terdengar suara abang ngah menyanyikan lagu
‘Semangat yang hilang’ dari kumpulan XPDC.
“Abang! Kau ni telinga lintah lah! Tengok ajelah tv
tu!” Jerit aku geram.
Serentak dia dan ayah mengekek. “Maksud ayah, Ara dalam comfort zone sebab tak
mahu cari kerja tetap? Selesa dengan kehidupan yang cukup-cukup makan ni?”
“Mungkin… tapi…” belum pun sempat ayah habis
bersuara, terdengar suara abang ngah menyampuk.
“Maksud ayah tu, penulisan kau tu. Cuba kau baca
balik novel-novel kau tu. Cuba kau tenung balik apa yang kurang. Kau kena
selidik balik kenapa novel kau sebelum ni orang tak berapa nak layan.”
“Eh, mana abang ngah tahu tak ada orang nak layan?”
Suara aku melengking. Tiba-tiba fikiran aku teringatkan Indah Water.
“Tengoklah tu, tegur sikit melenting. Macam mana nak
maju?” Abang ngah mencemik.
“Mak cakap macam tu, sebab dia nak Ara paksa diri Ara
cari penyelesaian macam abang ngah cakap tu.” Ujar ayah. Abang ngah mendabik
dada.
“Ara perlu menulis dari hati. Ara tak boleh menulis
kerana terikut-ikut cara penulis lain. You
can’t pick a simple thing kemudian karang dijadikan novel. You must find something else. Something
different then others. Ara perlukan jiwa, perlukan… roh, barulah karya Ara
akan diingati.” Berkobar-kobar ayah bercakap.
“Jiwa… roh? Maksud ayah, menghasilkan novel yang
penuh dengan falsafah? Sastera?” Oh, ayah, tolong jangan angguk! Aku tak mampu
lagi menjadi sasterawan negara.
“Bukan macam tu maksud ayah.” Suara ayah mengendur.
Aku menarik nafas lega.
“Tapi… kalau Ara mampu buat macam tu apa salahnya.
Tapi ayah faham, tidak semua penulis mampu menjadi ahli falsafah. Setiap orang,
anugerah Tuhan berbeza. Tapi tidak bermakna apabila Ara tak dikurniakan
kelebihan itu, Ara berhenti mencari.
Mungkin Ara tak mampu menandingi kehebatan mereka
berfalsafah, tapi Ara boleh berfalsafah mengikut kemampuan Ara.” Ayah merenung
aku.
Aku menelan air liur. Cuba mencerna segala kata-kata
ayah. Beginilah jadinya bila menjadi anak pada dua-duanya guru sastera.
“Kemampuan macam mana?” Aku mengaru kepala. Dulu ayah
suruh ambil sastera aku tak mahu. Degil nak ambil aliran ekonomi kononnya
aliran sastera tak popular.
Di universiti aku ambil Sarjana Muda Komunikasi Massa
(Penerbitan). Ketika di universiti aku dah mula berjinak-jinak menulis dan
novel pertama aku terbit ketika aku di tahun akhir universiti dan selepas itu
aku terus menanam azam mahu menjadi penulis sepenuh masa.
Lagi pun aku seriau tengok kawan-kawan aku yang
bergelar wartawan. Hidup tak menentu. Sibuk sepanjang masa. Kalau aku pun jadi
wartawan tentu aku tak ada masa mahu menulis. Sebab itu aku rela mengambil
kerja menulis rencana dan menterjemah secara sambilan.
“Maksud ayah, setiap novel kau tu perlu ada isi.
Bukan tin kosong. Biar pembaca novel kau dapat sesuatu bila baca novel kau.
Secara tak langsung kau bawa minda pembaca kau tu berfikir. Bukan sekadar
hiburan semata-mata.” Sampuk abang ngah.
“Novel falsafah lah tu!” Aku mencemik.
Anti sungguh bila ada pihak hendak merendah-rendahkan
taraf penulis novel pop seperti aku. Macam kami ni buat kerja jenayah! Macam
novel-novel kami ni semuanya sampah!
Abang ngah mengeleng kepala. “Tak semestinya kau
perlu tulis novel yang sarat dan berat dengan pemikiran sampai orang baca pun
terpinga-pinga tak faham, buat apa kalau macam tu. Kalau kualiti tinggi
melangit sekali pun, tapi kalau hanya sesetengah kelompok saja yang faham, ilmu
tu tak akan sampai juga.
Apa salahnya kau tulis kisah santai tapi biarlah
santai berisi yang boleh diterima oleh beratus ribu pembaca.” Jelas abang ngah
panjang lebar. “Faham?”
Aku menghela nafas perlahan. Tersengih mengaru
kepala. “Faham kot.” Balas aku.
Boleh tahan juga abang ngah kalau dah bercakap.
Berlapis-lapis maksudnya, naik pening kepala aku nak buka setiap lapis
kata-kata dia tu. Abang ngah mesti mewarisi minda falsafah macam ayah dan mak
ni.
“Sebagai contoh, abang ada baca satu novel ni. Kisah
dia simple je, dia adalah pemilik
rumah sewa. Cerita berkisarkan penyewa bilik dalam rumah dia. Tapi, dari masa
ke semasa abang boleh lihat perkembangan watak yang pada mulanya macam tak
patut menjadi watak utama tadi sebenarnya dialah watak utama yang mampu ubah
kehidupan semua orang yang menyewa dalam rumah dia.
Ceritanya straight
to the point. Tak perlu berselirat sana sini. Abang baca pun tak pening.
Tapi, maksud yang ingin disampaikan oleh penulis memang sampai pada abang.
Macam tu lah novel yang berjaya.” Ujar abang bersemangat.
“Oh, jadi maksud ayah dan abang ngah, novel Ara tu
tin kosonglah ya?” Aku menarik wajah masam.
“Inilah yang aku tak suka. Tegur sikit merajuk. Dik,
kalau nak jadi penulis macam Ramlee Awang Murshid ke.. siapa ke.. hati kau tu
kena kuat. Kalau orang komen jangan nak melenting. Terima dengan hati terbuka.
Dengar elok-elok apa yang orang tu komen. Barulah dapat jadi penulis lindungan
Kaabah!” Abang ngah mencemik.
Ceh! Sempat lagi nak perli aku tu!
“Bukan itu maksud ayah, novel-novel Ara sebelum
memang sudah ada isi. Tapi, balik-balik soal suami isteri bergaduh. Isteri
merajuk. Lepas tu muncul watak antagonis yang jahat gila. Bercerai, rujuk
balik. Lepas tu bergaduh balik.
Boleh tak Ara cuba lari dari patern tu. Masih tema cinta, tapi sesuatu yang ada makna. Ada
sesuatu yang Ara ingin sampaikan.”
“Betul! Jangan kau pergi buat cerita air mata dan
dipaksa dan memaksa. Cuba kau lari sikit. Buatlah kisah seorang lelaki yang
gila lukis komik tiba-tiba dia berada dalam komik, lepas tu dia nak keluar dari
komik…”
“Abang!” Marah aku. Kalau dah otak kartun tu cakap
pun macam kartun!
“Ha… ha… relax
ar, gurau je.” Dia tersengih.
“Peninglah ayah.” Aku mengaru kepala.
“Tak perlu fikir sekarang, cuma ingat pesanan ayah.
Cari sesuatu yang ingin Ara sampaikan dan apakah kesimpulannya. Selepas tu,
ikut sahaja perjalanan cerita itu sehingga tiba ke penghujung yang Ara
inginkan.” Ujar ayah.
Tidak berkelip mata aku merenung ayah. Cuba menyimpan
kata-kata itu dalam fikiran aku. Kalau ada pensil, mahunya aku salin ni.
“Jadi kesimpulan dari perbincangan ini, kau ni kena
ada orang tekan sampai kau tertekan baru otak kau akan bertindak mengikut arah
yang berlainan. Kalau selalu di puji, nanti kau naik lemak.
Apabila dah berlemak kau jadi malas, apabila dah
malas kau kena sakit jantung, apabila dah sakit jantung orang tegur sikit kau
melenting…” abang ngah terdiam seketika. “Erkk… maksud abang, apabila dah sakit
jantung tu… terkejut sikit terus masuk hospital.”
“Betul abang ngah cakap tu. Ara kena sentiasa mencari
kelemahan diri. Keluar dari zon selesa. Cari kelainan. Insya-Allah satu hari
nanti anak ayah bakal menjadi penulis yang disegani di Malaysia.”
“Malaysia je ke?” Aku menjeling, sengaja mengusik.
“Okey, dunia.” Balas ayah tersengih.
“Abang, kau ni yang sedap-sedap mengutuk aku, kau
baca novel aku ke?” Aku menjeling pada abang ngah.
Dia tersengih. “Bukan nak baca pun. Terpaksa baca.”
Balas dia acuh tak acuh kemudian dia menjeling ayah. Aku turut memandang ayah,
aku sempat menangkap mata ayah yang sedang menjegil pada abang ngah.
“Hey! Apa ni main-main mata?” Tiba-tiba jantung aku
berdetak luar dari biasa.
“Mana ada?” Balas abang ngah.
“Tadi Ara nampaklah ayah pandang abang semacam. Mesti
ada rahsia ni!” Aku memandang kedua-duanya bersilih ganti.
“Rahsia apa pula.” Balas ayah dengan wajah resah
sambil membelek surat khabar di atas meja.
Aku kenal sangat dengan wajah ayah. Kalau dia menipu
memang macam itulah caranya, tak berani pandang muka!
Entah-entah, Indah Water tu… “Abang! Kau Indah Water
eh?” Jerit aku geram. “Mengaku, mesti kau dengan ayah pakat nak kenakan aku,
kan?”Jerit aku lagi. Kalau memang Indah Water itu kerja mereka berdua memang
siap!
“Indah Water apa pula ni?” Dahi abang ngah berkerut.
“Jangan nak buat muka blurr… abang Indah Water, kan?”
Aku mencerlung. Jari aku menunding tepat pada wajah dia.
“Eh, sejak bila pula abang jadi Indah Water ni.
Abang, abanglah. Kenapa Indah Water pulak!” Balas abang ngah menjeling.
“Tengok! Abang kenal Indah Water, kan? Abang tahu
siapa dia, kan? Entah-entah…” aku menjeling pula pada ayah. “Ayah Indah Water?”
Errkk… tak mungkin ayah. Takkan ayah sekejam itu hendak mengutuk anak dia
sendiri? Ini mesti kerja abang!
“Siapa Indah Water?” Ayah mengangkat wajah memandang
aku.
Soalan ayah aku biarkan tergantung. Malas nak jawab.
Nanti dia orang sibuk nak tahu apa Indah Water tu komen. Nanti silap hari bulan
dia orang boleh gelak-gelakkan aku.
“Larr.. siapa tak kenal Indah Water, dah berapa kali
dia orang datang rumah sedut loji yang penuh tu.” Balas abang ngah.
Aku cuba mencari-cari garis menipu di wajah abang
ngah, tapi… kenapa tak ada? Emmm… apa nak hairan, keluarga aku ni memang suka
berdrama. Jadi tak hairan lah kalau abang ngah pandai berlakon!
“Jangan nak berlakon! Baik mengaku sekarang. Kalau
lain kali Ara tahu Indah Water tu kerja abang dan ayah, siap Ara kerjakan!”
Jerit aku lagi, geram pula tengok wajah ayah dan abang yang terpinga-pinga.
Serentak itu abang ngah gelak terkekeh. “Kau ni kena
sampuk dengan hantu Indah Water ke dik? Kau ada pergi kat logi dia siang tadi
eh?” Dia tersenyum sinis.
“Abang jangan nak berdalih. Mengaku cepat!”
“Nak mengaku apanya, dah abang tak kerja dengan Indah
Water.” Dia mencerlung.
“Tapi abang kenal dia kan?” Aku mula syak mungkin
kerja kak long.
Abang mendengus kasar. “Memanglah abang kenal. Di
sana-sini abang nampak papan tanda Indah Water. Itu tak termasuk lagi bil IWK
setahun sekali yang sampai kat rumah tu.” Abang mencemik, menggeleng kepala
beberapa kali.
Aku memandang ayah. Wajah ayah tidak menampakkan
wajah seperti berbohong.
“Atau kau pakat dengan kak long?” Aku terus merenung
abang ngah mengharapkan dia mengaku.
“Aku tak faham lah dik. Apa kena mengena indah water
dengan kami ni?” Abang ngah memandang aku.
Mata aku terus mengecil memandang abang ngah. “Betul
bukan abang?”
“Malas abang nak layan kau!” Dia bingkas bangun,
tutup siaran tv.
“Nak kemana tu?” Marah aku. Tak habis siasat lagi dia
dah cabut!
“Tidurlah. Esok kerja, bukan macam kau tu.” Dia
mencemik.
“Kenapa Ara tanya pasal IWK ni?” Soal ayah terpinga.
Aku mendengus kasar. Bukan IWK lah ayah. Tapi Indah
Water yang menyusahkan hidup anak ayah ni!
***
Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam, mata aku
masih segar bugar semuanya gara-gara memikirkan kata-kata ayah dan abang ngah
tadi. Ada betul juga cakap dia orang. Bukan aku tak mahu menulis karya yang
berisi, tapi semua itu memerlukan masa. Lebih-lebih lagi untuk orang seperti
aku yang kurang nilai falsafah dalam kehidupan.
Betul kata ayah, tak semua orang dianugerahkan
kelebihan itu. Tapi tak bermakna aku tak boleh menulis sesuatu yang berisi.
Tapi, apa isi yang aku hendak masukan dalam karya? Aku cuma tahu apa yang
tersirat dan tersurat. Jika yang berlapis-lapis tu… susah sikit otak aku nak
kupas.
Tapi, bila aku fikir balik. Selagi karya aku ada
nilai positif itu bermakna karya aku bukan karya tin kosong. Aku akan perbaiki
kelemahan yang ayah katakan tu, tapi tak bermakna aku akan berubah menjadi
orang lain. Falsafah aku hanya satu lapis, maka satu lapis itu saja yang aku
tahu buat. Jadi tak salah, kan?
Kepala aku semakin sarat. Jadi untuk hilangkan sarat
tu tangan aku laju saja membuka ruangan sosial, mahu lihat status terkini
rakan-rakan. Selepas membuka akaun personel aku buka pula akaun Indah Lara. Tak
ada Private Massage. Cuma ada satu request friend dan 30 notification.
Aku ni memang jenis malas nak semak semua notification yang kebanyakkan tidak
penting. Melainkan jika aku ada letak status terkini baru aku akan belek satu
persatu notification, nak lihat siapa
yang membuat komen di bawah status aku itu.
Aku membelek pula beberapa ruang group yang aku sertai. Mana-mana kumpulan yang ada perkataan NOVEL
dan REVIEW atau sewaktu dengannya memang aku tak pernah sertai. Cuma Lara
Alisya saja yang akan sertai kumpulan tu. Tapi itu pun sebagai pemerhati. Kalau
Indah Lara jangan harap!
Bukan apa, kalau dia orang nak meludah pun, biar
meludah di belakang aku jangan di depan aku, nanti aku boleh mati bila terkena air
ludah dia orang! (Kalau nak meludah ke
langit pun lagi bagus, sebab nanti terkena muka dia orang sendiri :p )
Tak ada status menarik, maka tangan aku mula gatal
menekan pada kotak status lalu menaip kemudian tekan post.
Indah Lara
3 minutes ago
Saya nak tanya kau orang, agak-agak air kumbahan Indah Water wangi
ke busuk?
Heee… padan muka! Dia tak boleh nak serang aku. Aku
bebas buat status apa saja! Konon nak jadi kawan jujur, dia ingat aku percaya
sangat dengan dia yang ada masalah mental tu? Jangan harap. Kalau dia
betul-betul jujur cara kritikan tu biarlah berseni, tak adalah aku nak hangin satu badan!
Tak sampai beberapa minit dah ada orang komen? Dia
orang 24 jam online facebook ke?
Bunga Raya - Kak, mestilah busuk!
Indah Lara – Buruk teramat, okey!
Anisah Klang - Kenapa malam-malam tanya pasal air kumbahan ni?
Indah Lara – Sakit hati dengan Indah Water.
Ikan Masin Tawar - Indah, kalau letak serai wangi, baru wangi kot?
:P
Unix - Busuk!!!
Ati – Kenapa sakit hati Kak Indah. Dia orang tak datang sedut ke?
Lili - Choi! Tengah makan mee segera ni!
Jajan Masuk Angin - Lili, nak sikit :P, tiba-tiba aku pulak lapar
#lari ke dapur geledah kabinet harap-harap ada mee segera.. huhu .
Lili – Jajan, jangan lupa letak telur! :P
Jajan Masuk Angin – Mujur ada sebungkus lagi. Hee…
Indah Lara – Haish, kau orang ni buat akak lapar je lah!
BERSAMBUNGGG...
1 comment:
Setuju ngan kata2 ayah dan abang ngah laraaa....
Post a Comment