Red Scarf Novel mempersembahkan sebuah lagi e-novel baru, dari Firas Firzana, Aku & Mr Cupcake
“Najya, bangun,” Puan Yulis
mengetuk pintu bilik anak gadisnya.
Najya menarik selimut
melepasi kepala bila mendengar bunyi ketukan pintu biliknya. Dia sudah bangun
tadi untuk solat subuh. Tapi lepas itu dia mahu sambung tidur sebab semalam
tidur lewat. Itulah, siapa suruh buka facebook?. Pintu bilik diketuk
lagi bertalu-talu macam hendak roboh saja. Oh, malam tadi dia sibuk berbual
dengan Prince CC. Hmm nama kawan barunya itu semacam je.
“Najya,” suara Puan Yulis sudah
naik satu oktaf.
Pantas Najya melontar
selimut ke kaki, capai tuala dan masuk ke dalam bilik air. Tidak sampai sepuluh minit dia
sudah berada di depan cermin.
“Naj, cepat!. Elin sudah tunggu
lama,” panggil Puan Yulis dari anak tangga bawah.
Najya berlari menuruni tangga. Puan Yulis
sudah siap sedia membuka pintu sambil menghulurkan helmet. Najya capai helmet
dari tangan mamanya.
“Mama tau kamu tidak sempat
sarapan. Ini duit belanja. Tapi jangan asyik beli cupcake saja. Nanti kena
diabetes,” pesannya sambil menghulurkan not merah kepada Najya.
“Ma, bukan saya beli, tapi ada
orang kasi,” kata Najya pula.
“Ya, entah siapa yang suka
menghabiskan duit beli cupcake untuk awak,” kata Puan Yulis tidak faham.
Tersenyum lebar Najya menerima
not merah. Mamanya macam tahu saja dia memang merancang hendak beli cupcake. Semalam
dia ada ternampak satu kedai cupcake yang baru. Dia sudah merancang sejak
semalam untuk singgah. Terus dia bersalam dan mencium tangan mamanya. Dia
memandang keluar melihat Elin sudah menghidupkan enjin skuter.
“Saya pergi dulu,” kata Najya.
Puan Yulis angguk,”Bawa
motor baik-baik. Ingat jalan raya bukan tempat berlumba.” Sempat lagi dia
berpesan ala-ala iklan jalanraya kepada anaknya.
“Lambat lagi hari ini. Tentu
si Adam Ghazi ambil kesempatan tulis nama…,” Elin sudah memulakan ceramahnya.
Najya angkat tangan dan
terus tunggang skuter cupcakenya dengan laju. Terpinga-pinga Elin ditinggalkan.
Najya memecut skuter cupcakenya dengan laju dan berharap dia sampai tepat pada
waktunya.
Pintu pagar besar sudah pun
dikunci semasa mereka sampai. Nayja dapat menangkap pandangan tajam ketua pelajar.
Di tangannya sudah sedia pen dan buku saman.
“Ya, saya tahu ini kesalahan
ketiga dalam minggu ini. Nama saya akan dicatit dan markah akan dipotong,” kata
Najya sebelum Adam Ghazi membuka mulut.
Adam Ghazi memandang Najya dan
Elin bergilir-gilir. Geram rasanya dengan Najya. Suka hati datang lewat. Sebab
mereka, dia lewat masuk ke kelas. Kerana malas hendak melayan kerenah Najya, Adam
Ghazi melepaskan mereka berdua. Apa lagi macam lipas kudung Najya dan Elin
berlari masuk ke kelas. Nasib baik Ms Mila belum masuk lagi semasa mereka
melangkah ke kelas.
***
“Wah, ramainya orang hari ni!” Kata Elin sebaik sahaja membuka pintu café. Mata Elin
terbuka luas mulutnya melopong, seakan tidak percaya dengan apa yang dia sedang
lihat.
“Panjangnya orang beratur, selalunya tak macam ni.” Balas
Najya kehairanan.
Elin terus meninjau-ninjau ingin melihat apa yang sedang
berlaku. Dahinya berkerut-kerut bila melihat terdapat dua kaunter dan dia
semakin pelik bila kaunter makanan kosong! Sebaliknya ramai yang beratur di
kaunter tambahan, mereka jual apa di situ?
“Eh, tengok tu.” Elin menunding jarinya ke arah satu
sepanduk yang terletak tidak jauh dari pintu masuk tadi.
“Cupcake percuma?” Najya membaca sepanduk tersebut.,
perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum. “Ini berita baik!” jerit Najya teruja.
Dia dan cupcake memang tak dapat dipisahkan. Percuma pula tu, siapa tak mahu!
“Tapi, siapa yang baik hati nak bagi cupcake percuma ni?” Dahi Najya kembali berkerut.
Elin menjenguk, kemudian memandang Najya dengan senyuman
terukir di bibirnya. “Weh, Iyyad lah!” Jerit Elin teruja
Serentak itu mata Najya membulat, seakan tidak percaya
dengan apa yang dia dengar. Untuk menyakinkan hatinya sendiri dia juga menjenguk
ke arah kaunter tersebut. Sebaik sahaja melihat wajah pujaan hatinya dia segera
memaut lengan Elin. “Yalah! Memang dia!” jeritnya gembira. Hatinya berdegup
kencang. Tiba-tiba sahaja lututnya terasa lemah longlai. Aduh! Comelnya dia!
“Tunggu apa lagi! Pergilah beratur!” Elin tersengih,
menolak bahu Najya agar kawannya itu segera bertindak.
Najya menelan air liur mengigit manja bibir bawahnya,
tiba-tiba sahaja dia berasa malu. Dia memandang Elin di sebelah. “Tapi…” belum
pun sempat Najya menghabiskan kata-katanya, Elin segera mencelah.
“Ala,
malu-malu arnab lah pula! Pergi
jelah! Ini peluang keemasan tau.” Elin terus mendesak.
“Okey, aku pergi sekarang. Kau pergilah beli makanan
dulu.” Balas Najya mula mendapat semangat yang luar biasa. Dia segera melangkah
pergi meninggalkan Elin yang sedang tersenyum kecil sambil menggeleng-geleng
kepalanya lucu melihat gelagat Najya.
Najya lekas-lekas masuk ke dalam barisan. Sesekali dia
menjenguk ke depan memerhati barisan yang masih panjang, dia mengeluh perlahan.
Terasa seperti berbatu panjangnya barisan itu, namun demi cupcake dan Iyyad
berjuta batu pun dia sanggup beratur.
“Banyak lagi ke cupcake tu?” Dia terdengar pelajar di
depannya menegur salah seorang pelajar yang baru saja mendapat cupcake.
Pelajar itu berhenti seketika, “Jangan risau banyak lagi.
Iyyad bawa memang cukup untuk semua orang.” Balas pelajar itu kemudian segera
berlalu menghampiri kawan-kawannya yang sudah pun mendapat bahagian
masing-masing.
Sebaik saja mendengar berita itu, Najya tersenyum
meleret. Baiknya Iyyad. Puji Najya dalam hatinya. Hatinya berbunga mekar.
Serentak itu terasa aura gembira mengelilinginya. Terasa seperti terapung-apung
di udara, dia terus berangan berada di sisi Iyyad membantu lelaki itu
mengagih-agihkan kek cawan tersebut kepada setiap pelajar. Mereka saling
bertukar pandangan, jeling menjeling dan bertukar senyuman. Dia mengenyit
matanya kepada Iyyad kemudian Iyyad memberi flying kiss kepadanya. Najya
berlakon pura-pura menangkap senyuman itu lalu di simpan ke dalam hatinya.
“Cik,” panggil Iyyad mahu bertanya perisa yang diingini.
Namun gadis itu terus tersenyum-senyum memandang ke atas. Iyyad turut sama
mendongak mahu melihat apa yang sedang diperhatikan oleh gadis itu, tetapi
tiada apa-apa pun di atas. Hanya siling café.
Najya tersentak. Lantas kembali ke alam nyata. Berkelip-kelip
matanya merenung ke arah Iyyad. Kemudian dia tertunduk tersenyum malu.
“Nak perasa apa?” soal Iyyad, berkerut dahi pelik melihat
gadis itu tersengih-sengih di depannya.
“Err… apa-apa pun boleh,” balas Najya cuba mengawal
suaranya agar lebih lembut dari biasa.
Najya mula mencari idea bagaimana mahu memulakan
perbualan dengan Iyyad. Dia kena rebut peluang ini, jika tidak sampai bila-bila
pun dia akan menyesal! Bukannya senang nak bertemu muka dengan Mr. Fairytale nya.
Nama saja Mr Fairytale, taapi bukan pernah Najya menegur Iyyad pun. Bukankah
Najya ini pemalu orangnya.
“Siapa buat cupcake ni?” soal Najya cuba mengukir
senyuman yang paling manis, dengan harapan dapat menambat hati Iyyad.
“Mama saya.” Balas Iyyad acuh tak acuh. Dia menjenguk
barisan di belakang Najya yang semakin panjang.
Tatkala melihat barisan yang seperti tidak mahu surut,
Iyyad mengeluh perlahan. Ini mama punya fasal lah ni! Mahu dia buat promosi di
sekolah sedangkan setahu dia semua orang di kawasan itu sudah kenal dengan
kehebatan mama membuat cupcake. Namun, demi menjadi anak yang baik, dia
terpaksa akur dengan kehendak mamanya membahagi-bahagikan cupcake percuma ini
kepada semua pelajar.
“Kalau…,” belum pun sempat Najya bertanya lebih, Iyyad
segera mencelah.
“Kalau awak hendak tempah, ini flyer, nombor telefon,
e-mel dan facebook pun ada di dalam. Sekarang boleh awak pergi tak sebab ramai
lagi yang sedang tunggu cupcake ini,” jelas Iyyad mendengus kasar kelihatan
seperti terpaksa. Sambil menghulurkan flyer itu kepada Najya tanpa secalit
senyuman memotong kata-kata Najya.
Najya memandang
sebal. Melihat air muka Iyyad dia mula berkecil hati. “Huh! Tak gentleman
langsung!” cemuh Najya lantas menarik kasar flyer tersebut kemudian dia segera
beredar.
Najya terus
menapak ke meja makan, mata meliar mencari kelibat Elin di celah-celah orang
ramai yang sedang menikmati makanan masing-masing. Sebaik sahaja melihat Elin
yang sedang asyik menikmati makan dia segera menghampiri Elin.
“Weh, makan tak ingat dunia, cuba bertenang sikit.”
Usik Najya tersenyum kecil melihat Elin bersungguh-sungguh menyuap makan ke
dalam mulutnya.
Elin tersengih dengan sambil menghabiskan sisa makanan
yang ada dalam mulutnya. “Lama sangat beratur. Aku dah lapar. Dapat tak cupcake
tu?” tanya Elin.
Dapat, dan kali ni aku dapat bercakap dengan dia!”
kata Najya separuh berbisik. Dia tersenyum-senyum sipu. Pipi putihnya mula
kemerahan sambil merenung cupcake di tangannya. Teruja sungguh!
“Ya ke? Habis tu kau cakap apa?” Soal Elin turut sama
teruja.
Najya terus tersenyum sipu sambil membuka bungkusan dan
mengeluarkan sebiji cupcake. Di ruang matanya masih terbayang-bayang renungan Iyyad
sebentar tadi. Suara lelaki itu seakan tergiang-giang di telinganya.
“Eh, red velvet cupcake la!” Najya bersorak gembira.
Elin menjeling
sebal. Macam tak pernah makan red valvet cupcake! Cemuh hatinya geram kerana
Najya tidak membalas pertanyaan tadi.
Kau tak jawab
lagi soalan aku tadi!” Elin menarik wajah masam
“Kau ada tanya
soalan ke?” Dalih Najya, sedangkan dia sengaja tidak mahu membalas pertanyaan
itu. Yalah, dia pun bukan dapat berbual panjang sangat tadi, sengaja dia
mengada-adakan cerita yang sejengkal menjadi sedepa gara-gara teruja!
“Kata tadi kau cakap dengan Iyyad. Apa yang korang
bualkan?” soal Elin dengan suara tertahan-tahan. Geram dengan sikap Najya yang
seperti hendak mempermain-mainkan dia.
Najya tersengih,”Dia bagi tahu kalau hendak tempah
cupcake, telefon, facebook atau emel la
mama dia.” katanya tanpa menunjukkan flyer yang diambil dari meja tadi.
Elin merenung Najya seakan tidak percaya dengan kata-kata
temannya itu, namun sebaik sahaja melihat pelajar lain melintasi mereka sambil
membelek-belek flyer berwarna pink, dia mula mempercayai kata-kata Najya tadi.
“Oh, jadi dia sedang buat promosi lah ni. Aku ingat dia
sengaja nak sedekah cupcake yang mama dia buat kepada semua orang.” Balas Elin,
sambil menghirup minuman yang dipesannya tadi.
“Baguskan Iyyad tu, rajin bantu mama dia dan secara tak
langsung aku dapat merasa cupcake yang sedap ini tapi…” tiba-tiba saja lidah
Nijya terkelu bila mengenangkan bertapa tidak mesranya Iyyad melayan dia tadi.
“Tapi apa?” Soal Elin berhenti mengunyah. Seperti ada
cerita menarik saja ni. Bisik hatinya sambil merenung tepat pada wajah Najya.
“Tak ada apa-apa pun, cepatlah makan nanti kelas dah nak
mula.” Najya berdalih sengaja menyembuyikan hal sebenar dari pengetahuan Elin.
Dia tak kisah kalau Iyyad nak melayan dia acuh tak acuh pun sebab Iyyad belum
kenal dia lagi. Kalau Iyyad dah kenal dia, mesti Iyyad pun akan tergila bayang
nanti seperti dia tergilakan Iyyad. Najya tersengih. Jadi aku kena pastikan dia
akan kenal aku! Tapi, macam mana? Najya menghela nafas perlahan.
“Kau tahu tak, mama Iyyad ada kedai cupcake sendiri?,”
sengaja Elin memancing perhatian Najya yang tiba-tiba menukar tajuk perbualan.
“Oh, ya ke? Aku tak tahu pun! Kat mana kedai tu? Kenapa
tak bagi tahu aku sebelum ni? Besar tak
kedai dia? Cantik tak?” Soal Najya teruja, matanya membulat merenung wajah
Elin. Tidak sabar mendengar cerita Elin.
Elin menggeleng kepala, lucu melihat gelagat Najya yang
terlebih teruja. “Mama dia baru saja buka café tu, taklah besar sangat tapi
cantik.” Jelas Elin bersungguh-sungguh. “Lagi pun, bukan kau tak tahu, mama dia
kan pembuat cupcake yang terkenal di kawasan ni? Kira setanding lah dengan ‘The Cupcake Girl’ yang kau
minat tu.” Tambah Elin lagi.
Tiba-tiba wajah ceria Najya berubah riak. Dia merenung
tajam pada Elin. “Maçam mana kau boleh tahu semua tu?” Najya menjeling curiga.
“Kau ada apa-apa dengan dia ke?” Soal Najya lagi tidak puas hati. Entah kenapa
tiba-tiba selajur perasaan cemburu menerjah masuk ke dalam hatinya. Sebelum ini
tidak pula Elin menceritakan apa-apa kepadanya. Kenapa hari ini seperti dia
tahu semuanya?
“Eh, kau ni. Takkan cemburu kot?” Elin tersengih.
“Mama diakan terkenal dengan cupcakenya, mestilah aku tahu. Kau tu, konon
sukakan Mr. Fairytale tapi langsung tak tahu fasal dia atau pun keluarga dia.
Lain kali kalau dah suka buatlah research!” Perli Elin tergelak kecil.
“Syyhh, cakap perlahan sikit. Nanti orang dengar,”
Kata Najya berbisik sambil memandang ke kiri dan kanan. Masak dia kalau ada
yang tahu dia sukakan Iyyad!
“Macam la ada orang tahu siapa Mr Fairytale kau tu,” bisik Elin pula. Tersenyum mengejek, sengaja
mengusik temannya itu.
Najya menarik muka masam. Dia tidak mahu orang lain
tahu siapa Mr. Fairytale nya. Tentu dia kena gelak jika kawan-kawan lain
tahu. Nanti mereka kata macam beauty and
the beast. Eh sudah tentu dia bukan ‘the beast” tapi dia juga bukan si beauty.
“Há berangan,” Elin menepuk lengan Najya.
Kerana terkejut cupcake yang masih berbaki di tangannya
menjadi habuan lantai. Tajam mata Najya memandang Elin yang tersengih-sengih
tanpa rasa bersalah.
“Alah, pergi la ambil lain. Boleh jumpa lagi,” Elin masih
tidak puas hati mengusik Najya.
Mendengar kata-kata Elin, dia berpaling melihat Iyyad
masih sibuk membahagi-bahagikan cupcake. Orang yang beratur masih panjang walau
tidak sepanjang tadi. Tiba-tiba dia ternampak Suri berjalan ala-ala catwalk
mendapatkan Iyyad. Tanpa perlu beratur, Suri terus mendapatkan Iyyad untuk
mendapatkan cupcakenya.
“Tengok, bertuahnya jadi seorang Suri,” Elin masih mahu
mengusik Najya.
“Ya, memang bertuah menjadi seorang Suri. Tapi lebih
bertuah menjadi seorang Najya,” balas Najya.
“Maksud kau?” soal Elin ingin tahu.
“Lupa ke, aku terima cupcake setiap hari. Jadi siapa
lebih bertuah sekarang?” soal Najya semula.
Elin menepuk dahinya, macam mana dia boleh lupa
tentang itu. Semalam pun kawannya ada terima 2 biji cupcake yang diletak dalam
bakul skuter Najya.
“Sudahlah, jom masuk kelas,” ajak Najya.
Kawan-kawan sekelas asyik bercerita tentang cupcake
pemberian Iyyad. Malah cerita Suri dapat cupcake dalam kotak istimewa turut
jadi topik perbualan. Ms Mila masuk dengan wajah berkerut. Dia tidak suka
pelajarnya membuat bising. Dia
baru berkira-kira hendak marah bila tiba-tiba pintu kelas di ketuk.
Seluruh warga kelas memberi tumpuan kepada tetamu yang
datang lebih-lebih lagi Najya. Si tetamu melemparkan senyuman manis kepada
warga kelas, tapi Najya rasa senyuman itu hanya untuknya seorang.
“Eh, dia datang sebab hendak hantar cupcake untuk kau
ke?” soal Elin mengusik sebenarnya.
Najya sudah senyum lebar. Sungguh ini satu kejutan buatnya. Tidak mungkin begitu
pantas Iyyad mahu membuat pengumuman tentang mereka. Wah, pasti kecoh satu
sekolah nanti. Kejap, sejak bila
pula ada “tentang mereka” bila mereka declare?
“Saya hendak hantar cupcake untuk Ms Mila,” kata Iyyad
sambil tersenyum.
“Terima kasih. Awak beri pada semua gurukah?” soal Ms
Mila pula.
Iyyad angguk,”Semua dah ambil masa rehat tadi. Cuma Ms Mila saja belum.”
“Baikkan dia,” bisik Najya kepada Elin dengan senyum yang
tidak lekang dari bibirnya.
Senyuman Iyyad sebelum keluar kelas membuatkan jantung
Najya dari ritma biasa.
“Cik Najya binti Ammar,”
Tersentak Najya mendengar jeritan Ms Mila. Dia nampak
beberapa orang sedang menahan senyum. Sempat lagi mengerling Elin yang duduk
disebelahnya. Tapi Elin awal-awal sudah angkat bahu. Najya memandang ke hadapan
dan melihat Ms Mila sedang berjalan menghampirinya.
“Apa yang kamu….,” Ms Mila tidak sempat menghabiskan
ayatnya bila terpandang meja Najya yang penuh dengan lakaran.
“Ya, Allah. Patutlah tak dengar sedang berangan-angan
rupanya,” Ms Mila menahan marah. Pantang dia jika ada pelajar menconteng meja.
Oh saat itu, Najya berharap agar dia lenyap seketika
daripada pandangan berpasang-pasang yang mengejeknya. Sekejap lagi mereka tentu
tahu apa yang diangankannya. Ha, padan muka, bisik Najya.
“Saya tahulah kamu suka cupcake, tapi janganlah meja
sekolah pun jadi mangsa kamu,” sindir Cik Mila.
“Sebagai hukuman…,” Najya menunggu kata-kata seterusnya
daripada Cik Mila.
“…kamu dijatuhkan hukuman makan cupcake,” Huh, lega Najya
rasa kerana dia boleh makan cupcake lebih banyak tanpa rasa jemu.
“Saya terima hukuman makan cupcake,” balas Najya sambil
tersenyum lebar.
Seluruh kelas riuh ketawa mendengar kata-kata Najya. Dia
kehairanan. Apa yang lucunya. Malah dia nampak bahu Elin terhinggut-hinggut
menahan gelak.
“Berangan,” kata Ms Mila sambil menepuk meja.
“Saya mahu kamu bersihkan meja dan kelas hari ini selepas
waktu sekolah seorang diri. Memandangkan ada kawan kamu yang telah tumpahkan
air jadi, tolong mop lantai sekali. Ini sebagai denda kerana kamu telah
melakukan vandalism ke atas peralatan sekolah,” Ms Mila menjatuhkan hukuman.
“Tapi Ms Mila…,” Najya cuba membantah. Oh, patutlah dia
orang gelak macam sedang tonton Maharaja Lawak tadi. Dia salah dengar. Hishh
suka sangat dengan cupcake, lepas ni, dia kena kurangkan minat terhadap
cupcake.
“Keputusan muktamad dan sebarang rayuan tidak dilayan dan
tidak ada sesiapa pun dibenarkan membantu,” tegas Ms Mila..
Najya angguk kepala sambil mengeluh perlahan. Apalah
nasib dia hari ini. Ingat hendak pulang awal. Tapi sekarang
kena ganti cleaner pula.
“Kenapa kau
tidak beritahu aku tadi?” soal Najya tidak puas hati.
“Beritahu kau?.
Ms Mila yang panggil sampai keluar anak tekak pun kau tak dengar,” sindir Elin.
“Aku tau la tadi
Mr Fairytale masuk kelas, tapi dia bagi cupcake pada Ms Mila. Kau saja yang
angau lebih-lebih,” usik Elin.
Najya mengiakan
dalam hatinya. Benar, ini semua gara-gara Iyyad masuk ke kelasnya tadi. Jika
tidak tentu dia tidak kena denda. Tidak, ini semua tidak ada kena mengena
dengan Iyyad yang yang kacak lagi baik itu.
***
“Aku tolong kau
bersihkan kelas. Cepat sikit siapnya,” Elin menawarkan bantuan.
“Tak payah,
nanti kalau ada sesiapa nampak lepas tu beritahu Ms Mila, kena denda lagi,” Najya menolak.
“Tapi kau lambat
buat kerja. Nanti terlepas
pula rancangan “The Cupcake Girls,” Elin mengingatkan.
“Jangan bimbang aku sudah pesan supaya Astro ulang
tayang semula bila aku balik nanti,” kata Najya sambil ketawa kecil.
Elin mencebik mendengar kata-kata Najya. Kawannya itu
memang suka main-main.
“Kalau macam tu aku tunggu kau di café. Selesai nanti kau
call aku,” pesan Elin sebelum meninggalkan kawannya di kelas.
Najya duduk di kerusi. Padan muka berangan-angan lagi.
Tapi angan-angan bukan kena bayar pun, cuma kena marah dan kena denda
sahaja. Mengingatkan itu, pantas Najya
bangun. Mula-mula dia perlu bersihkan meja yang telah dicontengnya tadi. Dia
perlu sental betul-betul supaya nampak berkilat seperti biasa. Tipu, meja itu
tidak akan berkilat cuma bersih sahaja.
“Apalah Najya dah besar-besar pun masih menconteng meja,”
keluh Najya sendirian.
Najya bekerja dengan pantas. Dia mahu menyelesaikan dendanya
dengan cepat, supaya boleh balik berehat atau menonton The Cupcake Girl. Hmm
terbayang cupcake yang cantik sehingga tidak sanggup hendak makan. Seronoknya
kalau ada kedai macam The Cupcake Girl. Ops, kaki Najya tersandung kerusi dan
nasib baik tangannya sempat berpaut pada meja, jika tidak dia pasti mencium
lantai.
“Ok, masa untuk mop lantai,” kata Najya selepas selesai
menyapu sampah.
Kelas mereka bukan kotor sangat, tapi entah makhluk mana
yang minum air sampai ke lantai pun Najya tidak pasti. Macam mana agaknya
makhluk itu minum sampai tumpah dan melekit lantai. Najya selesai mop lantai.
Rasa hendak patah pinggang. Sekarang kena pulangkan baldi dan mop ke bilik
cleaner. Tadi dia sudah janji akan pulangkan barang-barang itu semula dalam
keadaan baik. Jika tidak, dia
tentu kena belasah dengan Makcik Jah dan geng. Ha, ingat Upin & Ipin saja
ada geng, Makcik Jah pun ada. Tapi
sebelum itu dia kena buang air dalam baldi ini.
“Takkan hendak angkat baldi berat ini sampai ke bawah.
Silap hari bulan boleh panjang sebelah lengan aku ini,” kata Najya.
Mentol idea berkelip-kelip tiba-tiba. “Macam mana aku boleh tidak terfikir tadi. Idea yang
bagus. Lagi pun semua orang sudah balik.” Najya tersenyum
sendiri.
Dia mengangkat baldi yang separuh penuh ke tepi koridor.
Huh berat sungguh. Kalau dia tahu tadi, tentu tidak perlu isi air penuh. Dengan
bersusah payah dia mengangkat baldi ke atas tembok koridor. Sambil menyanyi
kecil Najya mencurahkan air ke bawah. Kemudian dia menjenguk ke bawah.
Tiba-tiba Najya rasa lututnya lembik. Tangannya segera mencari tempat berpaut.
Jantungnya berdegup kencang mendengar suara itu. Habis lah aku! Tamatlah
riwayat aku hari ini, fikirnya lagi.
5 comments:
uuuu!!! best!! ;)
yasminismail
sesungguhnya cerita ni mampu buat org kenyang lapar kembali! syedanya red velvet itu
Anonymous - terima kasih :)
Pena Tumpoi - tapi red valvet buatan Fara Yuhana lagiiii sedapppp :)
NurAtiZa - terima kasih ya:)
kak... teruskan berkarya, hari2 asah mesti dapat rentak punya. Chaiyok!
Terima kasih Jue...:)
Post a Comment