Intan payung kami...

Monday 21 May 2012

Bab 12 : Cuit-Cuit Cinta


Love is when you fall asleep thinking about that person and you wake up and think about them until you fall asleep again ~Annonyomous~
Rabu. Aku tandakan pangkah pada kalender kecil yang aku bawa sentiasa di dalam dompetku. Aku pandang tanda pangkah pada hari sebelumnya. Dua pangkah itu menunjukkan tempoh masa aku dah Johan tidak bercakap. Sejak kejadian aku bergaduh dengan dia di bilik sukan kelmarin, aku dan dia kembali menjadi seperti dulu. Dia buat hal dia dengan kawan-kawan baik dia. Dan aku dengan kawan-kawan baik aku. Bila kami terserempak, dia boleh buat tidak tahu sahaja. Seolah-olah aku tidak wujud di hadapannya. Sesi mentor-mentee kami pun sudah tidak diadakan. Hari ini lagi menarik. Aku langsung tidak nampak kelibat dia. Nampak sangat dia tidak mahu melihat aku.
Aku ingat aku boleh buat tidak kisah dengan semua itu tetapi aku tidak mampu hendak bohongi hati sendiri. Aku terasa sesuatu bila Johan buat macam ini. Kecil hati. Geram Marah. Kecewa. Dan yang paling aku terasa ialah kehilangan. Entah kenapa, aku rasa rindu pula dengan usikan-usikan Johan. Hendak saja aku pergi bersemuka dengan dia tetapi bila fikirkan yang dia yang buat hal dahulu, aku tidak turutkan kehendak hati. Kenapa pula aku yang perlu terhegeh-hegeh cari dia sedangkan aku tidak buat apa-apa kesalahan pun? Dia yang buat pasal dengan aku. Jadi biar dia sahaja yang mulakan.
“Weh! Nea Azalea!” Aku dengar namaku dipanggil Nani. Kuat dan nadanya kedengaran seperi marah. Aku menoleh ke arah Nani. Muka makcik ni bukan main masam lagi. Erk…apa kes?
“Kau ini melampau betul!” Bentak Nani. Nasib baik dekat taman riadah pada waktu ini tidak ramai orang dah. Dah habis sesi. Semua pelajar sudah pulang. Aku saja yang malas hendak balik awal.
“Kau ni kenapa?”
“Kau ada rahsiakan apa-apa pada aku?” Tanya Nani serius.
Aku menggeleng sambil otak aku ligat memikirkan soalan Nani. Ya, aku yakin aku tidak menyembunyikan apa-apa rahsia dengan dia.
“Betul?”
“La…betullah. Yang engkau ini kenapa?”
“Habis tu cuba kau terangkan kenapa aku dapat tahu pasal Johan marah Adilia sebab kau dari mulut orang lain?”
Mata aku membulat. Rahang jatuh ke bawah. “Kau cakap apa ni?
Nani duduk di hadapan aku. Dengan muka yang sangat serius, dia bercerita. “Aku ke tandas ni tadi, aku terdengar budak kelas sebelah mengumpat dalam tandas hal kau, Johan dengan Adilia. Mereka cakap Johan marah Adilia sebab cakap bukan-bukan pasal kau. Memang teruklah Adilia kena marah sebab dia siap menangis lagi lepas tu. Patutlah aku nampak dua hari ni muka monyok je dalam kelas. Lepas tu kalau pandang muka kau macam nak menelan orang je gayanya.”
Aku terpempan. Antara hendak percaya tidak percaya saja dengan cerita Nani. Tetapi apa yang dia cakap tentang Adilia itu memang betul. Muka perempuan gedik itu bukan main monyok dua hari ini. Lepas itu kalau pandang aku asyik hendak menjeling sahaja. Aku yang memang sudah tidak berkenan dengan dia memang tidak ambil tahulah kenapa dia buat macam itu. Asal tidak kacau hidup aku sudah. Rupa-rupanya dia kena marah dengan Johan. Berita ini secara automatic buat mood aku kembali ceria. Tanpa sedar, bibir aku mengukir senyuman. Senyuman pertama yang ikhlas dari hati sejak dua hari ini.
“Dah tersengih-sengih pula dia! Weh, baik kau cerita dengan aku apa kesnya. Kalau tidak, kau jangan balik.” Sergah Nani. Dan aku, tanpa ragu-ragu terus bercerita dengan dia. Cuma aku tidak ceritakan perihal cupcake itu sahaja. Tak tahulah kenapa, hati aku berat sangat hendak bercerita tentang hal itu.
Selesai sesi bercerita aku, Nani terlopong. Kemudian lengan aku jadi mangsa cubitan ketamnya. Perit siot!
“Apakah?” Aku gosok lengan yang dah merah.
“Kau ni memangla tak reti nak baca hati orang kan?”
“Baca hati apa?”
Nani mengeluh. “Lupakan sajalah. Belum masa lagi kau tahu. Dah, jom. Ikut aku.”
“Pergi mana?”
“Jumpa Johanlah. Tak reti-reti hendak minta maaf?” Perli Nani.
“Apasal pulak? Bukan aku buat salah pun!” Tempelak aku. Tapi dalam hati dah tahu, memang aku ada buat salah.
“Tak buat salah kau kata? Beb, dah berbakul-bakul kau sumpah seranah dia dalam hati. Lepas tu kau siap bergaduh dengan dia lagi. Entah apalah yang kau cakap masa kau tengah marah tu aku pun tak tahulah. Kau tu bukan betul sangat. Kalau dah marah tu, mulut tu main lepas je. Tak peduli perasaan orang. Sekarang aku tak peduli. Jom ikut aku cari Johan. Pergi minta maaf dengan dia and say thanks!” Marah Nani.
“Err…esok tak boleh ke?”
Nani bulatkan mata. “Buatnya jadi apa-apa kat dia hari ni, tak menyesal?”
“Oklah…oklah. Tapi…” Aku gigit bibir. Takkan hendak pergi macam itu sahaja. Aku terbayangkan muka Johan dua hari ini. Muka aku pun dia tak sudi hendak pandang. Kalau nampak aku pun dia buat tidak tahu sahaja. Ini kalau aku pergi macam itu sahaja jumpa dia dan cakap ‘maaf’, aku takut dia buat tidak layan sahaja. Malu besar aku nanti! Tak, aku tak boleh pergi macam itu sahaja. Aku kena buat sesuatu yang tidak akan memungkinkan dia bolayan aku. Tapi cara macam mana? Nampak gaya kena tanya Uncle G juga ni.
“Nani, jom pergi makmal komputer kejap?”
Nani angkat kening sebelah. “Nak buat apa pulak?”
Aku hanya sengih tayang gigi. Uncle G, harap-harap kau boleh bagi jawapan yang sewajarnyalah ya?
***
“Kan aku dah cakap, baik pergi hari ni. Nasib baik dia pitam sahaja. Buatnya dia mati ke apa ke, tak ke menyesal tak sudah dibuatnya?” Nani terus membebel buat kesekian kalinya. Telinga aku ini sudah hendak bernanah sahaja rasanya. Mahu tidak, sejak kami dapat berita yang Johan pitam masa di kelas tadi, (patutlah aku tak nampak dia langsung hari ni. Sia-sia sahaja buat dosa tuduh dia tak hendak nampak aku) dia terus membebel-bebel marahkan aku. Sebenarnya selepas kami keluar dari makmal komputer tadi, kami terserempak dengan senior Lee Wah, teman sekelas Johan. Yang Nani ni terlebih peramah pula hari ni, jadi dia pun tegurlah senior yang super serius itu. Dari sesi ‘hi’ terus melarat ke benda-benda lain. Hinggalah ke berita Johan pitam di dalam kelas pagi tadi sebab demam!
Jantung aku macam hendak meletup jugalah tadi bila dengar berita tentang Johan itu. Tapi aku kontrol perasaan. Takut Nani syak yang bukan-bukan pula. Dan sejak dari itulah mulut makcik ini tidak berhenti-henti bebelkan aku. Di kedai cenderahati tadi pun dia masih lagi membebel sampai naik malu pula aku dengan amoi yang jaga kedai itu. Tidak cukup membebel, dia paksa aku ke rumah Johan. Alasan dia, takut aku terlewat. Hendak tak hendak, aku ikutkan sahaja walaupun hati sedikit berat. Yalah, tak pernah seumur hidup aku pergi bertandang ke rumah lelaki. Segan. Malu. Semuanya adalah. Dan aku ingatkan bila sudah sampai ke rumah Johan ini, dia tahulah hendak diam. Rupanya sama saja. Makin galak lagi adalah.
“Yalah. Aku tahu. Isyhh...membebel mengalahkan mummy akulah kau ni!” Gumam aku geram.
“Ingat, dia turun nanti minta maaf cepat. Kalau aku tengok kau pandang lantai sahaja, siap kau!”
“Ya Allah Ya Tuhanku! Iya. Aku faham makcik. Tak perlulah kau nak ulang berpuluh-puluh kali. Jelak telinga aku dengarlah!”
Belum sempat Nani buka mulut, kami terdengar bunyi derap kaki Makcik Sarah, ibu Johan datang menghampiri kami. Aku dan Nani terus bangun. Di belakang Makcik Sarah, aku nampak kelibat Johan dengan rambut yang kusut masai. Baru dikejut dari tidur barangkali.
“Duduk dulu, Azalea, Nani. Makcik ke dapur buat air. Joe, layan kawan ni baik-baik. Jangan nak ikutkan kepala kamu yang berangin tu je.” Pesan Makcik Sarah.
Johan tarik muka. Tidak puas hati agaknya ditegur ibunya macam itu depan kami. “Apa ibu ni. Macamlah Joe ni teruk sangat.” Ujar dia manja. Bibirnya dimuncungkan. Saat itu aku seperti sedang melihat Johan yang lain.
“Mahu tak teruk. Si Naqib dengan si Adam tadi tak pasal-pasal kena jerit dengan kamu tadi kan? Orang datang hendak menziarah dia, dia hendak marah-marah pula.” Makcik Sarah cubit lengannya perlahan. Aku sudah mahu ketawa melihat wajahnya yang semakin kelat.
“Alah, memang patut pun. Kalau hendak menziarah, mulut tu diam-diam sudahlah. Ni siap gelak-gelakkan orang. Baik tak payah datang macam tu!”
Terus aku ketap bibir, menahan diri dari tergelak. Ayat terakhir dia tu berbau amaran sahaja di telinga aku ini. Jadi, sebelum aku pun kena jerit dengan dia, baik aku kontrol gelak aku.
“Ada saja hendak menjawab. Azalea, Nani, kalau dia buat perangai, beritahu makcik. Dia ni, kalau tengah tak sihat, memang satu badan berangin. Macam orang PMS!”
Ok, bahagian yang akhir tu memang aku tak boleh tahan. Akhirnya ketawa aku pecah juga.
“Ibu!” Dia merungur manja. Dekat ibu dia sahajalah. Dekat aku, dia hadiahkan jelingan tajam. Sangat tajam sampai ketawa aku terus mati. Gulp!
“Duduk dulu ya, Azalea. Nani. Makcik hendak ke dapur buat air sikit.”
“Err…saya tolong makcik?” Nani menawarkan khidmat bantuan dia. Aku dah jengil mata. Janganlah tinggalkan aku dengan singa ni!
“Ok juga tu. Makcik ada buat keria tadi. Belum sira gula saja lagi. Nani tolong makcik ya?” Ajak Makcik Sarah. Alahai, Makcik Sarah ini. Kenapalah petang ni juga makcik hendak buat kuih makcik oii?
Nani senyum sambil mata dia memberi isyarat agar aku bercakap dengan Johan. Sempat lagi dia bisik di telinga aku, “Ingat, say sorry and say thanks. Jangan nak pandang lantai pulak!”
Janggal. Itu yang aku rasakan sebaik sahaja Nani dan Makcik Sarah berlalu ke dapur untuk menyiapkan air. Kini di ruang rehat ini hanya ada aku dan Johan. Aku membuang pandang ke sekeliling ruang rehat yang sederhana besar itu demi untuk meredakan debar di dada. Kemas dan ringkas sahaja dekorasi ruang ini. Sesuai dengan fungsinya sebagai tempat bersantai untuk seisi keluarga. Hanya ada sebuah settee yang sedang diduduki Johan. Di sebelah kanan, tempat aku berada sekarang ada dua buah kerusi kayu yang kalau mengikut kehalusan buatannya bukan dari sebarangan kayu. Di hadapan kami ada sebuah meja kopi, juga dari jenis kayu yang sama. Di atas lantai ada 3 buah bean bag pelbagai warna yang diletakkan di hadapan meja kopi. Kedudukan ruang ini pula dekat dengan cermin gelungsur. Entah kenapa, aku agak suka berada di ruang ini.
Aku mencuri pandang ke arah Johan. Dia kulihat sedang memeluk tubuh sambil termenung memandang luar. Wajahnya sedikit pucat. Menurut kata Makcik Sarah, Johan demam sedikit dan badannya kurang air. Di dalam hati aku terbit rasa bersalah. Sedikit sebanyak, aku penyebab mengapa dia berhujan dua hari sudah. Kalau aku tunggu dan menyahut panggilan Johan, pasti waktu itu kami sedang belajar. Kalau kami tidak bergaduh tengah hari itu mesti dia tidak berlatih ragbi di dalam hujan. Walaupun aku masih kabur tentang punca sebenar kenapa hubungan kami tiba-tiba menjadi panas hari itu, tapi aku yakin, ia ada kaitan dengan pemberian cupcake kepada Adam Naufal. Cuma aku tidak pasti, kenapa Johan perlu rasa marah tentang hal itu.
Tiba-tiba aku terdengar dia batuk. Teruk juga bunyinya. Aku pantas bangun dan duduk di sebelahnya.
“Awak ok ke?”
Johan sekadar mengangguk. Hendak menjawab, mungkin tekaknya terasa perit. Batuknya masih tidak berhenti. Aku capai sebotol air mineral yang berada di atas meja. Mungkin air mineral itu milik Johan memandangkan isinya sudah separuh.
“Minum dulu.” Aku hulurkan botal air yang sudah ku buka penutupnya.
Tanpa banyak soal Johan terus meneguk air tersebut. Beberapa ketika berlalu, akhirnya batuk Johan reda.
“Terima kasih.” Ucap Johan. Aku mengangguk.
“Awak…” Aku memanggilnya perlahan.
“Hmm?”
“Saya minta maaf.” Nah, akhirnya perkataan itu terbit juga dari bibirku.
“Untuk apa?” Soal Johan. Aku pandang wajah Johan. Keningnya terangkat sebelah. Wajah itu tidak menunjukkan yang dia tidak tahu untuk apa permohonan maaf itu. Namun ia lebih kepada ekspresi, ‘aku-mahu-dengar-dari-mulut-kau-sendiri’ kenapa kau memohon maaf. Aku hela nafas. Aku sudah bersedia dengan perangai loyar buruk dia. Sejak aku buat keputusan hendak mengikut Nani tadi aku sudah mempersiapkan diri dengan kata-kata menjengkelkan yang bakal muncul dari mulut Johan. Tidak mengapa. Untuk sekali ini, aku beri dia peluang kerana memang aku yang bersalah.
“Sebab bergaduh dengan awak tengah hari tu.”
“Lagi?” Soalnya sinis.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba menyabarkan diri. “Sebab marah-marah awak tanpa usul periksa. Sebab suka buat tuduhan macam-macam dekat awak.”
“Itu aje?”
Aku genggam tangan. Ringan saja tangan ini hendak mencubit lengannya lebih-lebih lagi bila dia dah mula buat sengih jahat dia itu.
“Dan terima kasih…” Ucap aku. Kali ini sedikit perlahan.
“Untuk apa pula?”
“Sebab awak bela saya depan Adilia.”
Sengih jahatnya hilang dari wajah. Kali ini diganti dengan riak yang sudah mula menjadi salah satu dari ekspresi wajah Johan yang aku gemari. Malu-malu kucing!
“Mana kau tahu?”
Aku pula yang buat sengih jahat. “Nani beritahu.”
“Macam mana Nani tahu?” Tanya Johan hairan. Jadi aku pun ceritakanlah apa yang Nani ceritakan pada aku tadi. Selesai bercerita, Johan pandang muka aku lama.
“Lepas ni kalau dia cakap bukan-bukan lagi beritahu aku.”
“Kenapa pula?”
“Biar aku basuh dia sekali lagi.” Jawab Johan tegas. Aku tersenyum kecil.
“Sayang juga awak dekat saya, eh?” Aku usik dia.
Johan menjeling aku. “Kau aje yang tak tahu.” Jawabnya perlahan.
“Apa dia?” Tanyaku. Buat-buat tidak dengar.
“Tak ada apalah!” Balas Johan. Dia kembali memandang ke luar. Mulutnya mula memuncung. Geram dengan akulah itu. Aku tahan diri dari ketawa. Malas hendak memanjangkan perkara itu, aku capai beg kertas yang aku bawa tadi. Isinya aku keluarkan.
“Awak.”
“Apa?” Tanya Johan malas.
“Nah!” Aku hulur teddy bear kecil warna coklat dan kad yang direka khas oleh aku tadi. “I’m sorry, from the bottom of my heart. I’m truly, deeply, sorry. Sorry...Sorry...Sorry. And I thank you for your kind words.” Ok, sangat cheesy ayat itu tapi itulah yang diajar di sebuah website sewaktu aku mencari tips hendak memujuk lelaki yang merajuk di makmal komputer tadi. Ucapkan kata-kata “manis”, kata website itu. Jadi inilah kata-kata yang termanis yang aku boleh fikirkan. Hendak manis lagi, minta maaflah. Takut pulak ada anak orang kena diabetes nanti.
“Teddy bear?” Dia angkat kening lagi.
“Ya. So?”
“Saya ni lelaki tahu. Sangat tak appropriate, ok!”
Amboi. Sudahlah tidak tahu berterima kasih. Hendak ditempelaknya pula aku. Teruk betul dia ini. Ambil balik teddy bear itu semula, baru padan muka.
“Tak nak sudah. Meh sini balik!” Aku tarik semula teddy bear itu dari tangan dia namun cepat dia memeluk teddy bear ke dadanya.
“Dah beri mana boleh minta balik. Buruk siku!” Ujar Johan sambil memeluk teddy bear itu dengan lebih erat lagi. Tadi bukan main lagi cakap dengan aku, hadiah teddy bear sangat tidak sesuai untuk lelaki. Ini dah lebih daripada aku pula lagaknya.
Keadaan menjadi sunyi antara kami seketika.
“Aku nak beri nama dia…cupcake.” Ujar Johan, memecah kesunyian antara kami.
“Apa? Cupcake?” Soal aku tidak percaya. “Eh, awak, ibu awak dulu terkenan nak makan cupcake ya masa mengandungkan awak?”
Dahi Johan berkerut. “Tak tahu pula. Kenapa?”
“Habis tu saya tengok awak ni suka sangat dengan cupcake. Nick awak di FB Mr Cupcake. Awak suka sebut perkataan cupcake. Suka ejek saya cupcake. Sampaikan teddy bear ni pun awak nak panggil cupcake?” Dan jangan lupa, kita perang dingin selama dua hari ini pun berpunca dari cupcake. Ayat yang terakhir itu aku cuba sebut dalam hati. Sebolehnya aku tidak mahu menimbulkan perkara itu kembali. Takut cik abang ini merajuk lagi.
Johan ketawa besar. Entah apa yang kelakar pun aku tidak tahu.
“Jangan panggil dia cupcakelah, awak. Hurmm…panggil dia Teddy? Tak pun, Bob ke? Tak pun Brown sebab warna dia coklat? Ok?” Aku beri cadangan tetapi ditolak mentah-mentah oleh Johan.
“Tak nak. Nak panggil dia cupcake juga!”
“Tak bestlah!”
“Nak jugak!”
“Tapi tak sesuai dengan dia, kot!”
“Eh, suka akulah. Ini teddy bear aku kan? Sibuk je orang tu, kan Cupcake?” Johan mula bercakap dengan teddy bear yang sudah bernama Cupcake.
Mahu sahaja aku menempelak dirinya namun aku matikan niat itu bila melihat rupa Johan ketika ini. Bibir mengukir senyuman tatkala melihat telatah comel Johan. Ya, aku harus akui telatah Johan kala ini sangat comel di mataku. Tidak ubah seperti anak kecil. Cupcake itu diusap dan ada masanya dipeluk sambil bibirnya tidak berhenti-henti tersenyum. Aku ketawa kecil bila dia mula berbual-bual dengan Cupcake itu. Seolah-olah baru menyedari yang ada orang lain bersama dia di ruang itu, tingkahnya terhenti. Air mukanya berubah rona. Malulah tu!
“So, awak tak marah saya lagilah ni, kan?” Aku beranikan diri bertanya perkara yang sebolehnya mahu aku lupakan.
“Bila masa pula aku marah kau?”
Aku membuntangkan mata ke arah Johan. “Tak marah? Habis itu yang dua hari buat silent treatment dengan saya tu apahal?”
Johan menjungkit bahu. “Saja. Doesn’t feel like talking.”
Aku pukul bahu dia dengan tangan. “Boleh pula buat macam itu?” Aku mengigit bibir rmenahan geram. Aku punyalah tidak senang hati tengok dia buat tidak tahu dengan aku, dia boleh pula beri alasan macam itu.
“Aduh. Sakitlah, yang. Orang demam ni kot!”
Aku terpana. Err...betul ke apa yang aku dengar tadi? Johan sebut perkataan ‘yang’ pada aku? Aku memberanikan diri memandang muka Johan. Tindakan yang tidak sepatutnya aku ambil sebab rupanya dia juga sedang memandang ke arah aku. Kami saling berpandangan. Aku bagai terpukau dengan pandangan Johan. Dada aku ini jangan cakaplah. Rasa macam sedang dilanda puting beliung. Bibir aku jadi kelu. Tidak tahu apa reaksi yang patut aku berikan. Aku menantikan Johan berkata sessuatu namun dia juga nampak seperti aku. Kelu!
Entah berapa lama kami berkeadaan seperti itu, aku sendiri tidak tahu sehinggalah tiba-tiba sahaja aku terasa bahu aku disentuh seseorang. Seperti orang yang baru ditangkap melakukan satu kesalahan, aku melompat bangun dari kerusi lalu terus berdiri. Aku berpaling dan melihat wajah Nani yang sedang tersengih-sengih memandang aku.
Sorry, kacau daun. Ini air dah siap.” Nani menunjukkan dulang berisi 3 cawan air teh dan sepiring kuih keria kepada aku. Darah panas menyerbu wajah. Malu ‘ditangkap’ Nani sewaktu leka bermain mata dengan Johan. Cepat-cepat aku capai dulang di tangan Nani. Aku hidangkan teh dan sepiring kuih itu ke atas meja. Selesai menghidang, aku kembali duduk. Cuma kali ini aku memilih untuk duduk di kerusi bersebelahan dengan kerusi yang aku duduki tadi agak berjarak sedikit dari Johan. Nampak gayanya penyakit tunduk-pandang-lantai aku kembali semula. Segan yang teramat sangat hendak memandang muka Nani mahupun Johan.
“So, abang Joe. Demam dah kebah ke?” Aku dengar Nani bertanya. Tanpa sedar bibir aku mencebik. Abang? Isyh...seram sejuk aku dengar. Walaupun memang wajar kami yang muda ini memanggil Johan yang dua tahun lebih tua dari kami itu dengan gelaran abang, namun bibir aku ini tidak tergamak hendak menyebut perkataan itu. Hendaknya kalau orang itu adalah Johan. Sangat janggal ok!
“Bolehlah. Bukan teruk sangat pun.”
“Tak teruk? Sampai pitam dekat sekolah tadi, boleh abang kata tak teruk?”
Johan hanya ketawa. Aku menjeling dengan ekor mata. Dia sedang mengusap belakang tengkuk sambil senyum tersipu-sipu. Malu barangkali terkenangkan dirinya yang tiba-tiba jatuh di dalam kelas tadi.
“Makcik dah cakap dari pagi tadi duduk saja rumah. Tak perlu ke sekolah hari ni. Dari pagi makcik tengok muka dia dah pucat. Tapi Johan ni bukan hendak mendengar kata. Degil!” Tiba-tiba Makcik Sarah muncul menyertai kami di ruang tamu itu.
“Eh, Lea. Nani. Kenapa tak minum ni? Nanti dah sejuk tak sedap. Joe ni, kenapa tak pelawa mereka minum?” Tegur Makcik Sarah.
“Eh, sorry. Jemputlah minum.” Pelawa Joe sambil mencapai secawan teh lalu dihulurkan pada Nani. Amboi, Nani saja dilayannya? Yang aku ini dibuatnya macam invisible woman dekat sini, apa kes? Kecil hati betul dibuatnya. Benci! Siap berbual-bual sambil bergelak ketawa lagi itu. Yang Makcik Sarah pun ikut sama. Mereka betul-betul buat aku macam tidak wujud di situ.
Aku tarik muncung. Pandangan aku halakan ke arah pintu gelungsur yang terbuka. Di depan pintu itu ada sebuah taman mini yang ditanam dengan pelbagai jenis bunga. Baik tengok pokok bunga Makcik Sarah yang kembang mekar tu dari tengok Johan mengada-ngada melayan Nani. Perlahan aku bangun lalu melangkah keluar. Aku belek bunga-bunga yang berwarna-warni itu. Kebanyakkanya bunga orkid tetapi dari spesis yang berlainan. Ada juga beberapa buah pasu bunga mawar dan bunga matahari. Mesti tangan Makcik Sarah tu sejuk, sebab itu semua bungannya menjadi.
Sedang aku ralit melihat bunga-bunga di taman mini itu, tanpa aku sedari aku bukan lagi berseorangan. Macam mana aku tahu? Sebab jantung aku tiba-tiba berdegup kencang. Tapi yang menghairankan aku, degupan ini bukan lagi sebab kehadiran Adam Naufal. Tetapi sebab kehadiran jejaka sengal yang seorang lagi ini.
“Kenapa keluar?” Tanya dia perlahan.
Sedar rupanya dia aku keluar. Ingatkan tidak sedar aku wujud tadi. “Saja. Duduk dekat dalam tu pun bukan buat apa.” Jawab aku mendatar. Biar dia tahu aku terasa hati dengan dia. Tapi, kenapalah aku rasa aku macam mengada-ngada sangat ini? Hendak terasa hati bagai. Kenapa dengan kau ini Lea?
“Lea...”
“Apa?” Tanya aku tanpa wajahnya. Bukan apa, takut jantung ni melompat keluar pula nanti sebab dengar dia panggil nama aku dengan nada begitu.
“Thanks for the gift.”
“You’re welcome.”
“Lea...” Panggilnya sekali lagi.
“Apa?” Tanya aku sekali lagi. Masih lagi tidak memandang wajahnya. Satu saat. Dua saat. Tiga saat. Empat saat. Lima Saat. Enam saat. Tujuh saat. Lapan saat. Sembilan saat. Sepuluh saat. Dia masih diam membisu. Hidup lagi ke tidak ini? Aku mencuri pandang ke arahnya. Berderau darahku bila melihat dia sedang asyik merenung aku. Hailaa dia ni. Kalau tertangkap lagi macam tadi tak ke naya dibuatnya!
“Awak nak apa?” Aku bertanya sekali lagi. Kali ini aku tinggikan sedikit nada suara.
“Pandanglah sini.” Pintanya. Aduhai...kenapalah lembut semacam suara dia ni?
“Saya hendak tengok bungalah!” Aku beri alasan spontan. Kalau ikutkan alasan yang sebenarnya ialah sebab aku takut hendak pandang wajah dia. Takut hati nyanyi lagu balada lagi. KasihanAdam Naufal aku nanti (macamlah aku dengan Adam ada declare apa-apakan?)
“Alah, kejaplah. Kalau kau suka sangat bunga tu, aku minta ibu beri kau sepasu ok? Ibu...” Dia mula memanggil Makcik Sarah.
“Hah? Johan jangan mengada!” Aku pukul lengan dia perlahan. Hendak tekup mulut melampau sangat pula.
“Aduh! Sakitlah, yang! Dia ni suka sangat pukul oranglah...” Johan merungut. Aku pula sudah mula menggelabah. Kali ini memang aku tidak salah dengar. Memang sungguh dia panggil aku ‘yang’! Ya Allah, hati. Jangan hendak melompat-lompat sangat, boleh?
“Saya nak masuklah.” Ayat lazim orang yang hendak melarikan diri.
“Sekejaplah.” Johan berdiri di hadapan aku, cuba menghalang aku dari masuk ke dalam.
“Apa lagi ni? Nak cakap apa? Cepatlah. Tak manis tahu orang tengok kita berdua-dua macam ini.” Yang ini bukan ayat orang hendak melarikan diri. Ini ayat seorang anak gadis yang mahu menjaga nama baiknya.Walaupun ini tempat terbuka tetapi ia masih tidak manis dipandang orang.
“Yang sebenarnya...yang sebenarnya...” Cakap dia mula tersangkut-sangkut.
“Yang sebenarnya...yang sebenarnya. Awak nak tolong Yuna promosi lagu dia ke apa? Tak payah susah-susah. Saya tak minat pun dia!”
“Apa pasal pulak masuk nama Yuna semua bagai ni?”
“Dah tu yang awak tergagap-gagap nak bercakap tu kenapa? Asyik yang sebenarnya...yang sebenarnya. Apa yang sebenarnya?” Aku tanya lagi. Kali ini kalau dia tergagap juga, memang aku masuk dalam terus.
Johan garu kepala. Nampak macam berat sangat saja benda yang hendak dia katakan pada aku ini.           Ada kena mengena dengan ekonomi dunia ke sampai payah sangat dia hendak berkata-kata. Dia gosok rambut dia dengan kedua belah tangannya. Rambut yang memang sudah sedia tidak rapi tadi bertambah kusut jadinya. Tetapi entah kenapa aku rasa dia bertambah cute pula. Cis, ini semua tanda-tanda hendak curang ni!
“Nak cakap ke tak nak ni? Tak nak cakap, saya nak masuk. Dahaga ni tahu?” Aku pandang wajah dia. Dia pandang wajah aku. Mulut dia sekejap terbuka, sekejap tertutup. Sudah macam ikan emas pula aku tengok. Melihat tiada tanda-tanda dia akan berkata apa-apa, aku melangkah ke arah cermin gelungsur tadi. Belum sempat kaki aku memijak lantai marmar ruang tamu tadi, aku terdengar nama aku diseru Johan. Aku menoleh ke arahnya. Kening terangkat sebelah sambil kepala memberi isyarat, apa?
Dia berjalan menghampiri aku. Wajahnya nampak penuh dengan kesungguhan dan keazaman. Nampak penting sangat perkara yang hendak disampaikan kepada aku ini sampai aku pula naik risau. Sebaik sahaja dia sampai betul-betul di hadapan aku, dia berhenti melangkah. Johan menarik nafas dalam-dalam kemudian dia memandang wajah aku dalam-dalam.
“Lea...” Untuk kesekian kalinya nama aku meniti di bibirnya. Aku menanti dengan penuh debar apa yang ingin dia sampaikan.
“Yang sebenarnya...” Sekali lagi tajuk lagu Yuna itu meluncur dari bibirnya. Tidak fasal-fasal Yuna dapat promosi percuma.
“Lea, yang sebenarnya aku suka cupcake. Suka yang teramat sangat!” Lafaz Johan sekali nafas. Kulit mukanya yang putih melepak nampak kemerah-merahan. Macam orang sedang malu. Tidak sempat aku beri apa-apa reaksi, dia sudah masuk ke dalam dan kembali duduk di sebelah Makcik Sarah. Apakah? Setakat hendak beritahu aku dia suka cupcake saja rupanya? Aku ingatkan ada perkara besar lain. Kalau tengok dari cara dia yang nampak seksa benar hendak berkata-kata tadi, aku ingatkan ada kaitan dengan hidup mati. Rupanya sekadar hendak memberitahu aku dia suka yang teramat sangat dengan cupcake? Hendak suruh aku buatkan cupcake untuk dia kah? Cakap sajalah terus terang. Bukankah lebih senang begitu? Isyhhh...mamat ini. Memang sengal kuasa dua betullah!

bersambung....

p/s: Jumaat ini, saya akan siarkan bab 13 yang merupakan bab terakhir di blog. Kenapa sikit? Sebab manuskrip CCC tidak sepanjang manuskrip lain. Kalaulah ada rezeki jadi novel, ia tidak akan jadi setebal novel-novel di pasaran sekarang.  Selepas Bab 13 kita tunggulah nasib manuskrip CCC ini ya.  Ada rezeki, jadilah buku. Harap2 diterima penerbit. Tapi kalau tidak ada rezeki, saya dengan rakan baik saya, Mrs J dan Red akan usahakan sesuatu. Kepada semua yang setia mengikuti Cuit-Cuit Cinta, terima kasih atas sokongan kalian kepada penulis kerdil ini. Diharap anda terus menyokong kami di RSN... love you all so much!

17 comments:

Jue said...

yang sebenarnya.. yang sebenarnya... haha. hampes jelaa..

Si Lea apa ke hal slow mcm siput je ni.. org dah cakap suka cupcake tak paham2.. adeh!!

dyh usen said...

love u too.muah*melekat* LOL

amboi Lea apa ka lembep sgt kamu nih.ate nye, org dh sebut suka tu.hahaha

p/s : amboi lagu nya..i love uuuuu..sweet :D

Lea said...

dia kata dia suka cupcake ok. so, saya imagine cupcake lah. ke dia ada maksud lain?

NurAtiZa said...

Slow betul lah Lea ni...
Johan pun main cakap berkias pula....

farah said...

love you 1234...heheh

dia ni memang lembep. macamlah sorang hamba Allah ni. Cuma harap2lah ending dia tak macam hamba Allah ni. heheh.

farah said...

adoi dik...memang manusia slow macam Lea ini wujud. heheh..dan lelaki macam Johan ini jenis yang hendak tapi malulah..

sweetrose maria said...

wah Lea, dah pandai pukul-pukul orang sekarang ya?pukul-pukul manja gitu..hikhikhik
Johan dalam nakal-nakal dia bila bab hati dan perasaan tu tahu malu jugak kan..hehehe..Lea ni memangla kan,memang jenis dia yang lambat faham...
Ni kalau Lea cerita dekat Nani sah-sah lah Nani yang lebih faham dari Lea kan..Nani tu pun macam dah tahu something je kan..boleh buat pakatan dengan Adam Naufal untuk satukan Lea dengan Johan...hehehe..*beruntung Lea ada kawan macam Nani*..:)

Nur Farha a.k.a Ji'a said...

kan! untung Lea ada kawan2 yg memahami.
kenapa lah kawan sy tu tak memahami sy mcm kwn2 Lea tu.*pekop muka*

Unknown said...

yang sebenarnya...yang sebenarnya...
*fuh....psal sy pun ikt brdebar?? hahahaa*

MizaEija said...

dah kata dah.. Lea tetap jadi pilihan Johan... takpe, daku redha. Moga Johan ngn Lea.. ^^v

Anonymous said...

ala..nak habis da..camne kesudahan johan..huuu..T________T

Repangzel said...

yang sebenarnya..hmmm..
yang sebenarnya..sy bru baca cerita ni..(trlps train la)hihihi
cerita ni sweet ,btl2 mengamit memori zaman sekolah dlu..

p/s: nak tgk gambar Johan boleh??
(tp sy suke tgk Adam)

Anonymous said...

Novel ne dah ada kt luar ke????? Huhuhu pls g tahu... Crte ne best....

Anonymous said...

Ye la. Kalau novelnya dah kuar bg la tau... X sabar nk g beli nie.

Anonymous said...

Bler nak kuar ending dye....x sabar dah nieee...so sweeeetttt

Eiya Fatihah said...

tak jumpa pon bab13.. dah jadi novel ke?

Anonymous said...

novel ni dh keluar ke??