Intan payung kami...

Monday 19 March 2012

Bab 3: Cuit-Cuit Cinta

Love can sometimes be magic. But magic can sometimes... just be an illusion. – Javan
Sebaik sahaja habis drama sebabak di dapur tadi, aku terus sambung makan. Kemudian aku naik ke bilik untuk bersiap-siap tolong mummy hantar kek cawan Puan Farisha. Dalam bilik hati aku jadi sendu bila terpandang potret gambar kami sekeluarga. Tidak mahu terus menerus melayan perasaan, aku cepat-cepat pergi mandi. Sebaik sahaja aku siap berpakaian, aku terus turun semula ke dapur. Mummy serahkan 3 kotak kek cawan kepada aku bersama dengan alamat Puan Farisha. Kalau ikutkan alamat yang mummy berikan, aku kena hantar kek itu ke kawasan premis perniagaan. Kata mummy, itu alamat kedai menjual aksesori wanita milik Puan Farisha.
Aku ikat kotak kek cawan Puan Farisha di bahagian pembonceng skuter comel aku. Selepas bersalaman dengan mummy, aku teruskan hidupkan enjin skuter lalu menuju ke alamat yang diberikan mummy. Kawasan kedai Puan Farisha tu adalah sebuah lot bangunan baru jadi tidak susah aku hendak mencarinya. Lagipun bandar kediaman aku ini tidaklah besar mana. Ia sebuah bandar yang tersusun dan terancang dengan baik. Kawasan premis perniagaannya dikumpulkan di satu tempat jadi memang mudah untuk kami mencarinya.
Sebaik sahaja sampai di Bangunan Wisma Pahlawan, aku mencari kedai Ladies, milik Puan Farisha. Kedai Ladies terletak di tingkat 1. Disebabkan aku perlu membawa 3 kotak berisi kek, jadi aku memilih untuk menaiki lif. Jenuh pula nak mendaki tangga dengan tangan sarat dengan barang. Hendaknya aku ini jenis yang cemerkap. Silap haribulan kalau tersalah pijak anak-anak tangga itu, mahu tergolek aku dibuatnya. Setakat aku saja yang tergolek tak  apa lagi. Buatnya kalau kek mummy yang tergolek? Kepala aku boleh tergolek kena pancung dengan mummy bila balik rumah nanti.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka di Tingkat 1, aku terus melangkah keluar. Aku memandang ke kiri dan kanan. Disebabkan bangunan itu bangunan baru, jadi tidak banyak lagi lot kedai yang beroperasi. Di sebelah kanan aku lihat kebanyakkan pintu premis tiu tertutup jadi aku terus menghala ke sebelah kiri. Aku berjalan di hadapan dua tiga kedai sebelum aku sampai ke kedai yang tertera perkataan Ladies di papan tandanya. Aku cuba meninjau ke dalam kedai namun cermin kedai yang berwarna hitam itu membataskan penglihatan aku. Aku tolak daun pintu kedai dan loceng yang digantung di pintu kedai itu berbunyi. Aku memandang ke dalam kedai yang sederhana besar itu. Aku cuba mencari kelibat sesiapa tetapi yang aku nampak hanya aksesori perhiasan wanita yang pelbagai jenis dan warna.
“Errr...Assalamualaikum? Puan Farisha?” Panggilku.
“Tunggu sekejap!” Berderau darah aku mendengar suara orang yang menjawab panggilan aku dari sebuah bilik kecil di bahagian belakang. Mahunya tidak, setahu aku kalau namanya Puan Farisha, pasti dia seorang wanita tapi ini yang menjawab suara lelaki. Seram sejuk aku dibuatnya. Dalam kepala mula terbayang benda bukan-bukan. Entah-entahkan itu pembunuh bersiri. Dia dah bunuh Puan Farisha dan sekarang dia sedang sorok mayat Puan Farisha di bahagian belakang. Lepas ini dia akan keluar untuk bunuh aku pula? Oh tidak! Aku masih muda! Lagipun aku tak sanggup mati gaya macam ini!
Jantung aku mula berdegup kencang. Selalunya jantung ini akan berdegup macam ini kalau mata aku ternampak kelibat Adam Naufal. Tapi hari ini, demi mendengar suara garau itu, jantung ini buat hal lagi. Kalau macam ini hari-hari, mahu dapat penyakit lemah jantung aku.
Tak lama selepas itu aku terdengar bunyi benda jatuh dari dalam bilik kecil itu. Oh, tak boleh jadi ini. Mungkin betul andaian aku tadi. Mungkin ada pembunuh di belakang sana. Agaknya dia masukkan mayat Puan Farisha ke dalam kotak dan kotak itulah yang terjatuh tadi. Kemudian aku terdengar bunyi orang mendengus geram. Oh, Tuhan. Mungkin pembunuh itu sedang marah sebab mayat yang patutnya disorok itu terkeluar? Badan aku mula menggeletar. Peluh mula merenek di dahi. Aku telan liur ketakutan.
Tiba-tiba bahu aku ditepuk dari belakang sebelum ada suara halus menegur. “Cari siapa?”
“Arghhhh! Tolong! Jangan bunuh saya!” Aku menjerit kuat. Kotak kek di tangan aku lemparkan ke arah orang yang menegur aku tadi. Aku cuba mencari jalan keluar. Dalam kelam kabut itu aku terasa tangan aku dipegang seseorang. Aku bertambah panik. Aku menjerit sekuat hati sambil merentap tangan aku dari genggaman orang itu. Aku sudah mula tidak tentu arah. Tapi berfikir panjang, aku terus tarik sebuah rak kecil yang mengandungi beberapa jenis klip rambut lalu aku tolak ke arah orang cuba menggenggam tangan aku tadi. Aku terdengar dia menjerit kesakitan. Peluang itu aku ambil untuk berlari ke arah pintu dan entah di mana silapnya, kaki aku tersadung kotak kek yang di atas lantai dan badan aku hilang kawalan.
“Hati-hati!” Seseorang  menjerit di belakang aku tapi semuanya sudah terlambat. Aku cuba cari tempat untuk berpaut namun tiada apa yang boleh dicapai. Tubuh aku melayang ke hadapan, ke arah cermin kedai yang gelap itu. Aku pejamkan mata dan aku terdengar bunyi dentuman yang agak kuat sebelum fikiran aku melayang entah ke mana.
***
Kalau ini mimpi, tolong jangan kejutkan aku! Biarkan aku terus begini sampai bila-bila. Itulah doa aku sebaik sahaja aku terpandang wajah dia yang sedang tersenyum manis ke arah aku. Lesung pipit yang manis itulah yang sering menganggu konsentrasi aku. Adam Naufal, lelaki yang sering mengganggu fikiran aku kini sedang merenung wajah aku, Lea Azalea dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Di sebalik senyuman manisnya itu, ada satu lagi riak yang sukar aku tafsirkan. Nak kata itu riak suka, tapi mata dia macam orang bersedih. Nak kata itu riak membenci, tapi senyuman yang menampakkan kedua-dua lesung pipitnya yang dalam itu mengatakan sebaliknya.
Jantung aku bagai mahu berhenti bila jari jemari Adam Naufal menyentuh dahiku. Aduhai, sayang. Mana boleh sentuh-sentuh. Dosa ini. Tapi itu semua hanya aku cakap dalam hati. Tidak terluah pula di bibir. Gatal sungguh kau ni, Lea! Aku tersengih seorang diri mengenangkan kegedikkan aku. Serentak dengan itu, wajah Adam Naufal bertukar riak lagi. Kali ini dahinya berkerut-kerut macam orang sedang kebingungan. Alahai sayang, kenapa muram-muram ini? Sayang susah hati ya?
“Huh, dia dah buat senyuman gatal tu maknanya dah oklah tu mummy!” Erk? Kenapakah suara itu seperti pernah aku dengar sahaja sebelum ini? Dan kenapa suara itu perlu hadir dalam mimpi indah aku ini?
“Cis, nyah kau dari sini!” Aku cuba menepis suara itu dengan tangan aku. Adam Naufal nampak sedikit terkejut dengan tindakan aku. Oh, jangan risau sayang. Lea bukan halau Adam, tapi halau suara perempuan itu!
“Amboi, bersayang bagai. Mummy, rasanya kena bawa perempuan ini pergi hospital juga mummy. Agaknya ada wayar tercabut tadi!” Sekali lagi suara perempuan itu kedengaran. Kali ini dia siap ketawa lagi. Adam Naufal yang berada di sebelah aku tadi terus bangun menjauhkan diri dari aku.
“Awak, jangan tinggalkan saya!” Aku menjerit memanggilnya bila wajah itu makin jauh dari aku.
Ketawa perempuan tadi bertambah kuat. Dan kali ini aku terdengar ada beberapa suara asing lagi yang turut sama ketawa. Aku pandang wajah Adam Naufal. Dia sudah memandang ke arah lain. Kulit mukanya yang putih melepak itu aku lihat sudah bertukar ke rona merah. Tangan aku hulurkan ke hadapan, cuba mengharapkan Adam Naufal menggapai tanganku. Aku tersenyum gembira bila aku terasa tanganku digenggam. Tiba-tiba pandangan aku ke arah Adam terhalang dengan wajah orang lain. Wajah seorang gadis yang seiras dengan wajah aku. Bezanya dia tidak berkaca mata atau memakai pendakap gigi. Dan yang pastinya, wajah itu sedang tersenyum sinis memandang aku.
“Dah sedar?” Tanya gadis itu. Pipi aku yang chubby itu diusap lembut sebelum ditampar perlahan.
“Nad, kenapa buat kakak macam tu!” Tegur satu suara lain. Suara yang cukup aku kenali. Suara mummy.
“Mungkin kita kena bawa dia pergi hospital buat check-up, Nurin. Kak Sha risau kalau dia alami concussion.” Ujar satu suara milik seorang wanita. Suara yang ini aku tidak kenal. Aku cuba mencari-cari dari mana arahnya suara-suara itu. Aku ternampak mummy berdiri di kaki aku bersama dengan seorang wanita yang sedikit gempal tapi sangat bergaya. Siapa pula dia tu? Kenapa dia nak bawa aku pergi hospital? Dan kenapa aku rasa tempat ini macam pelik saja?
Aku pandang sekeliling aku. Pandangan aku agak kabur kerana cermin mata yang menjadi teman rapat aku selama ini tiada di pangkal hidung. Tapi walaupun kabur aku masih dpat mengecam barang-barang yang ada di sekitar aku. Ada pin rambut, getah rambut, ada rantai manik, ada cekak rambut, aku sanggul palsu dan ada kotak kek yang sudah penyek di atas meja kecil di sebelah sofa tempat aku berbaring ini.
Erk....stop sekejap! Kotak kek? Tiba-tiba muka aku terasa hangat bagai disimbah darah panas. Semuanya kembali berputar ke kotak fikiran aku. Aku, dengan kotak kek tempahan pelanggan mummy. Aku, yang masuk ke dalam kedai Puan Farisha. Aku yang menggelebah bila mendengar suara lelaki di dalam kedai milik seorang wanita... Ya Allah, aku baru lepas memalukan diri sendiri!
Aku terus bangun. Aku mengaduh kecil bila kepala aku berdenyut sakit. Automatik tangan aku pegang dahi yang kini sudah bertampal dengan plaster.
Adam Naufal: "Awak ok?"
“Awak ok?” Tanya Adam Naufal yang sudah melutut di sebelah aku. Mata aku membulat memandang wajahnya. Oh Tuhan, adakah aku baru sahaja memalukan diri aku di hadapan jejaka idaman Malaysia ini? (Ok, Malaysia tu macam melampau sangat sebab orang Sabah ke, Sarawak ke bukan kenal Adam ni kan?)
 Arghhh, tidak! Saat ini aku berharap sangat lantai kedai Puan Farisha ini terbelah dan menelan saja diri aku. Kulit muka aku sudah terasa kebas dek kerana malu. Kenapa? Kenapa perlu aku yang menghadapi perkara memalukan ini? Kenapa aku?! Mata tiba-tiba terasa hangat. Tanda-tanda air mata bakal merembes keluar bila-bila masa sahaja lagi. Huwaa...malunya! Dahlah saham aku memang kurang bila melibatkan Adam Naufal. Ini dah jatuh ke angka zero. Memang habislah peluang aku kali ini. Nampak gayanya, Adam Naufal, akan terus kekal menjadi angan-angan sahaja dalam hidup aku. () ()

2 comments:

NurAtiZa said...

adoi sakit perut gelak...kelakar betol...

ezz an said...

darah gemuruh si Lea nie....haish...