Intan payung kami...

Sunday 6 January 2013

Mencari Mr. Charming : Bab 5


From : Indah Water
To : Indah Lara
Sent : Friday, September 7,  10:05PM
Subject : Add aku!
___________________________________________________________
Indah Lara,

Weh… kau tak accept friend request aku? Kenapa kau takut ke? Kau ingat aku ni tak ada otak nak kacau wall kau dengan komen-komen aku yang jujur tu? Kalau ya pun, aku akan massege kau. Aku bukan macam sesetengah orang yang suka melalak sana-sini sampai sanggup menjatuhkan aib orang terang-terangan.

Come on lah! Don’t be scared, aku nak kawan dengan kau je. Kau tak mahu ada kawan jujur macam aku ke?

p/s : Aku penat nak log in email!

Yang Jujur,
Indah Water

Amboi, kawan jujur konon! Kalau ya pun jujur takkan kritik aku sampai aku tak boleh bernafas! Kalau macam tu cara kau kritik, mahunya semangat aku akan mati masa tu juga!

Lara! Jangan balas! Tahan tangan kau tu! Kalau aku balas, nanti makin galak dia kacau aku dengan email yang menyakitkan.

Aku menarik nafas dalam. Cuba menahan pedih hati. Tanpa tunggu lama aku terus tekan ‘keluar’. Aku segera ke bilik air, mandi dan solat maghrib. Malam nanti Ayun akan hantar aku ke rumah kak long.

Emak dan ayah dah ada dekat rumah kak long. Entah apa mimpi emak tiba-tiba datang Kuala Lumpur. Sebelum ni punyalah payah nak ajak dia datang sini. Selesai solat aku memulakan sesi membungkus barang-barang keperluan untuk ke rumah kak long dan untuk pindah ke rumah majikan aku. Sambil berkemas kepala aku ligat memikirkan nasib aku menjadi babysitter budak remaja.

Betulkah tindakan aku ni? Patutkah aku terima kerja ni? Tapi tawaran yang diberi memang gempak. Tambahan pula, tinggal di kawasan idaman aku, my dream come true! (walaupun tiga bulan… huhu)

Tapi… budak Tania tu macam mana? Haish, bila aku kenangkan perangai budak-budak remaja dekat kawasan rumah ni, naik gerun dibuatnya. Sudahlah pakaian tak ingat nak mati (cewah, macam aku ni tutup aurat sangat). Maksud aku, dalam tak sopan aku pun tak adalah aku nak pakai jeans sampai nampak seluar dalam!

Dalam tak sopan aku, tak adalah aku nak pakai t-shirt sampai nampak lurah dendam. Dalam tak sopan aku pun, tak adalah aku nak berpeleseran sana-sini, terbahak-bahak macam orang jantan!

Haish, budak-budak sekarang menakutkan sungguh! Mujur juga aku tak dilahirkan di zaman milineum ni. Kalau tidak aku pun jadi macam dia orang.

“Weh, berkemas ke berangan?” Suara Ayun mengejutkan aku.

Dia melangkah masuk menghampiri aku yang sedang tercegak merenung almari. Sebenarnya, tadi aku tengah fikir berapa banyak baju patut aku bawa. Boleh pula pergi fikir benda lain. Haish, Lara… Lara.

“Beb, firasat kau rasa macam mana, patut ke aku terima kerja ni?” Aku menapak ke katil. Tiba-tiba tak ada perasaan mahu berkemas.

“Firasat hati, fikiran dan segala-galannya mengatakan kau patut terima.” Yakin dan padu Ayun melontar buah fikirannya. Ni mesti kes nak suruh aku cepat-cepat blah ni?

“Dan, semuanya tak ada kena mengena dengan alasan aku nak halau ke apa ke…” Tambah Ayun.

Ceh, macam boleh baca fikiran aku pulak. Aku masih termenung, hati aku masih berbolak-balik.

“Beb, kat mana lagi kau nak dapat tawaran macam ni? Ini kiranya rezeki tersepak tau. Bukan kerap kita nak dapat rezeki tersepak. Aku ni, tak pernah-pernah dapat rezeki tersepak macam kau ni. Kau nak fikir apa lagi. Semua free, makan pun free! Dapat tinggal dalam rumah idaman kau lagi tu.” Panjang pula bebel Ayun ni. Beria-ia sungguh nak suruh aku pergi ni.

“Bagi tahu aku, kenapa kau berat hati nak pergi?” Tanya Ayun setelah agak lama aku berdiam diri.

Aku berdesit perlahan. “Aku risaukan budak Tania tu. Silap-silap nanti dia buat aku ni macam hamba abdi. Kau tahulah budak-budak sekarang, bukannya reti nak hormat orang. Fomula yang ada pada Tania memang lengkap.”

“Fomula apa pula ni? Bukan ke manusia ni dari asas yang sama. Apa bezanya dia dengan kau?”

“Dengar ya… umur lima belas tahun, maksudnya… remaja + anak orang kaya + anak tunggal + bapak tak ada depan mata = Sombong + degil + berlagak = akan menyusahkan aku!” Aku mendengus perlahan. Aku yakin sangat fomula aku ni betul. Berani kerat kuku!

Ayun tergelak. “Beb, kau ni kenapa paranoid sangat dengan budak-budak ni?” Dia tersenyum sinis. Aku mencemik.“Kalau kahwin nanti kau nak campak kat mana anak-anak kau tu? Campak atas bumbung?” Dia menjeling.

“Kau ni, kalau nak buat contoh tu agak-agak lah sikit. Kucing pun pandai sayang anak tau.” Aku menjeling sebal. Mengelus nafas kecil.

“Dah tu, nak risau apa lagi?” Tanya Ayun, suaranya mendatar.

“Aku bukan paranoid, tapi memang dia orang macam tu. Golongan yang sukar dikawal. Aku tak suka. Mana aku pandai semua tu. Kalau budak setahun dua lagi senang nak jaga kot. Menangis sumbat susu, menangis lagi tukar lampin. Menangis lagi basuh berak. Menangis lagi sumbat makanan. Tapi kalau remaja ni… silap-silap aku pula yang menangis tau!” Huh, puas hati aku.

Ayun ni kenapa susah sangat nak faham ni? Selama ini dia juga asyik bersungut fasal adik-adik dia yang semakin degil dan liar. Sampai aku yang teringin ada adik tiba-tiba boleh jadi fobia dengar cerita dia. Dan sekali lagi Ayun ketawa terbahak-bahak. Kurang asam sungguh. Bukannya nak tenangkan hati aku yang rawan ni.

“Beb, kau ni bercakap macam kau tak pernah remaja.”

“Alah, zaman kita remaja tak sama dengan zaman dia orang.” Balasku acuh tak acuh.

“Dia orang ni senang je. Kau ikut je apa yang dia orang nak. Lama-lama dia orang baiklah dengan kau.” Tambah Ayun, kali ini wajah dia kelihatan serius.

“Mana kau tahu? Habis tu kenapa kau asyik merungut fasal adik kau je. Teori kau ni boleh pakai tak?” Aku menjeling curiga.

“Boleh. Menjadi. Tapi adik aku jadi macam tu sebab nak protes dengan mak dan ayah aku. Takkan kau tak tahu mak dan ayah aku tu macam mana. Tegas tak bertepat. Membrontak lah budak tu. Nak-nak pergi tegur adik aku macam dia tegur budak sekolah rendah, malu lah dia, depan kawan-kawan dia lagi tu.” Penjelasan Ayun sedikit melegakan hati aku.

“Lagi pun…” dia tersengih-sengih. Aku memandang curiga. “Macam mana nak pikat ayah kalau kau tak sanggup nak pikat anak?” Ayun menaik-naikkan keningnya. Senyumannya tak ubah seperti senyuman kucing gatal.

“Hey, bila pula aku cakap nak pikat ayah ni? Kau ni, agak-agak lah. Laki orang tu.” Aku menjeling sebal. Ke situ pulak dia fikir.

“Mana kau tahu dia ada isteri ke tak?” Soal Ayun dengan wajah seperti mencabar agar aku berdebat dengannya.

Tapi dia silap, walau pun aku bukan pemidato sekolah tapi bab berdebat dengan Ayun memang aku tak pernah kalah. Erkk.. pernahlah sekali dua aku kalah. Tapi rekod aku masih cemerlang.

“Beb, kalau dia tak ada isteri, mana datangnya budak Tania tu? Dia yang mengandung?” Aku tersenyum mengejek. Hah, jawablah!

“Hesy kau ni, kalau tak sarkastik dengan aku tak boleh ke?” Ayun menarik wajah masam. “Itu aku tahulah. Tapi maksud aku mungkin dia bercerai ke… atau isteri dia meningggal masa melahirkan Tania?” Sekali lagi dia menaik-naikkan keningnya. “Kau sendiri cakap yang dia tak ada sebut fasal isteri dia, kan?”

“Eh, kejap. Ni sampai nak berkait fasal isteri ni kenapa? Aku tak teringin nak pikat dialah.” Segera aku mematahkan spekulasi yang cuba dibuat oleh Ayun. Kalau dibiarkan boleh meleret-leret!

“Eleh, cara kau bercerita fasal Mr. Sam tu bukan main bersemangat. Kacak lah, badan tegap lah. Wangi lah, macam dah berkenan sangat.” Ayun menjeling sinis.

“Aku bercerita je, aku tak kata pun aku suka dia.”

“Dah lah. Jangan nak berdalih. Aku tahu kau suka dia, kan? Sampai nak puji perfume dia bagai. Berkenan lah tu.” Ayun menjeling, tersenyum mengejek.

“Aku hanya memuji. Bukannya berkenan. Lagi pun… kalau dia tak ada isteri sekali pun, takkan dia berkenan dengan orang macam aku ni. Muka tak siap.” Aku menjeling pada Ayun. Dia tersengih.

“So, kau nak bawa apa lagi ni.  Boleh aku tolong kemas juga.” Dia berdalih. Kan aku dah kata, kalau ajak berdebat dengan Ayun memang aku menang!

“Entah.” Aku mengeluh perlahan. Memerhati deretan pakaian yang tergantung dalam almari. “Katanya dah sampai nanti dia telefon aku.”

“Kau bawa pakaian dan barang-barang kerja kau dulu. Semua perabut tinggal je sini dulu. Nanti bila kau dah menyewa tempat lain baru angkut semua barang ni.” Cadang Ayun.

“Tak apa ke tinggal barang kat sini? Kau tak menyampah ke?” Tanya aku mengusik. Melayang sebiji bantal terkena badan aku.

***

Sebaik saja melangkah masuk rumah kak long terlihat emak sedang bermain dengan anak saudara aku. Ayah seperti biasa sedang asyik melayan buku puisi karangan Profesor Lim Swee Tin. Ayah memang suka membaca. Letaklah dekat mana pun, memang dia akan membaca dengan penuh tekun. Termasuk tandas! Tapi ayah tak bawa masuk buku, dia bawa masuk surat khabar je. Atau majalah. Erkk… novel pun pernah.

“Bila mak sampai? Kenapa mak datang KL, ada kursus ke?” Aku bersalaman dengan emak.

“Nak harap anak-anak balik ziarah emak dan ayah memang jangan haraplah. Bila mak ayah datang, tanya pulak kenapa?” Mak menjeling.
Kak long tersengih menaikkan ibu jarinya pada aku. Aku bersalam pula dengan ayah.

“Abang pun ada?” Sebelum mak membebel panjang pada aku baik cepat-cepat aku ubah topik. Aku segera menghulur tangan pada abang ngah yang sedang mengadap tv melayan Naruto.

“Mana abang Jem?” Soal aku pada kak long. Abang ipar aku nama dia Jamal. Tapi masa dia kenalkan diri masa nak mengorat akak dulu dia suruh panggil abang Jem. Sudahnya sampai sekarang nama tu melekat.

“Pergi kursus. Lusa baru balik.” Balas kak long sambil mengelek Fahmi anak  bongsu dia yang berumur dua tahun.

“Kamu buat apa petang tadi? Suruh datang petang malam baru nampak muka.” Mak menjeling.

“Ara ada temu duga mak.” Balas aku tersenyum.

“Wah, dik, kau bermimpi ke?” Abang ngah menyampuk.

“Kerja apa Ara?” Wajah kak long teruja.

“Elok lah kamu cari kerja, nak mengharapkan novel-novel kamu tu berapa sen sangat dapatnya.” Balas mak acuh tak acuh.
Mak dan nak mula dah. Kalau aku melayan mahu panjang berjela syarahan mak. Jadi lebih baik aku diamkan saja.

“Cakaplah kerja apa?” Gesa kak long lagi.

Alahai, menyesal pula bagi tahu tadi. Kalau mak tahu kerja aku naya. Kak long mula tolak-tolak bahu aku minta aku jawab soalan dia tadi. Mak pun dah pandang aku, juga sedang tunggu aku jawab.

Tapi aku nak jawab apa ni? Kalau bohong berdosa pula. Sudahlah hari ni saja berapa dosa aku dah buat. Takkan dengan mak dan kakak sendiri pun nak buat dosa juga? Haish! Susah betul kalau mulut susah nak kawal macam aku ni.

Aku berdeham perlahan. Mengambil gelas dalam talam. “Baby-sitter.” Balas aku dengan suara tersekat di kerongkong. Harap-harap mereka tersalah dengar, editor ke… experditor ke… atau tutor… (yang ada ‘ter’ atau ‘tor’)

“Akak tersalah dengarlah, apa kau cakap tadi?” Tanya kak long. Aku lihat wajah emak seperti sedang memasang telinga.

“Akak dengar apa?” Soal aku sekadar menguji. Kalau dia tersalah dengar editor aku akan angguk je nanti. Heee…

Baby-sitter?” Balas kak long dengan wajah berkerut. Memandang wajah aku menanti aku bersuara.

Aduhai, tajam sungguh telinga akak aku ni. Terpaksalah aku tersengih. Bulat mata mak memandang aku.

“Kamu jangan nak mengarut Ara!” Mak bercekak pinggang.

Chup! Kejap aku nak cerita fasal mak aku ni. Mak aku ni boleh tahan suka berdrama tau. Kalau tengok dari air muka dia sekarang ni macam sekejap lagi akan tercetuslah drama melayu.

“Bukan lama pun, tiga bulan. Gaji pun lumayan.” Balas aku perlahan, mengetap bibir. Berkelip-kelip memandang kak long minta dia tolong selamatkan aku.

“Dari mengasuh anak orang baik kau mengasuh anak akak ni.” Sampuk kak long.

Haish… kak long ni tak boleh harap langsung! Bukannya nak selamatkan aku! Okey, secara logiknya memanglah sah-sah dia tak akan tolong aku. Tapi kalau dia orang tahu alasan aku mesti dia orang setuju agaknya.

“Betul cakap kakak kamu tu. Kalau dah terdesak sangat nak duit jaga je anak saudara kamu ni. Nanti kak long bayar. Makan percuma, rumah percuma.” Sampuk mak, nada suaranya sedikit meninggi.

“Alah, kerja ni lain. Bukan jaga budak kecil. Jaga budak remaja. Keluarga dia ke luar Negara. Jadi saya kena teman anak dia dekat rumah.” Balas aku dengan harapan mereka faham. Tapi… sebaliknya terjadi…

“Ala Kassim! Apa nak jadi ni Kassim!” Jerit mak ala-ala filem P.Ramlee.

Sudah. Aku menepuk dahi, menjeling pada kak long yang sudah pun tersengih-sengih. Mak dah buat drama dah!

“Ohh… Kassim! Kau tengok adik kau ni! Penat-penat mak suruh belajar tinggi-tinggi sanggup dia buat kerja jaga anak orang!” Bebel mak dengan gaya ala-ala mertua Kassim Selamat dalam filem ‘Ibu Mertuaku’.

Abang ngah dah mengekek. “Nak buat macam mana mak, sudah suratan mak dapat anak macam dia.” Balas abang ngah, mengada-ngada meniru gaya suara P.Ramlee.

Aku mencemik. Mak memang peminat nombor satu filem P.Ramlee dan dialog ibu mertuaku itu memang menjadi kegemaran dia. Dialog tu memang sering digunakan jika dia nak marah pada aku atau pun pada abang aku yang sememangnya nama dia Kassim! (Kesian abang ngah dilahirkan ketika mak sedang gila menonton filem ibu mertuaku. Tak fasal-fasal nama pun Kassim, mujur ayah selamatkan abang. Kalau ikutkan mak dia nak letak nama abang ngah ‘Kassim Selamat’ tapi ayah bantah, maka jadilah Kassim Ammar)

“Alah mak, kejap je. Tiga bulan.” Balas aku cuba memujuk.

“Sampai bila kamu nak hidup tak tentu arah macam ni Ara? Mak risau tengok kamu macam ni. Sudahlah teman lelaki tak ada.”

Tiba-tiba dahi aku berkerut. Aik, mak ni. Tiba-tiba nak ubah topik?

“Kalau ya pun nak jadi penulis tak salah kalau ada kerja tetap. Kalau kamu tu Ramlee Awang Murshid ke… Aisya Sofea ke… tak mengapa lah tak mahu kerja pun. Tapi… kalau tahap bila mak tanya anak murid mak pernah dengar tak tajuk novel kamu, semuanya terpinga, baik tak payah jadi penulis sepenuh masa. Tunggu kamu popular baru jadi penulis sepenuh masa.”

“Mak ni, bukannya nak bagi semangat. Nak jatuhkan semangat adalah.” Aku menarik wajah masam.

“Macam mana nak bagi semangat. Nasihat mak tak nak dengar.” Bebel mak.  Terkena lagi.

“Tunggulah, Ramlee Awang Murshid pun bertahun-tahun berusaha baru jadi macam dia sekarang. Tu… penulis Harry Potter tu, manuskrip dia siap kena buang dalam tong sampah tu. Tapi tengoklah macam mana akhirnya, dah jadi jutawan! Mak, nak cari permata ni bukan nak cari batu kat tepi jalan. Berlambak-lambak. Boleh ambik dan campak bila-bila masa. Permata ni ada jauh kat dalam sana, kena gali dalam-dalam. Bila dah jumpa bukannya terus boleh jual, kena polish sampai betul-betul jadi permata yang berkilat, lepas tu baru berebut orang nak beli. Siap orang nak rompak lagi!” Panjang lebar aku membela diri.

“Habis, bila permata mak ni nak bersinar?” Mak menjeling. “Ini abang punya fasal lah. Bila dia tak ada duit abang bank-in, dia tak minta pun abang bank-in. Sudahnya terus jadi pemalas nak cari duit sendiri.” Mak menarik wajah masam.

“Tak baik mak cakap macam tu. Bila pula Ara malas cari duit ni. Dari zaman belajar lagi Ara dah cari duit tau. Mak jangan lupa, duit konvo Ara guna duit royalti buku tau.” Balas aku bangga.

Dari jauh aku melihat ayah sudah tersenyum-senyum, menaikkan keningnya pada aku. Aku tahu, dalam ramai-ramai orang yang kenal aku. Hanya ayah seorang yang faham apa yang aku cari dalam kehidupan aku ini.

Tapi, mak pun tak salah. Betul cakap mak tu. Susah-susah dia sekolahkan aku, alih-alih tak nak kerja tetap, pulak tu pilih jadi pengasuh. Kalau macam tu baik tak payah sekolah tinggi. Nak bayar duit pinjaman PTPTN pun tak lepas. Tapi aku ada rancangan aku sendiri. Mungkin tiga empat tahun jadi penulis tak ramai orang kenal karya aku, tapi tak bermakna selamanya orang tak akan kenal karya aku, kan?

“Semalam mak long kau orang ada hantar kad jemputan. Sebab tu mak datang ni. Nadira dah nak kahwin. Sudahlah Nadira tu doktor, suami dia pun doktor! Untung mak long kau orang. Sejuk perut ibu mengandung.” Tiba-tiba mak buat suara sayu.

Ini yang buat aku tak tahan nak dengar ni. Sempat aku menjeling pada kak long. Dia menaikkan keningnya. Abang ngah apa lagi, mengekek lah!

“Biar apa pun alasan kamu, lepas habis tiga bulan ni mak nak kamu cari kerja lain! Faham?”

Bila mak sudah menjengilkan mata, apa lagi yang mampu aku buat selain mengangguk.


 Bersambung...



4 comments:

Meyra John said...

Hai. ;) #SelaluLalu

Anonymous said...

Hello. And Bye.

Anonymous said...

Hello. And Bye.

Meyra John said...

Hai. :) Salam perkenalan. Mari join sini. ^^

http://meyrajohn.blogspot.com/p/jointhiscontest.html

Untuk tingkatkan pageview, followers and traffic korang meningkat hingga tahap AWESOME!!

http://meyrajohn.blogspot.com/2013/03/segment-lick-exchange-affie-by.html

Thanks dear!!