Intan payung kami...

Thursday 10 May 2012

Bab 9 : Bila Cinta Terukir di Bintang


Bab 9

Malam berganti siang, siang berganti malam akhirnya hampir sebulan aku hidup single. Minggu pertama agak seksa untuk aku tempuh fasa-fasa putus cinta. Mana taknya, hati masih terluka tapi orang sekeliling asyik bertanya itu dan ini. Imran pula setiap kali terserempak dengan aku mesti dia buat muka acuh tak acuh. Benci sangat dia pada aku, atau mungkin dia marah aku sebab buat keputusan melulu dan dia nak pujuk balik segan atau mungkin sebab ego? Alah, ingat dia seorang saja ada ego? Aku pun ada, tapi kalau dia datang bincang dan pujuk mesti aku akan terima dia balik. (Hati aku dah sejuk sangat-sangat ni)
Aku buat keputusan hari tu pun sebab aku geram dan sakit hati. Tapi aku masih tak puas hati kenapa Imran mahu ‘berehat’ selama satu bulan atau dua bulan? Dia rimas dengan aku ke?
Bunga ros? Emmm… boleh dikatakan setiap hari isnin aku terima kiriman bunga ros. Setiap minggu bilangan bunga yang dikirimkan semakin bertambah. Pada minggu pertama sekuntum, pada minggu ke dua, dua kuntum bunga ros dan sekarang masuk minggu ke tiga, tiga kuntum bunga yang dikirim dan jumlah yang aku terima semuanya enam kuntum.
Tapi mujur aku dah jelaskan semuanya kepada ‘wartawan’ jadi mereka tahu yang bunga tu datang dari teman serumah aku sebagai pemberi semangat. Tapi sampai ke hari ini budak dua orang di rumah tu mati-matian tak mengaku bunga tu dari mereka. Ah, biarlah. Malas aku nak paksa mereka mengaku, tengok air muka mereka berdua aku dah tahu dia orang tipu aku.
Ketika turun ke bahagian logistik untuk berurusan dengan Fahmi aku tersentak bila ternampak Fahmi bertukar wajah menjadi Imran. Aku berhenti melangkah, tidak berkelip merenung Fahmi yang berwajah Imran sedang asyik membuat kerja di laptopnya. Teruknya angau aku, sampai Fahmi pun dah aku nampak macam Imran. Aku menghela nafas perlahan, memejam mata rapat-rapat kemudian kembali melihat ke arah meja Fahmi. Sah, memang aku dah sasau. Fatamorgana je ni!
“Fahmi.” Panggilku sambil mengatur langkah menghampiri meja Fahmi. Tapi semakin aku dekat, wajah Fahmi masih kelihatan seperti wajah Imran. “Fahmi, aku nak kau semak balik purchase order ni, ada client cakap barang yang ada dalam P.O ni tak sama senarai yang ada dalam delivery order.” Mintaku tanpa mempedulikan khayalan mataku ini.
Fahmi berwajah Imran terus merenung aku tidak berkedip. Aku cuba mengukir senyum seperti biasa walau sebenarnya dalam hati aku berdegup hebat. Aku takkan tertipu dengan pandangan mata, kerana pandangan mata sering menipu tetapi pandangan hati itu yang hakiki. Di depanku adalah Fahmi! Mata aku saja yang membayangkan Imran.
“Awak okey?” Tanya Fahmi. Ceh! Suara pun macam Imran? Memang sah aku gila talak!
“Aku okey, yang kau nak ber ‘awak’ dengan aku ni kenapa? Geli!” Aku mencemik, sambil berkedip-kedip mataku cuba membaiki tahap pengelihatan aku yang semakin sasau.
“Awak, saya bukan Fahmi. Saya Imran. Sejak bila awak rabun teruk ni?”
Alamak! Dia Imran? Sekali lagi aku mengosok-gosok biji mataku. Sah, memang mata aku tak salah. Aduh malunya!
“Fahmi mana?” Aku bertanya, cuba berlagak seperti biasa. Imran mengangkat wajah. Alahai, kenapa semakin lama dia semakin kacak ni? Seperti biasa, renungan matanya boleh buat jantung aku terkeluar dari dada aku. Hesy, rupanya aku masih rindukan renungan mata Imran.
“Oh, dia… um… tadi ada dekat sini.” Suara Imran kedengaran sedikit gugup.
Aku terus menatap wajah Imran sepuas-puasnya. Sebulan aku tak bertemu mata dengan Imran, kulit hitam manis ala-ala Remy Ishak kelihatan semakin manis di mataku. Badannya pula kelihatan semakin tegap dan bergaya. Tapi, kenapa wajah dia kelihatan seperti resah gelisah? Emm… orang cakap, kalau seseorang itu kelihatan resah, serba tak kena itu tandanya masih ada cinta. Yes! Maknanya dia masih rindukan aku seperti mana aku rindukan dia.
Aku terus berdiri kaku di depan meja, tak tahu hendak cakap apa. Tiba-tiba lidah aku kelu. Jantung aku berdegup pantas, panas dingin seluruh tubuhku. Oh, aku masih cintakan dia!
“Awak…” aku bersuara menelan air liur. Sekali lagi Imran mengangkat wajah, memandang aku seperti mana pertama kali kami jatuh cinta, indahnya!
“Lepas kita putus, kita tak pernah duduk berbincang pun.” Aku mula berani bersuara.
Aku terdengar dia menghela nafas perlahan. Tangannya berhenti menaip. “Nak bincangkan apa? Awak dah buat keputusan.” Jawab Imran memandang wajahku seketika kemudian kembali menatap laptopnya.
Aku duduk di kerusi di depan meja Imran, “Saya minta maaf. Saya tahu saya silap. Saya tak sepatutnya buat keputusan melulu macam tu. Saya minta maaf sebab saya tolong buat keputusan untuk awak.” Ujar Aku lembut. Aku perlu belajar memaafkan orang dan rendahkan ego. Aku perlu, sebab aku betul-betul cintakan Imran.
Imran menatap wajahku, dia tersenyum kemudian kembali menatap laptopnya. “Dah lama saya maafkan awak.” Jawab Imran tanpa menoleh padaku. Nada suaranya kedengaran lembut dan mesra seperti ketika kami sedang hangat bercinta dulu.
“Awak dah tak marahkan saya?”
Imran mengangguk.
“Jadi…”
“Nadia..” Dia segera memintas cakapku. “Saya tengah sibuk sekarang, saya perlu siapkan kerja saya di sini sebab tempat saya ada masalah plug. Harap, awak faham.” Imran memandang aku dengan pandangan penuh bermakna. Satu pandangan yang aku sendiri keliru hendak mentafsir apa maksudnya.
Aku segera mengangguk. “Ya, saya faham. Teruskan kerja… maaf saya tak akan ganggu awak.” Jawab aku ceria. “Tapi…”
Imran mengangkat wajahnya sekali lagi.
“Kalau awak perlukan masa untuk fikir fasal kita, sebulan ke.. dua bulan ke… saya sanggup tunggu. Yang penting, lepas tu awak kena jelaskan kenapa awak nak berpisah ‘sementara’ dengan saya.” Aku menekankan perkataan ‘sementara’ supaya Imran tahu yang aku bersedia menerima dia bila-bila masa.
Imran tersenyum mengangguk kemudian kembali menatap laptopnya. Aku menarik nafas lega, jadi mungkin lepas ni kami akan bersama balik? Dan aku tak perlu hidup sendiri lagi? Fuhh, lega.
***
Selama dua hari ini hati aku kembali tenang. Mendung berarak pergi, kini sinar mentari dan warna-warni pelangi menyeri hatiku. Aku jatuh cinta lagi, pada orang yang sama. Orang cakap, bila bergaduh besar dapat menghangatkan kembali hubungan cinta yang semakin dingin. Mungkin betul teori tu. Kini, hangat hatiku sangat luar biasa!
Setiap kali aku terserempak dengan Imran mesti aku senyum meleret dan Imran pun balas senyumku, ini sudah petanda baik ni! Aku janji, kali ni aku akan jadi teman wanita yang paling baik dan memahami. Dan belajar sabar.
“Nadia, aku simpati pada kau. Sabar ya.” Mila merenung wajah aku. “Aku ada belikan Milo ais untuk kau.” Mila tegur aku ketika berjalan ke pejabat selepas makan tengah hari dengan Hara. Sejak aku putus cinta, Hara kerap datang makan tengah hari bersama aku. Beruntung sungguh aku dapat kawan sebaik Hara yang perihatin dengan kawan.
Mila menghulur sebungkus air milo ais untuk aku. Walaupun agak pelik dengan Mila yang tiba-tiba baik hati tapi rezeki jangan ditolak.
“Wah, baiknya kau. Terima kasih.” Aku tersengih lalu menghirup air milo pemberian Mila.
“Bila minum milo ais tadi aku teringatkan kau. Sebab tu aku beli, lagi pun… mana tahu bila minum air milo ni hati kau makin tenang.” Jelas Mila tersenyum, tapi entah kenapa aku lihat senyuman Mila lebih ke arah senyuman simpati. Budak ni masih tak habis-habis lagi dengan gossip aku putus cinta? Orang lain dah tak kisah dia pula yang lebih-lebih.
“Aku faham bagaimana perasaan dikhianati.” Mila bersuara tiada senyuman di bibirnya.
“Eh, bukan ke kau orang asyik nak tuduh aku ada lelaki lain sebab tu aku tinggalkan Imran?” perli aku mencebik.
“Itu masa mula-mula kau orang putus dan masa tu kami ingat bunga yang kau terima tu bunga dari teman lelaki baru kau. Jadi sekarang baru aku tahu cerita sebenarnya.” Jawab Mila berjalan beriringan dengan aku.
“Baru kau orang tahu, jadi aku bukan pesalah sekarang ya?” Usik aku pada Mila. Kalau aku bagitahu dia yang aku dan Imran mungkin berbaik balik mesti dia minta balik milo ais ni, jadi lebih baik aku diamkan dulu berita ni. Aku terus menghirup milo ais itu, sedap!
“Okey Nadia, kalau kau ada apa-apa or you need a shoulder to cry kau boleh cari aku. Kami semua di pihak kau.” Ujar Mila ketika tiba di tingkat dua pejabat kami.
Seriously? A shoulder to cry? What the tutt! Kenapa masa hari pertama aku putus cinta mereka tak cakap macam ni? Kenapa selepas sebulan baru nak sedar yang aku ni mangsa keadaan?
Okey, I will…” balas aku terus menapak ke tingkat tiga. Malas layan Mila lama-lama nanti entah apa lagi yang keluar dari mulut dia tu.


 Terima kasih kerana membaca :)


Bersambung....



111 comments: